Bekas wilayah Jerman di sebelah timur

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Istilah bekas wilayah Jerman di sebelah timur (bahasa Jerman: Ehemalige deutsche Ostgebiete) merujuk kepada segala kawasan-kawasan di sebelah timur Sungai Oder dan Sungai Neisse Lusatia yang sehingga tahun 1945 diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa sebagai sebahagian daripada tanah wilayah Jerman, tetapi telah dipisahkan dari Jerman selepas Perang Dunia Pertama dan Kedua. Sesetengah wilayah ini telah diduduki oleh kaum etnik Jerman sejak awal zaman pertengahan lagi, manakala ada sesetengah wilayah juga yang hanya diperolehi oleh Prusia (negeri yang memimpin pembentukan Empayar Jerman) pada akhir kurun ke-18. Kawasan-kawasan ini termasuklah Provinsi Posen, Wilayah Memel dan sebahagian dari Prusia Barat (hilang selepas Perang Dunia Pertama), serta Prusia Timur, dua-pertiga Pomerania, Brandenburg Timur, dan Silesia (hilang selepas Perang Dunia Kedua). Jumlah luas kawasan ini ialah kira-kira 156,148 km² — satu jumlah keluasan yang lebih besar dari Semenanjung Malaysia.

Ketika ini kawasan-kawasan yang tersebut merupakan sebahagian dari Poland, Rusia dan Lithuania. Kini sudah hampir tidak ada langsung orang Jerman yang menghuni kawasan ini walaupun tanah tersebut diakui sejak berkurun-kurun dahulunya sebagai tanah Jerman; kebanyakan mereka diusir selepas Perang Dunia Kedua atas desakan Kesatuan Soviet, malahan ramai yang dibunuh oleh Tentera Merah ataupun oleh pendatang baru bangsa Poland yang ingin membalas dendam terhadap kekejaman Nazi terhadap negara mereka dahulu.

(Nota: Rencana berikut membincangkan kawasan-kawasan di timur yang merupakan sebahagian dari Jerman setakat akhir tahun 1918, iaitu selepas Perang Dunia Pertama, serta kawasan-kawasan yang masih ada ketika era Republik Weimar, setakat akhir tahun 1937. Ia tidak merujuk kepada kawasan-kawasan yang ditakluk atau diduduki oleh Hitler selepas tahun 1937 dan diserap ke dalam Jerman (misalnya Austria, Czechoslovakia (Bohemia-Moravia) dan sebahagian Poland) kerana penaklukan tersebut tidak diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa.)

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Dari zaman prasejarah hingga pembentukan Empayar Jerman[sunting | sunting sumber]

Tanah di seberang timur Sungai Oder pada asalnya didiami oleh pelbagai suku bangsa. Misalnya kaum Baltik dan Jermanik (Goth, Rugia) mendiami kawasan Pomerania pada Zaman Besi, kemudian diduduki pula oleh pelbagai puak Slav (Poland, Wend, Kashubia, Sorb) pada permulaan zaman pertengahan. Kawasan Prusia Timur didiami oleh kaum Baltik (puak Prusia Kuno, Lithuania dan Latvia). Silesia diterokai oleh puak Silingi iaitu suku kaum Jermanik yang memberi nama mereka kepada wilayah tersebut.

Kira-kira pada kurun pertama Masihi (1000), Poland di bawah pemerintahan wangsa Piast mula menjajahi Pomerania dan Silesia. Kawasan Prusia Timur terus didiami oleh puak Baltik yang tidak mempunyai struktur kenegaraan yang teratur dan mengamalkan fahaman jahiliah.

Pada 1224-1225, Kesatria Teuton (yang merupakan orang Jerman) melancarkan misi mereka untuk menyebarkan ajaran Kristian kepada puak jahiliah Baltik di Prusia. Kawasan tersebut dijajah oleh Kesatria Teuton. Kaum Prusia Kuno pupus sama sekali, manakala orang Latvia dan Lithuania terpaksa berpindah ke pinggir sempadan Prusia. Kesatria Teuton menubuhkan negeri mereka sendiri yang dipanggil Negeri Orde Kesatria Teuton. Negeri ini merupakan prototaip kepada negeri Prusia yang akan muncul beberapa dekad kemudian. Ibu kota pertama Prusia, Königsberg, ditubuhkan pada 1281.

Prusia memeluk ajaran Protestantisme pada 1525 di bawah pemerintahan Adipati Albert (Duke Albert). Pada 1618 Prusia bergabung dengan Brandenburg dan menawan Pomerania secara berperingkat bermula pada awal kurun ke-17.

Dalam pada itu, Silesia telah dijajah dari Poland oleh Empayar Austria pada kurun sebelumnya. Namun pada 1742, Prusia di bawah pimpinan Raja Frederick yang Agung merampas Silesia dari Austria selepas Perang Silesia. Poland pada ketika ini mengalami kemerosotan kuasa yang ketara, lantas Austria, Rusia dan Prusia mengambil kesempatan membahagikan wilayah-wilayah Poland sesama mereka dalam tiga siri Pembahagian Poland dari 1772-1795. Selepas Pembahagian Ketiga, negara Poland lenyap dari peta Eropah. Prusia memperoleh wilayah di sekeliling Poznań ("Poland Raya"/Greater Poland/Wielkopolska), Warmia, dan Prusia Barat. Poznań dinamakan semula sebagai Posen dan menjadi ibu negeri sebuah provinsi dengan nama yang sama.

