Ismail Hashim

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Haji Ismail bin Haji Mohd Hashim (dalam jawi: حاج إسماعيل بن حاج محمد هاشم)(16 April 1933 -6 Ogos 1996) merupakan qari ulung negara yang telah dinobatkan sebagai Johan Qari Peringkat Kebangsaan sebanyak sembilan kali dan lapan kali menjadi johan di tilawah peringkat antarabangsa. Beliau telah kembali ke rahmatullah akibat sakit jantung

Ustaz al-Maqari

Haji Ismail bin Hashim

Salah seorang pemenang Qori al-Quran sebanyak 7 kali
حاج إسماعيل بن حاج محمد هاشم
Kelahiran
Ismail bin Hashim

16 April 1933
Meninggal dunia6 Ogos 1996
Sebab kematianSakit Jantung
Tempat ditanamTanah perkuburan Islam Akar Peluru, Masjid al-Ghufran, Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah.
WarganegaraMalaysia
PendidikanSekolah Melayu Air Hitam, Kubang Pasu seterusnya ke Maktab Mahmud, Alor Setar
PekerjaanGuru agama Imam
Terkenal keranaJohan Qari Antarabangsa sebanyak 8 kali dan Kebangsaan sebanyak 9 kali.
PasanganDatin Hajah Ramlah binti Mat Saman
Anak-anakBadariah binti Haji Ismail (Anak kedua) Mohd Faiz bin Haji Ismail (Anak kelima)
IbuHajah Embun bin Salleh
BapaHaji Mohd Hashim bin Musa
KeluargaHaji Mohd Salleh bin Haji Hashim (abang)

Haji Ahmad bin Haji Hashim (Adik) Fatimah Sham binti Haji Hashim (Adik)

Jaafar bin Haji Hashim (adik)

Kelahiran[sunting | sunting sumber]

Dato' Hj. Ismail bin Hashim dilahirkan pada 16 April 1933 di Jerlun, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Kedawang, Langkawi sehingga darjah tiga dan meneruskan pelajaran ke Sekolah Melayu Air Hitam, Kubang Pasu pada tahun 1942. Seterusnya, pada tahun 1947 beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Mahmud di Alor Setar.

Mempunyai perwatakan yang menarik dan serius tetapi kuat berjenaka, anak-anak murid beliau menyifatkanya sebagai seorang penghibur. Beliau boleh bermain muzik, menulis khat dengan cantik dan boleh meniru sesuatu bunyian seperti binatang dan lain lain dengan bunyi yang seakan sama. Gemar memakai songkok hitam tinggi dan ukuran atas songkok lebih kecil dari yang bawah, menjadikan penampilanya sangat unik dan anak murid beliau meniru cara pemakaian songkok tersebut. Beliau juga pernah merakamkan album nasyid yang diberi nama Kumpulan An-Nujum dengan beliau sendiri sebagai solo utama bersama isterinya.

Kerjaya[sunting | sunting sumber]

Beliau berkerja sebagai guru agama di Sekolah Kebangsaan Yan dari tahun 1956 sehingga 1970 dan juga beliau berkerja sebagai guru pelawat (Nazir),

Jabatan Agama Islam Kedah Nama Allahyarham Dato' Ismail bin Hashim tidak asing lagi dalam Majlis Tilawah Al-Quran sama ada di peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa.

Kemerduan dan kelunakan suaranya ketika memperdengarkan ayat suci al-Quran bukan saja dikagumi masyarakat tempatan malah masyarakat Islam di luar negara. Selepas pertama kali diadakan musabaqah membaca Al-Quran pada tahun 1956,

Johan Tilawah[sunting | sunting sumber]

Allahyarham merupakan satu-satunya Qari yang menjadi johan sebanyak sembilan kali di peringkat Kebangsaan dan lapan kali di peringkat antarabangsa. Allahyarham menjadi johan qari peringkat kebangsaan pada tahun 1962, 1963, 1965, 1967, 1969, 1970, 1971, 1974, 1975 manakala di peringkat antarabangsa pula pada tahun 1963, 1965, 1967, 1969, 1970, 1971, 1974, 1975 Allahyarham merupakan peserta tunggal negara yang telah mencapai peringkat tertinggi dalam pertandingan musabaqah al-Quran. Allahyarham juga merupakan anak Melayu pertama dimana bacaan al-Qurannya telah disiarkan secara langsung di televisyen dan radio Sudan semasa beliau melawat negara tersebut pada tahun 1966 dan kemudiannya di Mesir pada tahun 1976. Allahyarham yang bersara daripada jawatannya sebagai Nazir Sekolah Agama Kedah pada tahun 1988, pernah diberi penghormatan oleh Kerajaan Negara Thailand untuk memperdengarkan bacaan al-Qurannya pada Majlis Maulidur Rasul yang diadakan di Bangkok pada tahun 1963.

