McDonnell Douglas MD-80
| MD-80 series Siri MD-80 | |
|---|---|
| Maklumat am | |
| Jenis | Pesawat berbadan sempit |
| Negara asal | Amerika Syarikat |
| Pengeluar |
|
| Status | Dalam perkhidmatan terhad |
| Pengguna utama | Aeronaves TSM |
| Jumlah dibina | 1,191 |
| Sejarah | |
| Dikilangkan | 1979–1999 |
| Tarikh diperkenalkan | 10 Oktober 1980 dengan Swissair |
| Penerbangan sulung | 18 Oktober 1979 |
| Dibangunkan dari | McDonnell Douglas DC-9 |
| Dibangunkan kepada | McDonnell Douglas MD-90 |
McDonnell Douglas MD-80 ialah sebuah siri pesawat lorong tunggal dengan susunan lima kerusi sebaris yang dibangunkan oleh McDonnell Douglas. Ia telah dikeluarkan oleh syarikat pembangun tersebut sehingga Ogos 1997 dan kemudiannya oleh Boeing Commercial Airplanes. MD-80 merupakan generasi kedua bagi keluarga DC-9, yang pada asalnya dinamakan sebagai DC-9-80 (DC-9 Siri 80) dan kemudiannya digayakan sebagai DC-9 Super 80 (singkatannya Super 80). Dengan sayap yang lebih panjang dan besar serta dikuasakan oleh enjin Pratt & Whitney JT8D-200 dengan nisbah pintasan yang lebih tinggi, program pesawat ini telah dilancarkan pada Oktober 1977. MD-80 melakukan penerbangan pertamanya pada 18 Oktober 1979 dan menerima pensijilan pada 25 Ogos 1980. Pesawat pertama telah dihantar kepada pelanggan pelancar Swissair pada 13 September 1980, yang kemudiannya mula mengoperasikan pesawat tersebut pada 10 Oktober 1980.
Dengan mengekalkan keratan rentas fiuslaj yang sama, varian yang lebih panjang dipanjangkan sehingga 14 ft (4.3 m) daripada versi DC-9-50 dan mempunyai sayap yang 28% lebih besar.
Varian-varian yang lebih besar (MD-81/82/83/88) mempunyai panjang 148 ft (45.1 m) untuk memuatkan 155 penumpang dalam kelas ekonomi dan, dengan berat yang berbeza-beza, mampu terbang sehingga jarak 2,550 batu nautika [nmi] (4,720 km; 2,930 bt). Varian terkemudian iaitu MD-88 mempunyai kokpit moden dengan paparan Sistem instrumen penerbangan elektronik (EFIS). MD-87 pula adalah 17 ft (5.3 m) lebih pendek untuk memuatkan 130 penumpang dalam kelas ekonomi dan mempunyai jarak jangkauan sehingga 2,900 nmi (5,400 km; 3,300 bt).
Siri MD-80 pada mulanya bersaing dengan Boeing 737 Classic dan kemudiannya turut bersaing dengan keluarga Airbus A320ceo. Penggantinya yang diperkenalkan pada tahun 1995, MD-90, merupakan versi lanjutan seterusnya yang dikuasakan oleh enjin turbofan pintasan tinggi IAE V2500, manakala varian yang lebih pendek iaitu MD-95, yang kemudiannya dikenali sebagai Boeing 717, dikuasakan oleh enjin Rolls-Royce BR715. Pengeluaran ditamatkan pada tahun 1999 selepas sebanyak 1,191 buah MD-80 diserahkan, dengan 116 buah pesawat daripadanya masih kekal berkhidmat setakat Ogos 2022.
