Elastomer

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Elastomer ialah sejenis polimer yang bersifat kenyal atau kelikatkenyalan, iaitu suatu sifat yang ciri bagi getah. Ia boleh diubahkan bentuknya dan boleh ditarik hingga berganda-ganda panjangnya, tetapi balik kepada bentuk asal pula. Seperti gentian juga, ia mengandungi molekul-molekul yang panjang dan halus, dan menjadi teratur apabila ditarik. Tetapi selepas dilepaskan, ia berbalik kepada susunan rawak, tidak seperti gentian yang bakal teratur. Ini adalah kerana daya intermolekul dalam elastomer adalah lemah. Amnya, elastomer tidak mengandungi kumpulan-kumpulan berkutub yang membolehkan pembentukkan ikatan hidrogen. Ia juga tidak terdiri dari rantai-rantai yang boleh wujud dengan teratur untuk membentukkan daya Van der Waals. Walau bagaimanapun, elastomer berantai panjang harus mengandungi sebilangan kecil kaitan silang yang cukup untuk menahan rantai-rantai itu daripada ‘tergelincir’, tetapi tidak terlalu banyak sehinggakan rantai-rantai itu tidak boleh berbalik kepada keadaan rawak.

Pengelasan elastomer:

  • R – polimer berantai dan tidak tepu, contohnya getah asli
  • M – polimer linear tepu, contohnya getah akrilik
  • U – poliester
  • Q – getah silikon

Kegunaan elastomer:

  • Untuk permukaan yang bergeseran tinggi atau tidak licin
  • Melindungi daripada kakisan dan lelasan
  • Penebat elektrik
  • Penebat kejutan dan getaran

Contoh elastomer[sunting | sunting sumber]

Getah asli (cis-1,4-poliisoprena) adalah contoh elastomer yang paling sesuai. Ia mengandungi rantai-rantai panjang yang fleksibel, daya intermolekul yang lemah, dan sebilangan kecil kaitan silang sahaja. Tanpa kumpulan-kumpulan pengganti yang berkutub tinggi, tarikan intermolekul adalah jenis daya Van der Waals sahaja.

Daya ini pula adalah lemah sekali sebab konfigurasinya adalah cis semua. Tetapi jika konfigurasinya trans, bentuk zig-zag boleh wujud dan daya Van der Waals adalah lebih kuat. Trans –1,4-poliisoprena dipanggil qutta percha. Ia adalah polimer habluran dan tidak elastik.

Getah asli boleh dikeraskan melalui proses pemvulkanan di mana ia dipanaskan dengan sulfur. Di dalam proses ini kaitan silang sulfur dibentukkan di antara rantai-rantai molekul. Tindak balas ini berlaku pada ikatan dubel dalam rantai itu. Di antara elastomer-elastomer sintetik ialah SBR (Stirena-Butadiena Rubber), iaitu sejenis kopolimer dari buadiena (75%) dan stirena (25%) yang dihasilkan mengikut mekanisme radikal bebas. Ia mengalami persaingan hebat dengan getah asli di dalam kegunaan utamanya sebaai elastomer, iaitu untuk membuat tayar.

Jika hanya butadiena digunakan, elastomer yang terhasil mengandungi ketidaktepuan yang terlalu tinggi. Sesuatu elastomer itu memerlukan ketidaktepuan yang cukup untuk membentukkan beberapa ikatan silang sahaja. Contohnya ialah di dalam penghasilan getah butil. Hanya 5% isoprena sahaja diperlukan untuk dikopolimerkan dengan isobutilena.