Dewi Hathor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search
Hathor
Hut Heru
Alt
Dewi Hathor dengan hiasan kepalanya, sepasang tanduk lembu dengan cakera suria.
Dewi langit, ria, cinta, keindahan, keibuan, tanah asing, pelombongan dan muzik.
Nama dalam hieroglyphsHathorhierogl.gif
Major cult centerDenderah, Memphis
SimbolSistrum
Ibu bapaRa
ConsortRa, Horus, Atum, Amun, Khonsu

Hathor (Jawi: هتحور, Hat-Ḥur; IPA: /ˈhʌt ɔr/; Mesir: Ḥwt-Ḥr, "Mahligai Heru")[1], atau juga dikenali sebagai Hut Heru, merupakan dewi keriangan dan langit dengan banyak peranan. Oleh kerana dia seorang dewi langit, Hathor ialah bonda dan juga isteri kepada Horus dan Ra. Kedua-dua dewa ini mempunyai peranan sebagai raja, jadi Hathor juga ialah bonda simbolik kepada para firaun. Hathor juga merupakan salah satu daripada empat dewi lain dalam jelmaan mata Ra (suatu jelmaan dengan semua sifat kewanitaan Ra), dan dalam jelmaan ini Hathor mempunyai sifat dendam demi mempertahankan Ra daripada musuh-musuhnya. Sifat pengasihnya pula menjadi dewi muzik, tari-menari, cinta, keghairahan dan keibuan, dan Hathor menjadi isteri kepada beberapa dewa dan ibu kepada anak-anak mereka. Dua sifat ini merupakan contoh terhadap sifat kewanitaan dalam budaya Mesir purba. Hathor juga dapat merentas antara alam tanah dan alam baqa, untuk membantu roh-roh si mati untuk tiba ke akhirat.

Hathor juga digambarkan dengan lembu, untuk melambangkan sifat lemah lembut dan firdausinya, tetapi biasa digambarkan sebagai seorang wanita dengan hiasan kepala bertanduk dua dan cakera suria di tengah. Kadang-kadang, dia juga digambarkan sebagai seekor singa betina, ular tedung atau pokok ara.

Dewi-dewi lembu seperti Hathor ada dilukis dalam seni Mesir dalam alaf ke-4 SM, tetapi Hathor mungkin juga belum wujud sehinggalah zaman Kerajaan Lama (lingkungan 2686–2181 SM). Dengan naungan pemerintah Kerajaan Lama, Hathor menjadi antara dewa-dewi terpenting Mesir. Dia mempunyai kuil penyembahan yang paling banyak, dan yang ternama ialah Kuil Denderah di Mesir Hulu. Dia juga disembah dalam kuil-kuil para suaminya. Orang Mesir juga mengaitkan Hathor sebagai dewi negeri asing seperti Nubia dan Kanaan dan juga barangan dagangan mereka, seperti setanggi dan batu permata, dan orang-orang kerajaan asing ini pula menerima Hathor untuk disembah. Di Mesir, dialah antara para dewi yang biasa diseru dalam sembahyang bersendiri dan persembahan semah, biasanya oleh wanita yang inginkan anak.

Semasa zaman Kerajaan Baru (lingkungan 1550–1070 BC), dewi-dewi seperti Mut dan Isis mula mengambil alih kedudukan Hathor dalam ideologi diraja, namun masih lagi antara para dewa yang popular. Selepas berakhirnya Kerajaan Baru, Hathor mula dibayangi Isis, tetapi masih lagi disembah sehinggalah kepupusan agama Mesir Purba dalam awal zaman Masihi.

Asal-usul nama[sunting | sunting sumber]

Nama Hathor ialah transliterasi Rumi yang diserap daripada Yunani Purba Ἅθωρ (Háthōr), yang pula datang daripada bahasa Mesir ḥwt-ḥr yang kemudian ditransliterasikan juga kepada Hut Heru. Nama Het-Heru bermaksud "Mahligai Horus", daripada bahasa Mesir hwt, "rumah" atau "mahligai", dibandungkan dengan Hr yang merupakan nama Mesir untuk Horus.

O6X1
O1
+G5O10C9

Bahagian hieroglif pertama melambangkan Hut bermaksud rumah agam atau mahligai, manakala hieroglif kedua (burung) melambangkan dewa Horus. Dengan itu jadilah "Mahligai Horus", dengan Horus berada dalam rumah. Hieroglif wanita (dewi) tersebut pula hieroglif penjelas untuk memberitahu pembaca yang ini ialah simbol Hathor.

