Noraniza Idris

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Noraniza Idris
Latar belakang
Nama lahir Nor Aniza binti Haji Idris
Juga dikenali sebagai Noraniza Idris
Kelahiran 27 Ogos 1968 (48 tahun)
Kluang, Johor Bahru
Berasal dari Malaysia
Genre Pop, Irama Malaysia, Etnik Kreatif
Pekerjaan Penyanyi, penggubah lagu, penulis lirik
Instrumen Vokal
Tahun aktif 1985–sekarang
Label Life Record, Sony Music, Suria Records, Universal Music
Kegiatan berkait Abdullah Chik, Ibnor Riza, Dato' Siti Nurhaliza
Laman web http://www.akarkitazapin.com.my/

Nor Aniza binti Haji Idris (lahir pada 27 Ogos 1968) atau lebih dikenali sebagai nama pentasnya, Noraniza Idris merupakan seorang penyanyi, penerbit, penggubah lagu,penulis lirik yang cukup terkenal di Malaysia. Beliau merupakan salah seorang penyanyi Malaysia terbaik yang berjaya melahirkan album solo di setiap 4 dekad berturut selain M Nasir, Anita Sarawak, Sharifah Aini, Khatijah Ibrahim, Jamal Abdillah dan Ramlah Ram. Memulakan karier nyanyian sejak 1985, Noraniza Idris cukup sinonim dengan lagu-lagu yang berentak irama tradisional dan etnik kreatif sehingga beliau mendapat jolokan Ratu Irama Tradisional Malaysia. Sehingga kini beliau masih kukuh di persada seni memperjuangkan irama budaya. Sepanjang karier seninya sejak 1985, beliau banyak meraih kejayaan di anugerah-anugerah besar muzik tanah air melalui albumnya, lagu dan persembahan pentas.

Latar belakang[sunting | sunting sumber]

Nor Aniza binti Haji Idris dilahirkan pada 27 Ogos 1968 di Kampung Melayu, Kluang Johor. Anak kepada penyanyi boria dan qariah Al-Quran ini, ialah anak keenam daripada 12 adik-beradik. Berpendidikan rendah di Sekolah Tengku Mahmud 1, Kluang dan seterusnya melanjutkan pengajian di Sekolah Tinggi Kluang. Noraniza juga turut dikenali sebagai Kak Ani yang merupakan nama panggilannya.

Pembabitan awal[sunting | sunting sumber]

Noraniza Idris telah menyertai Bintang RTM pada tahun 1983 dan 1985 sebelum merakamkan lagu dalam album. Ketika menjalani rakaman peringkat awal Bintang RTM 1985, Hamidi Rashid, Pengurus Artis dan Reportaire Life Record pada masa itu, tertarik dengan kelunakan suara Noraniza Idris. Dia lalu mendekati Noraniza dan ayahnya, Idris Ahmad, ketika kedua-dua anak beranak itu menikmati juadah di kantin Angkasapuri. Hamidi menawarkan Ani menjadi artis syarikat rakamannya. Ini peluang keemasan biarpun pertandingan Bintang RTM belum selesai. Idris setuju Noraniza menjadi artis rakaman. Pada separuh akhir Bintang RTM 1985, Noraniza gagal lagi namun ia tidak menangis seperti ketika kegagalan 1983. Mungkin dia sudah dewasa. Tambahan pula, kehadiran Hamidi bagaikan ubat yang dicari selama ini.

Kerjaya nyanyian[sunting | sunting sumber]

1985-1997: Melayu Deli, Mengemis Rindu, Lagu-lagu dari Filem, Kenangan Lama dan Ala Dondang

Beliau dianggap beruntung kerana dapat merakam suara untuk album lagu-lagu daripada filem bersama penyanyi terkenal lain berjudul Melayu Deli. Sejak itu, Noraniza terus diberi peluang merakamkan satu demi album bersama Life Records. Bermula dari situ, Noraniza Idris telah membentuk imej dan personalitinya sebagai seorang penyanyi.

