Pergi ke kandungan

Yang Dipertuan Muda Riau

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
(Dilencongkan daripada Yang Dipertuan Muda)
Yang Dipertuan Muda Riau
يڠ دڤرتوان مودا رياو (Jawi)
Wilayah/Negeri
Bendera peribadi
Yang Dipertuan Muda terakhir
Raja Muhammad Yusuf
7 November 1858 – 17 Julai 1899
Butiran
Penyandang pertamaOpu Daeng Marewah
Penyandang terakhirRaja Muhammad Yusuf
Pembentukan4 Oktober 1722
Pemansuhan17 Julai 1899

Yang Dipertuan Muda Riau (Jawi: يڠ دڤرتوان مودا رياو), atau Yamtuan Muda Riau atau Raja Muda Riau, ialah jawatan warisan dan pembesar utama Kesultanan Johor Lama dan Kesultanan Riau-Lingga. Jawatan ini dikhaskan untuk Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara dan waris-warisnya oleh Sultan Johor ke-12, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada tahun 1722 selepas mereka membantu baginda mengalahkan Sultan Johor ke-11, Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah (atau lebih dikenali dengan nama Raja Kechil) dan mengembalikan takhta Kesultanan Johor Lama kepada baginda. Yang Dipertuan Muda Riau juga memerintah Kepulauan Riau sebagai wilayah pegangannya. Yang Dipertuan Muda Riau pertama ialah Opu Daeng Marewah.[1]

Menurut Temenggung Johor, Temenggung Tun Abdul Rahman dalam perbualannya dengan Sir Thomas Stamford Raffles pada tahun 1819, Yang Dipertuan Muda Riau berada di kedudukan kedua selepas Bendahara Johor (yang juga Raja Bendahara Pahang) dan sebelum Temenggung Johor dalam hierarki pembesar utama Kesultanan Johor Lama.[2] Namun, Yang Dipertuan Muda Riau dilihat lebih berkuasa daripada Bendahara Johor apabila beliau bertindak seperti Bendahara Johor atau wakil utama Sultan Johor dalam urusan seperti menabalkan Sultan baru, menjadi Pemangku Sultan apabila Sultan masih kecil dan mewakili Kesultanan dalam rundingan dan perjanjian dengan kuasa asing seperti British dan Belanda. Tindakan Yang Dipertuan Muda Riau telah menimbulkan kemarahan pembesar utama Melayu seperti Bendahara Johor dan Temenggung Johor kerana mereka merasakan bahawa kuasa mereka telah dirampas oleh Bugis dan urusan pemerintahan Kesultanan Johor Lama telah dikuasai oleh Bugis.

Selepas Kesultanan Johor Lama berakhir pada tahun 1830 melalui Perjanjian 29 Oktober 1830 yang menguatkuasakan Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 di Alam Melayu, jawatan Yang Dipertuan Muda Riau kekal dalam Kesultanan Riau-Lingga. Kedudukan Yang Dipertuan Muda Riau dikukuhkan lagi dengan status barunya sebagai pentadbir utama Riau dan pembesar tertinggi yang mempunyai peranan seperti Bendahara atau Mangkubumi. Jawatan Yang Dipertuan Muda Riau dimansuhkan pada tahun 1899 selepas kemangkatan Yang Dipertuan Muda Riau ke-10, Raja Muhammad Yusuf kerana jawatan ini disatukan dengan jawatan Sultan Riau-Lingga yang pada ketika itu sedang disandang oleh Sultan Riau-Lingga ke-5 dan terakhir, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah yang merupakan anakanda Raja Muhammad Yusuf dan isterinya, Tengku Embung Fatimah binti Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah.