Varian
[sunting | sunting sumber]
Rujukan: Commercial Aircraft of the World 1981 oleh Flight International,[1] 1982,[2] 1983,[3] Jane's All the World's Aircraft 1994–1995,[4] dan 2004–2005.[5]
- Dimensi
- Versi asas MD-80 "badan panjang" (MD-81, MD-82, MD-83, dan MD-88) mempunyai panjang keseluruhan sebanyak 147 ka 10 in (45.06 m), dan panjang fiuslaj sebanyak 136 kaki 5 inci (41.58 m) iaitu 4.62 m lebih panjang daripada DC-9-50 dan 13.5 m lebih panjang daripada DC-9 awal, iaitu Siri 10. Rentang sayap juga ditambah sebanyak 4.4 m berbanding pesawat DC-9 terdahulu pada ukuran 107 kaki 10.2 inci (32.873 m). Ruang kabin penumpang pesawat ini, dari pintu kokpit hingga ke bahagian sekat belakang (*aft bulkhead*), adalah sepanjang 101 kaki 0 inci (30.78 m) dan, sama seperti semua versi DC-9, mempunyai lebar kabin maksimum (dari kemasan ke kemasan) sebanyak 123.7 inci (3.14 m).[perlu rujukan]
- Janakuasa
- Versi pengeluaran awal bagi MD-80 ialah MD-81 yang dikuasakan oleh enjin Pratt and Whitney JT8D-209 dengan tujahan sebanyak 18,500 lbf (82 kN). MD-81 yang dibina kemudian telah dihantar dengan enjin JT8D-217 dan -219 yang lebih berkuasa.
- APU
- Semua versi MD-80 dilengkapi dengan APU AlliedSignal (Garrett) GTCP85-98D sebagai standard, yang terletak di bahagian belakang fiuslaj.
- Dek penerbangan
- MD-80 dilengkapi dengan dek penerbangan dua krew yang serupa dengan model DC-9 yang menjadi asas evolusinya. Model-model terkemudian boleh dilengkapi dengan spesifikasi yang lebih tinggi menggunakan paparan EFIS bagi menggantikan instrumen analog tradisional, TCAS, pengesan ricihan angin (*windshear*), dan sebagainya. Pengubahsuaian retrofiting paparan EFIS pada pesawat yang tidak dilengkapi dengan sistem tersebut juga boleh dilakukan.
- Kabin
- Susunan tempat duduk ruang kabin penumpang yang biasa termasuklah:[6][halaman diperlukan]
- Konfigurasi kelas campuran dengan ruang dapur (*galley*) perkhidmatan penuh di bahagian belakang untuk jumlah keseluruhan 135 penumpang, dengan 12 kerusi kelas pertama, susunan empat sebaris berserta jarak ruang kaki (*pitch*) 36 inci.
- 123 penumpang kelas ekonomi, susunan lima sebaris berserta jarak ruang kaki 32 inci.
- Aturan kelas ekonomi sepenuhnya untuk 155 penumpang, susunan lima sebaris berserta jarak ruang kaki 32 dan 33 inci.
- Susunan berkepadatan tinggi yang biasa adalah untuk 167 penumpang dalam satu kelas (contohnya, Airtours).
- Roda pendaratan
- Semua versi MD-80 dilengkapi dengan roda pendaratan jenis trisikal, yang menampilkan unit berkembar di bahagian hadapan (hidung) berserta penghalang semburan (*spray deflector*) dan unit berkembar utama berserta penghalang batu. Varian MD-80T yang dibangunkan untuk pasaran China berbeza kerana setiap unit utamanya dipasang dengan bogi roda-kembar empat roda untuk mengurangkan bebanan pada permukaan turapan jalan teksi atau landasan.[6][halaman diperlukan][3]
- Penambahbaikan aerodinamik
- Bermula pertengahan tahun 1987, kon ekor "beaver" berintangan rendah baharu yang pada asalnya digunakan pada MD-83 dan -87 telah diperkenalkan pada kesemua siri awal MD-80, sekali gus mengurangkan daya heretan dan menambah baik kadar pembakaran bahan api. Beberapa pengendali telah mengubah suai kon gaya DC-9 lama pada pesawat MD-80 binaan awal kepada gaya berintangan rendah yang baharu ini. Syarikat Scandinavian Airlines System telah berbuat demikian dengan menyatakan bahawa pengubahsuaian tersebut memberikan nilai ekonomi dan kosmetik yang lebih baik.[6][halaman diperlukan]
MD-81
[sunting | sunting sumber]
MD-81 (pada asalnya dikenali sebagai DC-9 Super 81 atau DC-9-81) merupakan model pengeluaran pertama bagi siri MD-80. Selain daripada varian MD-87, perbezaan antara varian MD-80 berbadan panjang yang lain adalah agak kecil. Kesemua empat model berbadan panjang (MD-81, MD-82, MD-83, dan MD-88) hanya berbeza dari segi varian enjin, kapasiti bahan api dan berat pesawat. Varian MD-88 serta versi binaan terkemudian bagi model-model lain mempunyai dek penerbangan yang lebih moden yang menampilkan sistem EFIS.