Empayar Jerman (1871–1918). Negeri Prusia berwarna biru. Jerman kehilangan wilayah-wilayah di sebelah timur peta ini secara berperingkat selepas Perang Dunia Pertama dan Kedua.

Pada 18 Januari 1871, Empayar Jerman diisytiharkan dengan Prusia sebagai negeri utamanya. Wilayah-wilayah Prusia ini pun secara automatik diperbadankan ke dalam sebuah negara-bangsa Jerman yang bersatu buat pertama kali dalam sejarah.

Pasca Perang Dunia Pertama[sunting | sunting sumber]

Setelah Jerman tewas dalam Perang Dunia Pertama, pihak Berikat telah memisahkan beberapa kawasan di sebelah timur Jerman mengikut lunas Persetiaan Versailles. Kebanyakan kawasan ini diserahkan kepada negara Poland yang telah di"lahir"kan semula setelah lebih 150 tahun lesap dari muka bumi Eropah. Kawasan-kawasan yang digugurkan dari pemerintahan Jerman dan diberi kepada Poland termasuklah Provinsi Posen, Prusia Barat, dan beberapa kawasan di Silesia Hulu (Upper Silesia/Oberschlesien) yang didiami majoriti orang Poland. Wilayah Memel di bahagian utara Prusia Timur berada di bawah naungan Perancis, tetapi tidak lama kemudian diserap oleh Lithuania. Daerah Danzig diletakkan di bawah mandat Liga Bangsa.

Peta ini memaparkan garis masa penyerahan wilayah-wilayah Jerman kepada negara jiran antara 1919 (selepas Perang Dunia Pertama) dan 1945 (selepas Perang Dunia Kedua). Kawasan berwarna biru tua merupakan baki wilayah Jerman yang kekal hingga ke hari ini.

Antara sebab yang diberikan oleh pihak Bersekutu untuk memisahkan wilayah-wilayah ini dari Jerman ialah kerana kawasan ini didiami majoriti orang Poland, misalnya di sekitar Posen/Poznań. Namun begitu, penyerahan wilayah Jerman ini (walaupun didiami majoriti bangsa bukan Jerman) kepada negara-negara lain menimbulkan kemarahan rakyat Jerman dan merupakan salah satu sebab utama Perang Dunia Kedua selang dua dekad kemudian. Paling ketara, penyempadanan baru Jerman kelihatan agak janggal, menyebabkan Prusia Timur terpisah dari wilayah Jerman yang lain kerana "Koridor Poland" yang diwujudkan bagi membolehkan Poland mendapat laluan ke Laut Baltik.

Perang Dunia Kedua[sunting | sunting sumber]

Perang Dunia Kedua di Eropah bermula setelah Jerman menyerang Poland. Bukan sahaja kawasan-kawasan bekas wilayah Jerman di Poland dirampas kembali, malah ada kawasan-kawasan Poland yang tidak pernah menjadi sebahagian dari Jerman juga telah dijajah oleh kerajaan Nazi.

Menjelang 1942-43, Jerman mula mengalami kekalahan di tangan tentera Soviet. Bermula pada akhir tahun 1944, bahagian timur Jerman telah diserang secara bertubi-tubi oleh Tentera Merah. Semasa perang, kota-kota di timur Jerman merupakan antara yang paling kuat dan lama bertahan menentang kemaraan askar musuh: misalnya Königsberg hanya jatuh pada 9 April 1945 dan Stettin (pelabuhan ketiga terbesar di Jerman) pada 26 April 1945. Breslau, ibu negeri Silesia, kecundang pada 6 Mei 1945, hanya satu hari sebelum berakhirnya perang di Eropah.

Pasca Perang Dunia Kedua[sunting | sunting sumber]

Setelah tamatnya Perang Dunia Kedua, Jerman telah diduduki oleh pihak Bersekutu (UK, Amerika Syarikat, Perancis dan Kesatuan Soviet. Pihak Soviet menduduki bahagian yang paling besar sekali - dari Thuringia hingga ke Prusia Timur. Menurut Persetujuan Potsdam, bahagian timur Jerman (sempadan 1937) telah dibahagi seperti berikut:

1. Brandenburg Timur, dua-pertiga Pomerania di bahagian timur, selatan Prusia Timur dan Silesia: ke Poland.

2. Bahagian utara Prusia Timur ke Kesatuan Soviet (termasuk Königsberg, ibu negeri Prusia Timur, yang dinamakan semula kepada Kaliningrad setelah dijajah oleh pihak Soviet).

Sempadan baru Jerman ditetapkan di Garisan Oder-Neisse. Sisa bahagian Jerman yang tidak diambil oleh Kesatuan Soviet atau diberi kepada Poland diuruskan semula sebagai Republik Demokratik Jerman yang berfahaman komunis pada 1949.

