Burung Punai Emas

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Burung Punai Emas
frames
Pengelasan saintifik
Alam: Haiwan
Filum: Kordata
Subfilum: Vertebrat
Kelas: Burung
Order: Columbiformes
Famili: Columbidae
Genus: Caloenas
Spesies: C. nicobarica
Binomial: Caloenas nicobarica


Burung Punai Emas (bahasa Inggeris: Nicobar Pigeon) ialah burung merpati yang merupakan burung pembiak tempatan di pulau-pulau tak didiami manusia di Indonesia serta Kepulauan Nicobar. Ia merupakan ahli tunggal yang masih hidup dalam genus Caloenas. Nama saintifiknya Caloenas nicobarica. [1]


Rupa[sunting | sunting sumber]

Burung Punai Emas merupakan burung merpati yang besar dan berat, dengan panjangnya 40 sentimeter. Sebahagian besar burung ini berwarna hijau metalik, dengan bulu sua leher berwarna hijau dan tembaga. Kepala, leher atasan, dan dada, serta bulu pelepah terbangnya berwarna kelabu tua. Ekornya amat pendek dan berwarna putih tulen. Adanya sebiji bongol hitam pada pangkal paruhnya, dan kaki-kakinya yang kuat berwarna merah tua.

Burung betina, termasuk bongol paruh, dan bulu suanya, adalah lebih kecil berbanding dengan burung jantan. Bahagian bawah burung betina juga berwarna lebih perang. Ekor burung yang belum dewasa berwarna hitam.

Tabiat[sunting | sunting sumber]

Burung Punai Emas berkelana dalam kawanan dari pulau ke pulau, termasuk tapak-tapak yang dihuni manusia, untuk mencari makanannya yang terdiri daripada biji, buah, dan sesetengah invertebrat. Ia tertarik kepada kawasan-kawasan yang mempunyai bijian. Biasanya, burung ini tidur di pulau-pulau kecil luar pesisir yang tidak mempunyai pemangsa dan menghabiskan waktu siang di kawasan-kawasan yang mempunyai lebih banyak makanan.

Penerbangannya cepat, dengan pukulan kepak yang tetap serta sentakan sekali-sekala yang merupakan ciri burung merpati pada umumnya. Bagaimanapun secara aneh, kawanan burung ini cenderung terbang dalam barisan-barisan serta juga dalam barisan tunggal, dan bukannya dalam kawanan tak teratur yang ditonjolkan oleh kebanyakan burung merpati yang lain. Ekornya yang putih kelihatan bertindak sebagai "lampu belakang" ketika menyeberangi air pada waktu subuh atau senja. Burung punai ini bukannya burung spesies yang amat bising, dan bunyinya koo-koo-koo.

Burung Punai Emas bersarang di hutan tebal, dan membina sarang ranting di atas pokok. Ia mengeluarkan sebiji telur pada setiap kali. Telurnya berbentuk bujur dan berwarna putih dengan warna biru sedikit.

Sistematik[sunting | sunting sumber]

Selepas membandingkan sitokrom b mitokondria dan jujukan-jujukan rRNA 12S (Shapiro et al. 2002), Burung Punai Emas telah dicadangkan sebagai saudara terdekat yang masih hidup kepada burung-burung Dodo dan Rodrigues Solitaire. Bagaimanapun, perhatikanlah bahawa ini tidak membayangkan sebarang hubungan rapat yang sebenar, tetapi hanya bermaksud bahawa semua spesies hidup yang lain adalah lebih jauh hubungannya. Selain itu, filogeni teragak yang disimpulkan daripada datanya adalah tidak betul; filogeni molekul burung-burung merpati Indo-Australia menghasilkan keputusan-keputusan yang terlalu berbeza, bergantung kepada jujukan gen yang dianalisis (umpamanya, berbanding dengan Johnson & Clayton 2000).

Berdasarkan tulang-tulang subfosil yang ditemui di New Caledonia dan Tonga, satu spesies pupus, Caloenas canacorum (bahasa Inggeris: Greater Maned Pigeon), telah diperihalkan. Burung ini adalah burung besar, dengan saiznya sesuku lebih besar daripada Burung Punai Emas. Memandangkan bahawa ia pasti merupakan sumber makanan yang baik, burung ini amat mungkin diburu sehingga kepupusan oleh peneroka-peneroka awal di pulau-pulau kediaman burung tersebut.

Burung Merpati Liverpool, lagi satu spesies pupus dari kawasan Pasifik yang tidak dapat ditentukan, juga tergolong dalam genus Caloenas, tetapi ini hanya merupakan suatu kemungkinan yang paling kurang tak sesuai; keafinan-keafinannya yang benar masih tidak dapat ditentukan.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  • BirdLife Antarabangsa (2004). Caloenas nicobarica. Senarai Merah Spesies Terancam IUCN 2006. IUCN 2006. www.iucnredlist.org. Dicapai pada 11 Mei 2006. Kemasukan pangkalan data termasuk justifikasi ringkas tentang mengapa spesies ini hampir terancam.
  • Grimmett, Richard; Inskipp, Carol, Inskipp, Tim & Byers, Clive (1999): Birds of India, Pakistan, Nepal, Bangladesh, Bhutan, Sri Lanka, and the Maldives. Percetakan Universiti Princeton, Princeton, N.J.. ISBN 0-691-04910-6
  • Johnson, Kevin P. & Clayton, Dale H. (2000): Nuclear and Mitochondrial Genes Contain Similar Phylogenetic. Signal for Pigeons and Doves (Aves: Columbiformes). Molecular Phylogenetics and Evolution 14(1): 141–151. (teks PDF lengkap)
  • Shapiro, Beth; Sibthorpe, Dean; Rambaut, Andrew; Austin, Jeremy; Wragg, Graham M.; Bininda-Emonds, Olaf R. P.; Lee, Patricia L. M. & Cooper, Alan (2002): Flight of the Dodo. Sains 295: 1683. DOI:10.1126/science.295.5560.1683 (maklumat tambahan)

Pautan luar[sunting | sunting sumber]