Senarai Yang Dipertuan Muda

[sunting | sunting sumber]

Berikut merupakan senarai Yang Dipertuan Muda Riau:[3]

Kesultanan Johor Lama (1722–1830)

[sunting | sunting sumber]
No. Nama Tempoh pemerintahan Tarikh keputeraan dan kemangkatan Sultan Johor Nota
1 Opu Daeng Marewah
اوڤو داءيڠ مريوه
4 Oktober 1722 – 7 Ogos 1728
(5 tahun, 10 bulan dan 3 hari)
? – 7 Ogos 1728 Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
  • Dilantik oleh Sultan Johor ke-12, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
  • Mempunyai gelaran pemerintahannya sendiri iaitu "Sultan Alauddin Riayat Shah"
  • Mempunyai gelaran Bugis iaitu "Kelana Jaya Putera"
  • Membuat persetiaan yang dikenali dengan nama "Persetiaan Marhum Sungai Baru" (juga terkenal dengan nama "Sumpah Setia Melayu-Bugis") dengan orang-orang Melayu yang diketuai oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
  • Digelar "Marhum Mangkat di Sungai Baru"
2 Opu Daeng Chelak
اوڤو داءيڠ چلاق
7 Ogos 1728 – 15 Mei 1745
(16 tahun, 9 bulan dan 8 hari)
? – 15 Mei 1745 Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
3 Daeng Kemboja
داءيڠ کمبوجا
15 Mei 1745 – 30 Jun 1777
(32 tahun, 1 bulan dan 15 hari)
1697 – 15 Mei 1745
(sekitar umur 48 tahun)
  • Dilantik oleh Sultan Johor ke-12, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah
  • Anakanda Opu Daeng Parani yang merupakan saudara tertua daripada Opu Bugis Daeng Lima Bersaudara
  • Anakanda Yang Dipertuan Muda Riau ke-2, Opu Daeng Chelak iaitu Raja Haji diangkat menjadi Engku Kelana yang berperanan sebagai penolong Yang Dipertuan Muda Riau
  • Disebabkan murka dengan konflik antara para pembesar Melayu dengan Bugis yang semakin teruk, beliau bersama keluarga dan pengikutnya meninggalkan Riau dan bersemayam di Linggi (dahulu sebahagian daripada Selangor dan kini sebahagian daripada Negeri Sembilan) pada tahun 1753 dan kemudian bersemayam di Pedas, Rembau
  • Atas perintahnya, Engku Kelana Raja Haji meminta Sultan Sulaiman Badrul Alam untuk memperbaharui "Persetiaan Marhum Sungai Baru" dan baginda kemudian memperbaharui persetiaan tersebut
  • Sultan Johor ke-13, Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah V mangkat di Selangor pada tahun 1761 dan setelah jenazah baginda dimandikan dan dikafankan, jenazah baginda dibawa ke Pedas dan selepas itu dari Pedas, jenazah baginda dibawa oleh beliau dan Engku Kelana Raja Haji ke Riau untuk istiadat pemakaman jenazah baginda
  • Selepas Sultan Johor ke-14, Sultan Ahmad Riayat Shah mangkat pada tahun 1761, para pembesar Melayu ingin mengangkat salah seorang daripada saudara Sultan Johor ke-13, Sultan Abdul Jalil Muazzam Shah V iaitu Tengku Abdul Kadir atau Tengku Buang menjadi Sultan Johor yang baru tetapi beliau dan para pembesar Bugis membuat keputusan untuk mengangkat adinda Sultan Ahmad Riayat Shah, Raja Mahmud menjadi Sultan Johor ke-15 dengan gelaran Sultan Mahmud Riayat Shah III
  • Digelar "Marhum Janggut"
4 Raja Haji Fisabilillah
راج حاج فِي سَبِيلِ ٱللَّٰهِ
1777 – 18 Jun 1784
(kira-kira 7 tahun)
? – 18 Jun 1784 Sultan Mahmud Riayat Shah III
5 Raja Ali
راج علي
1784 – 1806
(kira-kira 22 tahun)
1770 – 1806
(sekitar umur 36 tahun)
Sultan Mahmud Riayat Shah III
  • Dilantik oleh Sultan Johor ke-15, Sultan Mahmud Riayat Shah III
  • Anakanda Yang Dipertuan Muda Riau ke-3, Daeng Kemboja
  • Mempunyai gelaran pemerintahannya sendiri iaitu "Sultan Ali Alauddin Shah"
  • Terpaksa berangkat meninggalkan Riau pada 30 Oktober 1784 dan bersemayam di Sukadana, Kalimantan selepas Riau diserang oleh Belanda pada 29 Oktober 1784 untuk menghalau orang-orang Bugis dari Riau
  • Terpaksa berangkat meninggalkan Sukadana pada tahun 1786 dan bersemayam di Pulau Siantan, Kepulauan Anambas selepas beliau diserang dan dikalahkan oleh Belanda
  • Berpindah semula ke Riau pada tahun 1801 selepas British tidak lagi melarang orang-orang Bugis daripada pulang ke Riau dan dilantik semula sebagai Yang Dipertuan Muda Riau oleh Sultan Mahmud Riayat Shah III pada tahun 1803
  • Digelar "Marhum Pulau Bayan"
6 Raja Jaafar
راج جعفر
1806 – 18 Disember 1831
(kira-kira 25 tahun)
1770 – 18 Disember 1831
(sekitar umur 61 tahun)
Kesultanan Johor Lama berakhir pada tahun 1830 selepas Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 dikuatkuasakan di Alam Melayu melalui Perjanjian 29 Oktober 1830 lalu wujudnya Kesultanan Riau-Lingga manakala Johor dan Pahang menjadi negeri bebas

