Gas asli

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Gas asli ialah gas yang terbentuk dalam lapisan magma di dalam bumi. Gas ini terperangkap di dalam lapisan-lapisan bumi, biasanya bersama-sama petroleum. Komposisinya juga hampir sama, sebatian hidrokarbon terutamamnya gas Metana.

Gas Asli Cecair[sunting | sunting sumber]

Gas Asli Cecair atau LNG sebahagian besarnya mengandungi Metana dan lain-lain hidrokarbon seperti etana, propana dan butana.

Apabila metana disejukkan ke paras suhu -161'C ia bertukar dari bentuk gas menjadi cecair. Melalui proses ini gas asli yang telah bertukar dalam bentuk cecair dikurangkan menjadi 1/600 dari jumlah isipadu gas asli di dalam bentuk gas. Oleh itu , ia boleh dibawa dengan tangki-tangki khas dengan jumlah yang banyak ke tempat-tempat yang memerlukannya.

Apabila dicair dan disejukkan , gas asli cecair dapat disimpan pada kadar tekanan udara. Oleh itu , ia boleh dijadikan simpanan gas yang berguna dan boleh dikeluarkan apabila permintaaan barangan tersebut melebihi kadar biasa.

Pengeluaran[sunting | sunting sumber]

Gas asli terpaksa melalui berbagai proses sebelum gas asli cecair diperolehi.

Gas daripada pelantar luar pantai akan disalurkan melalui paip bawah laut ke Stesen Pengambilan Gas di mana jumlah gas akan diukur. Lembapan dan lain-lain bahan yang tidak dingini yang berada di dalam gas dikeluarkan.

Dari sini gas tersebut disalurkan kepada Unit Pengasingan Gas Asid di mana karbon dioksida dan hidrogen sulfida dalam gas tersebut dukeluarkan untuk mengelakkan dari berlaku pembekuan dan tersumbat di dalam Unit Pencairan.

Gas tersebut kemudian disalurkan ke Unit Pengeringan di mana wap dikeluarkan lagi.

Selepas itu gas tersebut akan dihantar ke Unit Pemecahan di mana ia akan dipecahkan kepada berbagai komponen. Lain-lain komponen seperti etana dan propana dikeluarkan untuk dijadikan bahan penyejuk , sementara benzene paraffin dikeluarkan untuk mengelakkan pembekuan dan tersumbat semasa proses pencairan.

Gas yang selebihnya dihantar ke Unit Pencairan di mana ia dicarikan dengan menyejukkan suhu ke paras -161'C dengan menggunakan alat penyejuk.

Penukaran kepada gas asli cecair[sunting | sunting sumber]

Proses penukaran gas asli kepada gas asli cecair ini bermula di stesen pengambilan gas yang sama . Proses ini melibatkan proses pengeluaran bahan-bahan yang tidak diperlukan dari gas isian loji, mengekalkan tekanan aliran gas ke loji dan mengukur pengambilan gas ke loji.

  1. Unit pengasing gas asid untuk mengeluarkan sebatian karbon dioksida dan sulfur dari gas yang akan dicairkan. Ini adalah perlu untuk menghalang pembekuan karbon dioksida di dalam bahagian pencecairan di samping mengelakkan kakisan peralatan dan pencemaran barangan.
  2. Unit pengeringan untuk mengeluarkan air dari dalam gas , dengan itu dapat mengelakkan masalah pembekuan di bahagian pencecairan.
  3. Unit pencecairan dan unit pemecahan.

apabila gas asli cecair tiba ditempatnya, ia dimasukkan ke dalam tangki simpanan yang ditebat. Sebelum ia dapat digunakan ia mestilah dipanaskan menjadi gas semula. Gas tersebut kemudian disalurkan melalui paip kepada pengguna. Gas asli yang digunakan di dalam kenderaan.

Kegunaan[sunting | sunting sumber]

Kegunaan utama gas asli ialah :

  1. Penghasilan tenaga elektrik di stesen janakuasa elektrik.
  2. Bahan bakar kenderaan (NGV)
  3. Gas memasak di dapur
  4. Alat pemanasan di rumah
  5. Penghasilan baja
  6. Industri petrokimia


Gas asli cecair biasanya digunakan di bandar-bandar tetapi kini disebarluas ke kawasan pedalaman . Tong gas dan dapur gas diberi secara percuma di kebanyakan kawasan di Sabah semasa pilihan raya.

Kebanyakan gas asli cecair yang dikeluarkan di dunia hari ini digunakan sebagai bahan api industri kerana ciri-cirinya yang bebas dari pencemaran dan nilai kalori yang tinggi.

Dibandingkan dengan petroleum, gas asli tidak menghasilkan banyak pencemaran. Namun faktor utama ia tidak digunakan lebih meluas ialah kesukaran penghantaran dan penyimpanan. Ini adalah kerana gas asli amat mudah terbakar/meletup.