Asal Hathor[sunting | sunting sumber]

Replika Palet Narmer, lingkungan abad ke-31 SM. Wajah wanita bertanduk dan bertelinga lembu, yang melambangkan Hathor atau dewi Bat, muncul dua kali di atas palet ini dalam baris di bawah pinggang raja.

Gambaran lembu banyak muncul dalam seni Mesir Prasejarah (sebelum kira-kira 3100 SM), sekali dengan gambaran wanita dengan lengan lengkok keatas seperti tanduk lembu. Dua-dua gambaran ini mungkin melambangkan dewi-dewi penternakan.[2] Lembu amat dihormat dalam pelbagai budaya, termasuklah Mesir purba, sebagai simbol keibuan dan gizi, kerana lembu induk menjaga anak mereka dan hasilkan susu untuk manusia. Palet Girza, sebuah palet batu dari zaman prasejarah Naqada II (lingkungan 3500–3200 SM), mempamerkan siluet kepala lembu dengan tanduk menghala ke dalam yang dikelilingi bintang. Palet ini mungkin menunjukkan lembu juga dikaitkan sebagai dewa langit, sekali dengan dewi-dewi lain dari zaman terkemudian dan diwakilkan dengan dewi: Hathor, Mehet-Weret, dan Nut.[3]

Walaupun wujud sebegini, Hathor tidak ada sebarang gambar mahupun disebut sehinggalah Wangsa Keempat (lingkungan 2613–2494 SM) dalam Kerajaan Lama,[4] tetapi barangan artifak yang ada merujuk kepadanya ada sejak Zaman Wangsa Awal (lingkungan 3100–2686 SM).[5] Apabila Hathor ada dilukis, tanduknya dilengkok ke luar, bukannya ke dalam seperti dalam seni Mesir Prasejarah. Suatu tuhan lembu dengan tanduk menghala ke dalam ada pada Palet Narmer, yang berasal dari awal zaman Mesir, pada atas palet dan pada kain pinggang raja yang digambarkan, Narmer. Pakar egiptologi Henry George Fischer mencadangkan yang dewi ini ialah Bat, seorang dewi yang kemudiannya digambarkan dengan wajah wanita dan sesungut melengkok ke dalam, seperti lengkok tanduk lembu.[6] Egiptologiwati Lana Troy, sebaliknya berkata yang menurut sebuah rangkap dalam Teks Piramid dari lewat zaman Kerajaan Lama mengaitkan Hathor dengan kain raja, mirip dewi yang ada pada kain Narmer dan mencadangkan bahawa dewi pada Palet Narmer itu ialah Hathor dan bukan Bat.[7][8]

Dalam Wangsa Keempat, Hathor menjadi semakin popular.[9] Dia mengambil tempat seorang dewa buaya yang disembah di Denderah di Mesir Hulu dan menjadi tuhan penaung, dan meresap penyembah Bat di daerah Hu, jadi dalam zaman Kerajaan Pertengahan (lingkungan 2055–1650 SM) dua tuhan ini menjadi satu.[10] Dalam kepercayaan Kerajaan Lama, tumpukan yang dewa Ra ialah raja sekalian dewa dan bapa dan penaung raja. Hathor naik ke Ra dan menjadi isterinya, dan menjadi tuhan ibu kepada para firaun.[9]

Peranan[sunting | sunting sumber]

Hathor mempunyai pelbagai rupa dan memegang berbagai peranan.[11] Pakar egiptologi Robyn Gillam menyatakan ini disebabkan oleh pemerintah Kerajaan Lama yang menerima Hathor sebagai dewi agung, dan kemudian ia menyerap peranan dewi-dewi yang disembah oleh rakyat jelata. Akhirnya, dewi-dewi rakyat dianggap sebagai jelmaan-jelmaan Hathor.[12] Teks-teks Mesir memanggil jelmaannya sebahagian daripada "Tujuh Hathor"[11] atau, jarang kali, berbagai Hathor—ada yang sebanyak 362.[13] Justeru, Gillam memanggil Hathor "sejenis tuhan dan bukanlah satu makhluk".[12] Kepelbagaian sifat Hathor menonjolkan sifat-sifat dewi-dewi yang diberi oleh orang Mesir purba. Dan Hathor mempamerkan sifat kewanitaan yang paling hebat berbanding dewi-dewi yang lain.[14]