Kesultanan Riau-Lingga (1830–1899)

[sunting | sunting sumber]
No. Nama Tempoh pemerintahan Tarikh keputeraan dan kemangkatan Sultan Riau-Lingga Nota
(6) Raja Jaafar
راج جعفر
1806 – 18 Disember 1831
(kira-kira 25 tahun)
1770 – 18 Disember 1831
(sekitar umur 61 tahun)
Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah
7 Raja Abdul Rahman
راج عبد الرحمن
1833 – 17 Jun 1844
(kira-kira 11 tahun)
1809 – 17 Jun 1844
(sekitar umur 35 tahun)
  • Dilantik oleh Sultan Riau-Lingga ke-2, Sultan Muhammad II Muazzam Shah
  • Anakanda Yang Dipertuan Muda Riau ke-6, Raja Jaafar
  • Pelantikannya sebagai Yang Dipertuan Muda Riau yang tidak dilakukan dengan segera oleh Sultan Muhammad II Muazzam Shah membuktikan bahawa baginda tidak tunduk kepada kekuasaan Bugis dan baginda cuba mengembalikan pemerintahan Kesultanan Johor Lama mengikut adat-istiadat Melayu
  • Kegiatan lanun sangat berleluasa pada zaman pemerintahannya tetapi berjaya dihapuskan secara berperingkat dengan bantuan Belanda
8 Raja Ali
راج علي
1845 – 23 Jun 1857
(kira-kira 12 tahun)
1809 – 23 Jun 1857
(sekitar umur 48 tahun)
Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah
  • Dilantik oleh Sultan Riau-Lingga ke-3, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah
  • Anakanda Yang Dipertuan Muda Riau ke-6, Raja Jaafar
  • Adinda Yang Dipertuan Muda Riau ke-7, Raja Abdul Rahman
  • Mempunyai gelaran pemerintahannya sendiri iaitu "Sultan Ali Alauddin Riayat Shah"
  • Riau menjadi pusat pendidikan Islam yang terkenal pada abad ke-19
  • Membina banyak pusat pendidikan Islam dan menjemput para ulama untuk mengajar di Riau
  • Tidak bersetuju dengan cita-cita Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah untuk menyatukan semula bekas wilayah Kesultanan Johor Lama dan meminta baginda untuk memperbaharui "Persetiaan Marhum Sungai Baru" bagi menghalang cita-cita baginda
  • Disenangi oleh rakyat dan para pedagang kerana sikap ramahnya tanpa mengenal batas umur, pangkat dan agama
  • Disukai oleh Belanda kerana sikap sopan dan ramahnya sehingga tahap Belanda menghantar doktor untuk merawat beliau ketika beliau sedang gering
Kesultanan Riau-Lingga mengakui ketuanan Belanda pada tahun 1857
9 Raja Haji Abdullah
راج حاج عبدالله
9 Oktober 1857 – 6 September 1858
(10 bulan dan 28 hari)
? – 6 September 1858 Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah
  • Dilantik oleh Belanda selepas Belanda menurunkan Sultan Riau-Lingga ke-3, Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah daripada takhta Kesultanan Riau-Lingga kerana baginda tidak mahu mendengar amaran Belanda yang meminta baginda untuk menyelesaikan konflik antara baginda dengan para pembesar Bugis dengan menyegerakan pelantikan Yang Dipertuan Muda Riau yang baru selepas kemangkatan Yang Dipertuan Muda Riau ke-8, Raja Ali
  • Anakanda Yang Dipertuan Muda Riau ke-6, Raja Jaafar
  • Adinda Yang Dipertuan Muda Riau ke-8, Raja Ali
  • Riau menjadi pusat Tarekat Naqsyabandiyah pada abad ke-19
  • Memimpin Tarekat Naqsyabandiyah dan menyumbang kepada pembangunannya dalam Kesultanan Riau-Lingga
  • Digelar "Marhum Murshid"
10 Raja Muhammad Yusuf
راج محمد يوسف
7 November 1858 – 17 Julai 1899
(40 tahun, 8 bulan dan 10 hari)
? – 17 Julai 1899
Jawatan Yang Dipertuan Muda Riau disatukan dengan jawatan Sultan Riau-Lingga pada tahun 1899

