Zolkples Embong

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Zolkples Embong
Kelahiran(1959-02-28)28 Februari 1959
Meninggal dunia3 Oktober 2021(2021-10-03) (umur 62)
DikebumikanTanah Perkuburan Islam Syed Yahya Dungun, Terengganu
PekerjaanPenjawat Awam, Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara Malaysia
IbuMandak Muda
BapaEmbong Jusoh

Dato' Seri Zolkples Embong (28 Februari 1959 – 3 Oktober 2021) merupakan seorang penjawat awam Malaysia yang memegang jawatan sebagai Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) dari April 2007 sehingga Disember 2014.[1][2]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Zolkples dilahirkan pada 28 Februari 1959 di Dungun, Terengganu dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan dan Kemanusiaan dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).[3]

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Beliau dilantik sebagai Pegawai Kanan Kebudayaan, Belia dan Sukan di Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan bermula dari 3 Mei 1982 sebelum menjawat jawatan Pegawai Kemajuan Sukan di MSN pada 1984.[3][4]

Beliau dinaikkan pangkat sebagai Pegawai Tingkatan Kanan (A12) dari 1 Jun 1990 sebelum mengorak langkah sebagai Pegawai Belia dan Sukan Gred S2 sebagai Pengarah di bahagian Pengurusan MSN pada 1992. Zolkples ialah antara penggerak utama dalam proses merangka Akta Pembangunan Sukan 1997 dan pembinaan Kompleks Sukan Negara. Pada Ogos 2005, beliau dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah sebelum diangkat sebagai Ketua Pengarah pada 25 April 2007 dan bersara daripada jawatan berkenaan pada Disember 2014.[3]

Sumbangan[sunting | sunting sumber]

Antara sumbangan Zolkples sepanjang perkhidmatannya ialah seperti menjadi pegawai pertama melaksanakan program pembangunan seperti Program Bakat Kebangsaan, Bakat Khas, Bakat Sekolah dan Tunas Cemerlang di seluruh negara yang melahirkan ramai jaguh kebangsaan.[3]

Kehidupan peribadi dan kematian[sunting | sunting sumber]

Datuk Seri Zolkples membujang sepanjang hayatnya dan tidak pernah berkahwin.[1] Beliau pernah membuat pembedahan jantung antara 2008 dan 2009 dan tidak pernah membuat sebarang rawatan susulan selepas itu. Pada 1 Oktober 2021, beliau membuat ujian saringan COVID-19 dan disahkan negatif.[1][4]

Beliau meninggal dunia di kediamannya di Jalan Pandan Indah 1/11A, Pandan Indah, Ampang Jaya pada 3 Oktober 2021 di usia 62 tahun.[5] Mayat beliau dijumpai oleh polis hasil aduan dibuat oleh bekas pembantu peribadi Zolkples menerusi panggilan kecemasan ke talian MERS 999 selepas gagal menghubunginya.[1][2] Punca kematiannya disahkan akibat serangan jantung.[6][4]

Jenazah beliau selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Syed Yahya, pada jam 10.40 malam berhampiran pusara ibu bapanya, Embong Jusoh dan Mandak Muda.[7]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d Nor Azizah Mokhtar (3 Oktober 2021). "Zolkples meninggal dunia". Berita Harian. Dicapai pada 8 Oktober 2021.
  2. ^ a b "Bekas Ketua Pengarah MSN meninggal dunia". Meja Sukan. Utusan Malaysia. 3 Oktober 2021. Dicapai pada 8 Oktober 2021.
  3. ^ a b c d Ferzalfie Fauzi (3 Oktober 2021). "'Kehilangan seorang mentor, abang dan rakan'". Harian Metro. Dicapai pada 8 Oktober 2021.
  4. ^ a b c "Pemergian Zolkples satu kehilangan besar". Kosmo!. 3 Oktober 2021. Dicapai pada 8 Oktober 2021.
  5. ^ "Zolkples Embong meninggal dunia". mStar Online. 3 Oktober 2021. Dicapai pada 8 Oktober 2021.
  6. ^ "Bekas Ketua Pengarah MSN, Zolkples Embong meninggal dunia". Astro Awani. 3 Oktober 2021. Dicapai pada 8 Oktober 2021.
  7. ^ Nik Nur Izzatul Hazwani Nik Adnan (3 Oktober 2021). "Jenazah Zolkples Embong selamat disemadikan". Kosmo!. Dicapai pada 8 Oktober 2021.