Pengepungan Baitulmuqaddis (637 M)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pengepungan Baitulmuqaddis (637 M)
Sebahagian daripada Penaklukan Levant oleh Muslim
(Perang Arab-Byzantine)
Imej Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis.
Masjid Al-Aqsa, Baitulmuqaddis ialah satu daripada tempat suci bagi umat Islam.
Tarikh November 636 – April 637 M
Lokasi Baitulmuqaddis
Hasil Kemenangan al-Rasyidin
Perubahan Wilayah
Baitulmuqaddis ditawan Kekhalifahan al-Rasyidin
Yang berperang
Flag of Afghanistan (1880–1901).svg Kekhalifahan al-Rasyidin Byzantine imperial flag, 14th century.svg Empayar Byzantine
Komander dan pemimpin
Abu Ubaidah bin al-Jarrah
Khalid bin al-Walid
Yazid bin Abu Sufyan
Amr bin al-A'as
Syurahbil bin Hasanah
Patriarch Sophronius
Kekuatan
~20,000[1] Tidak diketahui

Pengepungan Baitulmuqaddis merupakan sebahagian daripada persengketaan antara Empayar Byzantine (juga dikenali sebagai Rum) dan Kekhalifahan al-Rasyidin yang berlangsung pada tahun 637 M. Ia bermula apabila tentera al-Rasyidin, di bawah perintah Abu Ubaidah bin al-Jarrah, mengepung Baitulmuqaddis (Jerusalem) pada bulan November 636. Selepas enam bulan, Patriarch (bapa) Sophronius bersetuju untuk menyerah kalah dengan syarat beliau hanya akan menyerah diri kepada khalifah al-Rasyidin. Pada bulan April 637, Khalifah Umar bin al-Khattab sendiri pergi ke Baitulmuqaddis untuk menerima penyerahan kalah kota tersebut.

Penaklukan kota Baitulmuqaddis oleh Muslim mengukuhkan penguasaan Arab terhadap Palestin; penguasaan yang tidak dicabar sehinggalah Perang Salib Pertama pada lewat abad ke-11 M. Baitulmuqaddis merupakan tanah suci bagi penganut-penganut agama Islam, Kristian dan Judaisme dan penklukan ini menstabilkan Palestina Prima, satu wilayah Empayar Byzantine di Palestin. Pemberontakan Yahudi menentang maharaja Heraclius yang bermula pada tahaun 613 berakhir dengan penaklukan Baitulmuqaddis oleh angkatan tentera Parsi Empayar Sasan bersama-sama tentera Yahudi dan penubuhan daerah autonomi Yahudi. Pemberontakan dan kuasa autonomi selama 15 tahun itu berakhir apabila pihak Parsi meninggalkan Palestina dan berlakunya pembunuhan orang Yahudi beramai-ramai oleh Yunani Byzantine pada tahun 629.

Berikutan penaklukan Baitulmuqaddis oleh Muslim, orang Yahudi dibenarkan tinggal semula di kota itu dan mengamalkan agama mereka dengan lebih kebebasan, lapan tahun selepas mereka disembelih oleh orang Byzantine, dan hampir 500 tahun selepas mereka diusir dari Judea oleh Empayar Rom.[2]

Permulaan[sunting | sunting sumber]

Baitulmuqaddis merupakan kota penting di wilayah Byzantine yang dikenali sebagai Palestina Prima. Pada tahun 614 M, hanya 23 tahun sebelum penaklukannya oleh tentera Islam, kota ini jatuh ke tangan tentera Empayar Sasan di bawah pemerintahan Shahrbaraz. Orang Parsi menjarah kota itu dan dikatakan telah menyembelih 90,000 orang penduduk Kristiannya.[3] Gereja Makam Jesus Christ (Church of the Holy Sepulchre) musnah dan True Cross (Salib Sebenar) dirampas dan dibawa ke Ctesiphon sebagai relik rampasan perang. Salib kemudiannya dipulangkan ke Baitulmuqaddis oleh Maharaja Heraclius selepas kemenangan muktamadnya terhadap orang Parsi pada tahun 628. Dipercayai bahawa orang Yahudi, yang ditindas oleh Byzantine, membantu orang Parsi.[4]

