Veda

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Teks Hindu
Aum.svg
Śruti

Smriti


Pengenalan[sunting | sunting sumber]

Perkataan 'Veda', berasal daripada perkataan Sanskrit, 'vid' ( bermaksud 'untuk mengetahui') dan ia merujuk kepada seluruh himpunan ilmu esoterik dan rohani mengenai nilai-nilai kerohanian abadi yang ditemui oleh golongan Rishi (orang-orang alim dan mistik) semasa meditasi.[1] Tradisi Hindu memberikan Veda kedudukan tertinggi dalam kalangan semua sumber ilmu dan kitab-kitab suci lain. Oleh itu, Veda dianggap sebagai sumber utama dan asas Hinduisme. Semua kitab-kitab lain mendapat inspirasi dan otoritinya daripada Veda. Dalam kata lain, Veda adalah kitab suci agama Hindu yang tertua.[2]

Veda adalah Apauruseya (bukan buatan manusia). Menurut Swami Vivekananda: "Himpunan penulisan ini yang dipanggil sebagai Veda bukanlah kata-kata manusia. Tarikh-tarikhnya tidak pernah ditetapkan, tidak boleh ditetapkan, dan, mengikut kami, Veda adalah abadi'.[3]

Veda juga dinamakan sebagai 'Sruti' yang bermaksud 'sesuatu yang didengar'.[4] Ini kerana, Veda diturunkan daripada generasi ke generasi secara lisan. Masyarakat Hindu purba, menggunakan kaedah lisan untuk pengajaran. Oleh itu, sebenarnya Veda bukan setakat sebuah kitab suci, tetapi himpunan ayat-ayat suci.

Veda atau Sruti juga dianggap sebagai 'ilmu mengenai Tuhan'.[5] Dalam Hinduisme, ilmu mengenai Tuhan adalah tidak terbatas dan abadi. Maka, Veda sebagai ilmu mengenai Tuhan adalah abadi, tidak batasan, dan ia sentiasa wujdu di alam semesta ini.[6] Sebahagian ilmu abadi ini ditemui oleh para Rishi semasa meditasi dan hanya sebahagian kecil sahaja telah direkodkan dalam kitab-kitab suci.

Dengan peredaran masa, ayat-ayat suci ini dikumpul dan disusun kepada empat bahagian yang dikenali sebagai Rig, Sama, Yajur, dan Atharva Veda. Proses penyusunan semula ayat-ayat suci Veda ini dilakukan oleh Krishna Dwaipayana (juga dikenali sebagai Veda Vyasa).

Seperti yang dikatakan oleh Swami Vivekananda, ianya amat sukar untuk menentukan tarikh-tarikh Veda. Tarikh-tarikh yang diberikan oleh pelbagai ilmuwan adalah amat jauh berbeza, daripada 25,000 S.M hingga 1000 S.M. Namun, suatu pendapat umum yang diterima ramai ialah bahawa tamadun Harappan-Mohenjo Daro (c. 4000 S.M.) merupakan suatu tamadun selepas zaman Veda. Dengan ini, boleh disimpulkan bahawa, Veda yang tertua, iaitu Rig Veda, telah wujud sekitar 10,000 S.M.[7]

Rishi-rishi Veda[sunting | sunting sumber]

Dengan mengamalkan Brahmacharya, golongan Rishi mendapat daya ingatan yang kuat. Brahmacharya ialah pengumpulan tenaga dengan mengawal nafsu syahwat. Menurut Pātanjala Yogasūtra, Sādhanapāda, Ayat 38, “Brahmacharyapratishthāyam vīryalābhah” (Kesaktian diperolehi dengan mengekalkan tenaga batin). Menurut golongan Rishi, seseorang yang mengawal nafsu syahwatnya dan tidak membazirkan tenaga batin dengan aktiviti seksual akan mendapat daya ingatan yang tinggi. Selain itu, amalan Brahmacharya juga memanjangkan usia dan memberikan dhāranā sakti – kebolehan untuk memahami intipati kitab-kitab suci. Dengan kekuatan Brahmacharya, para Rishi menghafal ayat-ayat suci Veda dan memberikannya kepada pengikut mereka.

