Angelina Jolie

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Angelina Jolie
Angelina Jolie by Gage Skidmore.jpg
Lahir
4 Jun 1975 (39 tahun)
Amerika SyarikatLos Angeles, California
Pekerjaan
Pelakon, model,
Duta UNHCR Goodwill Ambassador
Batu Loncatan Kerjaya
Hackers (1995)
Gia (1998)
Girl, Interrupted (1999)
Lara Croft: Tomb Raider (2001)
Mr. & Mrs. Smith (2005)

Angelina Jolie Voight (lahir 4 Jun 1975) merupakan pelakon wanita seksi dan juga sukarelawan UNHCR yang terkenal dari Amerika Syarikat. Beliau telah memenangi tiga anugerah Golden Globe dan sebuah Oscar sebagai "Pelakon Pembantu Wanita Terbaik" bagi lakonannya dalam filem "Girl, Interrupted". Pada Julai 2005, Jolie telah menjadi pelakon wanita ketiga menyertai kelab berprestij yang dipanggil "Kelab $20 Juta" ("$20 Million Club") apabila beliau meminta bayaran sebanyak AS$20 juta untuk filem "Mr and Mrs Smith". Ahli-ahli kelab ini termasuk pelakon wanita terkenal, iaitu Cameron Diaz dan Julia Roberts.


Sejarah awal[sunting | sunting sumber]

Dilahirkan di Los Angeles, California, bapanya ialah pelakon Jon Voight, pemenang anugerah Oscar, dan ibunya Marcheline Bertrand, seorang pelakon wanita yang kurang dikenali. Adiknya ialah James Haven seorang pelakon lelaki dan penerbit filem. Malangnya, perkahwinan ibubapanya tidak bertahan lama dan mereka bercerai sewaktu Angelina masih bayi lagi.

Bakat Jolie telah diasah sejak muda, iaitu pada usia lima tahun dimana beliau bersama bapanya telah berlakon dalam filem komedi "Looking to Get Out". Sewaktu berumur 11 tahun, beliau mula belajar berlakon di Institut Teater Lee Strasberg.

Walaupun begitu, pada usia 16 tahun minatnya beralih ke alam peragawati fesyen, di mana beliau berjaya menjadi model profesional di London, New York dan Los Angeles disamping berlakon dalam muzik video penyanyi-penyanyi popular seperti Meatloaf, Lenny Kravitz dan kumpulan terkenal "Rolling Stones".

Namun demikian, Jolie tetap meminati bidang lakonan. Beliau telah mengambil beberapa kelas lakonan di Universiti New York dan berlakon dalam beberapa teater pentas di bawah arahan adiknya. Ibunya juga kerap membawanya ke teater dan akhirnya, Jolie telah pulang ke Los Angeles dan menyertai kumpulan "Met Theatre Group".

Pembabitan sebagai pelakon[sunting | sunting sumber]

Jolie di Cologne (2004)

Walaupun Jolie berasal dari keluarga pelakon, perjalanannya sebagai selebriti filem terkenal tidaklah mudah. Filem lakonannya yang kedua pada tahun 1993 ialah sebagai pelakon pembantu dalam filem gred-B bertajuk "Cyborg II: Glass Shadow". Dua tahun kemudian, beliau berlakon dalam filem "Hackers". Dalam set penggambaran ini, Jolie bertemu dengan Johnny Lee Miller (pelakon dalam filem "Trainspotting") dan kemudiannya berkahwin dengan pelakon tersebut. Perkahwinan ini hanya bertahan selama 18 bulan.

Dua tahun selepas itu, Jolie berjaya meraih anugerah Golden Globenya yang pertama sebagai pelakon pembantu dalam filem televisyen "George Wallace". Oleh sebab lakonannya yang baik dalam filem ini, beliau juga telah dicalonkan untuk anugerah Emmy.

Bintang Jolie semakin cerah dan setahun kemudian, beliau sekali lagi meraih anugerah Golden Globe dalam filem televisyen kabel HBO "Gia' " bagi lakonannya yang mantap sebagai Gia Carangi, model dwijantina ketagihan dadah yang akhirnya mati disebabkan penyakit AIDS. Jolie berjaya menghayati watak Gia kerana persamaan mereka yang ketara.

Tahun 1999 merupakan tahun yang amat bermakna bagi Jolie kerana beliau berjaya meraih dua anugerah berprestij, iaitu Golden Globe and juga Oscar bagi filem "Girl,Intterupted".

Walaupun beliau berjaya meraih beberapa pingat ini, filem-filemnya gagal mencapai tahap box-office. Namun pada 2001, Jolie telah ditarik untuk memain watak permainan video yang hangat dipasaran iaitu Lara Croft. Seperti permainan ini yang laris dipasaran dunia, filem Lara Croft:Tomb Raider telah mendapat sambutan yang sangat baik. Selepas filem ini beliau mula dikenali sebagai simbol seks. Oleh itu pada 2005, apabila beliau digandingkan dengan pelakon lelaki kacak yang terkenal Brad Pitt dalam filem Mr & Mrs Smith filemnya sekali lagi meletup dan mencapai kutipan box-office.

