Songkok
kalangan negarawan rantau Asia Tenggara Maritim
Songkok (Jawi: سوڠكوق), Peci (Jawi: ڤيچي), atau Kopiah (Jawi: کوڤيه) merupakan sejenis penutup kepala tradisional yang telah didokumentasikan penggunaannya di Tidore (kini sebahagian daripada Indonesia) seawal abad ke-16. Istilah kopiah sebagai alat penutup kepala dicatatkan secara bertulis buat pertama kalinya oleh Antonio Pigafetta, seorang penjelajah Itali, melalui perkataan 'Copia' dalam glosari bahasa Melayu-Itali yang disusun beliau sewaktu ekspedisi pusingan dunia pertama (Magellan-Elcano)[1] di Kepulauan Maluku pada tahun 1521. Dokumentasi sejarah ini meletakkan wilayah Kepulauan Indonesia sebagai lokasi terawal bagi kewujudan kopiah yang direkodkan secara fizikal; ia kemudianya tersebar ke beberapa wilayah Asia Tenggara yang lain hingga masuk ke Semenanjung Tanah Melayu dan ia lebih dikenali dengan gelaran songkok.
Secara teknikal, songkok lazimnya dihasilkan daripada fabrik jenis baldu, flanel, atau kapas. Dalam konteks moden, ia berfungsi sebagai pelengkap busana rasmi seperti Baju Melayu di Malaysia, Singapura, dan Brunei, serta menjadi simbol identiti nasional dan pakaian rasmi di Indonesia (lazimnya dikenali sebagai peci). Penggunaannya merangkumi acara kebudayaan, keagamaan, serta istiadat rasmi kenegaraan di rantau Asia Tenggara
Sejarah
[sunting | sunting sumber]
Penggunaan Songkok atau Kopiah sebagai penutup kepala tradisional telah didokumentasikan secara meluas di seluruh wilayah kepulauan Asia Tenggara maritim sejak ratusan tahun dahulu. Bukti bertulis terawal yang merekodkan istilah ini ditemui dalam glosari perbendaharaan kata Itali-Melayu yang disusun oleh penjelajah Itali, Antonio Pigafetta, pada tahun 1521. Beliau mencatatkan istilah 'Copia' sewaktu mengikuti ekspedisi pusingan dunia pertama di dunia Ferdinand Magellan di Kepulauan Maluku (khususnya di Tidore). Rekod ini membuktikan bahawa istilah tersebut sudah pun menjadi sebahagian daripada kosa kata tempatan sekurang-kurangnya sejak awal abad ke-16.
Selain catatan Eropah, kewujudan kopiah juga dikesan dalam pelbagai manuskrip dan sastera klasik tempatan. Dalam Hikayat Banjar yang ditulis pada atau sejurus selepas tahun 1663[2]:181[3]:204[4], kopiah dicatatkan sebagai sebahagian daripada kelengkapan pakaian pasukan khas kerajaan Majapahit yang dikenali sebagai Bhayangkara [5]:181 [6]:204. Istilah ini turut ditemui dalam Hikayat Iskandar Zulkarnain [7]:39, sebuah teks yang dipercayai ditulis asalnya sebelum tahun 1600 Masihi, menerusi petikan:
"Maka tatkala memeliharakan disuruhnya anaknya memakai perhiasan seperti pakaian laki-laki dan dikenakan kepada kepalanya kupiah ros yang keemasan."
Dari sudut etimologi, istilah kopiah dipercayai mempunyai perkaitan dengan perkataan Arab, kuffiyah. Walau bagaimanapun, bentuk fizikal kopiah di Nusantara telah mengalami evolusi tempatan yang unik sehingga menjadi bentuk kaku yang dikenali hari ini, berbeza dengan kain kuffiyah di Timur Tengah. Dalam tradisi kesusasteraan Melayu yang lebih lewat, istilah songkok mula disebut secara spesifik dalam Syair Siti Zubaidah Perang Cina (1840) [8] menerusi baris:
"...berbaju putih bersongkok merah..."
Memasuki abad ke-20, fungsi songkok atau peci telah berkembang daripada sekadar pelengkap busana tradisi dan agama kepada simbol identiti nasional dan nasionalisme. Di Indonesia, Malaysia, dan negara-negara serantau, penggunaan peci atau songkok hitam dipopularkan oleh tokoh-tokoh pejuang kemerdekaan sebagai lambang penyatuan rakyat bagi menggantikan pengaruh budaya pemakaian topi gaya Barat semasa era penjajahan.
