Riau

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Riau
ريااو
Provinsi

Lambang
Lokasi Riau di Indonesia
Koordinat: 0°32′U 101°27′T / 0.533°U 101.45°T / 0.533; 101.45Koordinat: 0°32′U 101°27′T / 0.533°U 101.45°T / 0.533; 101.45
Negara  Indonesia
Ibu negeri Pekanbaru
Kerajaan
 • Gabenor Rusli Zainal
Keluasan
 • Jumlah 75,569 km2 (29,177 sq mi)
Populasi (2010)[1]
 • Jumlah 6,043,031
 • Kepadatan 80/km2 (210/sq mi)
Demographics
 • Kumpulan etnik Melayu (38%), Orang Jawa (25%), Orang Minangkabau (11%), Kaum Batak (7%), Banjar (4%), Orang Cina (4%), Bugis (2%) [2]
 • Agama Muslim (88%), Buddha (6%), Katolik (5%), Protestan (1%), Hindu (0.2%)
 • Bahasa Bahasa Melayu, Bahasa Indonesia, Bahasa Minangkabau, Bahasa Hokkien
Zon waktu WIB (UTC+7)

Riau bukan sekadar hanya Provinsi Riau atau Kepulauan Riau. Ada beberapa pentafsiran tentang asal nama Riau. Pendapat pertama mengatakan, toponomi Riau dipercayai berasal dari penamaan orang Portugis dengan kata "rio" yang bererti sungai. Kedua, perkataan Riau mungkin berasal dari tokoh bernama Sinbad al-Bahar dalam kitab Alfu Laila Wa Laila (Hikayat Seribu Satu Malam) yang menyebut "Riahi", yang bererti air atau laut. Pendapat ketiga pula menyebut, perkataan Riau berasal dari penuturan masyarakat setempat, yakni dari perkataan 'rioh" atau "riuh", yang bererti ramai, hiruk pikuk orang bekerja.

Berdasarkan beberapa keterangan di atas maka nama Riau besar kemungkinan memang berasal dari penamaan rakyat setempat, iaitu orang Melayu yang hidup di daerah Bintan. Nama itu besar kemungkinan telah mula terkenal semenjak Raja Kecik memindahkan pusat Kerajaan Melayu dari Johor ke Ulu Riau pada tahun 1719. Setelah itu, nama ini dipakai sebagai salah satu negeri dari 4 negeri utama yang membentuk kerajaan Melayu Riau, Lingga, Johor dan Pahang.

Berikutan termeterainya Perjanjian London 1824 antara Belanda dengan Inggeris, maka Kerajaan Melayu Johor-Riau ini telah terbahagi dua. Bahagian Johor - Pahang berada di bawah pengaruh Inggeris, sedangkan bahagian Riau - Lingga berada di bawah pengaruh Belanda. Pembahagian kuasa politik penjajah ini telah mengakibatkan bermulanya pengaruh pembentukan negara Malaysia dan Indonesia. Dalam zaman penjajahan Belanda 1905 - 1942 nama Riau digunapakai untuk nama sebuah keresidenan, yang daerahnya meliputi Kepulauan Riau serta pesisir Timur Sumatera bahagian tengah.

Setelah Provinsi Riau terbentuk pada tahun 1958, maka nama itu turut digunakan untuk nama sebuah kabupaten, dipergunakan pula untuk nama sebuah provinsi yang penduduknya ketika itu sebahagian besarnya terdiri dari orang Melayu asli.

Kerajaan Melayu yang pernah berdiri di rantau ini, antara lain adalah: Kerajaan Inderagiri (1658-1838), Kerajaan Siak (1723-1858), Kerajaan Pelalawan (1530-1879), Kerajaan Riau-Lingga (1824-1913) dan banyak lagi kerajaan kecil yang lain, seperti Tambusai, Rantau Binuang Sakti, Rambah, Kampar dan Kandis (Rantau Kuantan).

Kata Melayu juga dipercayai berasal dari kata "Mala" dan "Yu". Mala ertinya mula atau permulaan, sedangkan Yu ertinya negeri. Melayu ertinya negeri yang mula-mula ada. Pendapat ini sesuai dengan perkembangan bangsa Melayu dari daratan Asia Tenggara, pada kira-kira tahun 2000 SM dan 1500 SM yang menyebar ke seluruh kepulauan Nusantara. Pendapat lain mengatakan, bangsa Melayu berasal dari kata "layu" yang ertinya rendah. Maksudnya bangsa Melayu itu mempunyai sikap rendah diri, sangat menghormati antara satu sama lain. Istilah Melayu ini dipergunakan untuk menamakan sebuah empayar Melayu seperti Kerajaan Melayu Riau. Perkataan Melayu juga dipakai menamakan rakyat pendukung kerajaan-kerajaan tersebut sehingga terkenal sebagai suku Melayu dengan bahasa yang dipergunakan bahasa Melayu.

Bahasa Melayu ini pada masa dahulu menjadi "Lingua Franca" (bahasa induk/umum) di kawasan Asia Tenggara ini.

Kerajaan Riau - Johor[sunting | sunting sumber]

Kerajaan Riau-Johor berdiri pada tahun 1722 dan berakhir pada tahun 1818 apabila kerajaan Riau-Johor dipecahkan kepada Kesultanan Johor-Singapura dan Kesultanan Lingga-Riau.

Kesultanan Riau-Johor ditubuhkan oleh Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah yang memindahkan pusat pemerintahan ke Kepulauan Riau pada tahun 1722.

Kerajaan ini kekal sehingga tahun 1818 apabila British melantik Tengku Hussain sebagai Sultan Singapura dan Johor dengan gelaran Sultan Hussain Shah Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah III

Kerajaan Riau - Lingga[sunting | sunting sumber]

Kerajaan Riau-Lingga ditubuhkan pada tahun 1818 apabila British melantik Tengku Hussain sebagai Sultan Singapura dan dikukuhkan pemisahan ini dengan Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824.

Kesultanan Riau-Lingga berjaya bertahan sehingga 1911 apabila raja terakhirnya, Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah diturunkan daripada takhta dan Belanda secara rasminya memerintah mulai 1913.

Sultan-Sultan Riau-Lingga:

  1. Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah (18181832)
  2. Sultan Muhammad II Muazzam Shah (18321835)
  3. Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah (18351857)
  4. Sultan Sulaiman II Badrul Alam Shah (18571883)
  5. Sultan Abdul Rahman II Muazzam Shah (18831911)

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Central Bureau of Statistics: Census 2010, retrieved 17 January 2011 (Indonesia)
  2. Indonesia's Population: Ethnicity and Religion in a Changing Political Landscape. Institute of Southeast Asian Studies. 2003.