- Prestasi
- Berat berlepas maksimum (MTOW) standard bagi MD-81 ialah 140,000 lb (63,500 kg) dengan pilihan untuk ditingkatkan kepada 142,000 lb (64,400 kg). Kapasiti bahan api adalah sebanyak 5,840 US gallon (22,100 L), manakala jarak jangkauan biasa dengan muatan 155 penumpang ialah 1,565 nmi (2,898 km; 1,801 bt).[6]
- Garis masa MD-81
- Pelancaran rasmi: Oktober 1977
- Penerbangan sulung: 18 Oktober 1979
- Pensijilan FAA: 25 Ogos 1980
- Serahan pertama: 13 September 1980 kepada Swissair
- Mula berkhidmat: 10 Oktober 1980 bersama Swissair dalam penerbangan dari Zurich ke Heathrow.
- Serahan terakhir: 24 Jun 1994 kepada JAL Domestic
MD-82
[sunting | sunting sumber]

Diumumkan pada 16 April 1979, MD-82 (DC-9-82) merupakan sebuah varian MD-80 baharu dengan dimensi yang serupa dengan varian MD-81 tetapi dilengkapi dengan enjin yang lebih berkuasa. MD-82 disasarkan untuk operasi dari lapangan terbang 'panas dan tinggi' (*hot and high*), namun ia turut menawarkan kapasiti muatan/jangkauan yang lebih besar apabila digunakan di lapangan terbang 'standard'.[7] American Airlines merupakan pengendali MD-82 terbesar di dunia, dengan pernah memiliki lebih daripada 300 buah MD-82 dalam armadanya pada satu ketika.
Pada asalnya disahkan dengan enjin JT8D-217 bertujah 20,000 lbf (89 kN), sebuah pesawat MD-82 yang dikuasakan oleh enjin -217A telah diperakui pada pertengahan tahun 1982 dan mula tersedia pada tahun tersebut. Versi baharu ini menampilkan MTOW yang lebih tinggi (149,500 lb (67,800 kg)), manakala enjin JT8D-217A mempunyai jaminan tujah berlepas pada suhu sehingga 29 °C (84 °F) atau pada altitud 5,000 ka (1,500 m). Enjin JT8D-217C juga ditawarkan pada MD-82, yang memberikan penambahbaikan terhadap Penggunaan bahan api spesifik tujah (TSFC). Beberapa pengendali menerima serahan MD-82 yang dikuasakan oleh enjin -219, manakala Balair menempah pesawat MD-82 mereka dengan dikuasakan oleh enjin -209 yang bertujah lebih rendah.[6][halaman diperlukan][3]
MD-82 menampilkan peningkatan MTOW standard yang pada mulanya sebanyak 147,000 lb (66,700 kg), dan berat ini kemudiannya ditingkatkan lagi kepada 149,500 lb (67,800 kg). Kapasiti bahan api standard adalah sama seperti varian MD-81, iaitu 5,840 US gal (22,100 L), manakala jarak jangkauan biasa dengan muatan 155 penumpang ialah 2,050 nmi (3,800 km; 2,360 bt).[6][halaman diperlukan][3]
- Garis masa MD-82
- Diumumkan/kelulusan projek: 16 April 1979
- Penerbangan sulung: 8 Januari 1981
- Pensijilan FAA: 29 Julai 1981
- Serahan pertama: 5 Ogos 1981 kepada Republic Airlines
- Mula berkhidmat: Ogos 1981 bersama Republic Airlines
- Serahan terakhir: 17 November 1997 kepada U-Land Airlines dari Taiwan
MD-82 telah dipasang di bawah lesen di Shanghai oleh Perbadanan Industri Penerbangan Shanghai (SAIC, kini sebahagian daripada COMAC) bermula pada November 1986; yang mana subpemasangan dihantar oleh McDonnell Douglas dalam bentuk kit.[6][halaman diperlukan] China pernah memulakan reka bentuk bagi versi kargo yang dinamakan Y-13, namun projek tersebut kemudiannya dibatalkan susulan penamatan pemasangan berlesen bagi model MD-82 dan MD-90 di China.[8][9] Pada tahun 2012, Aeronautical Engineers Inc. telah melakukan penukaran pesawat MD-82 komersial kepada versi pesawat kargo buat pertama kali.[10]
MD-83
[sunting | sunting sumber]
MD-83 (DC-9-83) ialah versi jangkauan lanjutan bagi model asas MD-81/82 dengan berat yang lebih tinggi, enjin yang lebih berkuasa serta kapasiti bahan api yang ditingkatkan.
