Anak Pontianak (siri TV)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Anak Pontianak
GenreKeluarga
Seram
Mistik
Aksi
Berdasarkan daripada
Pontianak Harum Sundal Malam 2 oleh Shuhaimi Baba
PenciptaShuhaimi Baba
Ditulis olehShuhaimi Baba
PengarahIbrahim Elias
Dibintangi oleh
Zarina Anjoulie
Fynn Jamal
Kavita Sidhu
Rozie Rashid
Tania Zalina Zainal
Na'a Murad
Noniswara
Negara asal Malaysia
BahasaMelayu
Bilangan episod13
Penerbitan
Penerbit eksekutifAida Fitri Buyong
PenerbitShuhaimi Baba
Tempoh siaran1 jam per episod
Syarikat penerbitan
Pesona Pictures
Penyiaran
Saluran asalTV3 (Slot Seram)
Format gambar576i SDTV (16:9)
Format audioStereo
Siaran asal25 Oktober 2007 – 17 Januari 2008
Kronologi
MengikutiSusuk
Diikuti olehSaka
Rancangan berkaitan
Pontianak Harum Sundal Malam 2

Anak Pontianak ialah sebuah siri televisyen seram Malaysia arahan Shuhaimi Baba untuk TV3, sebagai kesinambungan kepada filem Pontianak Harum Sundal Malam 2. Drama ini dibintangi oleh Zarina Anjoulie, Fynn Jamal, Kavita Sidhu, Rozie Rashid, Tania Zainal, Na'a Murad, dan Noniswara. Drama ini disiarkan sebanyak 13 episod pada setiap hari Khamis jam 9 malam di TV3 melalui Slot Seram.

Sinopsis[sunting | sunting sumber]

Pada dasarnya Samira (Zarina Anjoulie), lebih dikenali sebagai Mia, ialah seorang pelajar sekolah asrama Kolej Tunku Sulung yang segan-silu dan menurut kata, tetapi batinnya mewarisi kuasa luar biasa dari moyangnya. Di awal cerita, Mia acap kali menghilangkan diri pada waktu malam lalu ditemui dalam keadaan tak sedar diri dalam hutan, kemudian sedar tanpa mengingati apa-apa yang berlaku semalaman, sehingga mengganggu perasaan ibu bapa dan pihak sekolah. Walaupun disyorkan agar berpindah ke sekolah lain yang lebih selamat, Mia berkeras untuk terus menelaah ilmu di KTS.

Semenjak itu, perilaku Mia semakin berubah, makin tahun makin yakin dan berseri. Mia gemar menyanyikan sebuah lagu misteri yang tidak dikenali orang lain. Hanya Mia yang tahu dari mana dia mempelajari lagu itu dan mengapa dia kerap mengunjungi hutan, iaitu kerana di hutanlah dia bersiap sedia untuk peranan yang amat penting. Pada hari jadinya yang ke-18, Mia dimaklumkan bahawa dirinya telah mewarisi segala kuasa hebat dari nenek moyangnya, Meriam (Maya Karin). Kini, Mia berdepan dengan semula musuh yang mengejar-ngejar kuasanya, dan satu-satunya cara untuk merampas kuasanya adalah membunuhnya.

Pelakon[sunting | sunting sumber]

Pelakon utama[sunting | sunting sumber]

Pelakon pembantu[sunting | sunting sumber]

  • Zizan Nin sebagai Kamdin
  • Aziz Sattar sebagai Tok Siddiq
  • Dilla Ahmad sebagai Zillin
  • Kuswadinata sebagai Dariman
  • Che'kem sebagai Jazlani
  • Almy Nadia sebagai Manja
  • Halimatussadiah sebagai Puan Zahili
  • Amy Khairul Amri sebagai Izlin
  • Intan Jusmiera sebagai Cikgu Haiza
  • Balkish Mohd. Fauzi sebagai Fiza

Pelakon undangan[sunting | sunting sumber]

Salasiah Keluarga Samira
(Kaum Sarathika)
[sunting | sunting sumber]

  • Meriam + Danial = Maria
  • Maria + Aswad = Molin @ Mulia
  • Molin + Hakim = Samira @ Mia

Episod[sunting | sunting sumber]

  • Episod 1: "Waris Terpilih"
  • Episod 2: "Ragut"
  • Episod 3: "Batu Mulia Di Taman Ihsan"
  • Episod 4: "Tetamu Tak Budiman"
  • Episod 5: "Sukir Maluk"
  • Episod 6: "Rahsia Molin - Bhg. 1"
  • Episod 7: "Rahsia Molin - Bhg. 2"
  • Episod 8: "Ratnaku - Bhg. 1"
  • Episod 9: "Ratnaku - Bhg. 2"
  • Episod 10: "Buku Teladan"
  • Episod 11: "Nestapa"
  • Episod 12: "Bisa"
  • Episod 13: "Bersatu"

Sejarah keturunan Kaum Sarathika[sunting | sunting sumber]

Meriam[sunting | sunting sumber]

Pada tahun 1940, Meriam dahulunya adalah merupakan seorang primadona gamelan yang cantik dan digilai ramai pemuda di Paku Laris, antaranya adalah Marsani dan Danial. Namun ketika itu Meriam lebih rela memilih Danial berbanding Marsani yang ketika itu sudah beristeri. Dia kemudian ditemui mati dibunuh oleh orang-orang suruhan Marsani ketika dia sedang mengandungkan anak sulungnya. Meriam merupakan ibu kandung Maria, nenek kepada Molin atau lebih dikenali sebagai Mulia, dan juga moyang kepada Samira. Kini dia mula menjejaki Samira untuk menurunkan seluruh ilmu warisan keluarganya kepada cicitnya itu setelah Maria dan anaknya enggan mewarisi kekuatan tersebut sebelum ini.