Evolusi
[sunting | sunting sumber]Abad ke-19: Transformasi Budaya dan Pengaruh Uthmaniyyah
[sunting | sunting sumber]Pada pertengahan abad ke-19, pemakaian kopiah di Asia Tenggara mula dipengaruhi oleh gaya fez dari Empayar Uthmaniyyah yang dibawa melalui interaksi jemaah haji dan perdagangan. Di Semenanjung Tanah Melayu dan Hindia Timur Belanda (kini Indonesia), bentuk kopiah yang asalnya lembut mula berevolusi menjadi lebih kaku dan formal. Penggunaan songkok merah atau berwarna-warni dikesan dalam karya sastera seperti Syair Siti Zubaidah (1840), menunjukkan bahawa pada masa itu, warna dan bentuk songkok masih bervariasi sebelum warna hitam menjadi dominan.
1920-an: Peci sebagai Simbol Nasionalisme
[sunting | sunting sumber]Anjakan paling signifikan berlaku pada awal abad ke-20 apabila peci atau songkok hitam diangkat sebagai simbol perjuangan politik. Pada Jun 1921, semasa Rapat Jong Java di Surabaya, Sukarno secara rasmi memperkenalkan peci hitam sebagai "simbol nasionalisme" bagi menggantikan blankon (tradisi Jawa) atau topi gaya Barat (simbol kolonial). Beliau menyifatkan peci sebagai identiti "rakyat marhaen" yang melangkaui sempadan etnik dan kelas kaum sosial. Tindakan ini kemudiannya diikuti oleh gerakan nasionalis lain di kawan Asia Tenggara Maritim.
Era Pra-Kemerdekaan: Identiti Serantau
[sunting | sunting sumber]Di Tanah Melayu, penggunaan songkok hitam menjadi semakin tekal dalam kalangan ahli-ahli politik Melayu, terutama menerusi gerakan awal seperti Kesatuan Melayu Muda (KMM) dan kemudiannya Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO) pada 1946. Pemimpin seperti Dato' Onn Jaafar sering mengenakan songkok sebagai pelengkap busana Melayu untuk menunjukkan jati diri bangsa di pentas politik. Pada tempoh ini, songkok bukan lagi sekadar pakaian agama, tetapi telah diinstitusikan sebagai sebahagian daripada pakaian rasmi lelaki Melayu.
Pasca-Kemerdekaan hingga Kini
[sunting | sunting sumber]Selepas kemerdekaan Indonesia (1945) dan Malaysia (1957), peci dan songkok secara rasmi diwartakan sebagai sebahagian daripada protokol pakaian kebangsaan. Di Indonesia, peci hitam diwajibkan bagi penjawat awam dalam majlis rasmi kenegaraan. Di Malaysia, Singapura, dan Brunei, songkok menjadi elemen wajib dalam Istiadat Pembukaan Parlimen dan majlis penganugerahan darjah kebesaran. Evolusi teknikal juga berlaku dengan penggunaan fabrik baldu berkualiti tinggi dan pengenalan variasi ketinggian (inci) yang menjadi penanda status serta gaya peribadi pemakainya.
Penggunaan moden
[sunting | sunting sumber]Penggunaan Songkok Walaupun berasal daripada akar sejarah yang sama, penggunaan songkok kini mempunyai nuansa protokol yang berbeza di Asia Tenggara. Di Indonesia, peci hitam berfungsi sebagai "penutup kepala nasional" yang melangkaui batas etnik dan agama, sering digunakan oleh ketua negara dalam lawatan antarabangsa sebagai simbol republik. Manakala di Brunei, songkok digunakan secara meluas dalam majlis keagamaan dan rasmi tempatan, namun bagi istiadat diraja yang lebih tinggi, penggunaan tanjak lebih diutamakan sebagai lambang kedaulatan beraja. Pemimpin Malaysia sering memakainya di luar negara untuk menunjukkan identiti Malaysia sebagai negara yang meletakkan Islam dan budaya Bangsa Melayu sebagai teras Persekutuan.
Brunei
[sunting | sunting sumber]Taraf Diraja: Dalam majlis yang benar-benar rasmi atau istiadat tinggi, Sultan Brunei lebih cenderung menggunakan Tanjak atau Destar (tengkolok kain) yang melambangkan kedaulatan Raja-raja Melayu, yang tarafnya lebih tinggi daripada songkok dalam hierarki pakaian istana.
Diplomasi Antarabangsa: Sultan Brunei sering menggunakan pakaian seragam tentera (kerana baginda adalah Pemerintah Tertinggi Angkatan Bersenjata) atau sut Barat (standard diplomatik universal) untuk acara antarabangsa. Brunei kurang menggunakannya di pentas dunia. Bagi baginda, songkok lebih bersifat "sehari-hari" atau untuk urusan keagamaan dan lawatan tidak rasmi.