- Janakuasa
- Berbanding dengan model terdahulu, MD-83 dilengkapi dengan enjin Pratt and Whitney JT8D-219 bertujah 21,000 lbf (93 kN) yang lebih berkuasa sedikit sebagai standard.
- Prestasi
- MD-83 menampilkan peningkatan kapasiti bahan api standard (kepada 6,970 US gal (26,400 L)), yang mana ia diisi di dalam dua buah tangki tambahan berkapasiti 565 US gal (2,140 L) yang terletak di bahagian hadapan dan belakang seksyen tengah. Pesawat ini juga mempunyai berat operasi yang lebih tinggi, dengan MTOW ditingkatkan kepada 160,000 lb (73,000 kg) dan MLW kepada 139,500 lb (63,300 kg). Jarak jangkauan biasa untuk MD-83 dengan muatan 155 penumpang adalah sekitar 2,504 batu nautika (4,637 km; 2,882 bt). Bagi menampung berat operasi yang lebih tinggi ini, MD-83 menyepadukan roda pendaratan yang diperkukuh termasuk roda, tayar dan brek baharu, perubahan pada permukaan sayap (*wing skins*), jaringan tiang hadapan (*front spar web*) dan penutup tiang lif (*elevator spar cap*), serta rasuk dan panel lantai yang diperkukuh untuk menampung tangki bahan api tambahan. Bermula daripada nombor barisan MD-80 yang ke-1194, iaitu sebuah MD-81 yang dihantar pada September 1985, difahami bahawa kesemua pesawat MD-80 mempunyai struktur sayap asas yang sama dan secara teorinya boleh diubah suai kepada standard MD-83.[6][halaman diperlukan]
- Garis masa MD-83
- Diumumkan/kelulusan projek: 31 Januari 1983
- Penerbangan sulung: 17 Disember 1984
- Pensijilan FAA: 17 Oktober 1985 (MTOW 149,500 lb (67,800 kg)). MTOW sebanyak 160,000 lb (73,000 kg) diperakui pada 4 November 1985.
- Serahan pertama: Februari 1985 kepada Alaska Airlines – pada asalnya sebagai versi -82 yang dikuasakan oleh enjin -217A dan diperakui sebagai MD-82. Empat pesawat pertama Alaska Airlines kemudiannya ditukar enjin dan diperakui semula sebagai MD-83.
- Mula berkhidmat: Februari 1985 bersama Alaska Airlines
- Serahan terakhir: 28 Disember 1999 kepada Trans World Airlines (TWA)
MD-87
[sunting | sunting sumber]
Pada Januari 1985, McDonnell Douglas mengumumkan bahawa syarikat itu akan mengeluarkan varian MD-80 berfiuslaj lebih pendek, yang dinamakan MD-87 (DC-9-87), yang mampu memuatkan antara 109 hingga 130 penumpang bergantung kepada konfigurasi. Penamaan tersebut bertujuan untuk menunjukkan tarikh jadual pesawat ini mula berkhidmat, iaitu pada tahun 1987.
- Dimensi
- Dengan panjang keseluruhan sebanyak 130 ka 5 in (39.75 m), MD-87 adalah 17 ka 4 in (5.28 m) lebih pendek daripada varian MD-80 yang lain, namun secara amnya adalah serupa dengan model-model tersebut dari segi penggunaan enjin, sistem dan dek penerbangan yang sama. MD-87 menampilkan pengubahsuaian pada bahagian ekornya, dengan sambungan sirip di atas satah ekor (*tailplane*). Ia juga memperkenalkan kon ekor "beaver" berintangan rendah baharu, yang kemudiannya menjadi standard untuk kesemua siri MD-80.
- Janakuasa
- MD-87 ditawarkan sama ada dengan enjin JT8D-217C bertujah 20,000 lbf (89 kN) atau enjin -219 bertujah 21,000 lbf (93 kN).
