30 St Mary Axe

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Pandangan arah selatan ke Bishopsgate , salah satu jalan utama yang melalui kawasan kewangan City of London. Pada ketinggian 180 m (590 kaki), bangunan ini adalah yang ke-6 paling tinggi di London.

30 St Mary Axe adalah sebuah bangunan di City of London, daerah kewangan di London. Bangunan ini selalu digelarkan sebagai The Gherkin (nama sejenis mentimun), ataupun sebagai The Swiss Re Tower, Swiss Re Building ataupun dengan panggilan Swiss Re mengikut nama bekas pemilik bangunan ini dan yang kini menjadi penghuni utama bangunan ini.

Bangunan ini setinggi 590 kaki ataupun 180 meter, menjadikannya bangunan kedua tertinggi di City of London (selepas Tower 42) dan bangunan keenam paling tinggi di Kota London. Bangunan ini adalah hasil rekaan arkitek Sir Norman Foster (pemenang Hadiah Pritzker), Ken Shuttleworth dan firma kejuruteraan Arup. Pembinaan bangunan ini disiapkan oleh firma Skanska dalam tahun 2004.

Sejarah Tapak Bangunan[sunting | sunting sumber]

Bangunan ini terletak di atas tapak bangunan Baltic Exchange, ibu pejabat pemasaran sedunia bagi jualan kapal dan juga maklumat perkapalan. Pada 10 April 1992, Tentera Republikan Ireland Sementara (PIRA) (Provisional Irish Republican Army) meletupkan satu bahan letupan berhampiran bangunan ini dan menyebabkan kerosakan teruk kepada bangunan penuh sejarah tersebut dan juga kepada bangunan-bangunan di sekitarnya.

Badan Warisan England (English Heritage) dan Perbadanan London (Corporation of London) bertegas supaya mana-mana bangunan yang didirikan di atas tapak tersebut perlu memulihara muka bangunan (facade) bangunan itu menghadapi St Mary Axe. Baltic Exchange tidak mampu membiayai kerja-kerja pemuliharaan, dan memilih untuk menjual tapak berkenaan kepada firma Trafalgar House dalam tahun 1995.

Warisan England kemudiannya mendapati bahawa kerosakan kepada bangunan Baltic Exchange adalah lebih serius daripada jangkaan awal dan menarik balik desakan supaya muka bangunan dikekalkan – langkah ini menerima kecaman daripada pemulihara seni reka Inggeris yang mahukan pembinaan semula. ref>Campaign to save the old Baltic Exchange, before the start of construction.</ref> Menara Millennium London pada asalnya dicadangkan pembangunannya di atas tapak ini.

Asal Usul Nama Jolokan Gherkin[sunting | sunting sumber]

Pandangan Bangunan Daripada Aras Jalan

Dalam tahun 1996, Trafalgar House mengemukakan perancangan untuk bangunan setinggi 1,200 kaki (370 m) dengan keluasan lantai melebihi 1 juta kaki persegi ((90,000 m²) ruang pejabat, dan mempunyai satu platform pada ketinggian 1,000 kaki (305 m) untuk membolehkan orang-orang awam melihat pemandangan Kota London. Rancangan yang dikemukakan menggunakan pelan lantai tidak ortodoks, yang menyerupai sebatang jeruk mentimun gherkin. Pengarang-pengarang akhbar The Guardian mencipta gelaran erotic gherkin (mentimun gherkin erotik) untuk bangunan ini. [1]

Sebenarnya gelaran ini adalah untuk cadangan awal bangunan yang dikemukakan dalam tahun 1996 dan bukannya bangunan yang dibina. Tetapi walaupun Trafalgar House menggantikan rancangan bangunan dengan pelan bangunan yang lain, nama jolokan tersebut letak dan bangunan ini rata-rata dikenali dengan nama 'The Gherkin'. Tidak ramai orang yang mengenali bangunan ini dengan nama rasminya '30 St Mary Axe'.

Juga kerana bentuknya yang menyerupai falus, banyak nama jolokan lucu yang dicipta untuk bangunan ini, tetapi tidak mendapat kegunaan meluas. Antaranya adalah "Towering Innuendo",[2] dan juga "Crystal Phallus" (Falus Kristal).[3]

Proses Perancangan[sunting | sunting sumber]

kerja-kerja pembinaan ke atas bangunan the Gherkin dijalankan. Pembinaan bermula dalam bulan Mac 2001 dan bangunan dibuka secara rasminya pada awal tahun 2004

Pada 23 Ogos 2000, Timbalan Perdana Menteri Britain John Prescott memberikan kebenaran membina sebuah bangunan yang jauh lebih besar daripada bangunan asal di atas tapak ini. Tapak ini tapak istimewa di London kerana pembangunan di aat tapak ini tidak boleh menghalang pemandangan kubah Katedral St Paul's (St Paul's Cathedral) apabila dilihat daripada beberapa tempat tertentu di London [4]). Tambahan pula tapak itu dahulunya tapak bangunan bersejarah Baltic Exchange.

