Anis Suraya

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Tengku Ani Soraya binti Tengku Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Anis Suraya (lahir 18 Disember 1980) merupakan seorang penyanyi wanita Malaysia. Anis Suraya yang wajahnya menyerupai Eksanti pelakon sinetron Indonesia ternyata dia sangat mengagumi Eksanti. Beliau merupakan salah seorang artis rakaman di Suria Records, bersama-sama dengan Siti Nurhaliza, Liza Hanim, Mazleela, Noraniza Idris, New Boyz dan Handy Black

Anis Suraya
Nama lahirTengku Ani Soraya binti Tengku Sulaiman
Juga dikenali sebagai
Anis Suraya
Kelahiran (1980-12-18) 18 Disember 1980 (umur 43)
Kuala Terengganu, Terengganu, Malaysia
GenrePop, R&B, Balada
PekerjaanPenyanyi
InstrumenVokal
Tahun aktif1998 - 2004
Syarikat rakaman
Suria Records
Pengkarya berkait
Shawn Bahrin, 2 by 2, Liza Hanim, Noraniza Idris, Mazleela, Aqasha

Beliau merupakan anak kelahiran negeri Terengganu dan merupakan sepupu kepada Sultan Terengganu iaitu DYMM Sultan Mizan Zainal Abidin Al-Watiqu Billah Shah. Anis Suraya dilahirkan dalam keluarga yang rata-rata amat meminati bidang seni di mana beliau merupakan adik kepada Shaharum, Juara Asia Bagus 1996 dan Shawn Baharin yang lebih dikenali sebagai Ricky Martin Malaysia satu ketika dahulu.

Sebagai anak seni negeri Terengganu, Anis Suraya mula menunjukkan minat dan bakat dengan tarian Melayu ketika beliau berusia 4 tahun apabila menjadi penari jemputan khas di Majlis Makan Malam Pegawai-Pegawai Kerajaan bersama Menteri Besar Terengganu; Wan Mokhtar bin Wan Ahmad  ketika itu. Anak bongsu kepada bekas penyanyi dan penari SUKTRA Terengganu; Rahemah binti Awang dan pengasas kugiran Starlight Band Terengganu; YAM Tengku Sri Laksamana Raja  ini telah mewarisi bakat bonda dan ayahandanya. Kemunculan beliau secara solo mengadakan persembahan nyanyian di Majlis Apresiasi Mahkamah Tinggi Terengganu 1989 di Dewan Tunku Abdul Rahman, Kuala Terengganu telah membuka peluang beliau  untuk terus bergiat dalam bidang seni di bumi Terengganu. Beliau sempat bersama dengan Taman Seni Perpustakaan Negeri Terengganu dalam persembahan tarian dan nyanyian dari 1989 sehingga 1991. Dengan platform yang terbina , beliau tidak melepaskan peluang untuk bersama memeriahkan program rakaman Radio Malaysia Terengganu (RTM) sebagai penyanyi jemputan dengan mempersembahkan lagu-lagu rakyat negeri Terengganu dan lagu-lagu popular sekitar tahun 1993 sehingga 1996.Galakkan dan dorongan ibubapa beliau, Anis terus melibatkan diri dan mengembangkan bakatnya dengan pelbagai pementasan tarian dan nyanyian sehingga beliau meningkat ke usia 16 tahun.

Selepas abangnya Shaharum menjuarai Asia Bagus 1996, beliau turut diundang sebagai penyanyi duet jemputan di dalam album Shaharum Keris terbitan Pony Canyon dengan lagu berjudul "Kesaktian Cinta". Selain itu, beliau juga merupakan Finalis Pertandingan Akhir Kategori Nyanyian bawah 12 tahun Wirawan Seni Remaja EON 1996 anjuran RTM. Pada tahun berikutnya, beliau dijemput oleh TV3 untuk mengadakan persembahan di Final Sinaran Komposer 1997 dan 1998.

Kerjaya dan Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Kerjaya nyanyian beliau bermula selepas menyertai Sinaran Pasport Kegemilangan 1996. Anis Suraya menerima lamaran daripada Adnan Abu Hassan yang pada masa itu merupakan Pengurus A&R di Suria Records dan menawarkannya kontrak rakaman penuh. Hasilnya, pada 1998, beliau muncul dalam album kumpulan 2 by 2 Juwitaku di mana beliau menyumbangkan suara untuk empat lagu duet; Siapa Dia Sebelum Daku, Juwitaku, Memori Duka dan Nostalgia Cinta yang turut menampilkan Mazleela.Pada 1 Februari 1999, album pertama Anis Suraya 1999 mula memasuki pasaran sehingga ke Brunei dan Singapura. Single Hit pertamanya CInta Tersimpul Rapi telah berjaya mengangkat namanya dalam industri muzik tanah air. Diikuti dengan album keduanya Getaran Cinta pada 28 Februari 2000 dan album ketiga Suara Hati pada tahun 2003. Beliau juga turut ditampilkan dalam album Liza Hanim Puteri Jelmaan dalam lagu 'Rindu Datang Bertamu' dan Aqasha dalam lagu 'Hadirnya Dirimu'.