Selepas kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. pada tahun 632, kepimpinan orang Islan turun kepada Sayidina Abu Bakar al-Siddiq. Khalifah Abu Bakar memulakan penaklukan wilayah pada arah timur Semenanjung Arab, mula-mula dengan serangan terhadap Iraq, yang pada itu merupakan wilayah Empayar Sasan Parsi. Sementara di barisan barat pula, tentera al-Rasyidin menyerang Empayar Byzantine.[5]

Khalifah Abu Bakar meninggal pada tahun 634 dan baginda digantikan oleh Khalifah Umar yang meneruskan penaklukan.[6] Pada bulan Mei 636, Maharaja Heraclius melancarkan ekspedisi besar bagi menawan semula wilayah yang telah hilang akan tetapi tenteranya mengalami kekalahan muktamad dalam Pertempuran Yarmuk pada bulan Ogos tahun yang sama. Pada awal bulan Oktober 636, Abu Ubaidah, panglima tertinggi tentera al-Rasyidin di Syria (Syam), mengadakan perbincangan tentang perancangan masa depan. Pendapat tentang objektif-objektif kempen berbeza—antara Caesarea, sebuah kota pesisiran, dengan Baitulmuqaddis. . Abu Ubaidah nampak yang kedua-dua kota ini, yang bertahan dan menentang penaklukan Muslim, penting. Beliau tidak dapat membuat keputusan dan menulis surat kepada Khalifah Umar untuk mendapatkan arahan lanjut. Dalam jawapannya baginda memerintahkan agar tentera al-Rasyidin menawan Baitulmuqaddis. Bersesuaian dengan perintah Khalifah Umar, Abu Ubaidah bergerak menuju ke Baitulmuqaddis dari Jabiya, dengan didahului Khalid bin al-Walid bersama-sama pasukan mudah geraknya. Tentera Muslim tiba di Baitulmuqaddis pada awal November 636, dan pasukan pertahanan Byzantine pun berundur ke dalam kota yang diperkukuh.[1]

Pengepungan[sunting | sunting sumber]

Baitulmuqaddis diperkukuh selepas kota itu dirampas semula Heraclius daripada orang Parsi.[7] Patriarch Baitulmuqaddis, Sophronius memperbaiki binaan pertahannya selepas kekalahan Byzantine di Yarmuk.[8] Setakat waktu itu tidak ada percubaan oleh pihak orang Islam untuk mengepung kota itu. Namun demikian, angkatan Islam memiliki potensi untuk mengancam semua jalan masuk ke kota itu semenjak tahun 634, dan mahupun ia tidak dikelilingi, kota Baitulmuqaddis berada dalam keadaan kepungan semenjak kota-kota yang berjiranan dengannya, Pella dan Bosra ditawan Muslim. Selepas Pertempuran Yarmuk, kota itu terputus hubungan dengan wilayah-wilayah Syria yang lain dan kelihatan bersedia untuk menghadapi pengepungan yang sudah tentu akan dilaksanakan Muslim.[7] Apabila tentera al-Rasyidin sampai sahaja di bandar Jericho, Sophronius mula mengumpulkan segala macam relik termasuk True Cross, dan secara rahsia menghantar relik-relik tersebut ke kawasan pantai untuk seterusnya dihantar ke Constantinople.[8] Tentera Muslim mengepung kota Baitulmuqaddis pada bulan November 636. Pihak Muslim memutuskan untuk mengenakan pengepungan sehingga orang Byzantine kekurangan bekalan agar kota itu menyerah kalah tanpa tumpahan darah dan tidak melakukan serangan a[›] terhadap baitulmuqaddis.[9]