Dewi langit[sunting | sunting sumber]

Hathor digelar dengan nama julukan "dayang langit" dan "dayang bintang", dan dikatakan tinggal di langit bersama Ra dan dewa-dewi suria yang lain. Orang Mesir purba berpendapat bahawa langit ialah sebuah jasad air dan Ra merentas dengan menaiki bahteranya, dan menurut hikayat penciptaan alam mereka, suria lahir daripada air itu sewaktu masa baru saja wujud. Dewi ibunda yang lahirkannya digambarkan sebagai seekor lembu. Hathor dan Mehet-Weret ialah dewi-dewi yang dianggap sebagai lembu tersebut dan meletakkan suria di antara kedua-dua tanduknya. Dan seperti Nut, Hathor melahirkan suria setiap pagi.[15]

Nama Hathor dalam bahasa Mesir ialah ḥwt-ḥrw[16] atau ḥwt-ḥr.[17] Ia diterjemahkan sebagai "mahligai Horus" tetapi ia juga boleh ditafsirkan sebagai "mahligaiku [ialah] langit".[18] Dewa Horus melambangkan pelbagai benda, terutama sekali matahari dan langit. "Mahligai" atau "rumah" boleh merujuk kepada langit di mana Horus tinggal, atau rahim dewi yang melahirkannya sebagai dewa suria pada setiap hari.[19]

Dewi suria[sunting | sunting sumber]

Hathor ialah dewi suria, pasangan wanita kepada Horus dan Ra, dan juga seorang dewi yang menemani Ra dalam pelayarannya merentas angkasa.[19] Dia biasa digelar "Sang Keemasan" yang merujuk kepada sinaran matahari, dan tulisan-tulisan dari kuilnya di Denderah bertulis "sinarnya menerangi seluruh bumi."[20] Kadangkala, Hathor digabungkan dengan dewi Nebethetepet, yang namanya bermaksud "Dang Persembahan", "Dang Sukacita",[21] atau "Dang Vulva".[22] Di pusat penyembahan Ra di Heliopolis, Hathor-Nebethetepet disembah sebagai isteri Ra,[23] dan pakar egiptologi Rudolf Anthes berdebat bahawa Hathor merujuk kepada "mahligai Horus" khayalan di Heliopolis yang berhubungan dengan ideologi perihal kerajaan.[24]

Hathor merupakan salah seorang daripada ramai dewi yang menjadi Mata Ra, jelmaan wanita kepada cakera suria dan juga sebahagian daripada kuasa Ra. Ra kadang-kadang dilakar berada di dalam cakera suria, dan Troy menafsirkan ini bermaksud Sang Mata ialah asal kelahiran Ra. Peranan aneh Hathor sebagai ibu, isteri dan anak Ra sebenarnya melambangkan kitaran matahari. Pada waktu senja, Ra masuk ke dalam jasad sang dewi, menghamilkannya dan menjadi bapa kepada dewa-dewi yang lahir dari rahimnya pada waktu fajar: dirinya sendiri dan Sang Mata, yang kemudian akan lahirkan dia. Ra hasilkan anaknya, Sang Mata, yang kemudian hasilkan dia, anaknya, dalam kitaran kelahiran semula.[25]