Setelah Melayu Deli, Noraniza Idris merakamkan album Kaparinyo : Seleksi Lagu-lagu Dari Filem dan Nostalgia Malindo sebanyak 3 Volume. Popularitinya semakin meluas apabila beliau merakamkan pula lagu-lagu sendiri menerusi 3 buah album pop Melayu Mengemis Rindu, Inginku Sandarkan Harapan dan Masihkah Dirimu Menyayangiku. Noraniza mula mengikat kontrak bersama syarikat rakaman antarabangsa Sony Music pada 1991 sekaligus berpeluang bekerjasama dengan penerbit terkenal Ramli M.S.. Album perdananya bersama Sony adalah sebuah album duet bersama penyanyi pop terkenal Ibnor Riza yang berjudul Seindah Budimu.

Setelah itu beliau mula merakamkan lagu-lagu dari filem Melayu klasik menerusi album Lagu-lagu dari Filem dan Kenangan Lama, sebanyak 9 Volume bersama Abdullah Chik setelah gandingan bersama Ibnor tidak mendapat sambutan menggalakkan berbanding dengan Abdulah Chik. Sony Music seterusnya menerbitkan album pop etnik berjudul Noraniza Idris pada 1992 terbitan Ramli M.S bersama Jimmy Ali yang mula membuka jalan kepada Noraniza untuk mencuba muzik etnik kontemporari. Walaubagaimanapun, album ini tidak mendapat sambutan yang menggalakkan ekoran pasaran muzik tradisional masih berada di tahap konvensional.

Selepas album tersebut, Noraniza masih aktif menyanyi bersama Abdullah Chik tambahan beliau telah keluar dari Sony Music. Namun pada 19 September 1995 ketika bersama menjayakan sebuah pertunjukan pentas di Kota Bharu, Kelantan, Abdullah Chik jatuh di belakang pentas lalu menghembuskan nafas terakhir, yang kemudiannya disahkan akibat serangan jantung. Jenazah Abdullah Chik dibawa ke Kuala Lumpur dan dikebumikan di tanah perkuburan Islam, Petaling Jaya. Sejak itu Noraniza sedikit murung dan tidak bersemangat untuk terus memperjuangkan irama tradisional Melayu.

Setelah tiga tahun menyepi kerana memberi perhatian terhadap keluarga, akhirnya pada tahun 1997, Noraniza Idris telah melahirkan album eksperimental yang bercorak pop tradisional, Pertemuan beliau bersama penerbit album tradisional terkenal Suhaimi Mohd Zain atau lebih dikenali sebagai Pak Ngah ternyata memberi tuah. Maka lahirlah album Ala Dondang yang diterbitkan atas kepercayaan Suria Records (SRC). Oleh kerana sambutan yang menggalakkan, album itu mencecah jualan melebihi 100,000 ribu unit. Noraniza menerima banyak pengiktirafan antaranya memenangi Album Pop Etnik Terbaik untuk Anugerah Industri Muzik 1998.

1998-2000: Masyhur, Seri Balas dan Iktiraf

Selepas kelahiran album Ala Dondang, beliau terus kekal merakamkan album-album yang berirama tradisional seperti Masyhur dan album duet bersama Siti Nurhaliza, Seri Balas. Noraniza diiktiraf sebagai pelopor kepada irama Pop Etnik dan Tradisional kerana berani menerbitkan album tradisional secara tidak konvensional seperti sebelum ini. Pada masa itu, lahirlah lagu-lagu yang telah menjulang nama Noraniza Idris dengan lagu-lagu pop tradisional seperti Dikir Puteri, Dondang Dendang, Zapin Pusaka serta duet Noraniza bersama Siti Nurhaliza menerusi lagu Hati Kama.

Pada album yang berikutnya, Noraniza Idris telah membuat satu pembaharuan pada album beliau dengan menyelitkan lagu yang berunsurkan peribumi tradisional. Maka terbitlah lagu Ngajat Tampi ciptaan Rosli Selasih dan Siso dalam album Bekaba, selain itu lagu yang berkonsepkan hadrah, Tinting yang merupakan single pertama daripada album Bekaba. Seterusnya Noraniza terus melahirkan album-album yang banyak bereksperimen dengan muzik sejagat hingga diberi gelaran Ratu Pop Tradisional.