Antara kejayaan peribadi beliau sepanjang bergelar artis rakaman, beliau telah berjaya mendapat tempat pertama dalam The International Song Festival Voice of Asia 2000 di Medeo Stadium,Almaty Kazakhstan dan The Best Arrangement Kazakhs Song- Shan Ana , lagu yang diberi inovasi oleh komposer terkenal tanah air, Allahyarham Dato Adnan Abu Hassan dan nyanyian oleh Anis Suraya dalam bahasa Kazakh. Kejayaan itu telah menjadi titik tolak kepada pihak penganjur Voice of Asia sekali lagi menjemput Anis Suraya untuk muncul bersama bekas pemenang-pemenang Voice of Asia di Astana, Kazakhstan pada tahun 2003.

Sungguhpun begitu, kejayaan beliau di luar negara dipandang sepi oleh pihak syarikat rakamannya sendiri, Suria Record Sdn Bhd. Namun beliau akur kerana pemergiannya ke Kazakhstan pada mulanya tidak dipersetujui oleh pihak pengurusan syarikat rakaman. Apabila pihak media mula mengajukan persoalan yang tak berpenghujung, SRC akhirnya mengadakan sidang media hanya selepas 2 minggu kepulangan beliau ke tanah air. Hal ini dipandang serius oleh bapanya, YAM Tengku Sri Laksamana Raja, lalu beliau diminta untuk berhenti bernaung dibawah syarikat rakaman tersebut. Beliau akur dengan keputusan ayahandanya namun kerjaya seninya makin rancak setelah kemenangannya mula diterima oleh industri dan peminat-peminat.

Album ketiga album terakhir bersama Suria Records.[sunting | sunting sumber]

Setelah album ketiga beliau, Suara Hati dipasarkan pada awal tahun 2003, beliau telah pun mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontrak bersama SRC. Beliau mula bergerak sendiri dan menjalankan aktiviti-aktiviti seni secara freelance. Anis Suraya turut diundang menyanyikan lagu tema Citrawarna Malaysia pada tahun 2004 dengan rakan duetnya Asha Malik; juga merupakan artis naungan SRC ketika itu. Lagu 'Tiada Aedes Tiada Denggi' yang dirakamkan pada tahun 2005 secara solo dalam dua bahasa masih lagi dimainkan di stesen RTM dan radio.

Karier mula bercabang[sunting | sunting sumber]

Sekembalinya beliau ke negeri kelahirannya, Terengganu Darul Iman, karier seninya terus berkembang. Dengan berbekalkan namanya yang masih lagi utuh dalam industri muzik tanahair, beliau telah menyertai badan kesenian dan kebudayaan negeri Terengganu iaitu Taman Budaya yang kini dikenali sebagai Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri (JKKN) Terengganu di Kuala Terengganu. Perjuangan dalam memartabatkan seni dan budaya Terengganu melalui seni tari, nyanyian lagu rakyat negeri dan Gamelan Melayu, beliau sering dijemput mengadakan persembahan di serata Malaysia dan di luar negara termasuk di Brunei Darussalam dan Singapura.

Pada pertengahan tahun 2004, beliau bersama Kontijen Kebudayaan Negeri Terengganu telah diundang untuk mengadakan persembahan kebudayaan di International Dieppe Kites Festival 2004 di Paris selama 2 minggu. Pada tahun yang berikutnya, beliau telah menerima tawaran pertama sebagai wanita bersyair bagi Teater Sultan Zainal Abidin 3 yang diadakan di JKKN dan merupakan kemunculan sulong di pentas teater. Pada pertengahan tahun 2005, beliau bersama Unit Kebudayaan Taman Budaya yang dipimpin oleh Abdul Rahim Shamsuddin - koreografer berpengalaman telah menghasilkan satu teater muzikal yang berjudul Pecah Ruyung, iaitu teater muzikal yang julung kalinya diadakan di bumi Terengganu Darul Iman dengan mengetengahkan pelakon-pelakon teater yang terhebat digabungkan dengan penari-penari kebudayaan yang sememangnya berkebolehan dan berpengalaman. Persembahan teater muzikal itu telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan terutamanya di kalangan anak-anak muda Terengganu yang ketika itu baru mula mengenali dan merasai impak teater berbentuk muzikal. Pada tahun 2006, beliau telah memulakan kerjanya sebagai artis budaya di bawah Kumpulan Kesenian Muzium Negeri Terengganu sebagai penyanyi, penari dan pemuzik Gamelan Melayu.Beliau turut diundang menjadi pengacara jemputan untuk Festival Gamelan Sedunia 2008, iaitu festival yang julung kalinya diadakan di bumi Terengganu yang mengetengahkan kumpulan-kumpulan Gamelan fantarabangsa seperti Gamelan Melayu Nottingham, UK; Gamelan Gondrong Gunarto, Surakata; CCOM Beijing, China; Gabungan Karawitan Darmasiswa Eropah; Gamelan Sangrila Ubud, Bali; Gamelan Wasabi, Tokyo; Tarian Gastarana, Sumatera Barat dan beberapa lagi kumpulan dari dalam negara.