Orang pertama yang mula-mula mengumpul dan menyusun ayat-ayat suci Veda ialah Krishna Dvaipayana (juga dikenali sebagai Veda Vyasa). Baginda menyusun ayat-ayat suci ini kepada empat Veda – Rig Veda, Sāma Veda, Yajur Veda, dan Atharva Veda. Menurut Vishnu Purana, Vyasa dibantu oleh empat orang pengikutnya dalam mengumpul Veda. Paila membantunya untuk mengumpul Rig Veda; Vaisampāyana mengumpul Yajur Veda, Jaimini mengumpul Sama Veda dan Sumantu mengumpul Atharva Veda.

Seperkara perlu diperhatikan. Dalam Veda, keutamaan diberikan kepada sesuatu penemuan dan bukannya kepada orang yang menemui ilmu itu. Maka, ramai Rishi tidak peduli untuk menuntut hak sebagai orang yang menemui sesuatu ilmu.[8] Ini kerana, golongan Rishi sedar bahawa ilmu adalah abadi dan bukannya milik sesiapa pun.

Menurut Swami Vivekananda, "... Veda tidak bergantung kepada sesiapa pun untuk autoriti. Veda adalah autoritinya sendiri kerana ia adalah ilmu abadi mengenai Tuhan.'[9]

Seorang Rishi juga dikenali sebagai 'Mantra-drashta' iaitu seseorang yang 'melihat' ilmu. Rishi bukan pemilik sesuatu ilmu tetapi hanya orang yang menemuinya. Apabila sesuatu ayat suci dikatakan diterima daripada seseorang Rishi tertentu, ia bermaksud Rishi itu telah menemuinya dan bukan bermaksud baginda menciptanya. Dalam kata lain, seorang Rishi ialah seorang yang menemui ilmu rohani.[10]

Empat Mahavakya[sunting | sunting sumber]

Menurut penulis-penulis selepas Sankara dalam tradisi Advaita Vedanta, terdapat empat ayat-ayat suci, dari empat Veda yang mengajar bahawa semua dan setiap jiwa adalah tuhan – Sarvam Kalvidam Brahma (“Sesungguhnya, segala-galanya ialah Tuhan”) . Empat ayat-ayat suci ini dikenali sebagai Mahāvākyas atau ‘Maha Ayat-ayat’ iaitu[11]:

  • Prajnanam Brahma – Kesedaran ialah Brahman dari Aitareya Upanishad, Rig Veda[12]
  • Aham Brahmasmi – Akulah Brahman (Tuhan) dari Brihadaranyaka Upanishad, Yajur Veda[13]
  • Tat Tvam Asi – Kamulah Itu (Brahman) Chandogya Upanishad, Sama Veda[14]
  • Ayam Atma Brahma – Atman adalah Brahman dari Mandukya Upanishad, Atharva Veda.[15]

Klasifikasi Veda[sunting | sunting sumber]

Ayat-ayat suci Veda telah diturunkan secara lisan dari zaman ke zaman. Seorang guru akan membacakan ayat-ayat suci dan pelajar akan mendengarnya dengan teliti dan mengulanginya. Maka, Veda juga dikenali sebagai 'Śruti' ('apa yang didengar').[16]

Bagi memudahkan proses pengajaran Veda secara lisan, golongan Rishi telah membina suatu sistem pengajian mantera bagi memelihara Veda dengan baik dan tanpa sebarang perubahan. Hasilnya, pada hari ini juga terdapat golongan pendeta yang dapat melafazkan ayat-ayat suci Rig Veda dengan sempurna.[17]