Walaupun perincian pengepungan tidak dicatatkan, b[›] kelihatan bahawa ia tidak melibatkan tumpahan darah.[10] Garison Byzantine tidak mengharapkan bantuan daripada kerajaan Heraclius yang baharu dikalahkan tentera Islam. Selepas pengepungan selama empat bulan, Sophronius menawar untuk menyerahkan kota dan membayar jizyah, dengan syarat khalifah datang ke Baitulmuqaddis untuk menandatangan perjanjian dan menerima penyerahan diri orang Byzantine.[11] Dikatakan bahawa apabila syarat-syarat Sophronius diketahui orang Islam, seorang daripada panglima Muslim, Syurahbil bin Hassana, mencadangkan supaya daripada menunggu khalifah datang dari Madinah, Khalid bin al-Walid seharusnya dihantar sebagai khalifah memandangkan rupa beliau mirip rupa Khalifah Umar.[12] Helah ini gagal; berkemungkinan Khalid terlalu masyhur di Syria ataupun ada penduduk Kristian Arab yang pernah pergi ke Madinah dan pernah melihat kedua-dua Khalid dan Khalifah Umar, dan masih ingat akan perbezaan antara mereka. Berikutan peristiwa ini, Patriarch Baitulmuqaddis enggan berunding dan apabila Khalid pulang dan melaporkan kegagalan misinya, Abu Ubaidah mengutus surat kepada Khalifah Umar tentang keadaan di Baitulmuqaddis dan mempelawa baginda datang ke Baitulmuqaddis untuk menerima penyerahan kalah kota.[13]

Penyerahan kalah[sunting | sunting sumber]

Gereja Makam Jesus Christ, di mana Sophronius menjemput Khalifah Umar bin al-Khattab untuk menunaikan solat.
Bangunan Gereja Makam Jesus Christ, di mana Sophronius menjemput Khalifah Umar al-Khattab untuk menunaikan Solat.

Khalifah Umar tiba di Palestin pada awal April 637 dan beliau mula-mula pergi ke Jabiya,[14] di mana Abu Ubaidah, Khalid dan Yazid, menunggu ketibaan beliau. Amr tinggal di Baitulmuqaddis sebagai panglima tentera al-Rasyidin.[15]

Sebuah perjanjian, disebut Perjanjian Umar, dimeterai sebaik sahaja Khalifah Umar tiba di Baitulmuqaddis. Perjanjian ini menyerahkan kota Baitulmuqaddis kepada khalifah dan menjamin hak-hak awam serta kebebasan orang Kristian untuk mengamal agama mereka sebagai balasan pembayaran jizyah. Ia ditandatnagni Khalifah Umar bagi pihak Muslim, dan disaksikan oleh Khalid, Amr, Abdul Rahman bin Auf, dan Muawiyah bin Abu Sufyan. Pada lewat April 637, Baitulmuqaddis diserahkan kepada Khalifah Umar secara rasmi,[16] dan buat pertama kalinya selepas hampir 500 tahun pemerintahan keras Romawi, orang Yahudi dibenarkan untuk tinggal dan mengamalkan agama mereka di dalam kota Baitulmuqaddis.[2]

Tercatat dalam riwayat-riwayat orang Islam bahawa pada waktu Zohor, Sophronius mempelawa Khalifah Umar untuk menunaikan solat di dalam bangunan Gereja Makan Jesus Christ yang telah dibina semula. Namun Khalifah Umar menolak pelawaan tersebut kerana khuatir pelawaan tersebut akan menggugat kedudukan Gereja sebagai tempat ibadat Kristian, dan orang Islam mungkin akan melanggar perjanjian mereka dan menjadikan gereja sebagai sebuah masjid.[9] Khalifah Umar pulang ke Madinah selepas tinggal di Baitulmuqaddis selama 10 hari.[17]

Kesan[sunting | sunting sumber]

Imej Qubbat As-Sakhrah, Baitulmuqaddis
Qubbat al-Sakhrah, yang dibina khalifah Umayyah, Khalifah Abdul Malik pada tahun 691 M.

Yazid bergerak ke Caesarea untuk melaksanakan perintah Khalifah dan sekali lagi mengepung kota pelabuhan itu. Amr dan Syurahbil pula bergerak untuk menakluki Palestin sepenuhnya dan berjaya melakukan penaklukan tersebut pada penghujung tahun. Walau bagaimanapun, Caesarea tidak dapat ditawan sehinggalah garisonnya menyerah diri kepada Muawiyah I, pada masa itu gabenur Syria, pada tahun 640. Abu Ubaidah dan Khalid pula bergerak dari Baitulmuqaddis dengan kekuatan tentera seramai 17,000 orang untuk menawan wilayah utara Syria. Ekspedisi ini berakhir dengan penaklukan Antioch pada lewat tahun 637.[18] Orang Islam menawan Mesir pada tahun 639.

