Kazimierz Leski

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kazmierz Leski

Kazimierz Leski, nama samaran Bradl  (21 Jun 1912 - 27 Mei 2000), ialah jurutera, juruterbang pesawat pejuang, serta pegawai perisik dan perisik balas tentera Armia Krajowa Poland semasa tahun-tahun Perang Dunia II.

Sebagai pereka bersama untuk ORP Sęp dan ORP Orzeł, Leski diberikan penghargaan kerana membuat sekurang-kurangnya 25 buah perjalanan merentasi kawasan-kawasan Eropah yang diduduki oleh Jerman Nazi, biasanya dengan mengenakan pakaian seragam sebagai Mejar Jeneral kepada tentera Wehrmacht. Selepas peperangan, beliau dipenjarakan oleh pihak berkuasa komunis Repubik Rakyat Poland dan menghabiskan tujuh tahun di penjara maut. Bagaimanapun pada tahun 1956, beliau hanya diperlukan menjalani pemulihan. Selepas itu, Leski meneruskan kerjayanya sebagai seorang jurutera.


Biografi[sunting | sunting sumber]

Kelahiran dan kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Kazimierz Leski dilahirkan di Warsaw. Bapanya, Mejar Juliusz Leski ialah seorang jurutera serta salah seorang perintis industri senjata Poland [1] pada masa selepas Perang Poland-Bolshevik. Bagaimanapun, beliau kemudian tidak disukai lagi di Poland selepas Rampasan Kuasa Mei kerana mengekalkan kesetiaan kepada kerajaan. Disebabkan itu, Kazimierz terpaksa bekerja sebagai pekerja kereta api untuk membiayai pendidikannya di Kolej Wawelberg dan Rotwand, Warsaw. Beliau juga mendapatkan kerja yang mudah di faundri kilang senjata Pocisk. Supaya dapat mengkaji buku-buku profesional, beliau belajar bahasa Inggeris, Rusia, dan Jerman, suatu keupayaan yang terbukti bernilai kepada kehidupannya yang kemudian. Pada awal kehidupannya, beliau juga mempelajari bahasa Perancis.

Kerjaya sebagai jurutera[sunting | sunting sumber]

Sejurus selepas Leski memperoleh ijazahnya pada tahun 1936, beliau ditawarkan pekerjaan di biro reka bentuk Nederlandsche Vereenigde Scheepsbouw Bureaux (NVSB) di Hague. Syarikat itu merupakan biro reka bentuk yang terutama di Belanda, dan melayani semua limbungan kapal tentera yang utama di negara. Dengan bermula sebagai pelukis pelan, Leski belajar bahasa Belanda yang membenarkannya dinaikkan pangkat dengan cepat di biro tersebut. Kerjayanya dalam industri pembinaan kapal Belanda dipercepat dengan ketara apabila Belanda memenangi sebuah kontrak untuk membina dua buah kapal selam kelas Orzeł untuk Tentera Laut Poland. Beliau memulakan pengajian lanjutannya di Pusat Pengajian Samudera di Universiti Teknologi Delft dan menjadi salah seorang ketua Bahagian Kapal Selam NVSB yang bertanggungjawab untuk membandingkan projek dengan jentera yang dibekalkan. Selepas Leski mempatenkan suatu lekapan yang baru untuk corong tangki balast, beliau dinaikkan pangkat serta menjadi seorang pakar bebas. Tidak lama kemudian, Leski menjadi ketua pereka bentuk untuk kapal selam kelas Orzeł, bakal ORP Orzeł dan ORP Sęp, serta sebagai timbalan kepada pembina utama Niemeier.

Selepas kerja-kerja siri kapal disiapkan, Leski kembali ke Poland dan menyertai Tentera Poland. Pada masa ini, beliau juga memperoleh ijazah daripada pusat pengajian ketiganya, Pusat Pengajian Penerbangan NCO di Dęblin.

Permulaan Perang Dunia II[sunting | sunting sumber]

Dikerah sebelum pencetusan Perang Pertahanan Poland, Leski menyertai Tentera Udara Poland. Pesawat F Lublin R-XIII ditembak jatuh oleh Kesatuan Soviet pada 17 September 1939, dan mengakibatkan Leski mengalami cedera parah. Beliau ditangkap sebagai tawanan perang oleh askar-askar Soviet tidak lama kemudian, tetapi dapat melarikan diri dan tiba di Lwów. Di sana, Leski menyeberangi "sempadan keamanan" Soviet-Jerman yang baru dan pada Oktober tahun itu, beliau berpindah ke Warsaw dan menyertai sebuah pertubuhan bawah tanah yang bernama Muszkieterowie (Askar Senapang Lantak ). Pertubuhan itu yang kemudian bergabung dengan Tentera Negara (Armia Krajowa ) merupakan sebuah pertubuhan ketenteraan kader yang mengkhususkan dalam perisikan. Oleh itu, Leski yang masih menderita daripada cederanya dan tidak sesuai untuk perkhidmatan barisan hadapan dalam Unit-unit Hutan, menjadi salah seorang pegawai perisik yang utama dalam Askar Senapang Lantak, dan kemudiannya dalam Tentera Negara.