Apabila empat pelajar-pelajar Veda Vyāsa mengajarnya kepada pelajar-pelajar mereka, beberapa perubahan kecil dan penyusunan semula mantera dilakukan mengikut cara pengajaran tempatan dan ritual. Kaedah yang diubahsuai ini dikenali sebagai śākhā. Contohnya, Ṛg Veda dikatakan mempunyai 21 śākhā, namun hanya lima sahaja yang masih wujud iaitu: Śākala, Bāṣkala, Āśvalāyana, Śāṅkhāyana dan Māṇḍūkeya.[18]

Seterusnya, setiap Veda juga dibahagikan kepada dua bahagian: Mantra dan Brāhmaṇa. Seringkali, pembahagian ini juga ditambahkan dengan dua bahagian lain iaitu Āraṇyaka dan Upaniṣad.[19]

Setiap Veda mempunyai empat bahagian:

  • Samhita - bahagian ini mengandungi ayat-ayat suci mantera.
  • Brahmana- bahagian ini mengandungi maksud dan kegunaan ayat-ayat suci mantera.
  • Aranyaka - meditasi simbolik mengenai ritual dalam Veda untuk diamalkan oleh para pertapa
  • Upanishad - Bahagian falsafah dan metafizik. Antara 108 Upanishad yang wujud, yang berikut ialah yang paling popular: Isha, Kena, Katha, Mundaka, Mandukya, Aitareya, Taittiriya, Chhandogya, Prasna, Svetashvatara, dan Brihadaranyaka.

Menurut satu lagi kaedah klasifikasi, setiap Veda juga dibahagikan kepada tiga bahagian: Karma Kanda, Upasana Kanda dan Jnana Kanda.

Karma Kanda[sunting | sunting sumber]

Ini adalah bahagian Samhita dan Brahmana yang sebahagian besarnya menyentuh tentang Karma atau ritual-ritual Vedik dan upacara-upacara korban.

Kandungan utama Karma Kanda ialah Brahmana. Mantera-mantera dalam Samhita pula akan dibacakan pada masa-masa yang sesuai semasa upacara ritual.

Mimamsa Darsana memberikan bahagian ini tempat yang utama berbanding bahagian Upanishad. Sebaliknya, dalam sistem Vedanta pula, Karma Kanda tidak diberi penekanan.

Jnana Kanda[sunting | sunting sumber]

Ini adalah bahagian Upanishad yang biasanya menjadi sebahagian Aranyaka. Ia menyentuh tentang Jnana atau ilmu rohani.[20]

Dalam sistem Vedanta, bahagian ini diberikan keutamaan penting berbanding bahagian Karma Kanda.

Upasana Kanda[sunting | sunting sumber]

Ini adalah bahagian Aranyaka termasuk Upanishad, yang mengajar Upasana atau pelbagai jenis meditasi khas (juga dinamakan 'Vidya). 'Upasana secara literal bermaksud 'duduk berdekatan' atau 'meditasi'.

Empat Veda[sunting | sunting sumber]

Ayat-ayat suci Veda didedahkan secara berterusan kepada golongan Rishi dan proses pengajarannya adalah secara lisan. Maka, dengan peredaran masa, wujud ancaman bahawa kemungkinan ayat-ayat suci tersebut akan hilang atau berubah. Menyedari kehendak zaman, Kṛṣṇa-Dvaipāyana atau Veda Vyasa membahagikan himpunan ayat-ayat suci Veda kepada empat bahagian. Kemudian, Veda Vyasa mengajar empat bahagian tersebut kepada empat orang pelajar utamanya yang bernama Paila, Vaiśampāyana, Jaimini dan Sumantu. Veda yang dibahagikan kepada empat kumpulan ini dikenali sebagai : Ṛg Veda, Yajur Veda, Sāma Veda dan Atharva Veda.[21][22][23]

Rig / Ṛg Veda[sunting | sunting sumber]

(Artikel Utama: Rig Veda)

Ayat-ayat suci (hymns) Rig Veda dianggap tertua dan paling penting bagi kitab-kitab Veda. Beberapa orang cendikiawan telah memberikan beberapa tarikh untuk Rig Veda, seperti berikut[24]:

  • A.C.Dās : 25,000 S.MS.Srikanthasastri : 10,000 S.M.
  • S.V.Venkatesvara : 10,000 S.M.
  • B.G.Tilak : 6000 S.M.
  • Hermann Jacobi : 4500 S.M.
  • Haug M. : 2400 S.M.
  • Winternitz, Moriz : 2000 S.M.
  • Max Muller : 1200 S.M.