Maria[sunting | sunting sumber]

Maria binti Danial adalah anak perempuan kepada Meriam dan Danial, ibu kepada Mulia dan ibu tiri kepada Zillin. Suatu ketika dahulu dia pernah dipergunakan oleh Meriam untuk membalas dendam terhadap seluruh keturunan Marsani. Namun sifatnya berbeza daripada ibunya, Meriam kerana Maria merupakan seorang gadis yang baik hati dan pemaaf. Maria sedikitpun tidak menyimpan dendam terhadap keturunan Marsani malah dia memarahi Meriam yang ketika itu telah membunuh nyawa orang-orang yang tak berdosa hanya kerana demi melunaskan dendamnya. Dia kemudian berpindah dari Paku Laris setelah dia berkahwin dengan Aswad disebabkan tidak sanggup mendengar cacian dan hinaan orang-orang kampung yang mengelarkannya sebagai anak pontianak. Maria meninggal setelah dia melahirkan Mulia. Maria juga merupakan nenek kepada Samira yang enggan mewarisi kekuatan Meriam sebelum ini.

Molin @ Mulia[sunting | sunting sumber]

Mulia binti Aswad atau kini dikenali sebagai Molin adalah adik tiri kepada Zillin, isteri kepada Hakim, ibu kandung kepada Samira, anak kepada Maria dan Aswad serta cucu kepada Meriam. Setelah kematian ibunya, Maria, dia kemudian diserahkan kepada keluarga angkatnya sejak kecil oleh ayahnya, kerana ketika itu kesihatan Aswad sudah semakin merosot dan merasa tidak mampu untuk menjaganya lebih lama lagi. Molin seorang yang jenis tidak mempercayai wujudnya alam ghaib dan sering curiga dan memarahi anaknya itu kerana dia sering beranggapan bahawa kekerapan kehilangan Samira selama ini adalah disebabkan anaknya itu gemar berkeliaran pada waktu malam. Molin juga tidak mengetahui bahawa dia adalah waris Sarathika sehinggalah bapa saudaranya, Tok Siddiq menjelaskan perkara yang sebenar kepadanya.

Samira @ Mia[sunting | sunting sumber]

Samira binti Hakim adalah anak perempuan Molin dan Hakim, cucu kepada Maria dan cicit kepada Meriam. Dia sering hilang pada waktu malam ketika dia berumur 17 tahun. Dia selama ini tidak mengetahui bahawa dia adalah waris Sarathika sehinggalah dia bertemu dengan nenek moyangnya, Meriam. Setelah dia mengetahui bahawa dia adalah waris tunggal terpilih kaum Sarathika, dia kemudian dilatih oleh Bayang dan Putra bagi mempersiapkan dirinya untuk mewarisi kekuatan Meriam dan menghadapi musuh-musuhnya, iaitu waris Kaum Sukir Maluk yang ingin mengejar dan mendapatkan "Batu Mulia" yang mengandungi kekuatan luar biasa. Dia kemudian mula menyiasat latarbelakang sebenar keluarganya setelah dia bertemu dengan Meriam, Laila dan Bayang.

Penerbitan[sunting | sunting sumber]

Siri Anak Pontianak ini dirancangkan untuk membuat konsep yang berlainan daripada filem Pontianak Harum Sundal Malam 2. Shuhaimi yang pernah mengarah filem tersebut menjelaskan, "Kelainan yang dimaksudkan adalah dari segi era yang digunakan iaitu pada zaman milenium dan lebih moden berbanding filem 'PHSM 1 dan 2' yang menggunakan pakaian, latar set, bahasa dan lain-lain lagi yang menonjolkan zaman dahulu kala. Namun terdapat sedikit era yang terdapat dalam filem tersebut melalui babak imbas kembali (flash back) dan ketika Mia bertemu dengan keluarga Meriam."[1]

Tambah Shuhaimi lagi, ""Ini merupakan drama pertama Pesona Pictures dengan TV3. Melalui peluang yang diberikan, kami menggunakan pendekatan yang berlainan dengan membuat survei secara rambang untuk mencari apa yang khalayak mahukan. Kekuatan drama ini dari segi muzik dan pelakonnya. Apa yang ingin ditonjolkan dalam 'AP' bukan berlandaskan dendam semata-mata tetapi turut memaparkan kuasa sihir (magic) yang akan diketahui secara tidak disedari dan perlahan-lahan."[1]

Sebagai wajah baru dalam seni lakonan Malaysia ketika pengeluaran siri TV ini, Zarina An-Julie menceritakan pengalaman melakonkan watak utama, "Ini adalah pertama kali saya memegang watak 'besar' dan merasa ada beban yang harus dipikul sebab saya orang baru. Kadangkala saya ada memikirkan samada apa yang dilakukan itu betul atau salah dan akan berasa bimbang kerana berlakon dengan orang yang ada nama."[2]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b "Kuasa sihir dalam Anak Pontianak". mStar. 24 Okt 2007. Dicapai pada 4 Mei 2010.
  2. ^ Zarina An-Julie sakit-sakit badan jadi 'Anak Pontianak', mStar Online, 25 Okt 2007. Dicapai pada 4 Mei 2010.
TV3: Seram, Khamis, 9.30 malam
Sebelumnya Anak Pontianak Berikutnya
Susuk Saka