Selepas diberi penghargaan untuk menyanyikan secara live lagu Dikir Puteri di Sukan Komanwel pada tahun 1998 bersama Siti Nurhaliza yang turut menyanyikan lagu popularnya, Cindai. Mereka berdua disatukan untuk bergandingan dalam satu album duet berkonsepkan tradisional yang berjudul Seri Balas. Setelah berjaya mengangkat muzik pop tradisional di mata masyarakat, menerusi album duet ini, Noraniza dan Siti telah berjaya mengumpul lebih ramai peminat lagu tradisional pada semua lapisan masyarakat sehingga mencetuskan fenomena. Gabungan mereka berdua dianggap sebagai pasangan duet yang serasi. Tuah menyebelahi Noraniza dan Siti apabila album yang mendapat sentuhan Pak Ngah itu berjaya memenangi Album Terbaik di Anugerah Industri Muzik 2000. Lagu hits mereka, Hati Kama juga berjaya memasuki pencalonan untuk Lagu Terbaik tetapi gagal memenangi anugerah tersebut. Rezeki mereka terus melimpah ruah apabila mereka berjaya menggondol trofi Juara kategori Etnik Kreatif di Anugerah Juara Lagu 2000. Begitu hebat penangan Noraniza Idris dan Siti Nurhaliza pada ketika itu hingga ada pihak yang tidak berpuas hati nak melaga-lagakan mereka.

Pada tahun 2000, lahir pula album bercorak pop tradisional berjudul Iktiraf. Album kali ini Noraniza sekali lagi mendapat sentuhan Pak Ngah. Album Iktiraf berjaya menembusi pencalonan untuk Album Pop Etnik Terbaik, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) dan Lagu Terbaik untuk lagu Iboq (Kita) di Anugerah Industri Muzik 2001.

2002-sekarang: Aura, Sawo' Matang dan Konsert Lentera Muzika Noraniza Idris Masyhur 30 Tahun

Pada tahun 2002, menyaksikan Noraniza tidak lagi bekerjasama dengan komposer, Pak Ngah menerusi album Aura. Noraniza inginkan pembaharuan untuk album tersebut dengan tidak bergantung kepada Pak Ngah. Dalam album tersebut, Noraniza mengambil suaminya sendiri Fareez Tajuddin (sekarang bekas suami) sebagai penerbit album kali ini. Tampil dengan muzik lebih segar seperti Hala Timur, Layar Battuta, Tandang Bermadah, Melereng dan banyak lagi yang terkandung.

Pada tahun 2003, Noraniza telah mengumumkan beliau telah tamat kontrak daripada syarikat rakaman Suria Records. Noraniza Idris beralih pula kepada label Universal Music Malaysia untuk pemasaran album seterusnya Sawo' Matang. Pada ketika itu, Noraniza Idris mempunyai label sendiri, Gerak Budaya Sdn Bhd. Ternyata, apabila Noraniza bergerak sendiri tanpa di bawah pengurusan Pak Ngah dan Suria Records, album Sawo' Matang membawa tuah apabila beliau meraih banyak anugerah. Album Sawo' Matang diiktiraf sebagai Album Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-12 dan tercalon untuk Kulit Album Terbaik dan Album Terbaik pada ketika itu. Single pertama yang terkandung dalam album tersebut, Hatinya Tak Tahan pula berjaya menggondol trofi Persembahan Terbaik di Anugerah Juara Lagu ke-19 dan memenangi Lagu Global Pilihan di Anugerah Era 2004.

Pada tahun 2006, Noraniza Idris telah menerbitkan sebuah album kompilasi khas untuk menandakan 20 tahun penglibatan beliau dalam industri muzik ini, iaitu Lenggok 20 Tahun. Album ini memuatkan 2 buah lagu baru, Racau Sang Khalifah duet bersama Liza Hanim dan Asyik Bisikan Hubah. Album ini juga sempat memuatkan sebuah lagu lama yang diolah semula, Dayung Sampan, menampilkan pemain erhu, He Yun yang didatangkan khas dari negara China.

Pada tahun 2008 pula, Noraniza Idris telah melancarkan sebuah single hari raya berjudul Cinta Lebaran bersama kumpulan Akasia yang mana kumpulan tersebut terlibat dalam satu program realiti TV, Gangstarz. Noraniza berkata, single tersebut merupakan single pertamanya selepas beliau bertudung. Selain itu, pada tahun itu juga menyaksikan Noraniza Idris diberi penghormatan apabila lagu-lagu nyanyiannya dipilih untuk mewakili konsep muzik Melayu Kontemporari dalam pertandingan realiti Sehati Berdansa Musim 2. Lagu-lagunya dipilih untuk persembahan tarian oleh kesemua peserta program tersebut (yang terdiri daripada pasangan selebriti Malaysia). Noraniza turut menjadi juri jemputan pada malam itu.

