Rodzane bin Haji Mohamed

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jojet
Nama lahirRodzane bin Mohamed
Juga dikenali sebagai
Jojet Gersang, Jojet Wings, Jojet Dragon Malaya
Kelahiran (1967-08-13) 13 Ogos 1967 (umur 56)
Tangkak, Muar, Johor Johor
Berasal dariMalaysia Malaysia
GenreRock
PekerjaanPemuzik
InstrumenDram
Tahun aktif1987–kini
Syarikat rakaman
PMC / BMG
Pengkarya berkait
Kumpulan Gersang
Kumpulan Wings
Kumpulan Dragon Malaya

Rodzane bin Haji Mohamed atau lebih dikenali sebagai nama Jojet dilahirkan pada (1967-08-13) 13 Ogos 1967 (umur 56) di Tangkak, Muar, Johor dan dibesarkan di Lembah Keramat, Kuala Lumpur. Beliau mula menempa nama sebagai pemain dram kumpulan rock terkenal Malaysia iaitu Kumpulan Gersang pada tahun 1987. Sebelum menganggotai kumpulan Gersang, Jojet adalah pemain dram asal kumpulan Wings pada tahun 1985 namun tidak sempat untuk merakamkan album pertama bersama kumpulan tersebut. Bakat luar biasa yang dimilikinya menjadikan beliau terkenal dan popular sebagai pemain dram di Malaysia, sebaris dengan pemain dram yang lain seperti Yazit Search, Black Wings dan Lola XPDC. Beliau sempat menikmati puncak popularitinya sebagai pemain dram apabila menganggotai semula Wings pada tahun 1991, menggantikan Black yang menarik diri dari kumpulan tersebut. Jojet juga adalah anggota asal kumpulan Dragon Malaya yang diasaskan oleh Awie pada tahun 2000.

Permulaan Karier[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1985, Jojet bersama 5 lagi orang rakan sekolahnya (Awie, Eddie, Syam, Awong & Zul) telah mengasaskan sebuah kumpulan muzik di mana mereka berhasrat untuk memperjuangkan irama rock dalam industri muzik tanahair dan beliau bertindak sebagai pemain dram. Bakat Jojet mula dikesan dan dicungkil dari band muzik yang belum diberi nama pada ketika itu. Hal ini didorong oleh penerimaan mereka terhadap muzik rock yang mendapat sambutan yang begitu hangat di Malaysia, ditambah lagi dengan kemunculan kumpulan yang memperjuangkan irama tersebut seperti Sweet Charity, Lefthanded dan Search pada ketika itu.

Namun belum sempat merakamkan album pertama bersama kumpulan Wings, Jojet telah mengambil keputusan untuk keluar dari kumpulan itu dan menjadi pemuzik bebas (dram) di Kuala Lumpur. Tidak lama selepas itu, beliau didatangi oleh dua orang pemuzik terkenal iaitu Yem Bai (pemain bass kumpulan BPR) dan Ito Blues Gang dan mereka memperkenalkan beliau dengan kumpulan Gersang yang ketika itu baru sahaja berhijrah ke Kuala Lumpur dengan 3 orang anggota iaitu Man Bai (vokal), Kid (gitar utama, kemudian bersama Search) & Man Greng (bass). Kebetulan, Gersang memang memerlukan pemain dram baharu setelah pemain dram asal Gersang, Razak Kerajaan menarik diri atas sebab-sebab tertentu. Tidak mengambil masa yang lama, Jojet terus bersetuju untuk memulakan karier profesionalnya bersama kumpulan tersebut dan memulakan proses rakaman album pertama berjudul Gersang yang diterbitkan pada tahun 1987.

Kemunculan Bersama Kumpulan Gersang[sunting | sunting sumber]

Bersama Kumpulan Gersang, Jojet sempat menghasilkan tiga buah album bermula dengan album Gersang yang hits dengan lagu Masih Aku Terasa pada tahun 1988.

Berikut kejayaan album pertama Gersang yang terjual sebanyak 90,000 unit, mereka kemudiannya menghasilkan album kedua pada tahun yang sama berjudul Takdir. Sekali lagi album itu mendapat sambutan yang hangat apabila album yang hits dengan lagu Suratan Takdir mencatatkan jualan melebihi 80,000 unit.

Dalam album ketiga Gersang yang berjudul B29, populariti mereka sedikit tercalar apabila album itu hanya mencatatkan jualan sebanyak 29,000 unit berikutan pertukaran pemain gitar utamanya pada ketika itu. Namun itu tidak mematahkan semangat Jojet dan anggota lain, sebaliknya berusaha untuk naik semula dengan memulakan proses rakaman album keempat. Malangnya semasa mereka membuat persiapan untuk menghasilkan album keempat, Man Bai telah menghidap penyakit tonsil yang serius sehingga menyebabkan proses rakaman tergendala. Hal ini telah membawa kepada pembubaran kumpulan Gersang dan kesemua anggotanya membawa haluan masing-masing selepas tamatnya kontrak Konsert Jelajah Lucky Strike.

Kembali ke Kumpulan Wings[sunting | sunting sumber]

Tidak lama selepas kumpulan Gersang dibubarkan, beliau dipelawa oleh Awie untuk menganggotai kumpulan Wings pada tahun 1990, menggantikan Black yang menarik diri akibat perselisihan faham dengan pihak pengurusan Wings. Di sinilah nama Jojet mula melonjak naik dan diiktiraf peminat muzik rock sebagai salah seorang pemain dram terbaik di Malaysia.

Bersama Wings, Jojet telah merakamkan enam buah album seperti Jerangkung Dalam Almari, Best Of Wings, Double Trouble (Bersama Search), Bazooka Penaka dan Wings & Superfreinds Part 1 & 2. Ketika bersama Wings jugalah Jojet mula berjinak-jinak dengan dunia lakonan apabila beliau diambil sebagai pelakon undangan di dalam filem Pemburu Bayang (1993) dan Putera (1994).

Pasca Wings & Perkembangan Terkini Jojet[sunting | sunting sumber]

Hanya seketika sahaja Jojet menikmati zaman kegemilangannya sebagai pemain dram Wings, beliau mengambil keputusan untuk keluar dari kumpulan tersebut buat kali kedua pada tahun 1994 atas masalah-masalah peribadi. Hal ini juga didorong oleh pengunduran penyanyi Wings, Awie yang juga sahabat baiknya sendiri.

Selepas meninggalkan Wings, Jojet menerima tawaran berlakon di dalam beberapa buah filem antaranya Sembilu 2, Tragedi Oktober, Merah, Nafas Cinta dan Bara. Kemudianya Jojet bersama Awie dan rakannya ketika bersama kumpulan Gersang, Kid Search menubuhkan sebuah band projek yang diberi nama Dragon Malaya pada tahun 2000 yang memuatkan 3 buah lagu (Rentap, Kuda 3 Kaki dan Bumi Kita Ada Naga (Melayu Ada Naga)) di dalam album solo Awie yang berjudul Rentap. Jojet kemudiannya tidak lagi aktif di dalam bidang seni kerana ingin fokus sepenuh masa terhadap perniagaannya. Pada tahun 2010, beliau akhirnya kembali aktif bersama kumpulan Gersang sehingga kini, termasuk juga yang masih ramai dikalangan peminat berharap Jojet kembali aktif bersama Awie seperti dahulu.