Amanat Haji Hadi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Amanat Haji Hadi merujuk kepada suatu sedutan ceramah umum yang disampaikan oleh Haji Abdul Hadi Awang di Kampung Banggol, Peradong, Kuala Terengganu pada 7 April 1981. Ucapan beliau telah dicetak dalam bentuk poster dan ditampal di dinding markas PAS sekitar tahun itu. Walau bagaimanapun, Abdul Hadi menegaskan beliau tidak pernah melabelkan ucapan dan kenyataan tersebut sebagai Amanat Haji Hadi, tetapi dilabelkan oleh pihak lain[1].

Daripada bukti kertas putih mengenai Memali bertarikh 25 Februari 1986, Amanat Hadi telah dicetak dalam empat versi. Pertama dalam tulisan jawi, dicetak oleh bahagian Penerangan PAS Kelantan untuk sebaran pilihan raya kecil Selising, Kelantan pada tahun 1983. Versi latar belakang hitam dengan tulisan rumi, dicetak oleh PAS Pusat dan dua versi lagi (rumi dan jawi) dicetak oleh Sekretariat Dewan Pemuda PAS Pusat. Versi latar belakang hitam dapat dilihat dalam rakaman video polis mengenai peristiwa Memali pada 19 November 1985[2].

Sedutan ucapan[sunting | sunting sumber]

Sedutan ucapan ini adalah seperti berikut:

Saudara-saudara sekelian percayalah,

Kita menentang UMNO, bukan kerana nama dia UMNO. Kita menentang Barisan Nasional bukan kerana dia lama memerintah kerajaan. Kita menentang dia ialah kerana dia mengekalkan perlembagaan penjajah, mengekalkan undang-undang kafir, mengekalkan peraturan jahiliyah. Oleh kerana itulah kita menentang mereka. Oleh kerana itulah kita menghadapi mereka. Oleh itulah kita cuba berlawan dengan mereka.


Percayalah saudara-saudara sekelian,

Perjuangan kita adalah jihad, ucapan kita adalah jihad, derma kita adalah jihad. Bergantunglah kita kepada Allah dengan (menghadapi) puak-puak ini kerana kalau kita mati melawan puak-puak ini, mati kita adalah syahid. Mati kita adalah Islam. Kita tidak perlu masuk Buddha, Kita tidak perlu masuk Hindu, Kita tidak perlu masuk Kristian, Tapi kita menjadi kafir dengan mengatakan 'politik suku, agama suku'.

Komentar[sunting | sunting sumber]

Menjelang Pilihan raya umum Malaysia 1982, Ustaz Abdul Hadi Awang dilihat sebagai pemimpin pelapis parti PAS yang akan menerajui pucuk pimpinan PAS satu hari nanti[3]. Ucapan ini selaras dengan buku yang ditulis oleh Said Hawa, antaranya berjudul Jundullah Tsaqafatan wa Ahlaqan[4].

Pada tahun 1984, Majlis Fatwa Kebangsaan memutuskan amanat tersebut sebagai bertentangan dengan Islam[5]. Menurut fatwa pada 21 November 1984, jika terdapat tuduhan atau anggapan oleh anggota atau penyokong PAS atau sesiapa sahaja terhadap anggota UMNO, pemimpin atau pegawai kerajaan beragama Islam sebagai kafir, atau sebaliknya (UMNO menuduh PAS), ia adalah tidak benar dan sia-sia. Ini kerana anggota-anggota UMNO atau sesiapa yang mengucap dua kalimah syahadah adalah tetap orang Islam selagi tidak dihukum murtad oleh pihak berkuasa agama Islam negara ini. Fatwa itu turut menyatakan tuduhan mengatakan seseorang yang beragama Islam sebagai kafir adalah perbuatan haram yang perlu diberhentikan serta-merta dan hendaklah bertaubat kepada Allah SWT[6].

Kebimbangan amanat tersebut memecah belah masyarakat Islam timbul lagi pada tahun 2001 dan satu perjumpaan dibuat di antara Hadi dan Majlis Fatwa[7].

Selepas Pilihan raya umum 2008, PAS (yang diterajui oleh Hadi) dan DAP yang majoritinya masyarakat Cina dan bukan Islam; serta Parti Keadilan Rakyat bersama-sama mendirikan kerajaan di Perak dan Selangor setelah pakatan mereka berjaya menafikan majoriti mudah Barisan Nasional[8].

Polis Abdul Rahim mendakwa bahawa Amanat Haji Hadi ini merupakan salah satu punca umat Islam di Malaysia berpecah kerana ia telah menyemarak api kafir mengkafir.[9]. Menurut Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya, istilah kafir mengkafirkan umat Islam di Malaysia sepatutnya tidak berlaku kerana dalam Islam, istilah Kafir boleh dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kafir yang tidak layak diperangi kerana mereka melakukan perjanjian (kontrak sosial) dengan pemerintah (kafir Mu'ahadah, Zimmi, dan Musta'man) dan kafir yang layak diperangi kerana mereka mengkhianati perjanjian dan merosakkan Islam (Kafir Harbi).[10].

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Nota kaki[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Farah Shazwani Ali (6 Januari 2013). "Hadi: 'Saya tetap dengan pendirian saya'". Sinar Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 2013-04-13. Dicapai pada 3 Mac 2021.
  2. ^ https://web.archive.org/web/20011108222030/http://www.geocities.com/freedom_malaysia/amanathadi.html Amanat Haji Hadi
  3. ^ Beliau menjadi presiden PAS semenjak 14 September 2003 setelah kematian allahyarham Ustaz Fadzil Mohd Noor.
  4. ^ Dalam buku beliau, Syeikh Said Hawa menggariskan tugas jundullah atau tentera Allah iaitu:
    1. Membentuk keperibadian manusia secara islami
    2. Mendirikan negara Islam di setiap daerah
    3. Menyatukan umat Islam
    4. Menghidupkan kembali kekhalifahan
    5. Mendirikan negara Islam Internasional
  5. ^ Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, “I Am Ready for ‘Muzakarah’ with Fatwa Council – Hadi,” 25 April 2001.
  6. ^ BERNAMA (11 Januari 2013). "PAS Perlu Bertanggungjawab Isu Amanat Hadi - Jawatankuasa Fatwa". mStar. Dicapai pada 3 Mac 2021.
  7. ^ Pertubuhan Berita Nasional Malaysia, “Hadi Must Retract Immediately ‘Amanat,’ Says Abdullah,” 24 April 2001.
  8. ^ Utusan Malaysia, "Dilema bentuk kerajaan di Selangor, Perak", 10 Mac 2008
  9. ^ Utusan Malaysia Amanat yang membawa perpecahan Utusan Malaysia, Kuala Lumpur, 31 Disember 2012
  10. ^ AIDC News Fathul Bari : Tarik Balik Amanat Haji Hadi Tentang Kafir Mengkafir AIDC News, Kuala Lumpur, 29 Mei 2012