Musim panas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Musim panas (bahasa Inggeris: summer) ialah musim tahun yang ditakrifkan bermula dari bulan Jun sehingga bulan September di Hemisfera Utara, dan dari Disember sehingga Mac di Hemisfera Selatan. Bagaimanapun, mengikut adat kebiasaan metereologi, ia ditakrifikan sebagai tiga bulan penuh antara bulan-bulan Jun dan Ogos di Hemisfera Utara, dan antara bulan-bulan Disember dan Februari di Hemisfera Selatan.

Permulaan musim panas tak rasmi adalah sesuatu yang mengikut kelaziman. Di Ireland, ia bermula seawal 1 Mei, tetapi di banyak negara, ia dianggap bermula pada 1 Jun, walaupun terdapat juga negara-negara yang memulakannya selewat 1 Julai. Secara am, perubahan-perubahan musim berlaku lebih awal di kawasan-kawasan pantai dan oleh itu, kawasan-kawasan yang terletak berhampiran dengan lautan akan memulakan musim panas lebih awal daripada kawasan-kawasan pedalaman. Musim panas biasanya dilihatkan sebagai musim yang mempunyai hari yang paling panjang (dan paling bersuhu panas) dalam sepanjang satu tahun, dengan waktu siangnya lebih panjang pada tahap yang berbeza-beza.

Bagi mereka di Barat, musim dikira bermula pada ekuinoks dan solstis dari segi "astronomi". Walau bagaimanapun, oleh sebab sela musim adalah kurang daripada seperlapan tahun (kecuali berhampiran dengan kumpulan air yang besar), permulaan musim "meterologi" mendahului permulaan musim "astronomi" sebanyak kira-kira tiga minggu. Perbezaan masa ini membuatkan takrifan "meteorologi" lebih berpusat dan simetri sekitar bahagian tahunan yang lebih panas berbanding dengan takrifan "astronomi". Kini, penggunaan takrifan "meteorologi" semakin popular, tetapi takrifan "astronomi" lebih sering digunakan dan kebanyakan orang menganggapnya sebagai "rasmi". Sebenarnya, ekuinoks and solstis bagi musim "astronomi" dikatakan secara semula jadi menjadi permulaan musim, dan masih wujud dalam kebanyakan takwim. Di tempat-tempat yang lain, solstis dan ekuinoks menjadi tanda pertengahan, bukan permulaan musim. Umpamanya dalam astronomi Cina, musim panas bermula sekitar 6 Mei, dengan jiéqì (isitilah suria) dikenali sebagai lixia (立夏), iaitu "pengasasan musim panas". Contoh penggunaan Barat adalah dalam karya William Shakespeare iaitu A Midsummer Night's Dream ("Mimpi Malam Pertengahan Musim Panas"), sebuah drama yang berlatar malam terpendek dalam tahun tersebut, iaitu solstis musim panas.

Di bahagian-bahagian Asia Selatan dan Tenggara yang mengalami monsun, musim panas dikatakan berlaku antara Mac hingga Mei atau awal Jun, iaitu waktu terpanas dalam tahun tersebut, yang diakhiri dengan musim hujan.

Kegiatan berkaitan[sunting | sunting sumber]

Dalam kebanyakan negara, kanak-kanak bercuti sekolah ketika ini. Ada yang bermula pada pertengahan Mei, walaupun di England, sekolah kanak-kanak berusia 5-16 tamat pada pertengahan Julai. Di Hemisfera Selatan, cuti sekolah merangkumi Krismas dan Tahun Baru. Cuti sekolah musim panas Australia bermula beberapa hari sebelum Krismas dan tamat pada hujung Januari hingga pertengahan Februari, iaitu tarikhnya berlainan bergantung kepada setiap negeri.

Musim panas juga adalah musim kebanyakan tumbuhan menghasilkan buah dan sayuran.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]