Akta Keselamatan Dalam Negeri (Malaysia)

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan dari ISA)
ISA 1960
Malaysia
Tajuk Panjang:Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960
Tarikh
Perkenan DiRaja:1960
Penggubalan:1960
Pembatalan:2012
Undang-Undang Lain
Pindaan:1988
Undang-undang berkaitan:Akta Kediaman Terhad 1933, Akta Buang Negeri 1955
Status: Sebahagiannya Dipinda


Gambaran pelukis mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri, yang telah menerima kritikan dalam pengaplikasiannya terhadap kawalan isu awam.

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (Lazimnya dikenali sebagai ISA, iaitu akronim nama bahasa Inggerisnya, Internal Security Act) merupakan undang-undang tahanan pencegahan yang sedang berkuatkuasa di Malaysia, melibatkan beribu-ribu orang[perlu rujukan] termasuk ahli kesatuan sekerja, pemimpin pelajar, aktivis hak buruh, aktivis politik, golongan agama, ahli akademik dan aktivis badan bukan kerajaan dan ada yang ditahan lebih dari sedekad.[perlu rujukan] Namun pada 15 September 2011, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan terus dan digantikan dengan undang-undang baru yang lebih bersesuaian dengan hak asasi manusia dan lebih berkesan di dalam menandingi masalah keganasan.[1]

Maksud akta[sunting | sunting sumber]

Di dalam akta ini, sesiapa pun boleh ditahan oleh polis selama 60 hari berturut-turut tanpa perbicaraan untuk tindak-tanduk yang dijangka mengancam keselamatan negara atau mana-mana bahagian daripadanya. Selepas 60 hari, seseorang tahanan itu boleh ditahan lagi selama tempoh dua tahun jika diluluskan oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, dan sekaligus membolehkan penahanan terus tanpa perbicaraan. Pada tahun 1989, kebolehan mahkamah untuk menyiasat kuasa Menteri di bawah peruntukan ini telah dihapuskan dengan beberapa pindaan kepada Akta ini. Pada masa kini, mahkamah hanya boleh melihat semula perkara-perkara teknikal sahaja berkenaan sebarang penahanan di bawah ISA.

ISA digunakan secara konsisten terhadap mereka yang mengkritik kerajaan dan mempertahankan hak asasi manusia. Dikenali sebagai "keganasan putih" (white terror), ia amat ditakuti dan dibenci, meskipun menjadi satu alat mudah untuk negara membasmi sebarang penentangan dan debat terbuka. Akta ini merupakan satu alatan yang dikekalkan oleh kerajaan yang berkuasa untuk mengawal kehidupan umum dan masyarakat awam.[perlu rujukan]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 sebenarnya dirangka oleh R.H. Hickling[2] pada awalnya. Kemudian ia dijadikan undang-undang pada tahun 1960. Semasa akta itu mula digunakan, ia membenarkan kajian semula, akan tetapi sejak itu, ISA telah dipinda sebanyak lebih daripada 20 kali dan peruntukan ini telah dikeluarkan. Kuasa mutlak telah diberikan kepada Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri membolehkan beliau menahan sesiapa pun tanpa merujuk kepada mahkamah. Sebaliknya tahanan mempunyai hak representasi di hadapan Lembaga Penasihat yang diwujudkan di bawah Perlembagaan Persekutuan[3]

Perundangan[sunting | sunting sumber]

Seksyen-seksyen berkaitan Akta ini adalah seperti berikut:

Seksyen 73(1) Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960: "Mana-mana pegawai polis boleh tanpa waran menangkap, dan menahan sementara menunggu penyiasatan, mana-mana orang yang berkenaan dengannya dia mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa ada alasan yang akan mewajarkan penahanannya di bawah seksyen 8; dan bahawa dia telah bertindak atau hampir bertindak atau mungkin bertindak mengikut apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya."