Namun, semua cendikiawan ini telah membuat kesimpulan mereka berdasarkan kepada beberapa penemuan yang bergantung sepenuhnya atau sebahagiannya pada teori tentang evolusi bahasa dalam Rig Veda, beberapa maklumat astronomi (yang mungkin tidak dibuktikan tanpa keraguan), perubahan-perubahan ketara dalam sistem sosio-politik dan sebagainya. Maka, semua tarikh-tarikh ini tidak boleh diterima sebagai benar tanpa sebarang keraguan.[25]

Menurut pendapat golongan Hindu orthodoks, Veda bukanlah sebuah buku, tetapi ilmu yang didedahkan oleh Tuhan pada awal sesuatu kitaran ciptaan. Apa yang lebih penting ialah untuk mendapatkan ilmu yang terkandung di dalam Veda dan mencapai matlamat hidup manusia iaitu menyedari Tuhan. Seperti yang sering ditekankan oleh Sri Ramakrishna, bagi mengetahui apakah itu buah mangga, seseorang perlu merasakan buah itu dan bukannya menggira daun dan batang pokok mangga.

Yajur Veda[sunting | sunting sumber]

(Artikel Utama: Yajur Veda)

Yajur Veda dikatakan telah wujud dari muka Brahma (Pencipta) yang menghadap selatan. Veda ini juga dikenali sebagai Adhvaryu Veda kerana peranan utamanya adalah dalam upacara korban Vedik, dan adhvaryu ialah ketua sami yang menjalankan upacara itu. Ayat-ayat suci Veda ini dikenali sebagai Yajus dan ia berbentuk prosa.[26]

Terdapat dua bahagian utama Veda ini, yakni, Krishna Yajur Veda dan Sukla Yajur Veda. Lagenda popular mengenai pembahagian ini ialah:[27]

Veda Vyasa telah memberikan Yajur Veda kepada Vaisampayana. Pada suatu ketika, Vaisampayana telah melakukan dosa brahmahatya (dosa membunuh seorang Brahmin) disebabkan suatu kesilapan teknikal yang serius. Oleh kerana Vaisampayana ketika itu telah terlalu tua dan uzur, beliau meminta pengikut-pengikutnya untuk menebus dosa itu. Kitab suci Hindu membenarkan penebusan dosa melalui wakil. Yajnavalkya, seorang pengikutnya, mungkin disebabkan keangkuhan, menawarkan diri untuk menebus dosa itu seorang diri. Ini menyebabkan pengikut-pengikut lain tidak berpuas hati. Perbuatan Yajnavalkya menyebabkan kemarahan Vaisampayana. Maka, Vaisampayana mengarahkan Yajnavalkya untuk memulangkan semula Veda yang diajarnya dan keluar dari asramanya. Yajnavalkya, kemudian, 'memuntahkan' Veda itu dalam warna gelap atau hitam. Pengikut-pengikut lain, menjadi burung tittiri dan memakan muntahan itu. Oleh kerana, ia berwarna hitam, ia dikenali sebagai Krishna Yajur Veda (krishna=hitam/gelap). Oleh kerana, burung tittiri memakannya, bahagian ini juga mendapat nama Taittiriya Samhita.

Seterusnya, Yajnavalkya memuja Tuhan Surya dan mendapatkan suatu versi lain Veda yang sama. Surya mengambil rupa seekor kuda untuk mengajarnya. Oleh itu, bahagian Veda itu dikenali sebagai Sukla Yajur Veda (sukla=putih/terang) dan juga Vajasaneyi Samhita (vaji=kuda).