Setelah sekian lama tidak mengeluarkan sebarang album mahupun lagu. Pada tahun 2009, Noraniza kembali mengubati kerinduan peminatnya dengan melancarkan sebuah single berkonsepkan Etnik Fusion yang berjudul Enjut. Lagu hasil kerjasama Cat Farish, Illegal, Adeeb serta Ahmad Fedtri Yahya sebagai penulis liriknya. Ia sebagai pengenalan single pertamanya sebelum beliau melancarkan album studionya pada tahun 2010 dan single ini juga pertama kali dikeluarkan selepas beliau berhijab. Walaupun ada yang mengatakan lagu tersebut ada unsur lucah, Enjut berjaya diiktiraf sebagai Lagu Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik ke-17 (AIM17) dan tercalon top 5 Lagu Terbaik. Noraniza turut bersaing di peringkat separuh akhir Muzik-Muzik 24 tetapi gagal ke peringkat akhir.

Pada tahun 2010, Noraniza Idris merakamkan sebuah lagu raya berjudul Selamat Hari Raya ciptaan Jasnie Mohd Yaakob. Lagu tersebut dimuatkan dalam sebuah album kompilasi hari raya eRama Aidilfitri: Menjelang Syawal keluaran eRama Records.. Seterusnya pada 30 Disember, setelah lima tahun tanpa mengeluarkan sebarang album, Noraniza kembali menerbitkan sebuah album yang dinamakan Cintaku Satu yang menyaksikan beliau bekerjasama dengan penyanyi-penyanyi baru seperti Jaclyn Victor, Marsha Milan Londoh, Bob AF, Dior, Black dan ramai lagi. Adik kepada Noraniza sendiri, Zahid Idris selaku penerbit album ini.

Pada April 2016, menyaksikan beliau kembali dengan persembahan khas Konsert Lentera Muzika Noraniza Idris Masyhur 30 tahun yang diadakan selama satu jam setengah sempena ulang tahun ke-30 Noraniza Idris di arena bidang muzik, kehadiran ratusan peminat memenuhi Auditorium Angkasapuri, Kuala Lumpur, ternyata aura Noraniza Idris masih berbisa sehingga kini, dengan gerak tarinya yang memukau, Noraniza masih mengekalkan konsep yang sama iaitu membawa segerombolan penari di atas pentas. Pada masa yang sama, beliau mengimbau semula perjalanan awal kerjaya seni beliau serta jatuh bangunnya dalam memartabatkan serta memperjuangkan irama Etnik Kreatif Tradisional sehingga dia diangkat serta diiktiraf sebagai Ratu Etnik Kreatif atau Ratu Irama Tradisional.

Di samping itu, beliau juga telah menampilkan beberapa buah lagu etnik peribumi yang berjaya membawa nama Malaysia ke mata dunia. Antara lagu-lagu yang dipersembahkan pada malam itu adalah Enjut, Hatinya Tak Tahan, Ayuh! Juragan, Hati Kama, Dondang Dendang, Ngajat Tampi dan banyak lagi. Noraniza turut perkenalkan dua buah lagu baharunya, Puncak Gapura menampilkan Ihab Ismail dan #MohonTerasa duet bersama artis baru, L'Zzay.

Pada pertengahan bulan Ramadhan, Noraniza Idris berkesempatan menghadiahkan buah tangan terbaru untuk peminatnya sempena pembabitannya dalam industri muzik selama 30 tahun dengan melancarkan sebuah album khas hari raya berjudul Ria Aidilfitri. Konsep album ini lebih menjurus kepada sketsa pendek yang diselang-seli lagu-lagu raya nyanyian beliau bersama artis-artis baharu dibawah produksinya sendiri, Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd.

Noraniza berkata, dia ingin mengangkat tema berkenaan kerana karya berbentuk demikian sudah lama tidak diterbitkan selain memberi peluang kepada generasi baharu mengenali maksud album yang mempunyai konsep seperti itu.