Semasa Khalifah Umar berada di Baitulmuqaddis, beliau telah dibawa Sophronius untuk melawat beberapa tempat suci, termasuk Al-Haram al-Syarif; dan melihat kedaifan bekas tempat letaknya Kuil Suci (al-Quds), Khalifah Umar memerintahkan agar kawasan tersebut dibersihkan sebelum mendirikan masjid kayu.[19] Periwatan terawal tentang binaan tersebut dibuat oleh Arculf, seorang uskup Gaul, yang melawat Baitulmuqaddis antara tahun 679 dan 682. Riwayat ini memerikan sebuah rumah solat primitif, diperbuat daripada rasuk, alang dan dinding kayu di atas runtuhan bangunan, dan yang hanya dapat menampung seramai 3,000 jemaah.[20]

Lebih setengah abad kemudian, yakni pada tahun 691, khalifah Umayyah, Abdul Malik bin Marwan, memerintahkan pembinaan Qubbat As-Sakhrah di atas bonjolan batuan pada Al-Haram al-Syarif. Al-Muqaddasi, seorang sejarawan abad ke-10, menulis bahawa bangunan itu dibina bagi menandingi gereja-gereja Kristian yang dibina tersergam di kota Baitulmuqaddis. Apapun niatnya, keindahan yang mengagumkan serta skalanya membantu mengukuhkan hubungan Baitulmuqaddis dengan Islam awal.[19]

Kepentingan Baitulmuqaddis menurun dalam tempoh 400 tahun seterusnya ekoran perebutan kuasa antara kuasa-kuasa Islam di wilayah itu. Baitulmuqaddis kekal dalam penguasaan Muslim sehinggalah kota itu ditawan tentera Salibi sewaktu Perang Salib Pertama.


Nota[sunting | sunting sumber]

^ a: Dikatakan pihak al-Rasyidin kehilangan seramai 4,000 orang dalam Pertempuran Yarmuk yang berlaku hanya dua bulan sebelum pengepungan Baitulmuqaddis.

^ b: Para sejarawan Muslim berselisih pendapat tentang tahun pengepungan dilakukan; sementara al-Tabari berkata ia berlaku pada tahun 636, al-Baladhuri pula menyatakan penyerahan kalah berlaku pada tahun 638 (Futuh II.XI or atau ms. 139; p. 214 dalam terjemahan Hitti). Agha I. Akram mempercayai bahawa berkemungkinan besar penyerahan kalah berlaku pada tahun 636–637.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Petikan[sunting | sunting sumber]

  1. 1.0 1.1 Akram 2004, halaman 431.
  2. 2.0 2.1 Gil 1997, halaman 70–71.
  3. Greatrex & Lieu 2002, halaman 198.
  4. Haldon 1997, halaman 46.
  5. Nicolle 1994, halaman 12–14.
  6. Lewis 2002, halaman 65.
  7. 7.0 7.1 Gil 1997, halaman 51.
  8. 8.0 8.1 Runciman 1987, halaman 17.
  9. 9.0 9.1 Gibbon 1862, Volume 6, p. 321.
  10. Akram 2004, halaman 432.
  11. Benvenisti 1998, halaman 14.
  12. al-Waqidi. Futuh al-Sham, Volume 1, p. 162; Imad ad-Din al-Isfahani. al-Fath al-Qussi fi-l-Fath al-Qudsi, Volume 15, pp. 12–56.
  13. Akram 2004, halaman 433.
  14. Gil 1997, halaman 52.
  15. Akram 2004, halaman 434.
  16. Gil 1997, halaman 54
  17. al-Waqidi. Futuh al-Sham, Volume 1, p. 169.
  18. Akram 2004, halaman 438.
  19. 19.0 19.1 Hoppe 2000, halaman 15.
  20. Elad 1999, halaman 33.

Sumber[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]