Muar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Muar, Johor
موار، جوهر
Bandar Maharani, Bandar DiRaja
(بندر مهاراني، بندر دراج)
Peta daerah Muar, Johor, Malaysia

Bendera

Lambang
Nama panggilan: Muar
Motto: 'Cekap, Amanah, Dinamik, Makmur'
(چكڤ، أمانه، ديناميق، معمور)
Muar yang terletak di Malaysia
Muar, Johor
Koordinat: 2°3′00″N 102°34′00″E / 2.05000°U 102.56667°T / 2.05000; 102.56667
Negara Malaysia
Negeri Johor Darul Ta'zim
Diasaskan pada 1903
Status bandar 2001
Kerajaan
 • Yang di-Pertuan Tuan Haji Ramlee Bin Haji A. Rahman [1]
Keluasan
 • Jumlah 2,346.12 km2 (905.84 sq mi)
Ketinggian 36.88 m (121 ft)
Populasi (2010)
 • Jumlah 247,957
Zon waktu MST (UTC+8)
 • Musim panas (DST) Tidak mengamalkan (UTC)
Laman web http://www.mpmuar.gov.my/

Daerah Muar terletak di barat laut negeri Johor, Malaysia. Daerah Muar terdiri daripada bandar Muar itu sendiri (lebih dikenali dengan nama Bandar Maharani) dan Pagoh. Muar bersempadan dengan daerah Ledang di utara, daerah Segamat di timur dan daerah Batu Pahat di selatan.

Daerah Muar berkeluasan 2346.12 km persegi dengan penduduk seramai 328,695 orang (bancian 2000). Perkataan ‘Muar’ dipercayai berasal daripada Muara. Kemungkinan lain ialah ia berasal daripada perkataan hindu iaitu “Muna” dan ‘Ar” yang masing-masing bermaksud Tiga dan Sungai, menggambarkan kewujudan Sungai Muar yang mengalir melalui bandar ini dan juga merupakan sungai terpanjang di Johor.

Pusat pentadbiran baru yang dikenali sebagai Muar 2 sedang dirancang untuk dibina di Muar. Pusat pentadbiran baru tersebut akan menempatkan semua jabatan Kerajaan Negeri dan Persekutuan dan dijangka terletak berhampiran dengan Muar Bypass di bandar Muar.

Geografi[sunting | sunting sumber]

Bandar Muar terletak pada 2°3′N 102°34′E, di muara Sungai Muar. Bandar ini berada pada kedudukan 150 km (93 batu) ke barat daya ibu negara Malaysia, Kuala Lumpur. Ia adalah 50 km ke utara Batu Pahat dan 179 km ke barat laut Singapura.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Muar kaya dengan sejarah tetapi disebabkan ketiadaan catatan sejarah yang sempurna dan bukti-bukti arkeologi, kebanyakan sejarah silam Muar tidak diketahui. Dipercayai sejarah Muar telah bermula lebih awal daripada Empayar Melaka. Pada tahun 1361, terdapat catatan yang menyatakan Muar adalah sebahagian daripada wilayah empayar Majapahit. Catatan lain pula ada menyebut bahawa Parameswara, pengasas empayar Melaka, pernah menubuhkan penempatan di Pagoh, Ulu Muar selepas melarikan diri dari Temasik sebelum menuju ke Melaka.[2] Muar juga adalah tempat terletaknya satu-satunya makam kesultanan Melaka iaitu Sultan Alauddin Riayat Shah (1477-1488). Makam kesultanan Melaka yang lain telah dibinasakan dengan kejam oleh Portugis semasa penaklukan mereka ke atas Melaka. Muar turut memainkan peranan penting buat Sultan Melaka dalam mengekang kemaraan tentera Portugis pada tahun 1511. Bagi menangani serangan armada Portugis, Kubu Bentayan telah dibina oleh Sultan Melaka untuk mematahkan serangan dari arah laut.

Muar di era Portugis juga menempatkan sebuah kubu iaitu ‘Fortaleza de Muar’ bagi mempertahankan koloni Portugis daripada serangan Belanda dan Aceh.