Sek 8. Kuasa untuk memerintahkan penahanan atau sekatan orang "(1) Jika Menteri berpuas hati bahawa penahanan mana-mana orang perlu dengan tujuan untuk mencegahnya daripada bertindak dengan apa-apa cara yang memudaratkan keselamatan Malaysia atau mana-mana bahagiannya atau penyenggaraan perkhidmatan perlu di dalamnya atau kedudukan ekonominya, Menteri boleh membuat suatu perintah (kemudian daripada ini disebut perintah tahanan) yang mengarahkan supaya orang itu ditahan bagi apa-apa tempoh yang tidak melebihi dua tahun"

Penahanan[sunting | sunting sumber]

Tahanan ISA lazimnya diletakkan di bawah tahanan di Pusat Tahanan Kamunting.

60 hari pertama[sunting | sunting sumber]

Seseorang yang ditahan di bawah ISA semasa 60 hari pertama tidak dibenarkan berkomunikasi dengan dunia luar. Tambahan pula, peguam dan ahli keluarga tidak dibenarkan melawat orang yang ditahan semasa tempoh awal ini. Jika satu perintah penahanan dua tahun ditandatangani, orang yang ditahan akan dibawa ke Pusat Tahanan Kamunting untuk tempoh yang ditetapkan, dan ahli keluarga lazimnya dibenarkan melawat semasa tempoh ini. Jika tidak, orang yang ditahan akan dibebaskan.

Penyeksaan[sunting | sunting sumber]

Kononnya penyeksaan dilaporkan menjadi sebahagian daripada kehidupan harian tahanan ISA. Mereka yang pernah ditahan menyatakan bahawa mereka telah didera secara fizikal dan mental yang termasuk salah satu daripada senarai ini: pukulan, penanggalan pakaian, soal siasat 24 jam, ketidakbenaran tidur, ancaman bunuh, ancaman deraan fizikal pada ahli keluarga termasuk ancaman rogol kepada anak mereka. Juga, tahanan diletakkan secara individu dalam sel penjara kecil tanpa cahaya dan udara, dalam yang dipercayai menjadi sel tahanan rahsia. Teknik dan aksi penyeksaan ini direka untuk memalukan dan menakutkan tahanan supaya mendedahkan kekurangan dan memecahkan pertahanan mereka. [perlu rujukan]

Pembebasan[sunting | sunting sumber]

Kendatipun kerajaan boleh membebaskan tahanan tanpa bersyarat, dalam sesetengah kes, ia telah menuntut mereka yang dibebaskan untuk membuat "pengakuan" umum di televisyen dan radio.[4]

Kritikan[sunting | sunting sumber]

Tulisan graffiti di dinding bangunan di Kuala Lumpur yang membawa saranan penghapusan Akta Keselamatan Dalam Negeri.

Beberapa pertubuhan hak asasi manusia dan parti pembangkang telah mengritik Akta ini dan menggesa pemansuhannya. Kerajaan asing, terutama kerajaan Barat, juga telah menekan kerajaan untuk memansuhkan Akta sungguhpun mereka memiliki akta yang serupa seperti Akta USA PATRIOT.

Dalam negara[sunting | sunting sumber]

Beberapa parti politik pembangkang termasuk Parti Islam Se-Malaysia [PAS],Parti Tindakan Demokratik (DAP) dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah menyatakan bantahan mereka terhadap ISA. Ramai diantara pemimpin dan ahli terkenal mereka yang telah ditahan di bawah ISA termasuk Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng dari DAP dan Anwar Ibrahim dari PKR.

