Loghat

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Loghat (loghat daerah atau dialek) ialah kelainan dalam sesuatu bahasa yang menjadi ciri satu golongan tertentu dalam kalangan penutur bahasa itu.[1] Istilah ini paling biasa digunakan untuk menghuraikan corak pertuturan setempat, tetapi juga ditentukan oleh faktor-faktor lain seperti darjat sosial.[2] Istilah loghat berasal dari perkataan Arab لغة (lúğa) yang bermaksud "bahasa";[3] sementara istilah dialek dipinjam dari bahasa Inggeris melalui perkataan Yunani διάλεκτος (dialektos) yang bermaksud "bahasa" atau "perbualan".

Dalam kegunaan umum, perkataan "loghat" atau "loghat daerah" adakalanya dipakai untuk memaksudkan suatu bahasa yang kurang biasa didengari (terutamanya bahasa setempat), khususnya bahasa yang tidak bertulis atau tidak diselaraskan.[4] Penggunaan perkataan ini tidak sedap didengari penutur bahasa-bahasa yang dimaksudkan kerana diiringi salah sangka bahawa bahasa minoriti berkenaan ketandusan kosa kata, tatabahasa atau kepentingan.

Bilangan penutur dan liputan geografi loghat itu agak sukar ditentukan, lebih-lebih lagi loghat itu boleh terbahagi lagi kepada loghat-loghat kecil. Loghat itu adalah sistem perhubungan penuh (baik lisan mahupun berisyarat, tetapi tidak semestinya bertulis) yang dilengkapkan lagi perbendaharaan kata dan tatabahasa sendiri.

Loghat yang dikaitkan dengan darjat sosial tertentu dipanggil sosiolek. Kelainan-kelainan bahasa yang lain termasuk: bahasa baku yang diselaraskan untuk tujuan perhubungan umum (contohnya, tulisan piawai); jargon yang dicirikan melalui perbezaan dalam leksikon (perbendaharaan kata); slanga; patois; pijin ataupun bahasa sulit. Corak pertuturan tertentu yang dipakai oleh seseorang individu sahaja dipanggil idiolek.

Sesuatu loghat itu boleh dibezakan melalui kosa kata, tatabahasa, dan sebutannya (fonologi, termasuk prosodi). Jika hanya terdapat perbezaan pada sebutannya, maka harus digunakan istilah pelat atau telor, bukan dialek atau bahasa daerah (tetapi istilah loghat adalah tepat bagi kedua-dua erti ini).

Loghat baku dan bukan baku[sunting | sunting sumber]

Loghat baku (atau "bahasa baku") adalah loghat yang didukung secara keinstitusian, iaitu termasuklah pengiktirafan atau ketetapan kerajaan; penyampaianny selaku bentuk bahasa yang "tepat" di sekolah; penerbitan tatabahasa, kamus, dan buku pembelajaran yang mengemukakan bentuk lisan dan bertulis yang "tepat"; dan kesusasteraan formal berlarutan yang menggunakan loghat itu (prosa, puisi, bukan cereka, dan sebagainya). Adanya juga berbilang loghat baku yang dihubungkan dengan satu bahasa itu. Bahasa Malaysia dan Bahasa Indonesia boleh dikatakan sebagai bentuk loghat baku bahasa Melayu, begitu juga Bahasa Inggeris Amerika Baku, Bahasa Inggeris British Baku, Bahasa Inggeris India Baku, Bahasa Inggeris Australia Baku, dan Bahasa Inggeris Filipina Baku kesemuanya bergelar bahasa Inggeris yang baku.

Loghat bukan baku juga menikmati kosa kata, tatabahasa dan sintaksis yang lengkap seperti loghat baku, tetapi tidak meraih dukungan keinstitusian. Satu contoh loghat bukan baku ialah Bahasa Melayu Sarawak dalam bahasa Melayu yang laris ditutur oleh masyarakat Sarawak tetapi tidak diajar di sekolah mahupun digunakan dalam surat-menyurat rasmi dalam hubungan rasmi. Ujian Dialek direka oleh Joseph Wright untuk membandingkan pelbagai loghat bahasa Inggeris.