Mata Ra melindungi Ra daripada musuh-musuhnya dan biasa digambarkan sebagai seekor ureus, atau ular yang sedang berdiri, atau singa betina.[26] Suatu jelmaan mata Ra digelar "Hathor Berwajah Empat", yang dilambangkan dengan empat ekor ular tedung, dipercayai melihat semua mata angin untuk mengawasi sebarang ancaman kepada Ra.[27] Beberapa kisah, daripada Kerajaan Baru (lingkungan 1550–1070 SM), menceritakan apa jadi jika kemarahan Sang Mata tidak dikawal. Dalam teks pemakamam yang bertajuk Kitab Lembu Samawi (Book of the Heavenly Cow), Ra menghantar Hathor sebagai Mata Ra untuk menghukum manusia kerana bersekongkol untuk mengguling Ra daripada kuasa. Hathor berubah menjadi dewi singa betina bernama Sekhmet dan membunuh manusia tersebut tetapi juga membunuh orang-orang yang tidak bersalah, dan Ra pun harus hentikannya daripada membunuh semua manusia. Ra menyuruh supaya beberapa tempayan arak diwarnakan merah dengan hartal merah tanah, lalu ditumpahkan ke bumi. Sang Mata yang menyangka ia darah pun meminum arak tersebut, dan kemabukan Hathor menyebabkan dia kembali menjadi dirinya yang lemah lembut dan suci.[28] Ada kisah lain yang bertajuk Dewi Kara (Distant Goddess), dari Zaman Mesir Lewat dan Ptolemy. Sang Mata, kadang-kadang dengan rupa Hathor, menentang kuasa Ra dan memunah-ranahkan kerajaan asing: Libya di barat Mesir atau Nubia di selatan. Oleh kerana lemah dengan ketiadaan matanya yang satu, Ra pun menghantarkan seorang dewa, Thoth, untuk bawa Hathor pulang ke pangkuannya.[29] Setelah memujuknya, Hathor pun pulang dan menjadi isteri dewa suria atau dewa yang membawanya pulang.[30] Dua sifat Sang Mata ini—sifat ganas dan berbahaya, dan indah dan riang—menunjukkan kepercayaan Mesir bahawa wanita, seperti yang dikatakan pakar egiptologi Carolyn Graves-Brown, "merangkumi kedua-dua sifat amarah dan kasih."[28]

Muzik, tarian, dan kegembiraan[sunting | sunting sumber]

Lakaran jamuan dari makam Nebamun, abad ke-14 SM. Lakaran ini dipenuhi alat muzik dan tari-menari dan berilhamkan Hathor.[31]

Orang Mesir purba percaya bahawa kebahagiaan di dunia ialah kurniaan tuhan kepada manusia dan patut diraikan dengan pesta keagamaan. Mereka makan, minum, menari dan bermain muzik di pesta-pesta dan suasana diwangikan dengan bahan pewangi seperti bunga dan setanggi. Nama-nama julukan Hathor sering memujinya atas sambutan-sambutan ini; dia digelar dayang muzik, tari, kalung bunga, morhabshi dan kemabukan. Dalam gita puja dan ukiran kuil, pendeta-pendeta mainkan tamburin, kecapi dan sistrum untuk memuja Hathor.[32] Sistrum, sejenis alat muzik yang berdetar-detar bunyinya, amat penting sekali dalam upacara pemujaan. Ia mempunyai nilai emosi ghairah dan melambangkan kelahiran jiwa baru.[33]

