Kongres Majlis Agama Islam Negeri Seluruh Malaysia

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Kongres Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) Seluruh Malaysia diadakan pada 26 dan 27 September 2011 di PWTC, Kuala Lumpur. Kongres ini diadakan bagi meningkatkan martabat umat Islam dan mengelakkan penyelewengan.

Antara tetamu diraja yang hadir ialah Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin, Sultan Kedah Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah dan diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama Islam) Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir Baharom. Turut serta ialah Raja Muda Perak Raja Nazrin Shah ibni Sultan Azlan Muhibbuddin Shah, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Perdana Menteri Dato' Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak, Timbalan Pengerusi Kongres, Tan Sri Dr. Mohd Yusof Noor dan Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Othman Mustapha juga hadir. Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir bagi menutup majlis.

Kongres ini menghimpunkan lebih 2,000 tokoh agama termasuk ahli MAIN, ahli muzakarah fatwa, mufti, Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN), tokoh akademik dan pakar ekonomi.

Kedatangan agama Islam ke Nusantara membawa perubahan yang besar. Nama orang Melayu seperti Mawar, Cempaka, Bulat, Buyong ditukar kepada nama Nabi, sahabat dan ulama tersohor seperti Muhammad, Abu Bakar, Khadijah dan Aishah.

Kertas kerja[sunting | sunting sumber]

Antara kertas kerja yang dibentangkan ialah :

  • Majlis Agama Islam Negeri Pemacu Pendidikan Ummah
  • Peranan Majlis Agama Islam Negeri dalam Membangun Sosio Ekonomi Ummah
  • Peranan Majlis Agama Islam Negeri Memperkasa Undang-Undang Syariah

Antara Ahli panel ialah :

  1. Prof. Datuk Mohd Yusof Othman - Pengarah Institut Islam Hadhari, Universiti Kebangsaan Malaysia, (UKM)
  2. Prof. Tan Sri Dr. Kamal Hassan - Profesor Ulung Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM)
  3. Prof. Datuk Dr. Ismail Ibrahim - Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim,
  4. Datuk Nik Mustapha Nik Hassan - Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia
  5. Tan Sri Muhammad Ali Hashim - Timbalan Presiden Dewan Perdagangan Islam Malaysia
  6. Datuk Mustafa Abdul Rahman - Pengerusi Pusat Pungutan Zakat (PPZ), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).
  7. Tan Sri Syeikh Ghazali Abdul Rahman - Pengerusi Penasihat Perundangan Syariah Bahagian Penasihat Seksyen Syariah, Jabatan Peguam Negara (AGC),
  8. Prof. Madya Dr. Najibah Mohd Zain - Pensyarah UIAM
  9. Mahamad Naser Disa - Timbalan Ketua Penasihat Bahagian Penasihat Syariah (JPN) [1]

Resolusi[sunting | sunting sumber]

Sebanyak 20 resolusi hasil pembentangan kertas kerja dibacakan oleh Datuk Othman Mustapha:

  1. MAIN perlu menubuhkan sekolah Majlis bermula dari peringkat rendah sehingga peringkat menengah tinggi dengan mengguna konsep pendidikan yang syumul.
  2. Penubuhan Institusi Wakaf Korporat oleh negeri-negeri dan pusat. Satu pasukan untuk meneliti dan menyediakan modul hendaklah ditubuhkan di peringkat negeri dan pusat.
  3. Menaik taraf Mahkamah Syariah setanding Mahkamah Sivil.
  4. Menaik taraf Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil kepada Suruhanjaya Penyelarasan dan Penyeragaman Undang-Undang Syariah yang bertanggung jawab untuk menggubal, menyelaras, dan menyeragamkan Undang-Undang negeri-negeri.
  5. Penubuhan Yayasan Kebajikan Keluarga Islam
  6. Penubuhan Pusat Perundingan Keluarga dengan bimbingan pakar-pakar kaunseling dan kemasyarakatan bertujuan mengurangkan krisis rumahtangga.

[2]

PERTAMA Kedaulatan Raja-Raja Melayu yang mempunyai kuasa prerogatif terhadap agama Islam hendaklah terus terjamin dan terpelihara. Adalah digesa supaya dasar-dasar negara dan pelaksanaannya disemak dan diperhalusi agar tidak bercanggah dengan semangat Perlembagaan dan tidak bertentangan dengan wasiat Raja-Raja Melayu.  

KEDUA Majlis Agama Islam Negeri hendaklah dirangka sebagai satu Dewan Pentadbiran Islam di bawah naungan, pengawasan dan pemantauan Raja-Raja Melayu, bertanggung jawab terhadap perkara berkaitan Islam. Majlis Agama Islam Negeri hendaklah berperanan sebagai jambatan penghubung di antara umat Islam dengan Raja, di antara umat Islam dengan Kerajaan pilihan rakyatdan di antara umat Islam dengan warga yang tidak beragama Islam.  

KETIGA Mengusulkan supaya Majlis Agama Islam Negeri melantik keanggotaan yang lebih representatif dengan bilangan yang mencukupi dari kalangan individu yang memiliki pelbagai kepakaran untuk menjadi tenaga penggerak profesional bagi mencetuskan inovasi serta melaksanakan aktiviti-aktiviti dalam bidang ekonomi, perniagaan, perdagangan dan pendidikan.

KEEMPAT Mengemaskinikan Enakmen/Akta Majlis Agama Islam Negeri supaya mempunyai bidang kuasa yang membolehkan Majlis Agama Islam Negeri berfungsi secara lebih berkesan, memiliki autonomi dan akauntabiliti kepada ALLAH SWT dan Raja-Raja Melayu.  