Namun Akta ini juga pernah dikritik oleh beberapa ahli politik gabungan Barisan Nasional, termasuk parti komponen terbesarnya, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) yang telah memerintah Malaysia semenjak kemerdekaannya juga telah mengritik ISA. Perdana Menteri Malaysia kelima, Abdullah Ahmad Badawi, telah menyatakan pada tahun 1988 "Jika kita semua hendak menyelamatkan Malaysia dan UMNO, Dr Mahathir (Perdana Menteri ketika itu) mesti diguling. Dia menggunakan undang-undang kejam seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri untuk mendiamkan pengkritiknya." Tahun sebelumnnya, dia juga telah menyatakan "Undang-undang seperti ISA tidak punyai tempat di Malaysia moden. Ia merupakan perundangan tidak berperikemanusiaan dan jahat." Pada tahun 2003 apabila beliau menjadi Perdana Menteri pula, beliau mengatakan bahawa ISA adalah "undang-undang yang perlu," dan mengemukakan argumentasi "Kami tidak pernah menyalahgunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri. Kesemua mereka yang ditahan dibawahnya terbukti mengancam masyarakat secara umum."

Luar negara[sunting | sunting sumber]

Kerajaan Amerika Syarikat pernah mengritik kerajaan Malaysia kerana menggunakan ISA beberapa kali, paling terkini pada tahun 2001 apabila Presiden George W. Bush mengatakan bahawa "Akta Keselamatan Dalam Negeri adalah undang-undang jahat. Tidak wajar ada lagi negara yang punyai undang-undang yang membenarkan penahanan tanpa perbicaraan." Pada 2004 pula, Bush berpaling dan berkata "Kami tidak seharusnya sewenang-wenangnya mengklasifikasi Akta Keselamatan Dalam Negeri Malaysia sebagai undang-undang kejam.", dan ini amat mungkin berpunca daripada peristiwa 11 September 2001 dan penggubalan Akta Patriot selepasnya.

Pecahan tahanan ISA[5][sunting | sunting sumber]

Pada 17 November 2007, seramai 74 orang masih ditahan di Kem Tahanan Kamunting, Taiping, Perak di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri. Berikut adalah bilangan tahanan ISA dari 2004-2009:

Punca ? Kesalahan Bilangan Catatan
Jemaah Islamiah 18 orang Mereka dikaitkan dengan Al Qaeda
Daulah Islamiyah /
Darul Islam Sabah
17 orang beroperasi di Tawau, Sabah
keturunan Filipina
Pemalsuan wang syiling RM1 17 orang Wang syiling dihapuskan.
Pemalsuan dokumen pengenalan 29 orang
Pemalsuan pasport rakyat China
Penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI)
Gerakan Militan Selatan Thailand,
Pejuang Pemisah Selatan Thailand
7 orang
Agen perisik asing 7 orang

Jika tahanan merayu dan memenuhi syarat, Jabatan Kebajikan Masyarakat boleh memberi bantuan RM200.00 setiap bulan kepada keluarga tahanan.[6]

Pemansuhan[sunting | sunting sumber]

Pada malam 15 September 2011, Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa ISA akan dimansuhkan terus bersama-sama dengan Akta Buang Negeri 1959 dan digantikan dengan undang-undang baru yang lebih bersesuaian dengan hak asasi manusia dan lebih efektif dalam menandingi masalah keganasan.[7][8]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Nota dan rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "PM announces historic changes in nation's laws". The Star. Dicapai pada 2011-09-15.
  2. ^ "Malaysia's Internal Security Act and Suppression of Political Dissent:A Human Rights Watch Backgrounder". The Star. Dicapai pada 2007-03-04.[pautan mati kekal]
  3. ^ "Legacy of the wayward lawyer". Human Right Watch. Dicapai pada 2007-03-04.
  4. ^ Tan, Chee Koon & Vasil, Raj (ed., 1984). Without Fear or Favour, p. 27. Eastern Universities Press. ISBN 967-908-051-X.
  5. ^ Mas Selamat Tidak Diekstradisi Ke Singapura Kerana Keselamatan -Hishammuddin
  6. ^ "salinan arkib". Diarkibkan daripada yang asal pada 2007-11-24. Dicapai pada 2007-11-21.
  7. ^ "PM announces historic changes in nation's laws". The Star. Dicapai pada 2011-09-15.
  8. ^ "K'jaan mansuhkan ISA dan Akta Buang Negeri", Malaysiakini.com, 15 September 2011.

Rujukan lain[sunting | sunting sumber]