Izz ad-Din al-Qassam

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Izz ad-Din al-Qassam
عز الدين القسام
180px
Kelahiran 19 November 1882
Jableh, Syria
Meninggal dunia 20 November 1935 (umur 53)
Palestin

Syeikh Izz ad-Din al-Qassam (19 November 1882 – 20 November 1935) (Bahasa Arab: عزّ الدين بن عبد القادر بن مصطفى بن يوسف بن محمد القسام‎, ‘Izz ad-Dīn al-Qassām, nama penuh: Izz al-Din ibn Abd al-Qadar ibn Mustapha ibn Yusuf ibn Muhammad al-Qassam) adalah seorang tokoh Arab dalam Mandat British Palestin. Beliau juga merupakan pemimpin penentangan terhadap organisasi-organisasi Zionis, British dan Perancis di Levant pada 1920-an dan 1930-an.

Kehidupan awal dan pendidikan[sunting | sunting sumber]

Al-Qassam dilahirkan di Jableh, Syria dan merupakan anak kepada Abdul Qadar, seorang pegawai mahkamah Syariah semasa pemerintahan Empayar Uthmaniyyah dan juga merupakan pemimpin Sufi Qadariyyah tempatan. Datuknya pula merupakan seorang syeikh berpengaruh yang berpindah dari Iraq ke Jableh. Al-Qassam mempelajari fiqh mazhab Hanafi dan berguru dengan seorang ulama terkenal bernama Syeikh Salim Tayarah di Masjid Istambuli.

Antara 1902 dan 1905, al-Qassam berhijrah ke Kaherah untuk belajar di Masjid al-Azhar. Tidak dapat dipastikan secara tepat dengan siapa beliau berguru, ada yang berpendapat beliau berguru dengan ulama salafi Syeikh Muhammad Abduh dan kemudian dengan Rashid Rida, yang mana beliau sendiri merupakan murid Abduh. Di al-Azhar, al-Qassam memperkembang pemikiran yang bakal mempengaruhi aktivitinya pada masa hadapan. Kritis terhadap pemahaman yang kaku tentang Islam, al-Qassam berdakwah dalam kalangan petani miskin dan penghuni kawasan setinggan tentang keperluan Islam moden, iaitu Islam yang mampu mempertahankan dirinya daripada kolonialisme Barat melalui jihad. Beliau kembali ke Jableh pada 1909 sebagai seorang alim dan mengajar di sebuah madrasah Qadariyyah di mana di mengajar Sufi dan fiqh serta ilmu Al-Quran. Di samping itu, beliau juga berdakwah sebagai imam di Masjid Ibrahim Ibn Adham.

Susulan kepulangannya ke Jableh, al-Qassam memantau sebuah program kebangkitan Islam berdasarkan pembentukan semula moral umat Islam termasuk menggalakkan menjaga solat lima waktu dan berpuasa pada bulan Ramadhan selain menganjurkan meninggalkan budaya berjudi dan minum arak. Kempen al-Qassam meninggalkan kesan yang sangat besar terhadap penduduk Jableh yang semakin lama mula menerima pembaharuan yang dibuatnya. Beliau juga menjalinkan hubungan mesra dengan pihak polis Uthmaniyyah. Kadangkala al-Qassam juga menghantar murid-muridnya untuk memintas karavan-karavan yang membawa arak yang kemudiannya akan dibuang. Walaupun kebanyakan tokoh Syria rakan-rakan alumni dari al-Azhar menyokong [[nasionalisme] Arab, kesetiaan al-Qassam cenderung lebih ke arah Empayar Uthmaniyyah seperti yang diperlihatkan oleh hubungannya yang baik dengan pihak berkuasa Uthmaniyyah. al-Qassam juga disanjung oleh penduduk Jableh di mana dia mendapat reputasi sebagai seseorang yang alim, sederhana dan pandai bergurau.

Sokongan terhadap penentangan Libya[sunting | sunting sumber]

Susulan penjajahan Itali ke atas Libya pada September 1911, al-Qassam mula mengumpul dana di Jableh untuk gerakan bersepadu Uthmaniyyah-Libya. Gabenor daerah Jableh cuba untuk menguasai kutipan dana itu namun setelah penduduk Jableh tetap memberikan sumbangan mereka kepada al-Qassam, dia cuba untuk memenjarakannya. Gabenor daerah itu mendakwa al-Qassam sedang menentang kerajaan Uthmaniyyah, namun siasatan rasmi mendapatinya tidak bersalah menyebabkan gabenor itu kemudiannya disingkirkan.

