KD Tunku Abdul Rahman

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Tunku Abdul Rahman di Pelabuhan Klang September 2009

KD Tunku Abdul Rahman adalah kapal selam pertama negara Malaysia. Tentera Laut Diraja Malaysia membeli dua kapal selam Scorpene dengan kos RM3.4 bilion. Ia dibina di pelabuhan Toulon, Perancis dan Cartagena, Sepanyol. Dilancar pada 23 Oktober 2007, ia tiba di Malaysia pada 3 September 2009.

Malaysia merupakan negara ketiga di Asia Tenggara memiliki aset itu selepas Singapura dan Indonesia.

Spesifikasi[sunting | sunting sumber]

  • Kapal selam Scorpene ini merupakan kapal selam jenis tempur konvensional yang berkemampuan membawa 10 torpedo dan 30 pemusnah periuk api. Kapal selam Scorpene ini lengkap dengan 6 tiub peluru berpandu yang boleh dilancarkan serentak iaitu peluru berpandu anti kapal permukaan dan torpedo anti kapal selam. [1]
  • Ia mampu beroperasi mengawasi perairan Malaysia pada kedalaman 100 hingga 200 meter. Perairan Selat Melaka , Laut China Selatan, Laut Sulu dan Laut Sulawesi perlu diawasi dari pencerobohan tentera musuh.[2]
  • Kapal selam ini menggunakan diesel-elektronik generasi baru .
  • Kelajuannya 20 knot . Ia lengkap dengan sistem navigasi tercanggih, sistem tempur yang dikenali sebagai SUBTICS.
  • Kontraktor pembina ialah Defence Conseil National (DCN) iaitu syarikat perkapalan Perancis dengan rakan kongsi dari Sepanyol, Navantia.[3]

Pelayaran dari Perancis[sunting | sunting sumber]

KD Tunku Abdul Rahman mengambil masa 55 hari berlayar dari Toulon , Perancis sejak 11 Julai 2009. Ia merentasi 6000 batu nautika dan singgah di 3 pelabuhan iaitu di pelabuhan Jeddah, Djibouti dan Cochin sebelum sampai di pelabuhan Klang.

Pada 3 September 2009 kapal selam ini dengan 35 krew diketuai Komander Zulhelmy Ithnain tiba di Malaysia. Ia berlabuh di Pangkalan KD Sultan Abdul Aziz Shah, Pulau Indah, Pelabuhan Klang, Selangor.

Yang di-Pertuan Agong Sultan Mizan Zainal Abidin melancarkan setem kenangan dan sampul surat hari pertama sempena kapal selam pertama negara itu. Turut hadir ialah Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Al-Haj.[4]

Kerosakan 1[sunting | sunting sumber]

Pada Disember 2009,kerosakan komponen Forward Seawater Cooling System (bahagian sistem penyejuk air laut) dikesan menyertai Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA 2009) di Langkawi . Justeru itu, jurutera menasihatkan untuk tidak menyelam kerana dikhuatiri membahayakan. [5]

Datuk Mohd Jidin Shafee (BN-Setiu) meminta kebenaran untuk masuk ke dalam kapal selam itu untuk mengetahui kewajaran kos RM3.4 bilion. Menteri Pertahanan , Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berpendapat ia membahayakan dan tidak perlu.[6]

Kerosakan 2[sunting | sunting sumber]

Ketibaan kapal selam ini di Malaysia pada 3 september 2009, telah menimbulkan kecurigaan kerana tidak pernah menyelam atau tenggelam . Kapal ini asyik terapung di permukaan air.

Pada 11 Februari 2010, Panglima Tentera Laut, Jeneral Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar mengesahkan kapal selam KD Tunku Abdul Rahman mengalami kecacatan pada komponen (defect high pressure air blowing) yang boleh menjejaskan keselamatan kapal berkenaan jika ia menyelam. Kerosakan itu melibatkan bahagian yang menyalurkan tekanan air keluar masuk yang menyebabkan kapal itu gagal untuk dilancarkan ke bawah permukaan air.

Pada 17 Januari 2010,kapal selam itu tidak dibenarkan menyelam di di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Sabah [7].Ini kerana kerosakan mekanikal dikesan pada kapal Scorpene binaan Perancis bernilai RM1 bilion itu . Ketika itu kerja penyelenggaraan dilakukan di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di Teluk Sepanggar, Sabah. Ia hanyalah kerosakan kecil .Kerosakan mekanikal sedang dibaik pulih oleh kontraktor yang dilantik. Alat gantinya sudah diperoleh dan kerja menyelenggara sedang dilakukan.

Pada 22 Februari 2010, kapal selam ini akan menyelam buat pertama kalinya. Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyatakan kerosakan kecil telah diperbaiki oleh pihak pembekal kerana masih dalam tempoh jaminan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]