Laut Baltik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Peta Laut Baltik dan negara-negara sekitarnya.

Laut Baltik ialah sebuah laut payau yang terletak di utara Eropah. Laut ini dikelilingi oleh Semenanjung Scandinavia, tanah besar Eropah dan pulau-pulau milik Denmark. Ia mengalir hingga bertemu Kattegat melalui Selat Oresund, Selat Besar, Selat Kecil dan beberapa selat lain. Kattegat kemudiannya bersambung dengan Skagerrak sebelum bertemu Laut Utara dan Lautan Atlantik di sebelah barat. Laut Baltik turut disambung melalui terusan buatan, Terusan Laut Putih, ke Laut Putih dan terus ke Laut Utara melalui Terusan Kiel. Selain itu, ia turut bersempadan dengan Teluk Bothnia di utara, Teluk Finland di timur laut dan Teluk Riga di timur.

Geografi fizikal[sunting | sunting sumber]

Laut Baltik sewaktu musim sejuk.

Laut Baltik ialah laut pedalaman yang payau (atau berkemasinan rendah). Ia dianggap sebagai laut payau terbesar di dunia. Laut ini mengairi sebuah lembangan yang dibentuk oleh hakisan glaiser.

Ukuran[sunting | sunting sumber]

Laut Baltik berukuran lebih kurang 1,600 km panjang, purata 193 km lebar dan purata 55 m dalam. Kedalaman tertinggi ialah 459 m di tengah-tengah bahagian sebelah Sweden. Luas permukaannya ialah sekitar 377,000 km² dan isipadunya dianggarkan sebanyak 21,000 km³.

Ais laut[sunting | sunting sumber]

Ketika musim sejuk, setinggi 45% daripada permukaan Laut Baltik dilitupi air batu. Kawasan itu termasuklah Teluk Bothnia, Teluk Finland, Teluk Riga dan Vainameri di kepulauan Estonia. Baki permukaan yang lain selalunya tidak membeku kecuali teluk-teluk terlindung dan lagun-lagun cetek. Pembekuan itu mencapai tahap maksimumnya pada bulan-bulan Februari dan Mac. Ketebalan air batu itu boleh mencapai sekitar 70 cm di utara Teluk Bothinia dan menipis ke arah selatan.

Pembekuan bermula di pantai timur laut Teluk Bothnia lazimnya pada pertengahan November. Teluk Finland dan Teluk Riga pula biasanya membeku pada lewat bulan Januari.

Litupan ais ini bergantung kepada kesejukan musim tersebut. Musim dingin kuat boleh menyebabkan pembentukan ais sekitar Denmark dan selatan Sweden. Malah seluruh permukaan laut pernah membeku pada tahun 1942 dan juga 1966. Pada tahun 1987 sejumlah 96% permukaannya membeku, meninggalkan hanya beberapa permukaan kecil di barat laut sekitar Bornholm. Sewaktu musim dingin sederhana, hanya beberapa bahagian terpencil sahaja yang membeku sekitar Teluk Bothnia dan Teluk Finland.

Air batu pada permukaan Laut Baltik adalah habitat utama beberapa spesis haiwan. Spesis terbesar di kalangan mereka ialah anjing laut yang makan dan membiaknya di atasnya. Selain itu, ais itu turut menjadi tempat tumpuan alga-alga yang tinggal di bahagian bawahnya dan juga poket-poket kecil air garam di dalam ais tersebut.

Hidrografi[sunting | sunting sumber]

Laut Baltik mengalir keluar melalui selat-selat Denmark. Tetapi, aliran itu adalah kompleks. Lapisan air payaunya pada permukaan mengeluarkan sejumlah 940 km³ setahun ke Laut Utara. Akibat perbezaan kemasinan, satu lapisan di bawah permukaan airnya mengalir ke arah yang bertentangan dengan membawa sejumlah 475 km³ air masin setiap tahun. Air masin ini bercampur secara perlahan-lahan dengan air di permukaan menghasilkan cerun kemasinan dengan air paling masin tinggal di bahagian paling dalam sekitar 40-70 m.

Baki air masuk dan keluar itu datangnya dalam jumlah yang besar daripada air tawar. Lebih 250 sungai daripada lembangan seluas 1,6 juta km² mengalirkan sejumlah 660 km³ air tawar setiap tahun ke Laut Baltik. Sungai-sungai ini termasuklah sungai utama utara Eropah seperti sungai Oder di Jerman, Vistula, Neman, Daugava dan Neva.

Paras air secara amnya lebih bergantung kepada keadaan tiupan angin setempat berbanding kesan pasang surut. Namun, arus pasang surut turut berlaku sekitar lalulan sempit di bahagian barat Laut Baltik. Ketinggian ombak juga secara amnya lebih rendah berbanding ombak-ombak di Laut Utara. Ribut kencang dan ganas kadangkala menyapu permukaannya diakibatkan oleh perbezaan sementara suhunya dan juga capaian tiupan angin yang panjang. Tiupan angin bermusim turut menyebabkan perubahan kecil paras laut sekitar 0,5 m.