Muar adalah bandar di-Raja di selatan Johor. Ia pernah menjadi sebuah Kerajaan merdeka dan berdaulat yang diperintah oleh Sultan Ali dalam masa yang singkat (1855 – 1877), apabila penguasaan negeri Johor (kecuali Muar) telah diserahkan kepada Dato' Temenggong Daeng Ibrahim di bawah perjanjian di antara British di Singapura dan Sultan Ali. Sultan Ali adalah pewaris sebenar Kesultanan Johor tetapi kelemahan beliau telah menyebabkan pemerintahan Johor dikuasai oleh Temenggong. Setelah beliau mangkat pada 1877, Muar akhirnya menjadi sebahagian daripada wilayah Johor. Bandar Muar turut dikenali sebagai Bandar Maharani, nama yang diberikan oleh Maharaja Abu Bakar pada 1884. Muar selama bertahun-tahun adalah bandar yang kedua terbesar di Johor tetapi kedudukan tersebut telah diambil alih oleh Batu Pahat. Namun demikian, Muar masih merupakan bandar kedua terpenting dari segi pentadbiran selepas ibu negeri Johor Bahru.

Keretapi Kerajaan Muar[sunting | sunting sumber]

Muar adalah satu-satunya bandar di Malaysia yang mempunyai sistem jaringan keretapinya yang tersendiri di masa lampau yang dikenali sebagai Keretapi Kerajaan Muar (Muar State Railways) atau MSR, beroperasi hanya 4 tahun selepas landasan keretapi pertama di negara ini di antara Taiping dan Port Weld dibuka pada 1885. Sistem keretapi ini wujud dari tahun 1889 hingga 1925, menghubungkan Jalan Sulaiman di Bandar Maharani dan Sungai Pulai pada jarak 22.5 km. Berdasarkan ciri-cirinya sebagai keretapi ringan tempatan, ia adalah terasing daripada jaringan keretapi di tanah Melayu pada waktu itu tetapi terdapat perancangan untuk memanjangkan landasan sehingga ke Batu Pahat pada 1916. Walau bagaimanapun, projek tersebut tidak dilaksanakan ekoran halangan geografi dan kewangan.

Perkhidmatan keretapi ini adalah menguntungkan dan telah memudahkan pergerakan penduduk serta barangan di samping menggalakan pertumbuhan ekonomi melalui pembukaan ladang-ladang kelapa di sepanjang koridor rel. Walau bagaimanapun, kepentingannya telah menurun apabila Jalan Abdul Rahman yang menghubungkan Bandar Maharani dan Parit Jawa dibuka pada 1918. Tambahan pula, penyelenggaraan terhadap infrastruktur yang usang adalah terhad. Landasan sering terabai sehingga sistem perparitan yang tidak terurus telah merosakkan tapak landasan. Selain itu, ketiadaan batu balas di dalam pembinaan landasan telah mempercepatkan kadar kerosakan landasan di mana mendapan tanah sering berlaku dan mengakibatkan beberapa kegelinciran. Peruntukan kewangan yang besar adalah diperlukan untuk membaikpulih sistem keretapi ini. Dibebani dengan masalah kewangan dan kemerosotan populariti, kegemilangan MSR selama 36 tahun berakhir pada tahun 1925. Kesan landasan telah hilang apabila tapaknya digantikan dengan pembinaan Jalan Temenggung Ahmad. Lokomotif MSR yang dipamerkan di Taman Tanjung Emas adalah satu-satunya tinggalan warisan yang membuktikan kewujudan MSR di masa silam. Dipercayai juga lokomotif tersebut adalah yang tertua di negara ini yang masih berkeadaan baik memandangkan lokomotif wap yang dipamerkan di Muzium Negara Kuala Lumpur adalah dari model yang lebih baru. Memandangkan Muar tidak pernah menjadi ibu negeri atau bandar terbesar di Johor, kewujudan rangkaian keretapi eksklusif di Muar setanding dengan sistem LRT pada hari ini, satu kemudahan yang malahan ibukota Kuala Lumpur tidak memilikinya pada waktu itu, adalah pencapaian yang menakjubkan.

