Muktamar PAS 2014

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Muktamar PAS 2014 diadakan pada 16-20 September 2014 . Muktamar kali ini menyaksikan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengucapkan tahniah kepada Hamas yang menang bertempur dengan tentera Israel di bumi Gaza selama 50 hari.[1]

Menurut Khairul Faizi selaku Penolong Timbalan Setiausaha Agung 2 PAS, muktamar kali ini akan memperlihatkan konsep PAS Untuk Semua atau PAS For All. Dari segi persembahan dan penampilan supaya PAS dilihat mewakili semua kaum dan agama.

Lokasi muktamar[sunting | sunting sumber]

Muktamar kali ke-60 ini dijadualkan akan diadakan di Sutera Mall Square, Johor Bahru tetapi terpaksa ditukar pada saat akhir. Muktamar bagi Dewan Pemuda PAS akan diadakan di Dewan Chun Moi, Kota Tinggi, manakala Dewan Muslimat di Pulai Spring Resort, Johor Bahru dan Dewan Ulama akan berlangsung di Kulai, Johor. Muktamar penuh akan diadakan di Parit Raja, Batu Pahat dalam kawasan Parlimen Sri Gading berhampiran Universiti Tun Hussein Onn.

Pihak Sutera Mall menamatkan sewa parti PAS itu kerana gagal membayar baki bayaran sebanyak RM50,000, di bawah surat tawaran mengikut tarikh akhir yang ditetapkan sebelum 15 Ogos 2014.[2] Tanah milik ahli PAS seluas 6 ekar di Parit Haji Salleh Ros, Parit Raja, Batu Pahat menjadi tempat muktamar itu. Mereka giat memasang khemah dan meratakan tanah serta gerai untuk jualan.[3]

Mengapa Johor[sunting | sunting sumber]

PAS Negeri Johor kini di bawah pimpinan Pesuruhjaya, Aminolhuda Hassan. Johor secara tradisi merupakan kubu kuat BN/UMNO. Pada pilihan raya 2013,PAS memenangi empat buah kerusi Dun - DAP 13, PKR 1 dan PAS 4. Kerusi yang dimenangi PAS ialah Maharani (Muhd Taslim), Sungai Abong (Sheikh Ibrahim Saleh), Puteri Wangsa (Ustaz Abdullah Husein) dan Parit Yaani (Aminolhuda Hassan). Pesuruhjaya PAS Johor pernah disandang oleh Haji Yusof Hakim, Haji Hasan Hussein, Ustaz Umar Jani, Dr Sanusi Daeng Mariok, Datuk Dr Mahfodz Muhamad dan terkini Aminolhuda Hassan.

Agenda muktamar[sunting | sunting sumber]

Antara isu yang mungkin dibangkitkan ialah prestasi PAS dalam senario politik di Malaysia khususnya kemelut politik di Selangor. Dalam Pilihan raya umum Malaysia 2013, kerajaan PAS di Kedah jatuh kepada Barisan Nasional /UMNO. Sebelum itu, kerajaan Pakatan Rakyat / PAS di Perak turut jatuh kepada BN/UMNO. Kali ini tidak ada pemilihan pucuk pimpinan PAS.[4]

Pilihan raya kecil Pengkalan Kubur 2014 bakal diadakan pada 25 September 2014. Pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail; Wan Rosdi Wan Ibrahim (PAS) dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary. Seramai 1,700 pengundi yang berada di luar kawasan Pengkalan Kubor hendaklah pulang mengundi . Hari mengundi diadakan pada hari Khamis dan berdekatan dengan tarikh hari raya Aidiladha.

Tahaluf siyasi[sunting | sunting sumber]

'Tahaluf siyasi' merujuk kepada kerjasama antara PAS, PKR dan DAP dalam kerajaan PR di Selangor. Jawatan Menteri Besar Selangor telah dipersetujui diserahkan kepada PKR walaupun nampaknya PAS juga kuat di Selangor. PAS ada 15 kerusi, PKR ada 13 dan DAP 15, mengikut Perlembagaan Selangor, menteri besar mesti Melayu Islam, PAS tidak mahukan jawatan itu.

Golongan ' pro ulama' mahu PAS ambil alih jawatan MB Selangor untuk mencapai cita-cita Islam. Abdul Hadi Awang menyelar tindakan dua Adunnya di Selangor, Saari Sungib (Hulu Kelang) dan Hasnul Baharudin (Morib) yang menandatangani SD itu sebagai broker atau barua yang mendahului keputusan Pas. Ini tidak menepati etika tahaluf. [5]

Golongan profesional mahu jawatan MB Selangor diserahkan kepada PKR iaitu Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail. Sebilangan anggota perwakilan Pemuda Pas meninggalkan dewan sejurus Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu memulakan ucapan perasmiannya. Mereka memakai vest yang bertulis 'Kami bersama Presiden dan Majlis Syura'. Mat Sabu menafikan beliau tidak 'wala' / setia dengan Presiden PAS.[6]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "'Kita rayakan kemenangan Hamas pada muktamar'". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-09-07. Dicapai pada 2014-09-07.
  2. ^ Muktamar PAS Di Lokasi Berasingan
  3. ^ "Muktamar PAS ke-60 berlangsung di Batu Pahat". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-09-07. Dicapai pada 2014-09-07.
  4. ^ "Keistimewaan Muktamar PAS ke-60 di Johor Bahru". Diarkibkan daripada yang asal pada 2014-09-07. Dicapai pada 2014-09-07.
  5. ^ Muktamar medan tunjuk belang sebenar Pas
  6. ^ Isu keluar dewan: '...itu bukan protes'