Antara pencapaiannya yang paling penting dalam peranan tersebut ialah penyediaan senarai yang lengkap tentang unit-unit ketenteraan Jerman, serta isyarat, bilangan, dan lokasinya. Beliau dan selnya juga menyediakan laporan-laporan yang terperinci tentang skim logistik dan pengangkutan unit-unit Jerman yang bertolak ke Barisan Hadapan Timur, keadaan-keadaan jambatan, landasan kereta api, serta jalan raya di Eropah yang ditaklukkan oleh tentera Jerman. Unit Leski juga mula mengembangkan rangkaian komunikasi yang terbentang merentasi Eropah yang diduduki Jerman, dari Poland sehingga ke Portugal, Perancis dan akhirnya ke Kerajaan Poland dalam Buangan di United Kingdom.

Penyamaran sebagai pegawai Jerman[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1941, Leski membuat perjalanannya yang pertama sebagai utusan khas ke Perancis. Dalam perjalanan pertamanya ini, beliau berpura-pura sebagai leftenan kepada tentera Wehrmacht. Bagaimanapun, beliau kemudian memutuskan untuk "menaikkan pangkat diri" menjadi Mejar Jeneral bagi semua perjalanannya yang lain supaya dapat membuat perjalanan dalam kelas pertama kerana cederanya yang menyebabkannya tidak berupaya membuat perjalanan dalam gerabak kereta api kelas ketiga yang penuh sesak. [2]

Sebagai Jeneral Julius von Halmann, beliau dapat menyeberangi Eropah banyak kali berturut-turut tanpa identitinya yang sebenar didedahkan. Penyamarannya, pertuturan berbilang bahasa yang fasih, serta dokumen-dokumen yang dipalsukan dengan teliti juga membolehkannya menyaksikan banyak peristiwa yang tidak dirancang. Antara peristiwa-peristwa itu ialah sebuah lawatan ke tapak pembinaan Tembok Atlantik pada tahun 1942 yang dibolehkan kerana beliau meyakinkan seorang penumpang di dalam gerabaknya bahawa orang-orang atasannya mungkin ingin membina satu siri kubu yang serupa di Ukraine. [3] Dalam lagi satu kejadian, beliau melawat kakitangan luar Marsyal Tentera Darat Gerd von Rundstedt. [3] Selain daripada perkhidmatan perisikan dan perisikan balasnya, Leski juga mengambil alih sebuah sel yang mengkhususkan dalam menyusupkan maklumat dan orang dari dan ke dalam penjara-penjara Jerman di kawasan-kawasan Poland yang diduduki, khususnya Pawiak yang termasyhur. [4].

Perkhidmatan kepada pemberontakan Warsaw[sunting | sunting sumber]

Selepas pencetusan Kebangkitan Warsaw pada tahun 1944, Leski tidak ditauliahkan. Bagaimanapun, bersama-sama sekumpulan sukarelawan, beliau membentuk Miłosz, sebuah batalion infantri, dan menjadi komander untuk kompeni yang pertama, Bradl. [5] Unitnya bertempur dengan cemerlang di kawasan Plac Trzech Krzyży yang terletak di Pusat Bandaraya Warsaw. Kerana keberaniannya, Leski dinaikkan pangkat secara rasmi sebagai Kapitan dan dianugerahi dengan banyak pingat, antaranya Virtuti Militari Perak, Pingkat Merit Emas dan Perak dengan Pedang, serta juga Pingat Kegagahan sebanyak tiga kali. Selepas penyerahan pemberontakan, beliau dapat melarikan diri dari sebaris tawanan, dan selepas berpura-pura sebagai orang awam, kembali ke bawah tanah. [6] Leski menjadi komander Kawasan Barat untuk Tentera Negara dan kemudiannya menjadi Delegatur Angkatan Tentera di Negara Asal.

Pemenjaraan di bawah komunisme[sunting | sunting sumber]

Kubur keluarga Leski yang terletak di Perkuburan Powązki, Warsaw

Bagaimanapun, selepas pengambilalihan Poland oleh pihak komunis, Leski beransur-ansur menghapuskan rangkaian bawah tanahnya dan berpindah ke Gdańsk. Sebagai seorang ahli Wolność i Niezawisłość, gerakan penentangan komunis, di bawah nama palsu Leon Juchniewicz, beliau kemudian menjadi pengarah urusan pertama Limbungan kapal Gdańsk yang dimusnahkan. Antara tugas-tugasnya ialah pembinaan semula limbungan kapal yang dimusnahkan oleh serangan-serangan udara Pihak Berikat serta tentera Jerman yang berundur. Pada Ogos 1945, beliau dianugerahi dengan anugerah awam tertinggi oleh rejim komunis, tetapi kemudian ditangkap pada hari yang sama oleh polis rahsia yang mendapat tahu akan identitinya yang sebenar.