"Kali terakhir saya dengar album seperti ini sewaktu berusia 7 tahun menerusi sebuah karya melibatkan artis-artis popular ketika itu seperti Allahyarhamah Datuk Sharifah Aini, Allahyarham Latif Ibrahim, Hail Amir, Uji Rashid dan Datuk Khatijah Ibrahim.

"Sehingga sekarang saya sangat merindui album itu kerana mesej disampaikan mendorong saya untuk menghasilkan sketsa bermesej yang diselang seli dengan lagu-lagu nyanyian kami.

"Menerusi Ria Aidilfitri ia turut dimeriahkan dengan ucapan khas penyanyi jemputan terlibat mengikut lagu yang turut dilakonkan secara santai," katanya.

Album memuatkan 12 buah lagu, lapan buah lagu baharu manakala empat daripadanya nafas baharu. Melibatkan artis-artis seperti Mimi Fly One Nation Emcees, Royce Sa'ayan, L'Zzay, Azmir Arif, Razis Ismail, Ihab Ismail dan dua orang anak Noraniza sendiri iaitu Fee Haiqal dan anak tirinya, Fadzlee Sufri.

Antara lagu-lagu yang terkandung adalah Rewang Raya, Angin Cinta Di Aidilfitri, Ahlan Wasahlan Ya Syawal, Nostalgia Aidilfitri, Kalimah Lebaran, Akar Kita Zapin Aidilfitri, Linangan Syawal dan Ria Aidilfitri.

Terbit program khas Takbir Hari Raya bersempena Aidiladha

Seramai 60 penyanyi lelaki daripada pelbagai genre muzik berganding bahu menjayakan rakaman takbir Hari Raya Aidiladha yang diadakan di IDCC Shah Alam pada 27 Ogos 2016 yang mana hari itu juga merupakan hari kelahiran Noraniza yang ke-48.

Noraniza Idris selaku penerbit program ini berkata, kesudian mereka yang terlibat dalam rakaman berkenaan bukti mereka sanggup mengenepikan tugas masing-masing demi menyumbang sesuatu kepada agama dan bangsa. Noraniza melahirkan rasa syukur kerana rakaman dibuat berjaya biarpun masing-masing sibuk dengan tugas namun mereka sudi meluangkan masa. Beliau rasa berbesar hati kerana dapat menunaikan hajat untuk merakamkan takbir hari raya ini bersempena dengan hari lahirnya yang jatuh pada hari rakaman tersebut.

Antara selebriti yang terlibat pada rakaman itu adalah Aris Ariwatan, Mel Wings, Rozz Bloodshed, Afee Utopia, Ezam EYE, Nash, Saleem dan Raymie Febians. Manakala penyanyi generasi baharu juga turut memberi sokongan seperti Aweera, Ihab Ismail, Firman, Azmir Arif, Fadzlee Sufri, Fee Haiqal dan Qody.

Ia adalah kerjasama di antara IDCC Shah Alam, Persatuan Belia Kota Gagasan dan Noraniza Idris Production Ventures Sdn Bhd.

Rakaman tersebut disiarkan menerusi saluran TV Alhijrah pada Hari Raya Aidiladha, 12 September 2016.

Dalam pada itu, Noraniza berkata, menerusi rakaman takbir raya bersama selebriti itu juga ia dapat mengubah persepsi sesetengah masyarakat terhadap golongan selebriti. Ini kerana artis Malaysia juga berperanan dalam menyampaikan mesej berunsurkan Islamik dan nilai-nilai murni sebagai ikon kepada generasi hari ini dan juga sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial artis kepada masyarakat yang bersifat mendidik dalam membentuk akhlak mulia.

Selain itu, menerusi program seumpama ini ia juga dapat mengeratkan kembali silaturahim di antara rakan-rakan artis yang mungkin sebelum ini pernah terputus hubungan.

Siri Jelajah Akar Kita Zapin[sunting | sunting sumber]

Program Jelajah Budaya dalam membentuk jati diri dengan penerapan cinta diri, agama, bangsa, budaya & negara menerusi apresiasi Rukun Negara dan aspirasi budaya 6 etnik utama Malaysia: Melayu, Cina, India, etnik Sabah, etnik Sarawak & Orang Asli. Program ini telah dilancarkan pada tahun 2012.