Walaupun kerjaya seninya sebagai artis rakaman SRC tamat pada awalnya, namun minatnya terhadap dunia nyanyian tidak pernah putus. Bahkan kerjaya seninya semakin berkembang dari semasa ke semasa. Beliau kini bukan sahaja bergelar penyanyi, bahkan beliau juga turut berkecimpung dalam industri pelancongan negeri Terengganu dalam skop seni dan budaya negeri serta bergiat aktif di salah sebuah institusi pengajian negeri dalam membentuk, membimbing dan mengajar pelajar-pelajar institusi khususnya dalam senitari, koir, pengacaraan dan sebagai fasilitator seni dan budaya negeri. Beliau juga aktif mengadakan pro-coaching kelas vokal dan seni persembahan untuk komuniti dan sesiapa yang berminat. Ternyata minatnya dan bakatnya dalam bidang seni tidak dapat disangkal berbekalkan pengalaman dan pencapaian yang pernah dikecapi selama ini telah mematangkan Anis Suraya.

Perkahwinan[sunting | sunting sumber]

Suami : Azmaimi Mohammad

Tarikh perkahwinan : 21 November 2010

Anak-anak :

  1. Puteri Elisya Farzana bin Wan Kasmizi - 16 tahun (perkahwinan terdahulu)
  2. Muhamad Fariz Putra bin Azmaimi - 6 tahun
  3. Muhamad Baihaqi Putra bin Azmaimi - 5 tahun
  4. Muhamad Adam Putra bin Azmaimi - 4 tahun

Diskografi[sunting | sunting sumber]

Album rakaman[sunting | sunting sumber]

Lagu-lagu duet[sunting | sunting sumber]

SHAHARUM "KERIS" - Kesaktian Cinta (duet bersama Shaharum) terbitan Pony Canyon[sunting | sunting sumber]

2 BY 2 - JUWITAKU (1998) terbitan SRC[sunting | sunting sumber]

  1. Siapa Dia Sebelum Daku (duet bersama 2 by 2)
  2. Nostalgia Cinta (duet bersama 2 by 2 & Mazleela)
  3. Juwitaku (Semarak Hati) (duet bersama 2 by 2)
  4. Memori Duka (duet bersama 2 by 2)

2 BY 2 - THE BEST OF 2 BY 2 (2001) terbitan SRC[sunting | sunting sumber]

  1. Memori Duka (duet bersama 2 by 2)

Puteri Jelmaan (Liza Hanim - 1999) terbitan SRC[sunting | sunting sumber]

  1. Rindu Datang Bertamu (duet bersama Liza Hanim)

Album kompilasi (bersama artis-artis lain) terbitan SRC[sunting | sunting sumber]

SRIKANDI (1999)

  1. Cinta Tersimpul Rapi
  2. Setiap Nafasku Kernamu

Gema Hari Raya (2000)[sunting | sunting sumber]

  1. Bersabarlah Sayang
  2. Aidilfitri Di Alaf Baru (bersama Siti Nurhaliza, Noraniza Idris, Liza Hanim & New Boyz)

SRIKANDI 2 (2002)

  1. Selamilah Hati Ini
  2. Hadirlah

Bintang Hati (2005)[sunting | sunting sumber]

  1. Permata

Rujukan[sunting | sunting sumber]

<http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2001&dt=0820&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_01.htm Diarkibkan 2018-11-13 di Wayback Machine<>

<http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2000&dt=0819&pub=utusan_malaysia&sec=Hiburan&pg=et_01.htm Diarkibkan 2018-11-13 di Wayback Machine<>

<http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2002&dt=0206&pub=Utusan_Malaysia&sec=Hiburan&pg=hi_02.htm Diarkibkan 2018-11-13 di Wayback Machine<>

<http://nubhanahamad.blogspot.com/2009/10/laluan-kami-berbeza-harian-metro.html<>

<http://oeclip.com/emp.php?v=z9yJJecLdXg<>

Pautan luar[sunting | sunting sumber]