Sifat-sifat Hathor ini dikaitkan dengan hikayat Mata Ra. Sang Mata ditenteramkan dengan arak dalam hikayat Kebinasaan Kaum Manusia. Dalam beberapa versi lain kisah Dewi Kara, beringas Sang Mata ditenangkan dengan benda-benda dari ketamadunan seperti muzik, tari dan arak. Air banjir tahunan dari sungai Nil, yang berwarna merah kerana endapan, disamakan dengan arak yang diwarnakan merah dalam hikayat Kebinasaan Kaum Manusia. Pesta keramaian yang disambut semasa banjir bertujuan untuk menenangkan dewi mereka dengan meminum, bermuzik dan menari.[34] Sebuah teks dari Kuil Edfu bertulis tentang Hathor, "dewa-dewa mainkan sistrum untuknya, [manakala] dewi-dewi menari untuk menyingkirkan amarahnya."[35] Sebuah gita puja kepada dewi Raet-Tawy sebagai satu jelmaan Hathor dalam kuil di Medamud menjelaskan yang Pesta Kemabukan ialah sebahagian daripada pengembaliannya ke Mesir.[36] Wanita membawa jambak bunga, pemuja mabuk memalu gendang manakala orang-orang dan binatang dari tanah asing menari untuknya semasa Hathor masuk ke tempat pesta kuil. Bunyi riuh-rendah ini dipercayai akan mengusir kuasa jahat dan kekalkan Hathor dalam keadaan ceria sambil ia menantikan kedatangan dewa kuil, suaminya Montu, dan akan lahirkan anaknya kemudian.[37]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Bleeker, C. J. (1973). Hathor and Thoth: two key figures of the ancient Egyptian religion [Hathor dan Thoth: dua tokoh penting dalam ugama Mesir kuno]. Brill. m/s 22-102. ISBN 978-90-04-03734-2.
  2. ^ Hassan, Fekri A. (1992). "Primeval Goddess to Divine King: The Mythogenesis of Power in the Early Egyptian State". The Followers of Horus: Studies Dedicated to Michael Allen Hoffman. m/s 15.
  3. ^ Lesko, Barbara S. (1999). The Great Goddesses of Egypt. m/s 15–17.
  4. ^ Wilkinson, Toby (1999). Early Dynastic Egypt. m/s
  5. ^ Gillam, Robyn A. (1995). "Priestesses of Hathor: Their Function, Decline and Disappearance". Journal of the American Research Center in Egypt. 32: m/s 214.
  6. ^ Fischer, H. (1962). The Cult and Nome of the Goddess Bat. Journal of the American Research Center in Egypt, 1. m/s 11–14.
  7. ^ Wilkinson (1999). m/s 244–245.
  8. ^ Troy, Lana (1986). Patterns of Queenship in Ancient Egyptian Myth and History. m/s 54.
  9. ^ a b Lesko (1999). m/s 81–83.
  10. ^ Fischer (1962). m/s 7, 14–15.
  11. ^ a b Wilkinson (2003). m/s 77, 145.
  12. ^ a b Gillam (1995). m/s 217–218.
  13. ^ Bleeker (1973). m/s 71–72.
  14. ^ Troy (1986). m/s 53–54.
  15. ^ Bleeker (1973). m/s 31–34, 46–47.
  16. ^ Graves-Brown, C. (2010). Dancing for Hathor: Women in Ancient Egypt. m/s 130. Kontinum. ISBN 978-1-84-725054-4.
  17. ^ Billing, N. (2004). "Writing an Image: The Formulation of the Tree Goddess Motif in the Book of the Dead, Bab 59". Studien zur Altägyptischen Kultur [Kajian Kebudayaan Mesir Kuno]. 32: 35–50. JSTOR 25152905.
  18. ^ Bleeker (1973). m/s 25, 48.
  19. ^ a b Wilkinson (2003). m/s 140
  20. ^ Richter, B. A. (2016). The Theology of Hathor of Dendera: Aural and Visual Scribal Techniques in the Per-Wer Sanctuary [Anutan Hathor dari Denderah: Teknik Katib Audio dan Visual di Kuil Per-Wer]. m/s 128, 184–185. Lockwood Press. ISBN 978-1937040512.
  21. ^ Wilkinson (2003) m/s 156.
  22. ^ Pinch, G. (1993). Votive Offerings to Hathor [Persembahan Semah kepada Hathor]. m/s 155. Griffith Institute. ISBN 978-0900416545.
  23. ^ Gillam 1995, p. 218
  24. ^ Gillam (1995). m/s 218.
  25. ^ Troy (1986). m/s 21–23, 25–27.
  26. ^ Pinch (2004). m/s 129–130.
  27. ^ Ritner, R. K. (1990). "O. Gardiner 363: A Spell Against Night Terrors". Journal of the American Research Center in Egypt. 27: m/s 39. JSTOR 40000071.
  28. ^ a b Graves-Brown (2010). m/s 169–170.
  29. ^ Pinch (2004). m/s 71–74.
  30. ^ Pinch (2004). m/s 130.
  31. ^ Harrington, N. (2016). "The Eighteenth Dynasty Egyptian Banquet: Ideals and Realities". Dalam Draycott, Catherine M.; Stamatopolou, Maria (penyunting). Dining and Death: Interdisciplinary Perspectives on the 'Funerary Banquet' in Ancient Art, Burial and Belief. Peeters. m/s 132–134. ISBN 978-9042932517.
  32. ^ Finnestad, R. (1999). "Enjoying the Pleasures of Sensation: Reflections on A Significant Feature of Egyptian Religion". Dalam Teeter, Emily; Larson, John A. (penyunting). Gold of Praise: Studies on Ancient Egypt in Honor of Edward F. Wente. Institut Pengajian Timur di Universiti Chicago. m/s 113–115. ISBN 978-1885923097
  33. ^ Manniche, L. (2010). "The Cultic Significance of the Sistrum in the Amarna Period". Dalam Woods, Alexandra; McFarlane, Ann; Binder, Susanne (penyunting). Egyptian Culture and Society: Studies in Honour of Naguib Kanawati. Conseil Suprême des Antiquités de l'Égypte. m/s 13–14, 16–17. ISBN 978-9774798450.
  34. ^ Poo, M-C. (2009) [Edisi pertama 1995]. Wine and Wine Offering in the Religion of Ancient Egypt. m/s 153–157. Routledge. ISBN 978-0710305015.
  35. ^ Bleeker (1973). m/s 57.
  36. ^ Darnell, J. C. (1995). "Hathor Returns to Medamûd". Studien zur Altägyptischen Kultur. 22: m/s 48. JSTOR 25152711.
  37. ^ Darnell (1995). m/s 54, 62, 91–94.