Sebagai tunjang utama dalam program tersebut, pada tahun 2015, Noraniza Idris memperkenalkan tarian zapin ke seluruh negara melalui program Siri Jelajah Merdeka Aeon Akar Kita Zapin 2015 bermula 1 Mei sehingga 30 Ogos 2015. Siri jelajah itu melibatkan Zon Utara di Taiping; Zon Timur di Seri Manjung, Perak; Zon Tengah di Rawang, Selangor, Zon Selatan di Johor Bahru.

Uniknya mengenai program berkenaan ialah ia memperkenalkan konsep battle seperti dalam tarian moden yang menuntut peserta mereka tarian zapin yang tidak mampu ditumpaskan pasukan lawan.

Walaupun begitu, Noraniza menjelaskan, peserta di setiap zon diberikan tema tarian zapin tertentu supaya mereka mempelajari dan menghayati nilai estetika dalam sebuah tarian zapin.

Katanya lagi, setiap negeri di Malaysia mempunyai tarian zapin yang tersendiri sekali gus memberi peluang kepada pasukannya mengumpul maklumat dan merekodkan tarian itu sebagai rujukan pada masa akan datang. Noraniza telah melantik Dr Ihab Ismail sebagai ikonnya sekaligus menjadikan Ihab sebagai artis pertama di bawah naungan produksinya.

Perkahwinan[sunting | sunting sumber]

Beliau mendirikan rumahtangga buat kali pertama pada 31 Mac 1988 bersama rakan seperjuangannya dalam bidang nyanyian iaitu penyanyi Mohd Fauzi Mohd Tajuddin atau Fareez dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki yang kini sudah beranjak dewasa, Aliff Haiqal dan Alfeeq Haiqal. Namun jodoh mereka berakhir pada sekitar April 2006. Kemudian beliau bertemu jodoh buat kali kedua pada tahun 2008 dan bernikah dalam satu majlis tertutup. Kali ini suaminya yang merupakan ahli perniagaan namun perkahwinan mereka hanya bertahan selama 45 hari.

Selepas dua tahun hidup solo, pada 29 September 2011, Noraniza kembali menamatkan zaman solonya dengan berkahwin kali ketiga dengan seorang bilal yang juga duda anak empat bernama Jeffri Hudi yang berasal dari Singapura. Sehingga kini suaminya menjadi tulang belakang dalam menguruskan kerjaya seni Noraniza sendiri.

Penghijrahan[sunting | sunting sumber]

Noraniza Idris mula berhijrah memakai hijab sejak 2008 selepas sahaja beliau berkahwin kali kedua, Noraniza mengambil keputusan untuk berhijrah kerana impian beliau untuk bertudung sudah lama diimpikan. Rata-rata ramai peminat gembira dengan penghijrahan tersebut dan mendoakan agar penghijrahan itu kekal.

Album[sunting | sunting sumber]

Rencana utama: Diskografi Noraniza Idris

Album Solo[sunting | sunting sumber]

  1. Kaparinyo (1986)
  2. Nostalgia Malindo (1987)
  3. Mengemis Rindu (1987)
  4. Inginku Sandarkan Harapan (1988)
  5. Masihkah Dirimu Menyayangiku (1990)
  6. Noraniza Idris (1992)
  7. Ala Dondang (1997)
  8. Masyhur (1998)
  9. Bekaba (1999)
  10. Iktiraf (2000)
  11. Aura (2002)
  12. Sawo' Matang (2004)
  13. Lenggok 20 Tahun (2006)
  14. Cintaku Satu (2010)

Album Kompilasi[sunting | sunting sumber]

  1. Seri Balas duet bersama Siti Nurhaliza (1999)
  2. Srikandi (1999)
  3. Molek bersama Siti Nurhaliza dan Liza Hanim (1998)
  4. Srikandi 2 (2002)
  5. The Best Of Ratu Pop Tradisional (2004)
  6. Ria Aidilfitri (2016)

Anugerah / Pencapaian[sunting | sunting sumber]

Anugerah Utama[sunting | sunting sumber]