Ketika ini, berjuta-juta rakyat Jerman diusir keluar dari bekas tanahair mereka oleh kerajaan Poland dan Kesatuan Soviet. Sesetengah sumber mengatakan jumlah orang yang dihalau dari bekas wilayah Jerman ini mencapai angka 12 juta. Sebilangan dari mereka ini dibunuh atau dirogol akibat perasaan dendam yang tersemat di hati rakyat Poland dan Soviet terhadap kekejaman Nazi di negara mereka ketika perang.

Perang Dingin[sunting | sunting sumber]

Isu bekas wilayah Jerman di sebelah timur menjadi satu topik yang hangat dibincangkan pada dekad-dekad awal Perang Dingin di Eropah. Pada awalnya kerajaan Jerman Barat menolak mentah-mentah persempadanan baru Jerman di Garisan Oder-Neisse dan menganggap wilayah-wilayah di bahagian timur sempadan tersebut sebagai hanya diduduki atau ditadbir sementara oleh Poland dan Kesatuan Soviet. Jerman Barat berusaha mendapatkan kembali wilayah tersebut melalui diplomasi. Sebaliknya, Jerman Timur (yang berada di bawah telunjuk Soviet) telah menerima Garisan Oder-Neisse sebagai sempadannya dengan Poland, malah dalam propaganda rasminya menggelarkan garisan tersebut sebagai "Sempadan Keamanan dan Persahabatan".

Pendirian Jerman Barat beransur-ansur berubah dengan dasar Ostpolitik ("politik ketimuran") yang dibawa oleh Canselor Willy Brandt. Dasar ini mengutamakan hubungan dua hala yang lebih baik dengan kerajaan-kerajaan komunis di Eropah Timur. Di bawah Ostpolitik, Perjanjian Moscow telah ditandatangani antara kerajaan Jerman Barat dan Kesatuan Soviet pada 1970. Antaranya, Jerman Barat mengiktiraf secara "de facto" kewujudan Garisan Oder-Neisse (namun perjanjian ini senyap mengenai tuntutan Jerman Barat ke atas bekas wilayah timur Jerman). Pelaksanaan perjanjian ini pada mulanya menimbulkan kemarahan para pelarian yang berasal dari sebelah timur Oder-Neisse, kerana mereka berharap akan dapat kembali ke negeri halaman mereka pada suatu hari nanti.

Pada 9 November 1989, Tembok Berlin dirobohkan. Jerman Timur dan Jerman Barat menyatakan hasrat mereka kepada Pihak Berikat untuk bercantum semula sebagai negara Jerman yang bersatu. Bagi tujuan tersebut, kedua-dua negara ini bersedia menerima segala syarat yang termaktub dalam Perjanjian Potsdam, termasuklah menerima kehilangan wilayah mereka di sebelah timur. Kedua-dua entiti Jerman menandatangani Perjanjian Penyelesaian Akhir Berkaitan Jerman dengan Pihak Berikat pada 12 September 1990, dan negara Jerman bersatu semula pada 3 Oktober 1990, tanpa memasukkan wilayah lama di seberang Sungai Oder dan Neisse.

Garisan Oder-Neisse disahkan melalui Perjanjian Sempadan Jerman-Poland pada 14 November 1990.

Status masa kini[sunting | sunting sumber]

"Persoalan Jerman" ini semakin hari semakin pudar disebabkan tiga fenomena berkaitan:

  • Peredaran masa bermakna semakin hari semakin berkurangan jumlah mereka yang pernah merasai pengalaman menghuni di kawasan ini di bawah pemerintahan Jerman.
  • Tindakan kerajaan Jerman menandatangani Perjanjian Penyelesaian Akhir (serta perjanjian-perjanjian berkaitan) telah menerima Garisan Oder-Neisse sebagai sempadan kekal Jerman dan mengiktiraf kedaulatan Poland dan Kesatuan Soviet (kini Rusia dan Lithuania) ke atas wilayah-wilayah tersebut.
  • Kedua-dua negara Jerman dan Poland kini merupakan anggota Kesatuan Eropah. Pengawalan sempadan dan imigresen mereka kini lebih longgar, dan mana-mana rakyat Jerman yang ingin merentasi sempadan ke Poland boleh berbuat demikian tanpa permit. Malahan ada sesetengah rakyat Jerman yang membeli hartanah di kawasan-kawasan bekas daerah Jerman di Poland.

Pada masa kini, kelihatan ramai orang Jerman (kebanyakannya sudah berumur) menjelajah kawasan Silesia, Pomerania, Masuria dan Kaliningrad untuk melawat bekas tempat tinggal mereka. Ada juga golongan muda Jerman yang melawat tempat ini untuk mengetahui asal-usul mereka. Lawatan-lawatan tersebut pada hari ini dianggap sebagai lawatan nostalgia semata-mata, tanpa sebarang sentimen dendam atau marah terhadap kehilangan wilayah-wilayah ini.