Pekan[sunting | sunting sumber]

  1. Parit Bakar
  2. Parit Raja
  3. Parit Jawa
  4. Bakri
  5. Pagoh
  6. Bukit Pasir
  7. Panchor
  8. Bukit Mor
  9. Bukit Treh
  10. Sungai Abong
  11. Parit Yusof
  12. Parit Keroma
  13. Parit Sakai

Mukim[sunting | sunting sumber]

  1. Mukim Ayer Hitam
  2. Mukim Bandar
  3. Mukim Bukit Kepong
  4. Mukim Jalan Bakri
  5. Mukim Jorak
  6. Mukim Lenga
  7. Mukim Parit Bakar
  8. Mukim Parit Jawa
  9. Mukim Sri Menanti
  10. Mukim Sungai Balang
  11. Mukim Sungai Raya
  12. Mukim Sungai Terap
  13. Bandar Maharani
  14. Bukit Kepong
  15. Panchor
  16. Parit Jawa
  17. Bukit Pasir
  18. Bukit Serampang

Komersil & industri[sunting | sunting sumber]

Muar dikenali sebagai pusat perabot negara. Ia mempunyai lebih banyak kilang perabot berbanding dengan lain-lain bandar di Malaysia. Di samping itu, Muar turut menempatkan dua kilang milik syarikat multinasional antarabangsa iaitu SGS-Thomson (ST) Microelectronic dan Pioneer. Kawasan perindustrian di sekitar Muar terletak di Bakri,Tanjung Agas, Pagoh dan Tangkak.

Terdapat berbagai pusat membeli-belah di Muar seperti The Store , Giants Hypermarket , Astaka di Jalan Salleh, dan Freshco (dulu Plaza Hock Hai). Wetex Parade adalah antara gedung membeli-belah terbesar yang terdapat di Muar di samping sebuah lagi pasaraya besar yang baru dibuka pada Oktober 2006 iaitu Econsave, di Jalan Haji Jaib.

Di samping itu, pembangunan komersil terbaru yang bakal menempatkan hospital swasta dan pusat membeli-belah sedang dilaksanakan di tebing utara Sungai Muar di atas tapak yang ditebusguna daripada hutan paya bakau. Kawasan tersebut menempatkan Pasaraya Besar Giant yang telah beroperasi.

Selain itu, terdapat juga industri-industri kecil yang di buat di Muar. Sebagai contoh, kilang ubat-ubat tradisional PETANI, serta membuat makanan tradisional.

Di Muar juga terdapat sebuah hospital pakar iaitu Hospital Pakar Sultanah Fatimah di mana infrsruktur serta kemudahan yang disediakan di hospital amat memuaskan dan berkualiti tinggi.

Muar juga menjadi pusat tumbuhan lanskap negara. Terdapat lebih 300 nurseri tanaman hiasan dan lanskap di Muar. Antara yang terkenal adalah Bu Seng Chong Nursery, Bu Seng Chong Holding, Green City Nursery dan Guan Nursery. Pelbagai jenis tumbuhan hiasan yang berkualiti boleh didapati dan yang paling penting harganya murah. Permintaan yang tinggi dalam sektor perumahan dan rekreasi pada masa kini menyebabkan industri tanaman hiasan ini berkembang dan bersaing dengan pesat di Muar.

Industri sarang burung walit juga sedang berkembang pesat. Kebanyakan sarang burung walit dieksport ke negara China disamping di jual di pasaran tempatan untuk tujuan kesihatan. Antara syarikat yang mengendalikan lebih daripada 30 rumah burung di Muar adalah Amity AKF berpusat di Bukit Treh.

Infrastruktur[sunting | sunting sumber]

Lebuhraya pintasan Muar (Muar Bypass), (2 lorong dua hala) sepanjang 14 km termasuk Jambatan Kedua Muar dengan rekabentuk menarik yang keseluruhannya disiapkan pada 2005 adalah mercu tanda terbaru bandar ini. Lebuhraya yang menyusuri persisiran bandar Muar ini akan memudahkan perjalanan dengan mengalihkan aliran trafik daripada kawasan bandar dan seterusnya dapat mengurangkan kesesakan di Jambatan Sultan Ismail Muar yang lebih tua. Lebuhraya sedemikian (atau jalan lingkaran) adalah ciri biasa bagi Kuala Lumpur, Johor Bahru, Pulau Pinang, Melaka dan Seremban yang kesemuanya adalah ibu negeri. Walaupun Muar tidak berstatus sebagai bandar besar, pembinaannya di Muar telah menggambarkan kepentingan Muar dari segi ekonomi dan membolehkannya untuk merampas kembali kedudukannya selaku bandar kedua terbesar di negeri Johor.