- Prestasi
- Dua versi asas bagi MD-87 telah disediakan sama ada dengan MTOW sebanyak 140,000 lb (64,000 kg) dan MLW sebanyak 128,000 lb (58,000 kg), atau MTOW sebanyak 149,000 lb (68,000 kg) dan MLW sebanyak 130,000 lb (59,000 kg). Kapasiti bahan api adalah sebanyak 5,840 US gal (22,100 L), dan meningkat kepada 6,970 US gal (26,400 L) dengan penambahan dua tangki bahan api pembantu. Jarak jangkauan biasa dengan muatan 130 penumpang ialah 2,370 nmi (4,390 km; 2,730 bt), dan meningkat sehingga 2,900 nmi (5,400 km; 3,300 bt) apabila dipasang dengan dua tangki bahan api pembantu.
- Kabin
- MD-87 menyediakan susunan tempat duduk kelas campuran biasa untuk 114 penumpang atau 130 penumpang dalam aturan kelas ekonomi sepenuhnya (susunan lima sebaris berserta jarak ruang kaki 31 inci dan 32 inci). Kapasiti tempat duduk maksimum, yang dihadkan oleh pintu keluar kecemasan, adalah untuk 139 penumpang.
- Garis masa MD-87
- Diumumkan/kelulusan projek: Januari 1985
- Penerbangan sulung: 4 Disember 1986
- Pensijilan FAA: 21 Oktober 1987
- Serahan pertama: 27 November 1987 kepada Austrian Airlines[11]
- Serahan terakhir: 27 Mac 1992 kepada Scandinavian Airlines (SAS)
MD-88
[sunting | sunting sumber]
MD-88 merupakan varian terakhir bagi siri MD-80, yang telah dilancarkan pada 23 Januari 1986 hasil daripada tempahan dan pilihan oleh Delta Air Lines untuk sejumlah 80 buah pesawat.
Bergantung pada spesifikasi, MD-88 secara amnya adalah serupa dengan MD-82 atau MD-83 kecuali ia menyepadukan kokpit EFIS bagi menggantikan dek penerbangan analog tradisional yang terdapat pada varian MD-80 yang lain. Perubahan lain yang diterapkan pada MD-88 termasuklah sistem amaran ricihan angin (*wind-shear*) serta pengemaskinian menyeluruh pada kemasan dan bahagian dalaman kabin. Perubahan terperinci ini adalah agak kecil dan kemudiannya turut dijadikan sebagai ciri standard pada varian MD-82/83. Sistem amaran ricihan angin ditawarkan sebagai pilihan standard pada kesemua varian MD-80 yang lain dan turut disediakan untuk pengubahsuaian retrofiting pada pesawat binaan terdahulu termasuk siri DC-9.
Lapan buah pesawat terawal milik Delta telah dikilangkan sebagai varian MD-82 sebelum dinaik taraf kepada spesifikasi MD-88. Serahan MD-88 bermula pada Disember 1987, dan ia mula berkhidmat dengan Delta pada Januari 1988. Penerbangan penumpang komersial terakhir bagi pesawat MD-88 di Amerika Syarikat telah dikendalikan pada 2 Jun 2020 oleh Delta melalui penerbangan dari Washington Dulles ke Atlanta.[12] Pada tahun 2021, syarikat penerbangan USA Jet Airlines dari Michigan telah menambah pesawat MD-88 ke dalam armada kargo bagi operasi ad-hoc mereka.[13]
- Prestasi
- MD-88 mempunyai prestasi berat, jangkauan dan keupayaan lapangan terbang yang sama dengan pesawat berbadan panjang yang lain (MD-82 dan MD-83) serta dikuasakan oleh enjin yang sama. MDC menyatakan bahawa jarak jangkauan biasa untuk MD-88 ialah 2,050 nmi (3,800 km; 2,360 bt) dengan muatan 155 penumpang. Penambahan dua buah tangki bahan api pembantu meningkatkan jarak jangkauannya dengan 155 penumpang kepada 2,504 nmi (4,637 km; 2,882 bt) (serupa dengan varian MD-83). Sebuah artikel daripada Wall Street Journal mengenai nahas Penerbangan 1086 Delta Air Lines di Lapangan Terbang LaGuardia Bandar Raya New York pada Mac 2015 menyatakan bahawa "para juruterbang dan pakar keselamatan lain sudah lama mengetahui bahawa apabila pembalik tujah (*reverser*) MD-88 diaktifkan, kemudinya (*rudder*)... kadangkala mungkin tidak cukup kuat untuk mengawal lencongan ke kiri atau ke kanan dari garisan tengah landasan... penyiasat lembaga keselamatan, antara lain, sedang meneliti sama ada kecenderungan ini memainkan sebarang peranan dalam nahas tersebut..".[14]
- Garis masa MD-88
- Diumumkan/kelulusan projek: 23 Januari 1986
- Penerbangan sulung: 15 Ogos 1987
- Pensijilan FAA: 8 Disember 1987
- Serahan pertama: 19 Disember 1987 kepada Delta Air Lines
- Mula berkhidmat: 5 Januari 1988 bersama Delta Air Lines
- Serahan terakhir: 25 Jun 1997 kepada Onur Air
- Penerbangan komersial terakhir di AS: 2 Jun 2020 oleh Delta Air Lines[12]
Penukaran
[sunting | sunting sumber]Penukaran kepada pesawat kargo tersedia untuk varian siri MD-80 berbadan panjang (MD-81, MD-82, MD-83 dan MD-88), manakala penukaran kepada pesawat pemadam api adalah untuk varian terpendek, iaitu MD-87.