Perancangan awal adalah untuk membina semula bangunan Baltic Exchange. Firma GMW Architects mencadangkan bangunan baru berbentuk segi empat yang mengelilingi bangunan Baltic exchange yang dibina semula — bentuk segi empat membolehkan keluasan lantai yang maksimum, sesuatu yang menjadi kegemaran pihak bank. Akhirnya perancang menyedari bangunan Baltic Exchange yang sudah rosak itu tidak dapat diselamatkan lagi, dan dengan itu mencadangkan bangunan yang penting dalam bidang seni bina (architecturally significant building). Ini membolehkan arkitek diberikan kebebasan membuat rekaannya dan besar daripada kekangan-kekangan sebelumnya.

Satu pengaruh besar ke atas seni reka bangunan ini adalah pembangunan di Canary Wharf, yang pesat membangun dan menarik pemindahan bank dan institusi komersial ke kawasan tersebut kerana pihak berkuasa tempatan membenarkan pembinaan bangunan-bangunan dengan keluasan lantai yang besar dan mempunyai seni reka moden. Sebaliknya City of London tidak membenarkan pembinaan bangunan seperti yang dibenarkan di Canary Wharf, menyebabkan syarikat-syarikat besar menempatkan pejabat mereka di beberapa bangunan berasingan. Apabila pihak berkuasa City of London menyedari pendirian mereka menyebabkan pengaliran keluar banyak syarikat-syarikat berpengaruh, mereka melonggarkan kekangan pembinaan bangunan tinggi di City of London.

Rancangan Swiss Re untuk bangunan rendah memenuhi kemahuan pihak berkuasa tempatan untuk mengekalkan bentuk jalanan (streetscape) tradisional London dengan lorong-lorong sempit. Bentuk bangunan Swiss Re juga tidak begitu mengagumkan. Seperti bangunan One Churchill Place berhampiran, pejalan kaki tidak menyedari kewujudan bangunan itu apabila berjalan di lorong-lorong berhampiran sehinggalah mereka berada di bawah bangunan tersebut.

Bangunan[sunting | sunting sumber]

Bahagian Bawah Bangunan

Arkitek Foster and Partners mereka sebuah bangunan dengan bentuk kon untuk mengurangkan golakan udara di sekeliling bangunan ini. Reka bentuk bangunan ini memenangi beberapa anugerah kecemerlangan, termasuk anugerah Hadiah Stirling dari Institut Diraja Arkitek British (Royal Institute of British Architects) atau RIBA untuk bangunan baru terbaik tahun 2004. Anugerah itu diberikan dengan undian sebulat suara oleh juri pemilihan, pertama kali perkara ini berlaku dalam pemilihan anugerah itu. The Gherkin juga memenangi hadiah 2003 ‘’Emporis Skyscraper Award’’ untuk bangunan pencakar langit terbaik disiapkan dalam tahun 2003. Bangunan ini dibina oleh Skanska, disiapkan pada awal tahun 2004 dan dibuka secara rasminya pada 28 April 2004.

Bangunan ini menggunakan kaedah penjimatan tenaga yang moden yang membolehkannya menggunakan separuh daripada jumlah tenaga yang digunakan oleh bangunan seumpamanya sekiranya dibina menggunakan teknik lama. Ruang di antara tingkat membentuk enam lubang udara yang menjadi sistem pengudaraan semula jadi untuk keseluruhan bangunan. Untuk keselamatan kebakaran, rintangan api (firebreak) dibina setiap enam tingkat lantai supaya efek serombong api (chimney effect) tidak berlaku. Lubang udara yang dibina mewujudkan kesan licau kembar (double glazing) di mana udara diperangkap di antara lapisan udara dan menebat ruang pejabat di dalamnya.

Arkitek selalunya mengurangkan penggunaan pelicauan kembar dalam rumah kediaman untuk mengelakkan perolakan (convection) udara tidak efisien, tetapi di dalam bangunan The Gherkin ini, kesan ini digunakan secara maksimum. Lubang-lubang udara menarik naik udara hangat semasa musim panas (membolehkan udara lebih sejuk masuk untuk menyejukkan bangunan) dan semasa musim sejuk pula kesan pemanasan diperolehi dengan penghangatan pasif cahaya matahari. Lubang-lubang udara ini juga membolehkan cahaya matahari memasuki bangunan, dan mewujudkan persekitaran yang lebih nyaman dan selepas, dan mengurangkan penggunaan lampu dan mengurangkan bil elektrik untuk pencahayaan.

