Portal:Binatang/Rencana pilihan/4

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Singa berehat di Namibia
Singa berehat di Namibia

Singa (Panthera leo) merupakan salah satu ahli genus Panthera, yakni sejenis kucing besar dalam keluarga Felidae (rumpun kucing). Singa tergolong sebagai spesies terjejas di Senarai Merah IUCN sejak tahun 1996 kerana populasi taburan Afrika merosot sebanyak 43% sejak 1990-an. Populasi singa sukar dipelihara di luar kawasan perlindungan. Biarpun punca kemerosotan tidak dipastikan sepenuhnya tetapi kehilangan habitat dan pertembungan dengan manusia paling merisaukan. Populasi singa Afrika Barat digolongkan sebagai spesies terancam genting sejak 2016. Satu-satunya populasi singa liar di Asia terdapat di India sekitar Taman Negara Hutan Gir dan digolongkan sebagai spesies terancam sejak 1986.

Perkataan singa dalam bahasa Melayu berasal dari perkataan siṁha dalam bahasa Sanskrit. Spesies singa adalah asing di kawasan kepulauan Melayu. Masyarakat Melayu kuno mula mengenali makhluk singa menerusi pengaruh India pada zaman sebelum kedatangan Islam. Nama saintifiknya leo berasal dari bahasa Latin. Daripada itulah adanya perkataan-perkataan seumpama yang merujuk pada singa dalam pelbagai bahasa Eropah, seperti lion dalam bahasa Inggeris dan bahasa Perancis serta león dalam bahasa Sepanyol.

Kebanyakan singa kini tinggal di bahagian timur dan selatan Afrika, malah jumlahnya kian merosot pada kadar 30–50% setiap 20 tahun di separuh akhir abad ke-20. Anggaran populasi singa Afrika antara 16,500 dan 47,000 ekor yang hidup liar pada 2002–2004, iaitu rendah daripada anggaran 1990-an yang sebanyak 100,000 ekor dan barangkali 400,000 ekor pada 1950. Punca utama penurunan termasuk wabak dan gangguan manusia. Kehilangan habitat dan pertembungan dengan manusia dianggap ancaman paling besar kepada singa. (Rencana penuh...)