AEI MD-80SF (Pesawat Kargo)
[sunting | sunting sumber]
Pada Februari 2010, Aeronautical Engineers Inc. (AEI) mengumumkan bahawa syarikat itu memulakan program penukaran pesawat kargo bagi siri MD-80.[10] Pesawat yang telah diubah suai ini menggunakan penamaan MD-80SF (*MD-80 special freighter* / pesawat kargo khas MD-80). AEI merupakan satu-satunya syarikat yang diperakui secara tunggal oleh FAA dan EASA untuk melakukan kerja penukaran pada varian siri MD-80 yang lebih panjang (MD-81, MD-82, MD-83 dan MD-88). Penukaran pesawat kargo AEI MD-80SF ini melibatkan pemasangan sebuah pintu kargo besar bersaiz 85"×136" pada sebelah kiri fiuslaj serta pengubahsuaian geladak utama menjadi petak kargo Kelas E yang dilengkapi dengan sistem pengesanan asap bebas. Tingkap kabin pula digantikan dengan palam tingkap aluminium yang ringan. Selepas penukaran, pesawat kargo ini mampu membawa dua belas ULD bersaiz 88"×108", lapan ULD bersaiz 125"×88" atau lapan ULD bersaiz 125"×96". Pintu kargo tersebut dikendalikan secara hidraulik dan digerakkan dari dalam pesawat oleh suatu sistem bebas. Tekanan hidraulik boleh didapati daripada dua sumber; sama ada pam hidraulik yang dikendalikan secara elektrik atau pam tangan manual. Kawalan pintu dan pam manual tersebut terletak pada penghadang 9 g, sekali gus membolehkan seorang individu sahaja mengendalikan pintu itu secara manual.[15] Kerja pemasangan pintu kargo serta perubahan struktur yang lain dilakukan oleh Commercial Jet Inc. (CJI), sebuah syarikat yang dilesenkan untuk memasang kit penukaran rekaan AEI ini di kemudahannya yang terletak di Dothan, Alabama.[16]
EAT MD-87 (Pesawat Pemadam Api)
[sunting | sunting sumber]Pada tahun 2013, lima buah pesawat MD-87 yang dahulunya dikendalikan oleh Scandinavian Airlines (SAS) telah ditukar untuk kegunaan pemadaman api dari udara oleh Aero Air/Erickson Aero Tanker (EAT).[17][18] Tangki luaran (*pod*) dipasang di bawah pintu tangki bahan perencat api, sekali gus merendahkan titik pelepasan sebanyak 46 inci dan mengurangkan kemungkinan bahan perencat api tersebut merebak ke atas sayap yang kemudiannya boleh tersedut ke dalam enjin.[19] Pada 30 Mei 2019, AerSale, sebuah pembekal global bagi perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), enjin serta pesawat separuh hayat, mengumumkan bahawa mereka telah menandatangani kontrak dengan Aero Air/Erickson Aero Tanker untuk membina pesawat pemadam api MD-87 yang keenam, dengan kerja penukaran bermula pada 1 April 2019 di kemudahan MRO AerSale di Goodyear, Arizona. Pesawat pemadam api baharu ini akan meluncur pada kelajuan 450 knot, membawa 3,000 gelen bahan perencat api dalam semua keadaan persekitaran sehingga suhu 40 darjah Celsius, mempunyai jarak serangan dengan muatan sejauh 900 batu, hanya memerlukan landasan sepanjang 5,200 kaki apabila dimuatkan penuh, serta mampu berlepas dan mendarat dalam keadaan muatan penuh.[20]