KELIMA Memastikan Majlis Agama Islam Negeri bebas dan bersih dari sebarang pengaruh, campur tangan dan penglibatan politik kepartian serta memastikan keanggotaan Majlis Agama Islam Negeri tidak disertai oleh individu yang aktif dalam parti politik melainkan yang diperkenankan oleh Raja Pemerintah dilantik atas jawatan bagi mewakili Pihak Berkuasa Agama Negeri atau sesuatu institusi yang penting kepada Majlis Agama Islam Negeri.  

KEENAM Memperkukuhkan struktur pentadbiran Majlis Agama Islam Negeri secara kolektif bagi melaksanakan transformasi pengurusan Islam yang profesional dan inovatif serta pendekatan yang lebih strategik dan holistik sesuai dengan pembangunan masa depan negara.  

KETUJUH Majlis Agama Islam Negeri hendaklah menerokai kaedah dan pendekatan yang dapat memperkukuhkan kedudukan kewangan Majlis Agama Islam Negeri secara lestari.  

KELAPAN Majlis Agama Islam Negeri perlu menjadi pemegang amanah kepada institusi pendidikan, tabung kewangan dan hartanah yang strategik untuk umat Islam.  

KESEMBILAN Menerokai usaha membangunkan modal insan dan modal sosial di kalangan ummah agar tidak tercicir dan ketinggalan dengan menyuntik perisian dan komponen latihan yang lebih relevan dengan keperluan guna tenaga semasa dalam institusi-institusi pendidikan agama di semua peringkat terutama di luar bandar.  

KESEPULUH Mengenal pasti, memantau, membantu dan memperlengkap usaha-usaha Negara untuk membangunkan taraf ekonomi, taraf pendidikan dan taraf sosioekonomi ummah.

KESEBELAS Jabatan Agama Islam Negeri hendaklah memahami secara jelas akan maksud dan keperluan penubuhannya. Ia ditubuhkan untuk berfungsi kepada Majlis Agama Islam Negeri dan akauntabiliti Jabatan Agama Islam Negeri adalah berbeza dengan jabatan-jabatan Kerajaan yang lain. Bahawa dari segi rohnya, penubuhan Jabatan Agama Islam Negeri adalah untuk melaksanakan dasar-dasar dan perkara-perkara yang diputuskan oleh Majlis Agama Islam Negeri. Tanggung jawab Jabatan Agama Islam adalah kepada Majlis Agama Islam Negeri dan kepada Raja-Raja Melayu.  

KEDUA BELAS Memaksimumkan kegunaan infrastruktur agama Islam yang sedia ada seperti masjid dan surau, dipelbagaikan aktiviti dan dibangunkan sebagai pusat pembangunan kecemerlangan ummah.  

BIDANG EKONOMI  

KETIGA BELAS Kongres bersetuju dilaksanakan cadangan penubuhan Institusi Waqaf Korporat oleh negeri-negeri dan pusat. Satu pasukan untuk meneliti dan menyediakan modul hendaklah ditubuhkan di peringkat negeri dan pusat.

BIDANG PENDIDIKAN  

KEEMPAT BELAS Peranan Lembaga Penyelarasan dan Pembangunan Pendidikan Agama Islam (LEPAI) diperkasa dan dimartabatkan untuk menjadi sebuah Lembaga atau Yayasan bagi menjalankan peranannya secara berkesan dan bekerjasama dengan agensi-agensi Kerajaan yang bertanggungjawab dalam bidang pendidikan  

KELIMA BELAS Majlis Agama Islam Negeri perlu menubuhkan sekolah Majlis bermula dari peringkat rendah sehingga peringkat menengah tinggi dengan mengguna konsep pendidikan yang syumul.  

BIDANG UNDANG-UNDANG  

KEENAM BELAS Memartabat dan memperkasakan sistem perundangan Islam yang meliputi bidang kehakiman, penguatkuasaan dan pendakwaan, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan pelaksanaan dasar transformasi kerajaan.  

KETUJUH BELAS Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ialah Ketua Agama Islam bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak. Oleh itu, dicadangkan satu bentuk sistem pengurusan Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri yang seragam diwujudkan bagi negeri-negeri berkenaan.  

KELAPAN BELAS Menyokong cadangan untuk menaik taraf Mahkamah Syariah setanding dengan Mahkamah Sivil dan menaik taraf Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak dan Sivil kepada Suruhanjaya Penyelarasan dan Penyeragaman Undang-Undang Syariah yang bertanggung jawab untuk menggubal, menyelaras, dan menyeragamkan Undang-Undang negeri-negeri.

KESEMBILAN BELAS Bersetuju dengan cadangan penubuhan Suruhanjaya Kedaulatan Agama Negara (SKAN) dan menyegerakan penubuhan Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM).  

KEDUA PULUH Mempertimbangkan cadangan supaya sebuah Yayasan Kebajikan Keluarga Islam serta penubuhan Pusat Perundingan Keluarga dengan bimbingan pakar-pakar dalam bidang kaunseling dan kemasyarakatan bertujuan untuk mengurangkan krisis rumahtangga.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "Perluas skop, fungsi MAIN". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-11-28. Dicapai pada 2011-10-15.
  2. ^ "Terus martabat agama Islam". Diarkibkan daripada yang asal pada 2011-10-15. Dicapai pada 2011-10-15.