Wong Pow Nee

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Tan Sri Wong Pow Nee (k.k. 1991 - 31 Ogos 2002) ialah Ketua Menteri Pulau Pinang yang pertama selepas jawatan itu yang ditawarkan kepada Dr. Lim Chong Eu ditolaknya.[1] Beliau berkhidmat antara tahun 1957 (tahun kemerdekaan Malaysia) sehingga 1969 apabila jawatannya itu diambil alih oleh Dr. Lim Chong Eu selepas parti politiknya, Persatuan Cina Malaysia (MCA), ditewaskan oleh Parti Gerakan Rakyat Malaysia dalam pilihan raya negeri pada tahun itu.

Wong juga merupakan salah satu daripada lima ahli Suruhanjaya Cobbold yang dibentuk bersama-sama oleh kerajaan-kerajaan British dan Malaya pada tahun 1962 untuk menentukan pandangan-pandangan orang Sabah dan Sarawak serta membuat pengesyoran tentang cadangan untuk mengasaskan Persekutuan Malaysia yang terdiri daripada Malaya, Singapura, Sabah dan Sarawak. [2]

Bertentangan dengan cadangan dua ahli British, iaitu Sir Anthony Abell dan Sir David Watherston, untuk membenarkan tempoh peralihan antara tiga hingga tujuh tahun untuk pembentukan Malaysia, Wong dan Ghazalie Shafie menegaskan bahawa tempoh peralihan harus tidak melebihi 12 bulan untuk mencegah sebarang "pengaruh yang berbahaya dan menimbulkan gangguan". Oleh itu, Malaysia diasaskan pada 16 September 1963.[2]

Pengerusi dan ahli-ahli British dalam Suruhanjaya Cobbold juga mencadangkan kebebasan agama untuk mengelakkan agama Islam dijadikan agama rasmi di Sabah dan Sarawak. Sebaliknya, Wong dan Ghazalie Shafie mencadangkan bahawa Perlembagaan Malaysia didasarkan pada Perlembagaan Merdeka 1957 kerana kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan "tidak akan menjejaskan kebebasan agama dalam Persekutuan yang sebenarnya adalah sekular".[2]

Wong meninggal dunia pada 31 Ogos 2002 [3] ketika berumur 91 tahun. Terdapat satu jalan di Bukit Mertajam yang dinamai sempena namanya, iaitu Jalan Wong Pow Nee. Walau bagaimanapun, Jawatankuasa Penamaan Jalan, Taman dan Tempat Pulau Pinang telah membincangkan cadangan supaya jalan yang sedia ada ditukarkan kepada Lorong Wong Pow Nee dan satu jalan yang sesuai akan dinamai Jalan Tan Sri Wong Pow Nee. Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) masih menjalankan siasatan dan kajian menjelang bulan Mei 2007, dengan keputusan belum dibuat.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]