Pesawat yang dipamerkan
[sunting | sunting sumber]- N259AA (cn 49289) – MD-82 dipamerkan di Muzium Udara dan Angkasa Tulsa di Tulsa, Oklahoma[perlu rujukan] Kabin pesawat telah diubah suai menjadi panggung wayang yang dinamakan sebagai "MD-80 Discovery Center".[21][22]
- N292AA (cn 49304) – MD-82 dipamerkan secara statik di Muzium Kanak-Kanak Carolina di Carolina, Puerto Rico.[23]
- N491AA (cn 49684) – MD-82 milik Universiti Negeri Oklahoma (OSU) dan ditempatkan di Lapangan Terbang Serantau Stillwater di Stillwater, Oklahoma.[perlu rujukan] Pesawat ini digunakan oleh Pusat Pengajian Kejuruteraan Mekanikal dan Aeroangkasa universiti tersebut sebagai sebahagian daripada program pendidikan mereka.[24]
- N948TW (cn 49575) – sebuah MD-83 yang dipelihara oleh organisasi Tristar Experience di Lapangan Terbang Pusat Bandar Charles B. Wheeler di Kansas City, Missouri. Ia dipamerkan mengikut rupa asalnya ketika berkhidmat dengan Trans World Airlines menggunakan corak warna (*livery*) khas terbalik "Wings of Pride" pada tahun 1990-an.[25][26]
- I-SMEL (cn 49247) – bekas pesawat MD-82 milik Meridiana dipamerkan di Taman dan Muzium Penerbangan Volandia di Milan.[perlu rujukan]
Spesifikasi
[sunting | sunting sumber]
| Varian | MD-81/82/83/88 | MD-87 |
|---|---|---|
| Krew kokpit | Dua | |
| Tempat duduk 1-kelas[28] | 155Y @32-33" (maks 172) | 130Y @31-33" (maks 139) |
| Tempat duduk 2-kelas[28] | 143: 12J @ 36" + 131Y@ 31-34" | 117: 12J+105Y |
| Panjang | 147 ka 10 in (45.06 m) | 130 ka 5 in (39.75 m) |
| Data sayap | Rentang 107 ka 8 in (32.82 m), luas 1,209 ka2 (112.3 m2), nisbah aspek: 9.6 | |
| Tinggi ekor | 29 ka 7 in (9.02 m) | 30 ka 4 in (9.25 m) |
| Lebar | Fiuslaj 131.6 in / 334.3 cm, kabin 122.5 in / 311.2 cm | |
| Kargo | 1,253 ka3 (35.5 m3) -83/88: 1,013 ka3 (28.7 m3) |
938 ka3 (26.6 m3) |
| Berat kosong | 77,900–79,700 lb (35,300–36,200 kg) | 73,300 lb (33,200 kg) |
| Berat pelepasan maksimum (MTOW) | -81: 140,000 lb (63,500 kg) -82: 149,500 lb (67,800 kg) -83/88: 160,000 lb (72,600 kg) |
140,000–149,500 lb (63,500–67,800 kg) |
| Kapasiti bahan api | 5,850 US gal (22,100 L; 4,870 imp gal) -83/88: 7,000 US gal (26,000 L; 5,800 imp gal) | |
| Enjin (×2) | Siri Pratt & Whitney JT8D-200 | |
| Tujah (×2) | 18,500–21,000 lbf (82–93 kN) | |
| Jelajah jarak jauh | Mach 0.76 (503 kn; 931 km/j; 579 mph)[convert: invalid option][29] | |
| Jelajah kelajuan tinggi | Mach 0.8 (529 kn; 980 km/j; 609 mph)[convert: invalid option][28] | |
| Jarak jangkauan[a] | -81: 1,800 nmi (3,300 km; 2,100 bt) @ 137 pax -82: 2,050 nmi (3,800 km; 2,360 bt) @ 155 pax -83/88: 2,550 nmi (4,720 km; 2,930 bt) @ 155 pax |
2,400–2,900 nmi (4,400–5,400 km; 2,800–3,300 bt) |
| Pelepasan[b] | 7,200–8,000 ka (2,200–2,400 m) | 7,500 ka (2,300 m) |
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ↑ "Commercial Aircraft of the World". Flight International, 17 Oktober 1981.