Pada Jun 1912, dalam salah satu khutbah Jumaatnya, dia menyeru sukarelawan untuk berjihad melawan penjajah Itali. al-Qassam hanya menerima sukarelawan yang telah menjalani latihan ketenteraan Uthmaniyyah dan berjaya mendaftarkan berdozen-dozen sukarelawan. Beliau menanggung ekspedisi ke Libya di samping wang sara diri kepada keluarga para sukarelawan sementara mereka berada di luar negara. Beliau ditemani antara 60 hingga 250 mujahidin setibanya di İskenderun pada akhir tahun itu. Permintaan al-Qassam untuk menggunakan pengangkutan Uthmaniyyah ditolak dan pihak berkuasa mengarahkan rombongannya pulang semula ke Jableh. Kerajaan baru Uthmaniyyah di Istanbul telah mendapat kuasa dan beralih fokus ke barisan hadapan Balkan pada bulan Oktober, meninggalkan penentangan Libya. Sebahagian dana yang dikumpul digunakan untuk mendirikan sebuah madrasah di Jableh sementara bakinya disimpan untuk masa hadapan.

Anti-pendudukan Perancis di Syria[sunting | sunting sumber]

al-Qassam kemudiannya mendaftar dalam tentera Uthmaniyyah apabila Perang Dunia Pertama meletus, di mana dia mendapat latihan tentera dan menjadi pegawai agama di sebuah markas berdekatan Damsyik. al-Qassam menggunakan dana yang dikumpulnya dalam rancangan ekspedisi ke Libya yang gagal untuk membentuk penentangan Perancis di Jableh setelah pulang sebelum perang tamat. Peranan utamanya dalam penentangan di Jableh adalah mendapatkan senjata bagi tentera Jableh. Menjelang 1919, tentera Perancis bergerak ke kawasan pesisiran pantai di utara Syria sementara Faisal I membentuk Kerajaan Syria di Damsyik sebagai sebuah negara Arab yang merdeka. Pada masa ini, tentera Jableh pimpinan al-Qassam melawan tentera Alawiyyah tempatan yang dibantu Perancis yang menguasai beberapa kawasan di sekitar bandar tersebut. Tentera Alawit akhirnya berjaya dihalau, namun tentera Perancis bergerak masuk tidak berapa lama kemudian untuk memperkukuh penguasaan mereka. Seterusnya, al-Qassam dan ramai anak muridnya berundur ke Gunung Sahyun di mana beliau membina sebuah markas berdekatan sebuah kampung di Zanqufeh untuk melancarkan serangan gerila melawan tentera Perancis.

Tentera al-Qassam semakin membesar apabila disertai sebuah pasukan tentera penentang lain yang bermakas di sekitar gunung itu selepas kematian komandernya Umar al-Bitar. Sementara Perancis menguatkan penguasaannya di kawasan itu, mereka berjaya menekan beberapa pemilik tanah terkemuka Jableh untuk menghentikan aliran bantuan kewangan kepada pasukan al-Qassam dan membayar cukai kepada kerajaan Mandat Perancis. Tindakan ini memberikan lebih tekanan kepada al-Qassam yang terpaksa berundur dari Sahyun ke Halab pada Mei 1920. Di sana, al-Qassam dan para pejuangnya bergabung dengan pasukan Ibrahim Hananu yang memimpin serangan-serangan ke atsa tentera Perancis sehingga Hananu ditangkap di Jisr ash-Shugur pada bulan Julai. Susulan kejayaan tentera Perancis tersebut dan penyerahan Halab kepada Perancis yang semakin hampir, al-Qassam dan pasukannya berundur ke Tartus dengan pasport palsu.

Kegiatan di Haifa[sunting | sunting sumber]

Dari Tartus, al-Qassam mengembara ke Beirut menggunakan bot dan seterusnya ke Haifa yang ketika itu di bawah Mandat British, di mana dia bersatu semula dengan isteri dan anak-anak perempuannya. Ketika itu beliau sudahpun dalam usia 40-an, dan memfokuskan kegiatannya pada golongan kelas bawahan. Beliau mengadakn kelas malam untuk pekerja buruh dan berdakwah kepada mereka sebagai imam di Masjid Istiqlal. Beliau juga mencari orang untuk didakwah dari jalanan sehinggalah ke dalam rumah-rumah pelacuran dan sarang penagih shisha. Beliau juga memimpin Jam'iyyat al-Shubban al-Muslimin (Pertubuhan Pemuda Islam) yang ditubuhkan di Mesir pada 1928. Kegiatan al-Qassam yang juga mempunyai hubungan dengan Part Istiqlal (Parti Kemerdekaan) di Palestin dibiayai oleh beberapa ahli perniagaan disebabkan oleh reputasinya.

