Baju kurung

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Baju kurung Melayu pelbagai rekaan dan warna.
Baju kurung Melayu cantik bergaya.

Baju kurung (Jawi: باجو كوروڠ) ialah pakaian tradisional untuk wanita Melayu. Baju Kurung terbahagi kepada dua iaitu Baju Kurung Lelaki dan Baju Kurung Perempuan. Baju Kurung lelaki juga dikenali juga sebagai Baju Melayu. Ia menjadi pakaian rasmi untuk negara Malaysia dan Brunei, juga boleh didapati di Indonesia, Singapura dan Thailand. Terdapat dua jenis baju kurung iaitu Baju Kurung Teluk Belanga dan Baju Kurung Cekak Musang. Baju ini sesuai dipakai oleh semua golongan masyarakat tidak mengira usia. Baju Kurung juga digunakan untuk menghadiri majlis perkahwinan, majlis agama, dan majlis rasmi. Di Malaysia, secara amnya seluruh wanita melayu memakai baju kurung sebagai pakaian tradisi ini termasuk pakaian rasmi pelajar sekolah rendah dan menengah. Cuma reka bentuk dan potongan baju kurung agak berbeza-beza mengikut negeri.

Selaras dengan peredaran zaman, kini pelbagai busana rekaan moden telah muncul dan diterima oleh masyarakat Melayu. Sungguhpun pada umumnya kita telah menerima pengaruh moden dalam pakaian harian, namun baju kurung tetap menjadi pilihan kaum wanita untuk digayakan. Bezanya, rekaan baju kurung sekarang lebih kontemporari tetapi masih mengekalkan ciri-ciri keasliannya.

Selain terdapat perubahan pada potongan dan bentuknya, untuk menghasilkan rekaan yang lebih moden dan kreatif, baju kurung juga dihiasi dengan sulaman, kerawang, manik mahupun labuci. Material untuk menghasilkan baju kurung juga turut berubah. Kini, terdapat pelbagai pilihan material antaranya satin, organza, chiffon, sutera, batik, linen dan banyak lagi. Perubahan ini dilakukan untuk disesuaikan dengan keadaan semasa atau majlis yang hendak dihadiri selain cuba meniru gaya potongan asing yang mungkin bertujuan untuk kelihatan lebih anggun. Kini terdapat pelbagai variasi baju kurung dan ia dikenali sebagai Baju Kurung Moden.

Walaupun baju kurung telah mengalami evolusi selaras dengan perubahan masa dan citarasa pemakai, namun rekaannya masih sama. Ia tetap selesa dan manis dipakai selain menampakkan kesopanan gadis Timur dan keunggulan budaya Melayu.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Dari segi sejarahnya, baju kurung dikatakan mempunyai kaitan dengan pakaian 'djallabiyah' yang berasal dari Mesir di mana ia diertikan sebagai baju longgar. Adalah sukar untuk membuktikan dengan tepat sejak bilakah baju kurung mula dicipta dan dipakai oleh masyarakat Melayu. Persoalan tentang siapa yang mula-mula menghasil dan memakainya timbul kerana baju kurung dalam bentuk asalnya telah dipakai oleh pelbagai etnik di wilayah Nusantara. Berdasarkan beberapa maklumat;

  • Archjadi Judi (1986), baju kurung telah diperkenalkan di Indonesia oleh pedagang Islam dan India. Walau bagaimanapun, potongan baju ini juga dipercayai telah menerima pengaruh Timur Tengah seperti potongan leher berbentuk tunik, iaitu bentuk leher yang mula-mula dipakai oleh orang Arab zaman silam.
  • Semasa Zaman Kesultanan Melayu Melaka pula, penduduknya telah mempunyai pakaian mereka sendiri, iaitu pakaian baju kurung melayu asal, baju yang dipakai oleh mereka ketika itu dalam keadaan ketat dan singkat berbeza daripada baju kurung sekarang yang longgar dan labuh. Berdasarkan maklumat Sejarah Melayu, Tun Hassan Temenggung merupakan orang pertama mengubah suai bentuk baju kurung asal kepada bentuk baju Melayu yang dipakai kini.
  • Seorang pengkaji sejarah pakaian dan tekstil, Gettinger (1979) pula telah menyatakan baju kurung merupakan pakaian yang dipakai oleh penari istana di Palembang. Beliau juga menyatakan pakaian tersebut popular di Sumatera pada abad ke-20.
  • Tenas Effendy (1989) telah mengumpul ungkapan orang tua di daerah Riau, daerah rumpun Melayu yang terdekat dengan Malaysia (Semenajung Tanah Melayu) tentang baju kurung. Baju kurung yang digambarkan oleh beliau ialah baju kurung teluk belanga atau baju kurung yang dijahit dengan jahitan tulang belut di bahagian leher yang nampak halus dan rapi. Pakaian ini merupakan pakaian wanita yang bersopan dan juga pakaian setiap ahli dalam golongan masyarakat untuk pelbagai majlis dan adat.
  • Mengikut Siti Zainon (2006) pula, baju kurung ialah pakaian yang popular di kalangan orang Melayu. Pakaian ini merujuk kepada pola panjang untuk baju wanita, manakala pola pendek untuk baju lelaki. Baju kurung mempunyai ciri khusus yang membezakannya dengan pakaian lain. Pengertian kurung mempunyai persamaan dengan konsep pakaian menutup anggota tubuh. Ciri ini didapati menepati dengan konsep cara Melayu selepas kedatangan Islam. Beliau juga telah mendapati pelbagai jenis kurung mendapat inspirasi daripada baju kurung, antaranya ialah Kurung Pahang, Kurung Kedah, Kurung Cekak Musang dan Kurung Teluk Belanga. Kini baju kurung yang labuh paras lutut hanya disebut sebagai baju kurung sahaja dan telah dikhususkan untuk pakaian wanita.