Garis masa

[sunting | sunting sumber]
Kesultanan Riau-LinggaKesultanan Johor LamaRaja Muhammad YusufRaja Haji AbdullahRaja Ali bin Raja JaafarRaja Abdul RahmanRaja AliRaja Haji FisabilillahDaeng KembojaDaeng ChelakDaeng Marewah

Penggunaan lain jawatan Yang Dipertuan Muda

[sunting | sunting sumber]

Jawatan Yang Dipertuan Muda juga digunakan oleh Kesultanan Johor Lama sebelum tahun 1722 untuk putera mahkota (pewaris takhta). Selain itu, terdapat juga kerajaan Melayu lain yang pernah menggunakan jawatan Yang Dipertuan Muda. Antaranya ialah Kesultanan Siak dan Kesultanan Indragiri. Kesultanan Terengganu yang diasaskan oleh keturunan Wangsa Bendahara Johor masih menggunakan jawatan tersebut untuk putera mahkota sehingga kini.

Contoh penggunaan jawatan Yang Dipertuan Muda oleh Kesultanan Johor Lama:

  1. Raja Bajau ibni Sultan Abdullah Ma'ayat Shah, Yang Dipertuan Muda Pahang
  2. Tun Mahmud ibni Bendahara Tun Habib Abdul Majid, Yang Dipertuan Muda Daik
  3. Tengku Nong Omar ibni Tengku Abdul Jalil ibni Sultan Hussein Muhammad Shah, Yang Dipertuan Muda Johor (Kesang)
  • R.O. Winstedt (1992). A History of Johore. The Malaysian Branch of the Royal Asiatic Society (MBRAS). ISBN 9839961462.
  • Abu Hassan Mohamad Sham (1993). Puisi-puisi Raja Ali Haji. Dewan Bahasa Pustaka(DBP). ISBN 9836239715.

Nota kaki

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ R.O. Winstedt, ms 65.
  2. ^ Dang Ku Puteri (9 Mac 2018), Sejarah Awal Kesultanan Johor Moden, The Patriots Asia, Diambil daripada https://thepatriots.asia/sejarah-awal-kesultanan-johor-moden/
  3. ^ Abu Hassan Sham, ms 8, 12,18.

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Pautan luar

[sunting | sunting sumber]