- ↑ Flight International Commercial Aircraft of the World 23 Oktober 1982
- 1 2 3 4 "Commercial Aircraft of the World". Flight International, 15 Oktober 1983.
- ↑ Jane's All the World's Aircraft 1994–1995.
- ↑ Jane's All the World's Aircraft 2004-2005
- 1 2 3 4 5 6 7 8 Ralat petik: Tag
<ref>tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama "Airclaims" - ↑ Taylor 1982, p. 419.
- ↑ 云轩 (2006). "红色巨灵神 中国大型运输机之路八 运十三篇". cqvip.com (7).
- ↑ "红色巨灵神——中国大型运输机之路(八)运13(二)-【维普网】-仓储式在线作品出版平台-www.cqvip.com". 2010.cqvip.com. Dicapai pada July 10, 2015.
- 1 2 Ralat petik: Tag
<ref>tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama ":0" - ↑ "Airliner List". airlinerlist.com.
- 1 2 McMenemy, Jeff (6 Jun 2020). "Dover High grad pilots last flight of Delta's 'Mad Dog'". Foster's Daily Democrat. Dover, New Hampshire. Dicapai pada 7 Jun 2020.
- ↑ "Michigan's USA Jet Airlines to add MD-88 freighters". ch-aviation. ch-aviation GmbH. 17 Mac 2021. Dicapai pada 10 Disember 2021.
- ↑ Pasztor, Andy (9 Mac 2015). "Delta Crash: Investigators Suspect Possible Brake Problems". Wall Street Journal. m/s. A3. Dicapai pada 11 Julai 2019.

- ↑ Ralat petik: Tag
<ref>tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama "AEI-MD80SF" - ↑ Ralat petik: Tag
<ref>tidak sah; tiada teks disediakan bagi rujukan yang bernama "MD80SF_Sta21" - ↑ "Erickson's Aero Tanker MD-87". AirInsight. 16 April 2013. Dicapai pada 1 Ogos 2022.
- ↑ Warwick, Graham. "Let's Go Fight Fires - In an MD-87". aviationweek.com (dalam bahasa Inggeris). Diarkibkan daripada yang asal pada 30 Jun 2016. Dicapai pada 12 Jun 2018.
- ↑ Gabbert, Bill (10 Mac 2017). "20 large air tankers to be on exclusive use contracts this year - Fire Aviation". Fire Aviation. Dicapai pada 12 Jun 2018.
- ↑ "AerSale signs deal to convert 6th MD-87 for Erickson Aero Tanker". aerialfiremag. 30 Mei 2019. Dicapai pada 1 Ogos 2022.
- ↑ "MD-80 Discovery Center". Tulsa Air and Space Museum & Planetarium. Diarkibkan daripada yang asal pada October 23, 2016. Dicapai pada October 13, 2016.
- ↑ "Discovery Center Launched At Tulsa Air And Space Museum". Times Record. GateHouse Media, LLC. 27 April 2014. Diarkibkan daripada yang asal pada May 24, 2014. Dicapai pada October 13, 2016.
- ↑ "Avión". Museo del Nino (dalam bahasa Sepanyol). Museo del Niño de Carolina. Diarkibkan daripada yang asal pada January 21, 2012. Dicapai pada August 27, 2017.
- ↑ "American Airlines delivers retired MD-80 to OSU for hands-on learning, STEM study". News and Information. Oklahoma State University. 23 September 2015. Dicapai pada October 13, 2016.
- ↑ "MD83 – TriStar Experience". www.tristarexperience.org. Diarkibkan daripada yang asal pada August 7, 2020. Dicapai pada August 2, 2020.
- ↑ "Wings of Pride: A TWA Plane that was Nearly Forgotten". 7 Ogos 2015.
- ↑ "MD-80 Series Airplane Characteristics for Airport Planning" (PDF). McDonnell Douglas. Dec 1989.
- 1 2 3 "MD-80" (PDF). Boeing. August 31, 2007.
- ↑ "Commercial aircraft" (PDF). Flight International. October 31 – November 6, 2000. m/s. 68.