Allahyarham mula menyertai peringkat Kebangsaan pada tahun 1961 dan mendapat naib johan yang mana johanya ialah Haji Ahmad bin Maasom Pergau dari negeri Kelantan. Pada masa tersebut, setiap negara menghantar johan dan naib johan ke peringkat antarabangsa dan beliau mendapat naib johan pada tahun tersebut juga dikalahkan oleh Haji Ahmad bin Maasom Pergau.

Tahun 1962, beliau mewakili Kedah lagi di peringkat Kebangsaan dan beliau mendapat johan dan Haji Mohd Yusof Abdullah dari Kelantan mendapat naib johan. Menariknya, tahun tersebut di peringkat Antarabangsa, beliau kalah pula dengan sekadar mendapat naib johan tempat kedua manakala Haji Mohd Yusof Abdullah pula yang menjadi johan.

Pada tahun 1963, beliau sekali lagi mendapat johan Kebangsaan. Apabila di peringkat Antarabangsa, terdapat dua orang yang menjadi johan kerana markah yang sama. Beliau bersama qari dari Thailand Haji Manaf Sasaelos diisytiharkan sebagai johan bersama.

Tahun 1964, beliau kalah di peringkat negeri Kedah kepada En Mohd Amin Shamsudin menyebabkan beliau terbantut untuk ke Kebangsaan. Menariknya En Mohd Amin mendapat johan Kebangsaan dan naib johan disandang oleh En Hasan Musa dari Kelantan. Lebih menarik lagi, di peringkat Antarabangsa En Hasan Musa menjadi johan Antarabangsa mengalahkan En Mohd Amin yang mendapat naib johan.

Haji Ismail Hashim tidak pernah kenal erti mengalah. Tahun 1965 beliau muncul sebagai johan Kebangsaan dan Antarabangsa dengan penuh bergaya.

Langit tidak selalu cerah. Tahun 1966, beliau kalah di Kebangsaan mendapat naib johan di belakang Haji Abdul Majid Awang dari Kelantan. Polemik besar berlaku dimana ada yang membantah keputusan tersebut. Di kalangan peserta peserta sendiri ada yang membantah serta membuat sidang akhbar mengatakan sepatutnya Hj Ismail Hashim mendapat johan di tahun tersebut. Mereka mendakwa Haji Ahmad Maasom Pergau yang mejadi hakim tahun tersebut terkhilaf dan memberi 28/40 markah lagu kepada Majid dan Ismail hanya diberikan 25/40. Polemik ini berlanjutan sehingga berlaku cabar mencabar diantara anak murid Haji Ahmad Maasom dengan penyokong Haji Ismail Hashim yang turut disiarkan di Utusan Melayu. Cabaran dibuat oleh qari qari Kelantan itu agar Ismail sertai lagi pertandingan itu di tahun hadapan untuk bertanding lagi dengan Majid. Takdir menentukan, pada tahun tersebut, Majid pergi menemui ilahi ketika dalam kapal laut untuk menunaikan haji ke Mekah kira kira tidak sampai 2 ke 3 jam sahaja lagi sebelum kapal mendarat di Jedah. Jenazah di kebumikan dengan cara dihanyutkan kedalam laut. Haji Ismail Hashim juga turut berada dalam kapal tersebut untuk mengerjakan haji bersama Haji Ahmad Termizi Mohamad qari dari Perak.

Setelah itu, Haji Ismail Hashim terus melangkah bergaya dengan menjadi johan kebangsaan dan antarabangsa di tahun 69, 70, 71, 74 dan 75. Beliau pernah memperoleh markah tertinggi iaitu 99 peratus dalam salah satu penyertaan tersebut.

Kematian[sunting | sunting sumber]

Ustaz dato haji Ismail Hashim telah meninggal dunia pada 6 Ogos 1996 akibat sakit jantung ketika beliau berusia 64 tahun. Beliau dikebumikan di Tanah perkuburan Islam Akar Peluru, Masjid al-Ghufran, Jalan Pegawai, Alor Setar, Kedah

Anugerah[sunting | sunting sumber]

Sebagai mengenang sumbangan dan baktinya beliau telah dianugerahkan Johan Setia Mahkota (J.S.M) dan Ahli Mangku Negara (A.M.N) oleh Yang DiPertuan Agung serta pingat Setia DiRaja Kedah (S.D.K), Perkhidmatan Setia Kedah (P.C.K), Dato' Setia DiRaja Kedah (D.S.D.K) dan Pingat Jasa Kebaktian (P.J.K) oleh DYMM Sultan Kedah dan Raja Perlis.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Jejak Qari & Qariah - Dato' Haji Ismail Hashim Johan Tilawah Kebangsaan 9 kali & Antarabangsa 8 kali di Youtube Muhd Izzat. Dicapai pada 12 Jun 2023