Kini perjalanan dari Melaka ke Muar disingkatkan lagi dengan siapnya lebuhraya AMJ yang menyambungkan Alor Gajah - Bandaraya Melaka - Muar.

Di samping jalan persekutuan, Muar turut dihubungkan oleh Lebuhraya Utara – Selatan melalui susur keluar di Tangkak dan Pagoh yang masing-masing terletak 20 km dan 30 km dari Muar.

Terdapat juga perkhidmatan feri secara tetap ke Dumai, Sumatera, Indonesia yang bertolak dari jeti Kastam.

Muar tidak mempunyai perkhidmatan kereta api. Stesen Kereta Api Segamat merupakan laluan kereta api terdekat yang terletak kira-kira 80 kilometer ke utara Muar.Pengunjung boleh menggunakan stesen KTM Segamat seterusnya menaiki bas atau teksi ke Muar.

Pelancongan[sunting | sunting sumber]

Salah satu tarikan pelancong yang terkenal di Muar ialah Taman Negara Gunung Ledang. Taman ini terletak 170 km dari Johor Bahru dan mempunyai keluasan 107 km2. Terdapat dua pintu masuk ke taman ini iaitu melalui Sagil, Johor dan Asahan, Melaka. Puncak Gunung Ledang setinggi 1,276 m dari aras laut adalah puncak yang tertinggi di negeri Johor. Gunung Ledang juga adalah gunung yang ke-64 tertinggi di Malaysia dan berkemungkinan yang paling banyak didaki di negara ini. Air terjun Sagil yang terdapat di taman ini adalah tempat perkelahan yang terkenal.Terdapat juga rumah rehat disediakan bagi kemudahan para penganjung ke Gunung Ledang. Aktiviti berkhemah menjadi satu kemestian bagi mereka yang menggemari keindahan alam semula jadi.

Lihat juga Legenda Gunung Ledang

Makanan[sunting | sunting sumber]

Muar turut dikenali kerana makanannya. Makanan tempatan yang paling dikenali ialah Otak-otak, dodol Maharani, mee bandung Muar, dan asam pedas Parit Jawa. Muar juga terkenal sebagai salah satu tempat di mana sate dihidangkan sebagai sarapan pagi. Di bertentangan Maktab Rendah Sains MARA, Bakri, terdapat sebuah gerai menjual Sate yang paling murah, iaitu Kedai Man Sate setiap cucuk hanya dijual RM0.30 sahaja. Terdapat juga lokasi lain menjual sate pada harga yang murah seperti di hadapan hentian Bas Ekspres Maharani Muar di Jalan Salleh. Pengunjung pasti akan terpesona dengan panorama Muar pada waktu pagi sambil menjamu selera dan mendengar kicauan burung layang-layang.

Satemuar.jpg

Fail:Satehmuar.jpg
Gerai Sate di Bakri

Mengunjungi sebahagian restoran dan kedai kopi di Muar akan mengembalikan nostalgia 60-an dan 70-an kerana persekitarannya serta makanan dan minuman yang dihidang tidak berubah semenjak masa lampau tersebut. Kopi yang dihidangkan di restoran tersebut mempunyai rasanya yang tersendiri.

Kopi Sai Kee yang juga popular dengan nama Kopi Cap 434 merupakan kopi istimewa yang sering menjadi buah tangan saudara-mara dari luar Muar yang mengunjungi keluarga di daerah ini. Kopi ini tidak perlu ditapis kerana habuk kopi akan tenggelam dengan sendirinya selepas 5 minit. Ia menjadi hebat jika dibuat dengan pekat untuk rasa yang lebih 'kaw'!

Mi siput, iaitu sejenis mi yang berbentuk sanggul yang dikeringkan dan dihidang selepas digoreng juga terkenal di Muar. Mi siput sedap dimakan secara dicecah dengan sambal tumis. Pasar Muar ialah antara lokasi yang terbaik bagi mendapatkan bekalan mi siput kering.

Sabakawor.jpg

Sabak Awor yang terletak berhampiran Jambatan Ke-2 Muar walaupun terletak di kawasan yang terpencil di tebing Sungai Muar tetap dikunjungi kerana kelazatan juadah makanan laut yang terdapat di situ di samping harganya yang murah dan berpatutan.

Mee Bandung boleh di dapati di:

1) Parit Bunga - sebuah kampung yang terletak kira-kira 5 kilometer dari Bandar Maharani.

