Ethernet

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Contoh rangkaian kawasan setempat menggunakan Ethernet

Ethernet adalah teknologi rangkaian komputer berasas kerangka untuk rangkaian kawasan setempat (LAN). Namanya adalah berasaskan konsep fizikal eter berkilau. Ia mentakrifkan pendawaian dan isyarat untuk lapisan fizikal, dan format kerangka dan protokol untuk kawalan capaian media (MAC)/lapisan pautan data untuk model OSI.

Keseluruhan Ethernet dipiawaikan sebagai IEEE 802.3. Bentuk topologi bintang dan pendawaian pasangan-terpintalnya telah menjadi teknologi LAN yang digunakan secara meluas dari 1990-an hinggalah sekarang, dan telah menggantikan kesemua piawai LAN yang lain seperti Ethernet kabel-sepaksi, Token Ring, FDDI dan ARCNET. Sejak kebelakangan ini, Wi-Fi, LAN wayarles yang dipiawaikan sebagai IEEE 802.11, telah mula menggantikan Ethernet di sesetengah tempat.

Keterangan am[sunting | sunting sumber]

Kad antara muka Ethernet 1990-an. Ia merupakan kad kombo yang boleh menerima penyambung BNC 10BASE2 kabel-sepaksi (kiri) dan penyambung RJ-45 10BASE-T pasangan-terpintal (kanan).

Ethernet pada mulanya berasaskan idea komputer boleh berhubung melalui perkongsian kabel sepaksi yang berfungsi sebagai medium penghantaran penyiaran. Cara ini mempunyai beberapa persamaan dengan sistem radio (walaupun ada beberapa perbezaan besar, contohnya adalah lebih senang untuk mengesan perlanggaran dalam sistem penyiaran kabel daripada penyiaran radio). Kabel saluran komunikasi yang dikongsi itu disamakan dengan eter dan dari situlah punca nama 'Ethernet' (jaring eter).

Konsep ini diperkenalkan Xerox pada akhir 1970 dan berasaskan piawaian Open System Interconnection (OSI). 10 tahun kemudian, Xerox, DEC dan Intel bekerjasama menghasilkan piawaian Ethernet dan kemudian diperbaiki pada 1985. Seterusnya Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE) mengubahsuai versi ini menjadi piawaian sekarang 802.3 CSMA/CD.

Dari konsep awal dan agak mudah ini Ethernet berkembang menjadi teknologi rangkaian kompleks yang kini memacu sebahagian besar rangkaian komputer setempat. Kabel sepaksi kemudiannya digantikan dengan hubungan titik-ke-titik yang disambungkan dengan hab dan/atau suis untuk menurunkan kos pemasangan, meningkatkan kebolehpercayaan, dan membolehkan pengurusan titik-ke-titik dan penyelesaian masalah. StarLAN merupakan langkah pertama dalam evolusi Ethernet daripada bas kabel sepaksi kepada rangkaian pasangan terpintal/terpiuh yang diuruskan hab. Penciptaan pendawaian pasangan-terpintal merupakan kunci kejayaan komersil Ethernet.

Di atas lapisan fizikal, stesen Ethernet berhubung antara satu sama lain dengan menghantar paket data (bingkisan), blok kecil data yang dihantar secara berasingan. Seperti LAN IEEE 802 lain, setiap stesen Ethernet mempunyai satu alamat MAC 48-bit, yang digunakan untuk menyatakan destinasi dan sumber setiap paket. Kat antara muka rangkain (NIC) atau cip biasanya tidak menerima paket yang dialamatkan ke stesen Ethernet lain. Penyesuai (adapter) biasanya telah diprogram alamat yang unik sejagat tetapi ia boleh diatasi sama ada untuk mengelakkan perubahan alamat apabila penyesuai diganti atau untuk menggunakan alamat setempat.

Pada awalnya, Ethernet berfungsi pada kelajuan 10 megabit sesaat. Kini, kelajuan yang biasa dijumpai ialah 100 Mb/s. Kelajuan 1 GB/s telah mula diuji dan telah terdapat rancangan untuk Ethernet 10 gigabit. Pangkalan atau stesen Ethernet boleh berhubung dengan jarak 500 m dan biasanya terdiri daripada komputer, pencetak, pelayan atau penghantar.

Meskipun telah berubah dari bas kabel sepaksi tebal selaju 10 Mbit/s kepada hubungan titik-ke-titik selaju 1 Gbit/s dan seterusnya, kelainan-kelainan itu kelihatan tidak begiru berbeza dari pandangan pengaturcara dan mudah disaling sambungkan menggunakan perkakasan sedia ada. Ini kerana format kerangkanya masih sama, walaupun tatacara capaian rangkaian amat berbeza.

Disebabkan Ethernet kekal ada, harga perkakasan yang semakin menurun dan ruang panel yang diperlukan Ethernet pasangan terpintal semakin kecil, kebanyakan pengilang kini memasukkan fungsi kad Ethernet terus kepada papan induk PC menyebabkan pemasangan kad rangkaian tidak lagi perlu.