Sumbangan kemanusiaan[sunting | sunting sumber]

Disamping berjaya di box-office, filem Lara Croft telah membuka mata Jolie tentang kemiskinan yang berlaku di Kemboja. Gadis yang dikelilingi dengan kemewahan itu sangat terharu dengan keadaan rakyatnya yang hidup serba kekurangan. Oleh yang demikian, beliau menoleh ke UNHCR untuk mendapat lebih banyak maklumat mengenai tempat-tempat bermasalah di dunia. Beberapa bulan kemudian, beliau bersetuju untuk melawat beberapa khemah pelarian diseluruh dunia.

Pada Februari 2001, Jolie telah membuat lawatan kemanusiaannya yang pertama ke Sierra Leone dan Tanzania. Beliau begitu terkejut dengan apa yang dilihatnya disana.[1] Selepas itu beliau berangkat pula ke Kemboja selama dua minggu, sambil menumpu perhatian dengan masalah periuk api disana [2]. Pada bulan Ogos beliau melawat khemah pelarian di Pakistan terutamanya yang menempatkan pelarian dari Afghanistan. Di Pakistan, Jolie telah menyahut rayuan kecemasan UNHCR dengan menyumbang ASD $1 juta untuk tabung pelarian Afghanistan [3].

Oleh sebab Jolie telah menunjukkan komitmen yang tinggi dalam hal kemanusiaan, UNHCR telah menamakannya Duta Goodwill Ambassador pada 27 Ogos, 2001 di ibupejabatnya di Geneva, Switzerland. Sewaktu sidang akhbar, Jolie menerangkan motifnya menyertai agensi pelarian ini: "Kami tidak boleh menutup mata kepada maklumat dan tidak menghiraukan hakikat bahawa berjuta rakyat disana sedang menderita. Saya dengan ikhlasnya hendak membantu. Saya tidak percaya perasaan saya berbeza daripada orang lain. Saya yakin kami semua mahukan keadilan dan kesaksamaan, suatu peluang untuk hidup yang bermakna. Kami semua ingin percaya sekiranya kami dilanda kesusahan, seorang manusia akan membantu kami."[4]

Kehidupan Peribadi[sunting | sunting sumber]

Fail:Angie baby009.jpg
Jolie di sebelah anak kandungnya yang pertama Shiloh Nouvel Jolie-Pitt

Jolie telah melalui dua perkahwinan iaitu dengan pelakon-pelakon Johnny Lee Miller pada 1995 dan Billie Bob Thornton pada tahun 2000. Beliau agak malang kerana tidak dianugerahkan cahaya mata.

Sewaktu masih berkahwin dengan Billie Bob Thornton, beliau telah mengambil keputusan untuk mengambil seorang anak angkat. Oleh itu pada 10 Mac 2002, beliau telah mengambil anak angkatnya yang pertama bernama Maddox yang dilahirkan di Kemboja. Maddox telah memberi harapan yang baru kepada beliau, namun ia telah menyebabkan perselisihan faham dengan bapanya. Bapanya terkilan kerana Jolie telah merahsiakan pengambilan anak angkatnya itu, seolah-olah ingin menjauhkan "anaknya" daripadanya. Pada Julai tahun yang sama, Jolie telah meminta untuk menggugurkan nama bapanya iaitu Voight secara sah.

Disamping itu, perhubungan dengan suaminya juga semakin renggang. Sewaktu sibuk melaksanakan tugas kemanusiaannya di merata dunia, Billie pula ingin menceburi semula bidang musik. Pada 27 Mei 2003, Jolie telah bercerai dengan suaminya yang kedua. Selepas bercerai, Jolie telah mengambil seorang anak angkat perempuan bernama Sahara daripada Habsyah.

Sewaktu pengfileman Mr & Mrs Smith, Jolie mula intim dengan pelakon gandingannya iaitu Brad Pitt. Brad Pitt yang pada ketika itu masih berkahwin dengan Jennifer Aniston begitu menyayanginya sehinggakan sanggup bercerai dengan isterinya. Terdapat khabar angin yang menyatakan beliau dan Brad Pitt telah berkahwin secara senyap pada November 2005 dalam satu majlis perkahwinan adat agama Buddha kerana Jolie adalah penganut Buddha yang kuat. Namun khabar ini telah dinafikan oleh Brad Pitt. Kemudian pada Januari 2006 cerita baru telah disebarkan iaitu Jolie sedang mengandung anak kelahirannya. Pada bulan Mac tahun yang sama beliau selamat melahirkan anaknya yang pertama, seorang bayi perempuan yang diberi nama Shiloh Nouvel Jolie-Pitt.

Filemografi (pilihan)[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Jolie dinamakan duta Goodwill Ambassador UNHCR untuk pelarian. UNHCR.org
  2. Temuramah dengan Angelina Jolie. UNHCR.org
  3. Jolie memberi respon kepada rayuan kecemasan UNHCR. UNHCR.org
  4. Jolie dinamakan duta Goodwill Ambassador UNHCR untuk pelarian. UNHCR.org