  1. Pingat Ahli Mahkota Pahang (AMP) : kurniaan Sultan Pahang
  2. Wanita Pertama Pelopor Pop Tradisional : pengiktirafan MAWAR Johor (2000)
  3. Anugerah Jasa Bakti Seniman (JBS) : pengiktirafan Yayasan Insan Melaka (YIM) (2010)

Anugerah Industri Muzik[sunting | sunting sumber]

Anugerah Industri Muzik Malaysia (AIM)
Tahun Kategori Karya Tercalon Album Keputusan
1998
  • (AIM ke-5)
Album Terbaik Ala Dondang Ala Dondang Dicalonkan
Album Pop Etnik Terbaik Menang
1999
  • (AIM ke-6)
Album Terbaik Masyhur Masyhur Dicalonkan
Album Pop Etnik Terbaik Menang
Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) Noraniza Idris Dicalonkan
2000
  • (AIM ke-7)
Lagu Terbaik Hati Kama
duet bersama Siti Nurhaliza
Pak Ngah / Hairul Anuar Harun
Seri Balas Dicalonkan
Album Terbaik Seri Balas Menang
Album Pop Etnik Terbaik Menang
Bekaba Bekaba Dicalonkan
2001
  • (AIM ke-8)
Lagu Terbaik Iboq
Indra / Siso
Iktiraf Dicalonkan
Album Pop Etnik Terbaik Iktiraf Dicalonkan
Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Album (Wanita) Noraniza Idris Dicalonkan
2003
  • (AIM ke-10)
Album Pop Etnik Terbaik Aura Aura Dicalonkan
2005
  • (AIM ke-12)
Album Terbaik Sawo' Matang Sawo' Matang Dicalonkan
Album Pop Etnik Terbaik Menang
Kulit Album Terbaik Dicalonkan
2010
  • (AIM ke-17)
Lagu Terbaik Enjut
duet bersama Cat Farish & Adeeb
Cat Farish / Illegal / Ahmad Fedtri Yahya / Adeeb
Cintaku Satu Dicalonkan
Lagu Pop Etnik Terbaik Menang
2012
  • (AIM ke-19)
Lagu Terbaik Kuasa Cinta
duet bersama Black Hanafiah
Edrie Hashim / Ahmad Fedtri Yahya
Dicalonkan
Lagu Pop Etnik Terbaik Menang
Endang Endong (Versi Cintaku Satu) menampilkan Bob AF, Marsha, Jaclyn Victor, Elji Enava, Dior & Karen Tan
Wan Mohd Logan / Noraniza Idris / Ahmad Fedtri Yahya
Dicalonkan
Hari Demi Hari
menampilkan Dior & Karen Tan
Dior Shaari / Noraniza Idris / Ahmad Fedtri Yahya
Dicalonkan
Mahligai
duet bersama Jaclyn Victor
Helen Yap / Ahmad Fedtri Yahya
Dicalonkan
Menarik Hati
duet bersama Marsha
Asmin Mudin / Ahmad Fedtri Yahya
Dicalonkan
2013
  • (AIM ke-20)
Lagu Pop Etnik Terbaik Selamat Datang duet bersama Ihab Ismail

Ihab Ismail / Ihab Ismail

Dicalonkan
2014
  • (AIM ke-21)
Lagu Pop Etnik Terbaik Kalimah Lebaran menampilkan Razis Ismail & Azmir Arif

Pak Ngah / Ahmad Fedtri Yahya

Dicalonkan

Anugerah Juara Lagu[sunting | sunting sumber]

Anugerah Juara Lagu (AJL)
Tahun Lagu Album Pencipta Lagu Penulis Lirik Kategori Keputusan
1997 (AJL 12) Awallah Dondang Ala Dondang Anak Sarawak Hairul Anuar Harun Irama Malaysia / Etnik Kreatif Dicalonkan
1998 (AJL 13) Dikir Puteri Masyhur Pak Ngah Menang
  • Persembahan Terbaik
1999 (AJL 14) Dondang Dendang Menang
  • Persembahan Terbaik
Hati Kama
Duet bersama Siti Nurhaliza
Seri Balas Menang
  • Juara Kategori
2000 (AJL 15) Tinting Bekaba Dicalonkan
Ngajat Tampi Rosli Selasih Siso Menang
  • Persembahan Terbaik
2002 (AJL 17) Hala Timur Aura Eddie Hamid ND Lala Dicalonkan
2003 (AJL 18) Tandang Bermadah Noraniza Idris & Narawi CD Raja Kobat & Noraniza Idris Dicalonkan
2004 (AJL 19) Hatinya Tak Tahan Sawo Matang Noraniza Idris Siso Menang
  • Persembahan Terbaik
2005 (AJL 20) Ayuh! Juragan Ahmad Fedtri Yahya Dicalonkan