Baju Kurung Teluk Belanga[sunting | sunting sumber]

Baju Kurung Teluk Belanga atau Baju Kurung Johor mula diperkenalkan semasa pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar tatkala Almarhum bersemanyam di Teluk Belanga Singapura dan berpindah ke Tanjung Puteri pada tahun 1866 (kini dikenali Johor Bahru). Almarhum menetapkan supaya baju perempuan labuhnya hingga bawah lutut dengan alas lehernya halus dan tidak berkocek. Terdapat berbagai bentuk sulaman yang dipadankan pada bahagian leher seperti mata lalat, tulang belut dan insang pari. Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar pakaian tersebut telah diubah mengikut cadangan Allahyarham Jaafar bin Haji Muhammad, Menteri Besar Johor Pertama, satu kocek pada baju perempuan. Hari ini, Baju Kurung Teluk Belanga menjadi sinonim dengan baju kurung tradisional yang standard. Ia mengenakan kain yang disusun di sebelah kiri.

Baju Kurung Cekak Musang[sunting | sunting sumber]

Baju Kurung Cekak Musang adalah sama dengan Baju Kurung Teluk Belanga kecuali pada bahagian lehernya. Leher Baju Kurung Cekak Musang ada kolar. Kolar tersebut hanya selebar satu jari dan kedudukannya menegak. Pada bahagian hadapan kolar ada bukaan panjang yang berkancing. Potongan baju ini dipercayai menerima pengaruh dari India dan China.

Baju Kurung Kedah[sunting | sunting sumber]

Baju Kurung Kedah dipercayai berasal dari Selatan Thai, kerana baju tersebut menyerupai blaus pendek dibuat singkat sampai ke paras punggung di selatan Thai. Baju Kurung Kedah terdiri daripada baju yang longgar dan diperbuat daripada kain cita (kapas) yang berbunga kecil ataupun kain kasa tebal atau nipis yang jarang serta potongan leher bujur sireh. Baju Kurung Kedah dipakai bersama kain sarung. Kain sarung diikat ambak mengalur dan di masuk sebelah kiri atau kanan. Baju Kedah boleh disifatkan sebagai pakaian seharian atau pakaian basahan.

Baju Kurung Melaka[sunting | sunting sumber]

Pakaian tradisional wanita Melayu Melaka pula selesa mengenakan baju kurung teluk belanga dengan mempunyai hiasan dada dihiiasi sibar layang dari baldu bertekad manik dan labuci.

Baju Kurung Pahang[sunting | sunting sumber]

Baju Kurung Pahang atau dikenali sabagai Baju Kurung Riau Pahang pula menyingkap pertalian sejarah antara kedua negeri Riau dan Pahang. Walaupun Riau dan Pahang adalah dua buah negeri yang berjauhan, perhubungan politik dan sosial budaya yang terjalin sewaktu zaman kerajaan Melayu Melaka terserlah dengan terciptanya potongan pakaian ini yang juga dikenali sebagai Baju Belah atau Baju Kebaya Turki. Berbeza dengan pesak baju kurung, kedua-dua bahagian tepi Baju Kurung Riau Pahang berpesak kembang yang disambungkan kekek gantung. Baju berkolar tinggi ini amat menarik sekali dipakai dengan tujuh atau sembilan butir butang.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Galeri[sunting | sunting sumber]