Sejarah industri LNG[sunting | sunting sumber]

Loji gas asli cecair yang pertama telah dibina pada bulan Jauari 1940 oleh Hope Natural Gas Company di Amerika Syarikat . Loji tersebut berupaya mencecairkan sebanyak 300,000 kaki padu sehari dan menyimpan sebanyak lebih dari 1 juta kaki padu gas.

Hantaran pertama gas asli cecair di antara benua bermula tahun 1964 dengan perdagangan di antara Algeria dan England. Sejak bermulanya perdagangan gas asli cecair dunia tahun 1964, industri gas asli cecair telah berkembang dengan cepat sama ada dari segi jumlah projek yang dikendalikan mahupun dari segi saiz setiap projek.

Malaysia turut mempunyai loji proses gas asli di Bintulu yang bernama Malaysia LNG Sdn Bhd

Fenomena dunia[sunting | sunting sumber]

Gas Asli Cecair telah menjadi bertambah penting sebagai punca tenaga di tiga kawasan industri di dunia iaitu Amerika Syarikat, Eropah Barat dan Jepun. Peningkatan ini berkaitan dengan pencemaran udara, pemeliharaan alam sekitar dan bahantahan terhadap pembakaran gas dengan jumlah yang banyak dari operasi minyak mentah.

Pengguna utama[sunting | sunting sumber]

Jepun adalah merupakan penguna gas asli cecair yang utama di dunia dan mengimport lebih separuh gas asli cecair dunia. Ia merupakan sumber tenaga yang keempat pentingnya di Jepun dan dianggarkan akan menyumbang 9 % dari keperluan sumber tenaga negara tersebut pada tahun 1990.

Sehingga kini, Jepun merupakan negara yang paling maju dalam cara pengunaan gas asli cecair. kira-kira 75 % gas asli cecair digunakan untuk menjana elektrik sementara 23 % dibekalkan untuk kegunaan rumah tangga. Selebihnya digunakan untuk industri besi keluli, kimia dan tekstil.

Penghantaran[sunting | sunting sumber]

29 Januari 1983 kapal Tenaga Satu sebuah kapal tangki gas asli cecair yang disewa dari Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) telah berlayar ke Jepun dengan kargo gas asli cecair yang pertama sebanyak 57,000 tan metrik. Ia merupakan penghantaran kargo gas asli yang pertama dari 2000 penghantaran yang akan dihantar ke Tokyo Electric Power Company dalam kontrak 20 tahun yang akan berakhir pada 31 Mac 2003.

Bandar Yokohama di Jepun di mana MISC mempunyai pejabat gas asli cecair akan dijadikan pusat operasi utama. Semua kerja-kerja pembaikan dijangka akan dijalankan di limbungan kapal Honmoku di Yokohama.

Perbadanan Perkapalan Antarabangsa Malaysia (MISC) telah menempah 5 buah kapal dari Peranchis. Kapal tersebut dibina di limbungan kapal Chantiers de France Dunkerque di Peranchis.

Tempoh pelayaran untuk penghantaran ke Jepun termasuk pelayaran balik ke Bintulu ialah selama 14 hari. Kelajuan kapal ini ialah 19 knot sejam.

1982 , sejumlah 34 penghantaran telah dikendalikan. Jumlah ini bertambah menjadi 60 pada tahun 1984 dan 120 setahun mulai tahun 1986.

Pelanggan utama[sunting | sunting sumber]

Tokyo Electric Power Company dan Tokyo Gas Company yang mempunyai keupayaam penjanaan sebanyak 40,000 megawatt adalah merupokan syarikat penjana kuasa elektrik terbesar di dunia.

Pada 1983, sejumlah 1.7 juta tan metrik gas asli cecair dieksport ke Jepun. Apabila gas asli cecair tiba di Jepun, ia akan diterima di terminal Sodegaura dan di terminal baru Tokyo Power Company di Higashi Ogishima di Teluk Tokyo.

7 Februari 1983 kapal Tenaga Satu berlabuh di pengkalan Tokyo Gas di Sodegaura . Projek LNG ini dapat mengeratkan hubungan antara Malaysia dan Jepun.

Kadar[sunting | sunting sumber]

  • 1 tan gas asli cecair = 1.14 hingga 1.22 tan minyak mentah
  • 1 tan minyak mentah = 7.3 tong minyak mentah
  • 1 tong minyak mentah = 5,800 kaki padu gas asli
  • 1 juta kaki padu gas asli = 13.69 tan metrik gas asli cecair
  • 1 tan metrik gas asli cecair = 51.8 juta British Thermal Unit
  • 1 kaki padu gas asli = 1000 British Thermal Unit.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • Nada Petronas- Malaysia LNG , Februari 1983