Sememangnya, lagenda ini adalah sesuatu yang simbolik. Oleh itu, ia perlu difahami dengan betul. Suatu pemahaman yang rasional ialah: Yajnavalkya ialah pelajar yang paling bijak dan dia telah mempelajari seluruh Yajur Veda. Selepas itu, dia terpaksa mengajarnya kepada pengikut-pengikut lain. Disebabkan sumpah gurunya, Vaisampayana, Yajnavalkya telah melupakan bahagian yang diajarnya kepada pengikut-pengikut lain. Maka, bagi mendapatkan kembali bahagian yang dilupakannya, Yajnavalkya terpaksa berusaha sendiri - dengan melakukan disiplin rohani atau tapas dan berjaya. Dengan meditasi ke atas Tuhan Surya, dia mendapatkan semula Veda itu.

Penjelasan lain ialah Tittiri ialah seorang guru utama Veda ini. Dia berasal daripada tradisi guru-guru Veda Vyasa dan Vaisampayana. Maka, Veda ini mendapat nama Taittiriya Samhita. Yajnavalkya merupakan anak 'Vajaseni' (seorang dermawan yang terkenal akan sedekah 'vajas' atau makanan) Devarata, maka Vedanya dikenali sebagai Vajasaneyi Samhita.

Biasanya, suatu Vedik Samhita mengandungi hanya komposisi secara 'metre'. Sebaliknya, Brahmanas adalah dalam bentuk prosa, Oleh kerana Veda yang diajar oleh Vaisampayana mengandungi campuran kedua-dua ini, ia dianggap pelik. Maka, mungkin itulah sebabnya ia dinamakan sebagai Krishna (hitam, tidak tulen). Veda yang lain, yang hanya mengandungi komposisi secara 'metre' pula mendapat nama Sukla (putih/tulen).

Menurut beberapa sarjana Veda, Krishna Yajur Veda ialah bahagian yang lebih purba.

Sāma Veda[sunting | sunting sumber]

(Artikel Utama: Sāma Veda)

Ini ialah kitab ketiga dalam senarai Veda. Veda ini mengandungi sebahagian besar ayat-ayat suci Rig Veda yang disusun menurut sistem Saptasvara (tujuh nota asas muzik India) untuk dinyanyikan di tempat-tempat yang sesuai semasa upacara korban atau ritual.[28]

Sāma Veda telah disanjung tinggi dalam Veda-Veda lain.[29] [30] Sri Krishna, ketika menghuraikan tentang diri-Nya dalam Bhagavad Gita berkata, 'Dalam kalangan Veda, Aku adalah Sāma Veda'.[31]

Secara etimologi, perkataan 'Sāma' bermaksud 'sesuatu yang menghapuskan duka dengan kemerduannya; sebuah lagu'.[32]

Brihadaranyaka Upanishad memberikan definisi Sāma sebagai suatu rk (ayat suci Rig Veda) yang disetalakan mengikut pelbagai tiun muzik.[33] Maka, Sāma ialah ayat-ayat suci Rig Veda yang telah disetalakan dengan tuin muzik seperti yang dinyatakan oleh karya-karya khas seperti Naradiyasiksha.

Walau bagaimanapun, rk yang sama boleh dinyanyikan dalam pelbagai tuin berbeza, dan menghasilkan Sama yang berbeza. Maka, Sama begini boleh berjumlah daripada satu hingga lapan belas! Menurut suatu kiraan, terdapat 1875 rk dan 2639 sāma dalam teks Sāma Veda yang wujud pada masa ini.[34]

Sāma Veda dianggap sebagai asal-usul muzik tradisional India, meskipun sukar untuk menguasainya. Disebabkan kemerduan, nilai kesusasteraan yang unggul (sebagai suatu puisi yang hebat) serta idea-idea Bhakti atau cinta-Ilahi yang murni, Sāma Veda, sesungguhnya telah menjadi sebuah kitab suci Veda yang popular.[35]

Atharva Veda[sunting | sunting sumber]

(Artikel Utama: Atharva Veda)