Polis Diraja Brunei dan Tentera Darat Diraja Brunei ada bersongkok dalam situasi khusus.[9]
Indonesia
[sunting | sunting sumber]Oemar Said Tjokroaminoto
Pada dahulunya, pemakaian songkok (atau "peci") sering dikaitkan dengan amalan keagamaan umat Islam, namun para pemikir dan revolusioner Hindia Timur Belanda (duluan kepada Indonesia) seperti Soekarno, Mohammad Hatta, and Agus Salim mula menggunapakai ia dalam penampilan mereka mendokong nasionalisme Indonesia yang sekular. Penjawatan Soekarno sebagai Presiden Indonesia yang pertama merasmikan pemakaian songkok dalam persalinan rasmi "Kepala Negara" republik Indonesia yang baharu ditubuhkan sehingga sekarang.[10]
Pasukan Pengibar Bendera Pusaka yang bertanggungjawab dalam acara Hari Kemerdekaan Republik Indonesia ada menerapkan sarung peci dalam kelengkapan mereka, ada dua jenis bereka bentuk berbeza untuk jantina pemakai - peci dipakai kaum wanita tampak melenkung di belakang.
Masyarakat suku Betawi di pulau Jawa turut mempunyai sarung kepala tradisi sendiri mirip songkok di mana ia lebih berwarna merah gelap.
Malaysia
[sunting | sunting sumber]
Songkok dimasukkan dalam kelengkapan askar-askar Rejimen Askar Melayu DiRaja dalam Tentera Darat Malaysia sejak penubuhan ia pada zaman British.[9] Ia turut dilazimkan dalam Polis Diraja negara tersebut pada upacara-upacara tertentu.[9]
Dewan-Dewan peringkat Undangan Negeri dan peringkat Rakyat Malaysia mewajibkan pemakaian songkok sebagai sebahagian daripada peraturan penampilan semasa bersidang;[11] pengabaian peraturan ini boleh dikenakan hukuman sesuai - pada 19 Jun 2008 misalnya Gwee Tong Hiang dari Bentayan dihalau dari Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor kerana tidak mematuhi kod pakaian rasmi yang turut berangkumi bersongkok.[12]
| Aspek | Makna dalam Islam | Makna dalam budaya Melayu |
|---|---|---|
| Penutup kepala | Kesopanan dan kerendahan diri di hadapan Allah | Tanda hormat dan tatasusila sosial |
| Warna hitam | Kesederhanaan dan keikhlasan | Keanggunan dan kematangan |
| Pemakaian ketika solat | Sunnah (digalakkan) | Amalan tradisi dan kesopanan |
| Majlis rasmi | Penghormatan terhadap agama | Tanda jati diri bangsa |
Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ^ "Magellan's Expedition and Elcano's First Circumnavigation of the Globe (". Google Arts & Culture (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2026-02-03.
- ^ Ras, Johannes Jacobus (1968). Hikajat Bandjar: A Study in Malay Historiography. The Hague: Martinus Nijhoff.
- ^ Nugroho, Irawan Djoko (2011). Majapahit Peradaban Maritim. Suluh Nuswantara Bakti. ISBN 978-602-9346-00-8.
- ^ Hikayat Banjar, 6.3: Maka kaluar dangan parhiasannya orang barbaju-rantai ampat puluh sarta padangnya barkupiah taranggos sakhlat merah, orang mambawa astenggar ampat puluh, orang mambawa parisai sarta padangnya ampat puluh, orang mambawa dadap sarta sodoknya sapuluh, orang mambawa panah sarta anaknya sapuluh, yang mambawa tumbak parampukan barsulam amas ampat puluh, yang mambawa tameng Bali bartulis air mas ampat puluh. (Lihat Ras 1968, halaman 302)
- ^ Ras, Johannes Jacobus. (1968). Hikayat Bandjar: A Study in Malay Historiography. The Hague: Martinus Nijhoff.
- ^ Salleh, Muhammad Idwar. (1982). Hikayat Banjar. Jakarta: Departemen Pendidikan dan Kebudayaan.
- ^ Hussain, Khalid Muhammad, penyunting (1986). Hikayat Iskandar Zulkarnain (ed. 2nd). Kuala Lumpur: Dewan Bahasa.
- ^ Syair Siti Zubaidah MCP text
- ^ a b c Journal of the Society for Army Historical Research. Society for Army Historical Research. 1996.
- ^ Yusep Hendarsyah (28 April 2011). "Peci Hitam dan Identitas Paling Indonesia". Kompasiana. Diarkibkan daripada yang asal pada 12 Ogos 2012. Dicapai pada 28 Mac 2012.
- ^ Hubungan Etnik di Malaysia (dalam bahasa Malay). ITBM. 2011. m/s. 127–. ISBN 978-983-068-579-3.CS1 maint: unrecognized language (link)
- ^ DAP rep thrown out of assembly