Dituduh kerana mencuba meggulingkan rejim, Leski dihukum pemenjaraan selama 12 tahun. Hukuman itu kemudian disingkatkan menjadi enam tahun. Bagaimanapun pada tahun 1951, beliau tidak dibebaskan. Sebaliknya, beliau dituduh kerana bekerjasama dengan tentera pendudukan Jerman dan dikekalkan di penjara, diseksa, dan dimasukkan dalam kurungan seorang diri selama beberapa tahun.

Pemulihan[sunting | sunting sumber]

Akhirnya, selepas kematian Stalin pada tahun 1953 dan Bierut pada tahun 1956, Leski dibebaskan dan dipulihkan tidak lama kemudian. Walaupun begitu, beliau tidak dapat mencari pekerjaan kerana pihak berkuasa komunis Poland yang baru masih mengesyaki bekas askar-askar Tentera Negara. Pada mula-mulanya, Leski menjadi seorang kerani di syarikat penerbitan PWT dan terpaksa melepaskan kerjanya dalam industri pembinaan kapal. Akhirnya, beliau menjadi seorang ahli Akademi Sains Poland. Dianugerahi dengan ijazah kedoktoran, beliau dihalang atas alasan politik daripada mencapai pangkat profesor meskipun pencapaiannya dalam bidang bahasa sejadi analisis komputer. Walaupun begitu, beliau meneruskan kerjaya sainsnya dan menerbitkan 7 buah buku serta melebihi 150 buah karya yang lain. Leski juga mempatenkan sebilangan rekaan.

Tidak dikenali oleh orang ramai, Leski pada tahun 1989 — selepas kemenangan Kesatuan Sekerja Solidarity dan kejatuhan rejim komunis di Poland — menerbitkan kisah kenangannya yang menjadi buku laris dengan segera. Kerana buku tersebut, beliau menerima banyak hadiah, antaranya Hadiah Kelab PEN Poland serta Anugerah Persatuan Penulis Poland dalam Buangan. Leski meninggal dunia pada tahun 27 Mei 2000 dan dikebumikan dengan kehormatan tentera di Perkuburan Powązki, Warsaw.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Antara lain, Juliusz Leski menubuhkan sebuah kilang senjata Pocisk di Warsaw, dua buah kilang bahan letupan di Rembertów serta Boryszew, dan merupakan pendahulu kilang PZL di Okęcie.
  2. ^ (Polonès) Jerzy Stefan Stawiński (2006). "Stawiński nie do zobaczenia". Gazeta Wyborcza (2006-07-01). Dicapai pada 2006-10-20. Unknown parameter |month= ignored (bantuan)
  3. ^ a b (Polonès) ELEM (2000). "Kazimierz Leski". Gazeta Wyborcza (255). Dicapai pada 2006-10-20. Unknown parameter |month= ignored (bantuan)
  4. ^ (Polonès) Regina Domańska (1988). Pawiak - kaźń i heroizm (Pawiak: Pembunuhan kejam dan kepahlawanan). Warsaw: Książka i Wiedza. m/s. 138. ISBN 83-05-11813-4. Cite has empty unknown parameters: |chapterurl= dan |coauthors= (bantuan)
  5. ^ Dinamai nom-de-guerre Kazimierz Leski. Sebenarnya, pada sepanjang perang, Leskin menggunakan berdozen-dozen nama samaran serta nama palsu.
  6. ^ (Polonès) "Kazimierz Leski: honorowy obywatel Warszawy". Laman web rasmi bandar raya Warsaw. Bandaraya Warsaw. 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-01-21. Dicapai pada 2006-10-19.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • (Polonès) Życie niewłaściwie urozmaicone: wspomnienia oficera wywiadu i kontrwywiadu AK (Kehidupan Terpelbagai Yang Tidak Wajar : Kisah kenangan seorang pegawai perisik dan perisik balas Tentera Negara). Warsaw: Wydawnictwo Naukowe PWN. 1989. m/s. 600. ISBN 83-01-08351-4. Cite has empty unknown parameter: |coauthors= (bantuan)
  • (Polonès) Cpt. Stanisław Wielebski (2003). "Kazimierz Leski". ORP Orzeł. Dicapai pada 2006-10-19.
  • (Polonès) "Kazimierz Leski". Gazeta Wyborcza (04/07/2001): 11. 2001. Dicapai pada 2006-10-20. Unknown parameter |month= ignored (bantuan)