Veda keempat ialah Atharva Veda. Ia juga dikenali sebagai Atharvana Veda, Atharvangirasa, Angirasa, Bhrgvangirasa, Bhrigu Vistara, Brahma Veda,, Bhaisajya Veda, dan Ksattra Veda.[36]

Perkataan 'Atharvan' mungkin berasal daripada 'athar' iaitu api, dan mungkin bermaksud, 'sami api'. Maka, Atharvan mungkin nama seorang Rishi purba yang 'membawa api dari syurga' dan memulakan upacara ritual korban di bumi. Kemungkinan, rishi-rishi daripada puak Atharvan, Angiras, Bhrigu, Atharvangirasa, dan Brahman adalah rishi-rishi yang mula-mula mendengar Veda ini. Maka, ia mendapat nama-nama lain sempena nama rishi-rishi itu.[37]

Vedanga[sunting | sunting sumber]

Disebabkan bahasa Sanksrit Veda adalah amat kuno dan penuh dengan pelbagai sistem ritual dan korban yang rumit adalah sukar untuk memahami Veda. Oleh itu, sejak zaman purba lagi, enam Vedanga telah dihasilkan untuk memudahkan pemahaman dan pemakaian Veda.

Perkataan 'anga' secara literal bermaksud 'anggota'. Dalam konteks teknikal pula, ia bermaksud suatu bidang ilmu subsidiari yang membantu memahami bidang ilmu induk. Maka, Vedanga bermaksud suatu sains subsidiari yang membantu kita memahami Veda.[38]

Terdapat enam Vedanga, iaitu:

  • Siksha - Ini adalah mengenai fonetik atau gaya bacaan Veda
  • Chanda - Prosodi atau irama puisi Vedik
  • Vyakarana - Ini adalah tatabahasa Veda
  • Nirukta - Etimologi atau maksud dan penjelasan perkataan-perkataan
  • Jyotisa - Astronomi atau kiraan masa dan waktu yang sesuai untuk melakukan ritual Veda
  • Kalpa - Segala aspek upacara sembahyang dan ritual-ritual korban.

Pengaruh Veda[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3, ms.528, Ramakrishna Math, Bangalore, 2008
  • Swami Nirvedananda, Hinduism at a Glance, ms.25,Ramakrishna Mission Calcutta Students; Home, 1944
  • Swami Vivekananda, Lectures from Colombo to Almora, ms.20, Advaita Ashrama
  • ibid
  • Swami Nirvedananda, Hinduism at a Glance, ms.25, Ramakrishna Mission Calcutta Students; Home, 1944
  • ibid
  • Swami Harshananda, ms.529
  • ibid
  • Swami Vivekananda, ms.20
  • Swami Vivekananda, ms.21
  • Swami Harshananda, Vol.2 ms.275
  • Aitareya Upanishad (5.3)
  • Brihadaranyaka Upanishad (1.4.10)
  • Chandogya Upanishad (6.8.7)
  • Mandukya Upanishad, (2) Atharva Veda
  • Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 (2008) ms106
  • ibid
  • ibid, ms 107
  • ibid,107
  • Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.2, ms.110
  • ibid, ms107
  • Mahabharata, Adiparva 60.5
  • Bhagavata, 12.6.50
  • Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 (2008) ms106
  • Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.3 (2008) ms106
  • Swami Harshananda, ms.616
  • Swami Harshananda, ms.616-617
  • Swami Harshananda, ms.165
  • Rig Veda 1.107.2; 2.443.2; 5.44.15
  • Atharva Veda 2.7.24; 7.54.1; 10.7.20
  • Bhagavad Gita (10.22)
  • Swami Harshananda, ms.165
  • Brihadaranyaka Upanishad, 1.3.25; 1.3.22
  • Swami Harshananda, ibid
  • Swami Harshananda, ms.170
  • Swami Harshananda, A Concise Encyclopaedia of Hinduism, Vol.1, ms.198, Ramakrishna Math, Bangalore, 2008
  • Swami Harshananda, ibid
  • Swami Harshananda, Vol.3, ms.512