2) Kg.Kenangan Tun Syed Nasir Tg. Agas - di tepi parit jalan masuk pasar malam taman itu.

3) Arked Mara di Jalan Maharani.

Rempah mi bandung yang dihasilkan oleh usahawan bumiputera anak tempatan Muar juga boleh diperolehi dari pasar besar Muar.

Selain itu juga,buah-buahan tempatan seperti durian, duku, langsat, manggis dan bermacam lagi juga boleh didapati di sepanjang jalan dari Bandar Maharani ke Tangkak terutama di sepanjang Kampung Parit Bunga.

Ladang Nasuha, ladang rempah ratus yang terbesar di Asia juga terletak di daerah Muar. Lokasinya tidak jauh dari Plaza Tol Pagoh. Di Ladang ini, terdapat sebuah restoran yang menghidangkan pelbagai jenis juadah yang dimasak dengan menggunakan herba. Di samping itu, Ladang Nasuha juga menghasilkan rempah masakan yang dijual secara komersial dengan jenama Mak Siti daripada rempar-ratus yang ditanam di situ.

Tempat menarik[sunting | sunting sumber]

Deretan bangunan yang dibina sebelum Perang Dunia II masih mewarnai senibina bandar ini. Bangunan tersebut menempatkan kedai-kedai di sepanjang Jalan Abdullah yang juga dikenali sebagai pusat dagangan Muar. Bangunan warisan yang ulung antara lain adalah Bangunan Sultan Abu Bakar (disiapkan pada 1929) yang menempatkan pejabat-pejabat pentadbiran Daerah Muar dan Bangunan Kastam (disiapkan pada 1909). Umur bangunan-bangunan lama tersebut mudah untuk dikenalpasti kerana tarikh ianya disiapkan (di sekitar tahun 1930an hingga 1950an) tertera di bahagian luar bangunan. Bangunan ini adalah warisan yang amat berharga yang menggambarkan kemakmuran Muar di masa lampau dan menghargai keunikannya akan membuatkan mereka-mereka yang pernah dibesarkan di Muar terkenang kembali kenangan di zaman silam.

Masjid Jamek Sultan Ibrahim, Muar.

Tarikan lain di Muar ialah Taman Tanjung Emas, taman rekreasi bagi bandar ini, yang terletak di muara Sungai Muar. Tebing sungai di taman ini dihiasi dengan laluan siar kaki yang menyajikan pemandangan menarik Sungai Muar. Taman ini yang dikunjungi ramai sewaktu hujung minggu juga menempatkan padang golf 9-lubang. Terdapat perkhidmatan bot menyusuri Sungai Muar selama 45 minit hingga satu jam yang bertolak dari taman ini untuk memberikan peluang kepada pelancong menikmati pandangan bandar Muar dari sungai.

Mercu tanda terbaru bandar ini ialah Masjid Sultan Ismail ( masjid Jamek Kedua ), terletak di tebing utara Sungai Muar. Ia adalah masjid terbesar di Muar dan rekabentuknya adalah replika kepada masjid Sultan Ibrahim ( masjid Jamek Pertama ) yang terletak di Jalan Petri di tebing selatan. Disiapkan pada 2002, ia menyajikan pemandangan indah bila dilihat daripada bandar Muar, seolah-olah ia terapung di atas sungai.

Pendidikan[sunting | sunting sumber]

Pendidikan bagi genarasi muda disediakan secukupnya oleh beberapa sekolah di Muar. Berikut adalah senarai tidak lengkap sekolah-sekolah di Muar.