Nukilan[sunting | sunting sumber]

  • Bleeker, C. J. (1973). Hathor and Thoth: two key figures of the ancient Egyptian religion [Hathor dan Thoth: dua tokoh penting dalam ugama Mesir kuno]. Brill. m/s 22-102. ISBN 978-9-00-403734-2.
  • Bunson, M. R. (1991, 2002). Encyclopedia of Ancient Egypt (Edisi Semakan). Facts On File, ISBN 0-816-04563-1 (kulit keras).
  • Darnell, J. C. (1995). "Hathor Returns to Medamûd". Studien zur Altägyptischen Kultur. 22: 47–94. JSTOR 25152711.
  • Finnestad, R. (1999). "Enjoying the Pleasures of Sensation: Reflections on A Significant Feature of Egyptian Religion". Dalam Teeter, Emily; Larson, John A. (penyunting). Gold of Praise: Studies on Ancient Egypt in Honor of Edward F. Wente. Institut Pengajian Timur di Universiti Chicago. m/s 111–119. ISBN 978-1885923097
  • Fischer, H. (1962). The Cult and Nome of the Goddess Bat. Journal of the American Research Center in Egypt, 1, 7-18. JSTOR 40000855.
  • Gillam, R. (1995). Priestesses of Hathor: Their Function, Decline and Disappearance. Journal of the American Research Center in Egypt, 32, 211-237. JSTOR 40000840.
  • Graves-Brown, C. (2010). Dancing for Hathor: Women in Ancient Egypt. Kontinum. ISBN 978-1-84-725054-4.
  • Harrington, N. (2016). "The Eighteenth Dynasty Egyptian Banquet: Ideals and Realities". Dalam Draycott, Catherine M.; Stamatopolou, Maria (penyunting). Dining and Death: Interdisciplinary Perspectives on the 'Funerary Banquet' in Ancient Art, Burial and Belief. Peeters. m/s 129–172. ISBN 978-9042932517.
  • Hassan, Fekri A. (1992). "Primeval Goddess to Divine King: The Mythogenesis of Power in the Early Egyptian State". Dalam Friedman, Renee; Adams, Barbara (penyunting). The Followers of Horus: Studies Dedicated to Michael Allen Hoffman. Oxbow Books. m/s 307–319. ISBN 978-0-94-689744-5.
  • Lesko, Barbara S. (1999). The Great Goddesses of Egypt. University of Oklahoma Press. ISBN 978-0-80-613202-0.
  • Manniche, L. (2010). "The Cultic Significance of the Sistrum in the Amarna Period". Dalam Woods, Alexandra; McFarlane, Ann; Binder, Susanne (penyunting). Egyptian Culture and Society: Studies in Honour of Naguib Kanawati. Conseil Suprême des Antiquités de l'Égypte. m/s 13–26. ISBN 978-9774798450.
  • Monaghan, P. (2014). Encyclopedia of Goddesses and Heroines. New World Library. ISBN 978-1-60-868218-8.
  • Pinch, G. (1993). Votive Offerings to Hathor. Griffith Institute. ISBN 978-0900416545.
  • Poo, M-C. (2009) [Edisi pertama 1995]. Wine and Wine Offering in the Religion of Ancient Egypt. Routledge. ISBN 978-0710305015.
  • Richter, B. A. (2016). The Theology of Hathor of Dendera: Aural and Visual Scribal Techniques in the Per-Wer Sanctuary [Anutan Hathor dari Denderah: Teknik Katib Audio dan Visual di Kuil Per-Wer]. Lockwood Press. ISBN 978-1-93-704051-2.
  • Ritner, R. K. (1990). "O. Gardiner 363: A Spell Against Night Terrors". Journal of the American Research Center in Egypt. 27: 25–41. JSTOR 40000071
  • Troy, Lana (1986). Patterns of Queenship in Ancient Egyptian Myth and History. Acta Universitatis Upsaliensis. ISBN 978-9-15-541919-6.
  • Wilkinson, Toby (1999). Early Dynastic Egypt. Routledge. ISBN 978-0-20-302438-6.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Templat:Ancient Egyptian religion footer