Senibina The Gherkin sangat berbeza dengan seni bina tradisional di City of London

Kebanyakan bangunan memperolehi kestabilan sisi (lateral stability) daripada tiang teras (column core) ataupun daripada tiub perimeter tanpa topang ataupun satu kombinasi menggunakan kedua-dua kaedah. Ini bermakna sekiranya bangunan itu dibina dengan kekuatan yang hanya mencukupi untuk melawan rintangan angin, bangunan itu masih berayun dan boleh menyebabkan ketidakselesaan penghuninya. Cara biasa untuk mengawal ayunan disebabkan angin adalah dengan menambahkan kekerasan bangunan ataupun menambahkan peredam (damper). Tetapi bangunan The Gherkin mempunyai struktur menggunakan struktur perimeter tersegi tiga yang memberikan kekerasan tanpa penggunaan struktur tambahan untuk pengukuhan. Walaupun bangunan ini berbentuk kon dan nampak melengkung, hanya terdapat satu kepingan gelas melengkung di keseluruhan bangunan ini, gelas penutup paling atas bangunan ini. .[5]

Jika bangunan lain mempunyai kelengkapan lif di aras bumbung bangunan, bentuk kon bangunan The Gherkin tidak membolehkan keadaan ini kerana aras 40 akan digunakan sebagai bar. Sebaliknya, lif hanya beroperasi sehingga aras 34 sahaja, dan pergerakan naik turn ke aras-aras yang lebih tinggi daripadanya dibuat menggunakan tangga bergerak (escalator). Dari aras 39, akses ke aras 40 adalah dengan menggunakan tangga marmar (sebuah lif disediakan untuk kegunaan orang kurang upaya) yang membawa pelawat ke bar di bawah kubah kaca.

Bangunan ini boleh dilihat daripada tengah-tengah Kota London dan boleh dilihat daripada lebuh raya M1 di sebelah utara dan juga boleh dilihat dari jarak 32 kilometer dari lebuh raya M11,. Di sebelah barat, The Gherkin boleh dilihat dari patung George III di Windsor Great Park.

Pengguna[sunting | sunting sumber]

Penghuni utama bangunan ini adalah syarikat Swiss Re, sebuah syarikat insurans semula global yang mengarahkan bina bangunan ini untuk kegunaan sebagai ibu pejabat operasi mereka di United Kingdom . Sebagai pemilik bangunan, syarikat ini menyebabkan satu lagi nama jolokan untuk bangunan ini, Menara Swiss Re (Swiss Re Tower) tetapi nama ini tidak mendapat penggunaan meluas. Di aras 40, aras paling tinggi bangunan ini, terdapat sebuah bar untuk penghuni dan tetamu mereka. Aras ini memberikan penglihatan 360 darjah sekeliling pemandangan Kota London. Sebuah restoran eksklusif dibuka di aras 39 dengan bilik makan peribadi disediakan di aras 38.

Peristiwa Terkini[sunting | sunting sumber]

Pada 25 April 2005, laporan akhbar menghebohkan berita mengenai sekeping panel kaca yang terjatuh pada 18 April 2005 daripada bahagian atas bangunan ini . Tiada kecederaan dilaporkan, tetapi bahagian plaza bangunan ini ditutup walaupun bangunan itu sendiri terus beroperasi. Satu laluan berbumbung sementara untuk pejalan kaki dibina merentasi plaza sehingga ke ruangan menyambut tetamu bangunan ini. Sementara itu, pemeriksaan dibuat ke atas semua 745 keping panel kaca di bangunan ini. [6]


Dalam bulan Disember 2005, bangunan ini diundi sebagai bangunan baru yang paling dikagumi oleh satu tinjauan di kalangan firma arkitek terbesar di dunia, seperti mana disiarkan dalam 2006 BD World Architecture 200. Sebaliknya, dalam bulan Jun 2006, bangunan ini dicalonkan sebagai antara lima bangunan paling hodoh di London oleh penonton-penonton BBC News London [7]

Dalam bulan September 2006, bangunan ini ditawarkan untuk jualan dengan harga £600 juta. Antara puihak yang dikatakan berminat membeli bangunan ini adalah British Land, Land Securities, Prudential, ING dan keluarga amir Abu Dhabi. Pada 21 Februari 2007, IVG Immobilien AG dan syarikat pelaburan United Kingdom Evans Randall selesai membuat pembelian bersama bangunan ini dengan harga £630 juta. [8] (Approximately $1,238,958,000 USD using the average Interbank rate for February 5th, 2007 exchange rate of 1.0000 GBP for 1.9666 USD).

Dalam Budaya Popular[sunting | sunting sumber]

Aras teratas menempatkan bar/restoran dan kawasan menyambut tetamu
  • pembinaan bangunan ini boleh dilihat sebagai pandangan latar dalam filem Love Actually.
  • 30 St Mary's Axe juga digunakan dalam satu adegan filem V for Vendetta, apabila V menceritakan bagaimana Canselor Adam Sutler merampas kuasa.
  • Filem Match Point arahan Woody Allen dalam tahun 2005 mempunyai watak utama Chris Wilton yang bekerja di dalam bangunan ini.


Pautan Luar[sunting | sunting sumber]

Koordinat: 51°30′52″N, 00°04′49″W

Rujukan[sunting | sunting sumber]