Anugerah Bintang Popular/Berita Harian[sunting | sunting sumber]

Anugerah Bintang Popular/Berita Harian (ABPBH)
Tahun Kategori Keputusan
1988 Penyanyi Wanita Popular Dicalonkan
1997/98 Penyanyi Wanita Popular Dicalonkan
1998/99 Penyanyi Wanita Popular Dicalonkan
2000 Penyanyi Wanita Popular Dicalonkan

Anugerah lain[sunting | sunting sumber]

  1. Anugerah Pembaca Media Hiburan 2000 : Penyanyi Etnik Sensasi
  2. Parti Cit Cat :
    • Anugerah Khas 2001 : Ratu Pop Tradisional
    • Persembahan Terbaik 2002 : Hala Timur
  3. Anugerah Platinum Berkembar untuk album Ala Dondang (jualan melebihi 100,000 unit)
  4. Anugerah ERA 2002 : Lagu Etnik/Global Pilihan - Hala Timur (Dicalonkan)
  5. Anugerah ERA 2003 : Lagu Etnik/Global Pilihan - Hala Timur (Dicalonkan)
  6. Anugerah ERA 2004 : Lagu Global Pilihan - Hatinya Tak Tahan (Menang)
  7. Anugerah ERA 2004 : Muzik Video Pilihan - Hatinya Tak Tahan (Dicalonkan)
  8. Anugerah ERA 2006 : Irama Global Pilihan - Racau Sang Khalifah duet bersama Liza Hanim (Dicalonkan)
  9. KaryaOne Wave Awards 2016 : Anugerah KaryaOne Legend

Penglibatan[sunting | sunting sumber]

  1. Pelakon utama dalam filem Sayang Ibu (Filem Malaysia - 1989)
  2. Pengacara dokumentari Artistik Asia (TV12 Singapura - 2002)
  3. Pengacara dokumentari Dondang Sayang (terbitan RTM Malaysia)
  4. Salah seorang penyanyi lagu tema Majlis Kanser Nasional (MAKNA) Malaysia - 'Bantu Mereka'
  5. Salah seorang mentor kepada protege, Biella untuk program realiti Mentor musim pertama terbitan TV3 (2005)

Persembahan Khas

  1. Pertunjukkan kebudayaan di Tokyo & Osaka, Jepun anjuran Jabatan Pelancongan Malaysia pada Mei 1998.
  2. Persembahan Khas sempena Perasmian Pembukaan Sukan Komanwel ke 16 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada September 1998, di mana lagu beliau, Dikir Puteri telah dipersembahkan secara dwibahasa dan diringi lebih daripada 1000 orang penari. Noraniza diberi penghormatan membuat persembahan bersama-sama Siti Nurhaliza, Anuar Zain dan penyanyi lagu-lagu patriotik Roy.
  3. Pertunjukkan kebudayaan dan pesta makanan di Karachi, Lahore & Islamabad, Pakistan semperna mempromosikan Malaysia pada Jun 2005.
  4. Persembahan kebudayaan di Negara China sempena Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2006.

Jawatan Disandang[sunting | sunting sumber]

  1. Pengurus Taman Mini Malaysia & Taman Mini ASEAN, Ayer Keroh, Melaka.
  2. Pengerusi Pergerakan Belia 4B cawangan Taman Mini Malaysia & Taman Mini ASEAN (2002-2007).
  3. Pengerusi Biro Barisan Muda Karyawan Malaysia (2001).
  4. Pengerusi Persatuan Tatihseni Malaysia merangkap Pengasas & Pengarah Projek.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Mahkamah sahkan Noraniza Idris bercerai

Sukar Ani lari daripada Fareez

Istimewanya album Ria Aidilfitri/

Laman Web[sunting | sunting sumber]