"Loghat" atau "bahasa"[sunting | sunting sumber]

Tiadanya syarat-syarat yang diterima umum bagi membezakan bahasa dan loghat, namun adanya beberapa paradigma yang memberikan hasil-hasil yang adakalanya bercanggahan. Justeru, pembezaan yang tepat pun tetap subjektif, iaitu terpulang pada rangka rujukan seseorang.

Kelainan bahasa selalu dipanggil loghat berbanding bahasa atas satu atau lebih sebab-sebab yang berikut:

  • semata-mata bukan bahasa bertulis (ataupun tidak diiktiraf sedemikian)
  • penutur kelainan bahasa itu tidak bernegara sendiri
  • langsung tidak atau jarang sekali digunakan dalam cetakan atau sastera
  • kelainan bahasa itu ketandusan prestij.

Ahli-ahli linguistik antropologi mentakrifkan loghat sebagai suatu bentuk bahasa tertentu yang dipakai oleh suatu komuniti perbualan. Dalam erti kata lain, perbezaan antara bahasa dan dialek ialah perbezaan antara "yang abstrak atau umum" dan "yang maujud dan khusus". Dari perspektif ini, tiada sesiapa pun yang bertutur dalam "bahasa"; sebaliknya, semuanya bertutur dalam loghat. Sesiapa yang menentukan loghat tertentu sebagai bentuk yang "baku" atau "tepat" sebenarnya sedang menggunakan kata-kata tersebut untuk meluahkan pembezaan sosial. Selalunya, bahasa baku itu lebih menyerupai sosiolek golongan elit.

Dalam kelompok-kelompok yang mana prestij itu kurang memainkan peranan, istilah "loghat" boleh digunakan cuma untuk memaksudkan kelainan setempat yang tidak ketara dalam amalan linguistik yang dianggap saling mudah difahami, memainkan peranan penting dalam mengenali seseorang serta membayangkan asal-usulnya (kawasan bandar yang mana, kampung yang mana, atau daerah yang mana); maka nampaknya terdapat banyak "loghat keabdian". Ertinya, terdapat banyak kelainan yang tidak ketara di antara penutur yang saling memahami bahasa dan menerima bahawa diri mereka bertutur "secara sama" secara amnya.

Ahli bahasa moden tahu bahawa taraf sesuatu bahasa itu bukan sahaja ditentukan oleh kriteria linguistik, malah juga merupakan hasil perkembangan sejarah dan politik. Bahasa Romansh ada bahasa bertulisnya, maka diiktiraf sebagai bahasa, biarpun agak serupa bunyinya dengan loghat-loghat Alp Lombard. Lain pula dengan bahasa Cina, yang bentuk-bentuk kelainannya termasuk bahasa Mandarin dan Kantonis sering dianggap sebagai dialek dan bukan bahasa sungguhpun saling tidak boleh difahami semata-mata kerana semuanya berkongsi piawaian penulisan dan badan kesusasteraan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ Oxford English dictionary
  2. ^ Merriam-Webster Online Dictionary
  3. ^ Abd. Rauf Dato' Haji Hassan; Abdul Halim Salleh; Khairul Amin Mohd Zain (2005). Kamus Bahasa Melayu-Bahasa Arab Bahasa Arab-Bahasa Melayu. Shah Alam: Oxford Fajar. m/s. 328. ISBN 967-65-7321-3.
  4. ^ Perhatikan, contohnnya, penggunaan "dialect" dalam ayat berikut yang dipetik dari potert biografi Theodore Roosevelt (The river of doubt: Theodore Roosevelt's darkest journey (2005) oleh Candice Millard, Doubleday), "… and Rondon, although he knew ten different Indian dialects…" ("…dan Rondon, biarpun ia tahu akan sepuluh dialek Indian berbeza…", ms. 80). Penelitian kandungan akhbar masa itu turut memperlihatkan penggunaan yang sama.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]