Sultan Mansur Shah I
| Sultan Mansur Shah I | |||||||||
|---|---|---|---|---|---|---|---|---|---|
| Sultan Raja Pemerintah Dan Yang di-Pertuan bagi Negeri Perak Darul Ridzuan | |||||||||
| Sultan Perak ke-2 | |||||||||
| Pemerintahan | 1549–1577 | ||||||||
| Didahului oleh | Sultan Mudzaffar Shah I | ||||||||
| Diikuti oleh | Sultan Ahmad Tajuddin Shah | ||||||||
| Keputeraan | Bintan, Riau | ||||||||
| Kemangkatan | 1577 | ||||||||
| Pasangan | Puteri Sultan Alauddin Riayat Shah[1] Anak Batin | ||||||||
| Anakanda | |||||||||
| |||||||||
| Kerabat | Perak Melaka | ||||||||
| Ayahanda | Sultan Mudzaffar Shah I | ||||||||
| Bonda | Tun Terang Tun Ali | ||||||||
| Agama | Islam | ||||||||
Sultan Mansur Shah ibni Sultan Mudzaffar Shah (Jawi: سلطان منصور شاه ابن سلطان مظفر شاه; 1549 – 1577) ialah Sultan Perak yang kedua. Baginda memerintah Perak dari tahun 1549 hingga 1547.
Sultan Mansur Shah telah diputerakan di Bentan, Riau pada zaman pemerintahan nenda baginda, Sultan Mahmud Shah yang merupakan Sultan terakhir Melaka.[2]
Apabila ayahanda baginda, Sultan Mudzaffar Shah I, mangkat pada tahun 1549 di Tanah Abang (kini di Lambor Kanan), baginda telah ditabalkan menjadi Sultan Perak yang kedua. Baginda kemudian berpindah dan bersemayam di Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar, di tebing Sungai Perak.
Hubungan dengan Siam
[sunting | sunting sumber]Sultan Mansur Syah diiringi oleh Bendahara Megat Terawis telah mudik ke Ulu Perak dan menetapkan sempadan di sebelah utara Perak dengan wilayah Reman. Sempadan itu ditandakan dengan sebuah batu bernama Tapong dan dinamakan Batu Belah, kerana kononnya batu itu boleh dibelah oleh baginda dengan pedang baginda sendiri. Perjanjian itu telah dipersetujui oleh Raja Reman hingga ke akhir abad ke-18.[3]
Perak juga mula membangun dan menjadi kaya hasil daripada kegiatan perlombongan timah. Hal ini telah menarik Siam untuk menyerang Perak. Serangan mereka telah mengakibatkan kekalahan di pihak Perak dan mengorbankan menantu baginda, Raja Ali yang mengetuai pasukan Perak. Perak terpaksa menghantar bunga mas setiap tahun kepada kerajaan Siam sebagai ufti dan membenarkan mereka membeli timah tanpa cukai.
Hubungan dengan Aceh
[sunting | sunting sumber]Menurut Sejarah Aceh, sewaktu pemerintahan Sultan Husain Ali Riayat Syah, tentera Aceh telah menyerang Perak lalu mengalahkannya pada tahun 1573. Sultan Mansur Shah bersama keluarga baginda kemudiannya ditawan dan dibawa ke Aceh. Putera sulung baginda, Raja Alauddin telah dikahwinkan dengan puteri Acheh yang bernama Raja Puteri. Raja Alauddin kemudiannya diangkat sebagai Sultan Aceh pada 1579 kerana tiada lagi pengganti dari keturunan Sultan Ali Mughayat Syah. Setelah itu, Sultan Mansur Shah dihantar pulang ke Perak untuk menduduki takhta dan menjadi taklukan kerajaan Acheh.
Namun menurut Sejarah Perak, Sultan Mansur Shah dan keluarga baginda tidak ditawan oleh Aceh, sebaliknya hanya putera sulung baginda sahaja yang dibawa ke Aceh dan menjadi Sultan Aceh. Kemudiannya, barulah Sultan Aceh menghantar orang-orangnya ke Perak membawa Sultan Mansur Shah dan isteri ke Aceh. Namun sebelum Sultan Mansur Shah dibawa ke Aceh, baginda dikatakan telah berkahwin dengan anak seorang Batin (Ketua Orang Asli) di Kuala Kinta dan daripada keturunan anakanda baginda dengan anak Batin itulah kononnya lahir "Panglima Kinta", Orang Besar Perak di daerah Kinta.[3]
Kemangkatan
[sunting | sunting sumber]Kemangkatan Sultan Mansur Shah tidak dapat disahkan, dan baginda hanya dipercayai telah mangkat di Perak pada tahun 1577. Mengikut cerita, baginda sedang bersembahyang Jumaat di Masjid Kota Lama Kanan, tetapi tiba-tiba ghaib, dan rakyat pun menyangkakan baginda telah mangkat. Baginda digelar Marhum Kota Lama Kanan.
Baginda juga tidak mempunyai makam, melainkan satu batu peringatan yang terletak di Masjid Kota Lama Kanan, Kuala Kangsar. Batu peringatan ini merupakan sebuah nisan yang dipasang dengan perintah Sultan Idris Murshidul Azzam Shah bagi memperingati kisah kehilangan Sultan Mansur Shah di masjid itu. Masjid Kota Lama Kanan dibina semula dalam tahun 1916 menggantikan masjid asal yang telah dibakar oleh penjajah Inggeris semasa berlaku Perang Perak dalam tahun 1875-1876.[3]
Lihat juga
[sunting | sunting sumber]Rujukan
[sunting | sunting sumber]- ↑ "Perak Genealogy". royalark.net. Dicapai pada 2024-09-12.
- ↑ Winstedt, R. O.; Wilkinson, R. J. (June 1934). "A History of Perak". Journal of the Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (dalam bahasa English). Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society. 12 (1). JSTOR 41559831.CS1 maint: unrecognized language (link)
- 1 2 3 "Sultan Mansur Shah". Sultan-Sultan Perak. Pejabat D.Y.M.M. Sultan Perak Darul Ridzuan. 2005. Diarkibkan daripada yang asal pada 2012-02-20. Dicapai pada 28 August 2022.
Pautan luar
[sunting | sunting sumber]| Didahului oleh Sultan Mudzaffar Shah |
Sultan Perak 1549-1577 |
Diikuti oleh: Sultan Ahmad Tajuddin Syah |