Pokok Kelapa Laut

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pokok Kelapa Laut
frames
Pengelasan saintifik
Alam: Tumbuhan
Divisi: Magnoliophyta
Kelas: Liliopsida
Order: Arecales
Famili: Arecaceae
Genus: Lodoicea
Spesies: L. maldivica
Binomial: Lodoicea maldivica
Setandan buah kelapa laut.

Pokok Kelapa Laut (bahasa Perancis: coco de mer) yang merupakan ahli tunggal dalam genus Lodoicea, ialah sejenis palma yang berasal dari Pulau Praslin dan Pulau Curieuse di Seychelles. Pada satu ketika, pokok ini juga boleh didapati di Pulau St. Pierre, Pulau Chauve-Souris, dan Pulau Round yang merupakan sebahagian kepulauan Seychelles, tetapi kini telahpun pupus. Pokok Kelapa Laut kini merupakan salah satu spesies nadir yang terlindung. Bagaimanapun, pokok ini kini ditanam di Seychelles untuk membantu memulihara spesies ini, dan juga ditanam di banyak kawasan tropika sebagai pokok hiasan. Nama botaninya Lodoicea maldivica.

Pokok Kelapa Laut bertumbuh sehingga 25-34 meter tinggi. Daun-daunnya yang berbentuk kipas adalah sepanjang 7-10 meter dan selebar 4.5 meter, dengan petiol yang panjangnya 4 meter. Pokok ini bersifat dioesius, iaitu pokok jantan dan pokok betina adalah berasingan. Bunga jantan seolah-olah katkin, dan sepanjang satu meter.


Buah Kelapa Laut[sunting | sunting sumber]

Buah Kelapa Laut mengandungi biji yang terbesar dalam alam tumbuhan. Diameter buah yang matang sebanyak 40-50 sentimeter, dengan berat sebanyak 15-30 kilogram. Buah ini memerlukan 6-7 tahun untuk mencapai kematangan, dan lagi dua tahun untuk bercambah. Buah Kelapa Laut kekadang juga digelarkan double coconut (kelapa kembar), coco fesse, atau Seychelles nut (kekeras Seychelles) di luar negeri.

Pada suatu ketika, buah Kelapa Laut dipercayai merupakan sejenis biji hanyut yang bertujuan untuk disebarkan oleh laut. Bagaimanapun, buah ini kini diketahui terlalu berat untuk timbul dalam air, dan hanya buah-buah yang reput boleh didapati di permukaan laut. Ini menerangkan mengapa pokok-pokok ini hanya kini terdapat di dua buah pulau tersebut.

Kelasi-kelasi yang menemui buah ini berhanyut-hanyut di laut bertanggapan bahawa buah itu kelihatan seolah-olah punggung perempuan yang terpisah daripada jasad. Perkaitan ini dibayangkan dalam salah satu daripada nama botani kuno untuk pokok ini, Lodoicea callipyge Comm. ex J. St.-Hil. Callipyge ialah bahasa Greek untuk punggung cantik. Nama-nama botani lain yang pernah digunakan termasuk Lodoicea sechellarum Labill. dan Lodoicea sonneratii (Giseke) Baill. Nama genusnya Lodoicea berasal daripada Lodoicus, iaitu perkataan Latin untuk Louis, dan merupakan penghormatan kepada Raja Louis XV dari Perancis.

Sehingga punca yang benar untuk buah Kelapa Laut ditemui pada tahun 1768, banyak orang mempercayai bahawa buah ini berasal daripada sebuah pokok mitos yang tumbuh di dasar laut. Orang-orang bangsawan pada abad ke-16 sering membersihkan kulit buah ini dan menghiaskannya dengan permata yang berharga untuk galeri-galeri peribadi mereka.

Rujukan[sunting | sunting sumber]