Pada 1929 beliau dilantik menjadi qadi mahkamah Syariah Haifa. Jawatan itu membenarkannya melawat kampung-kampung di kawasan utara, di mana al-Qassam menggalakkan penduduknya membentuk koperasi petani. Beliau juga memanfaatkan lawatannya untuk menyampaikan khutbah agama dan politik di mana beliau menggalakkan menyusun penentangan untuk melawan British dan Yahudi. Beliau juga menggunakan fatwa yang dikeluarkan oleh Mufti Damsyik, Syeikh Badr ad-din al-Taji al-Hasani yang menyatakan bahawa perjuangan melawan British dan Yahudi adalah dibolehkan.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Pada 8 November 1935, mayat seorang konstabel British, Moshe Rosenfeld ditemui berdekatan Ain Harod. Al-Qassam dan para pengikutnya dipercayai telah bertanggungjawab dan pasukan pencari telah dikerahkan untuk menangkap mereka. Mereka meninggalkan Haifa dan pergi ke perbukitan antara Jenin dan Nablus. Pasukan pemburu British akhirnya mengepung al-Qassam di sebuah gua berdekatan Ya'bad di kampung Syeikh Zaid. Dalam tembak menembak yang berlarutan itu, al-Qassam dan tiga pengikutnya telah gugur syahid manakala lima lagi ditangkap. Kematiannya ketika berlawan dengan musuh menyebabkan al-Qassam menjadi legenda terhadap sebahagian besar penduduk Palestin pada masa itu:

Dalam keadaan terkepung dia mengarahkan para pengikutnya agar mati sebagai syuhada, lalu mula melepaskan tembakan. Penentangannya dan cara dia mati mengejutkan rakyat Palestin. Beribu-ribu orang bersusah-payah melepasi barisan polis di pengkebumian di Haifa,... pengkebumian itu merupakan perhimpunan politik terbesar yang pernah dibuat di Mandat Palestin.

Dua minggu kemudian David Ben-Gurion, pemimpin kesatuan pekerja Yahudi, Histadrut, memberi amaran kepada jawatankuasa politik Parti Buruh Israel (Mapai) bahawa "Sekarang pada kali pertamanya, masyarakat Arab telah melihat seseorang yang menyerahkan dirinya dalam perjuangan (menentang Yahudi) ini. Hali ini akan memberikan bangsa Arab kekuatan moral yang tidak dimiliki mereka (sebelum ini)."

Al-Qassam disemadikan di perkuburan Islam di Balad asy-Syeikh, kawasan sub-bandar Haifa.

Legasi[sunting | sunting sumber]

Walaupun penentangan al-Qassam gagal semasa hayatnya, kebanyakan pertubuhan militan mengambilnya contoh. Pengkebumiannya dihadiri beribu-ribu orang, yang bertukar menjadi demonstrasi perpaduan nasional secara besar-besaran. Beliau menjadi wira negara dan sumber inspirasi kepada golongan militan, yang mana dalam Revolusi Arab 1936-1939 menggunakan nama Qassamiyun (pengikut al-Qassam). Pusaranya pula menjadi tempat yang sering diziarahi.

Sayap ketenteraan Hamas, Briged Izz ad-Din al-Qassam dinamakan bersempena namanya. Roket Qassam pula dinamakan sempena briged tersebut.

Izz ad-Din al-Qassam Cyber Fighters

Susulan pembikinan filem Innocence of Muslims yang menghina Islam umumnya dan Nabi Muhammad s.a.w khususnya, sebuah kumpulan penggodam yang dikenali sebagai Izz ad-Din al-Qassam Cyber Fighters mula menjalankan operasi serangan siber terhadap institusi-institusi kewangan Amerika Syarikat.[1] Pada September dan Oktober 2012, kumpulan yang beroperasi seperti Anonymous ini telah melancarkan 'serangan penafian perkhidmatan' atau DDoS terhadap beberapa laman web perbankan.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]