  • SMA LUGHATUL QURAN,KESANG TASEK
  • SMA TANWIRIYAH,PARIT JAWA
  • SMA SHAMSUDDINIAH,KUNDANG ULU
  • SMA DARUL ULUM,SEROM
  • SMA LUGHATIL ARABIYAH,TANGKAK
  • Smk Raja Muda
  • SMK Tengku Mahmud Iskandar
  • SMK Tengku Temenggong Ahmad
  • SMK Tun Dr. Ismail (STUDI)
  • SMK PARIT BUNGA
  • SMK PESISIRAN PERDANA
  • SM Teknik Muar ( Sek Men Vokasional Muar sehingga 1996)
  • SMK Sungai Abong
  • SMK(A) Ma'ahad Muar
  • SMK St. Andrew
  • Sekolah Tinggi Muar
  • SMK Tengku Mahkota(STM)
  • SMK Convent Muar
  • SMK Bandar Maharani
  • SMK Dato' Sri Amar Diraja (SEDAR)
  • SMK Sultan Abu Bakar
  • SMK Jalan Junid
  • SMK Sri Muar
  • SMK Bukit Naning (dahulu dikenali sebagai SMK Air Hitam Batu 15)
  • SMK Pei Hwa
  • MRSM Muar (berasrama penuh)
  • SMS Sains Muar (berasrama penuh)
  • SRK Abdullah
  • SK Serom 3 [1]
  • SK Parit Bunga [2]
  • SMK Tun Perak
  • SMK Sultan Alauddin Riayat Shah 1 Pagoh
  • SMK Lenga
  • SMK Bukit Pasir
  • SK Bakri Batu 5

Sekolah yang paling terkenal di Muar ialah Sekolah Tinggi Muar. Ia ditubuhkan pada 1902 dan bangunan sekolah yang dibina pada 1915 masih berdiri megah. Semasa Perang Dunia Kedua, sekolah ini telah digunakan sebagai kem tahanan pihak Jepun. Bekas pelajar sekolah ini termasuk pembesar negeri dan pemimpin, pegawai tinggi Kerajaan dan industrialis seperti Tan Sri Osman Saat, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Dato Seri Abdul Ghani Othman, Dato Chua Jui Meng, Mr. Rahul Doraisamy, Mr. Sathesh Narayanan, Mr. Adam Tee, Mr. Victor Yeo, Mr. Senthil Doraisamy dan Mr. Triptipal Singh.

Sumbangan sekolah menengah Teknik Muar dalam melahirkan tenaga mahir di Muar memang tidak di nafikan lagi.Sejak dari aliran Vokasional menjadi teras pelajaran di sekolah ini,ramai bekas pelajar sekolah tersebut berjaya menjawat jawatan seperti jurutera mahir mahupun kakitangan kerajaan di dalam bidang teknikal.Sesungguhnya kewujudan Sekolah Menengah Teknik Muar (dahulunya Sekolah Menengah Vokasional Muar) merupakan titik permulaan kecemerlangan kejuruteraan di kalangan masyarakat di daerah Muar.

Pada tahun 2005, Pusat Sumber SMK Parit Bunga telah mendapat johan PSS Cemerlang peringkat negeri Johor. Pada tahun 2006, Pusat Sumber SMK Parit Bunga telah mewakili Negeri Johor dalam Pertandingan PSS Cemerlang peringkat Kebangsaan dan berjaya mencapai kejayaan dengan mendapat Naib Johan dalam pertandingan tersebut.

Kebudayaan[sunting | sunting sumber]

Muar adalah tempat lahirnya Ghazal, muzik tradisi warisan Johor yang mempunyai unsur-unsur Parsi. Kumpulan Ghazal terkenal uar ialah Seri Maharani Ghazal Parti pimpinan Ahmad Jusoh dan Fadhil Ahmad . Antara lagu terkenal kumpulan ini adalah "Dia Datang", "Puteri Ledang"

Salah satu daripada aliran silat yang telah berkembang di Muar ialah Silat Sendeng Malaysia yang telah diasaskan oleh Haji Abd Hamid bin Haji Hamzah di Sungai Mati, Muar, Johor.

Pertubuhan Kebajikan Wirid Khaujakan diasaskan oleh Tuan Guru Kiyai Haji Abdul Fadhil bin Abu Bakar Banten kemudian dipimpin oleh Tuan Guru Tuan Haji Othman Azahari di Madrasah Khaujakan di Kampung Batu 4, Simpang Jeram, Bakri, Muar dan kini di pimpin oleh Tuan Guru Ustaz Haji Ahmad bin Tunggal.

Penduduk terkenal[sunting | sunting sumber]

Berikut adalah senarai penduduk terkenal yang berasal dari Muar.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Profil YDP, Laman sesawang rasmi Majlis Perbandaran Muar
  2. Mpmuar.gov.my (2000). Portal Rasmi Majlis Perbandaran Muar. [online] Retrieved from: http://www.mpmuar.gov.my/tentang-muar [Accessed: 24 May 2013].