Kokpit

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Kokpit Pesawat Komersil VC-10 (1960-an). Pesawat-pesawat moden mempunyai lebih banyak peralatan kokpit digital, berbanding dengan peralatan analog.

Kokpit ialah tempat kawalan pesawat yang biasanya ditempatkan di bahagian hadapan pesawat dan yang dilengkapi peralatan untuk mengawalnya. Bagi pesawat-pesawat komersil, kokpit biasanya diasingkan daripada ruangan penumpang atas sebab-sebab keselamatan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Kokpit ialah istilah pinjaman daripada bahasa Inggeris, iaitu cockpit. Dalam bahasa Inggeris, cockpit pada asalnya merupakan sabung ayam untuk berjudi. Kemudian pada abad ke-16, kokpit merupakan tempat hiburan atau tempat untuk kegiatan kegila-gilaan. William Shakespeare mempergunakan istilah ini dalam dramanya, Henry V, khusus untuk bermaksud kawasan di sekitar pentas teater. Pada tahun 1759, William Hogarth, pelukis Inggeris, mencipta sebuah lukisan satira, The Cockpit, yang menonjolkan keghairahan para penjudi semasa ayam bersabung. Belgium kekadang dikenali sebagai "Kokpit Eropah."

Penggunaan moden[sunting | sunting sumber]

Dalam bahasa Inggeris, cockpit kini digunakan untuk sebarang kawasan tertutup yang kecil. Di dalam kapal-kapal Tentera Laut Diraja British pada abad ke-17 dan ke-18, kawasan yang pegawai-pegawai rendah ditempatkan dikenali sebagai cockpit. Ini menyebabkan perkataan ini dipergunakan untuk merujuk kepada kawasan pengawalan kemudi di belakang kapal bergeladak yang kecil. Cockpit sebagai istilah untuk ruang pemandu pesawat muncul buat pertama kali pada tahun 1914 dan sejak sekitar tahun 1935, istilah itu juga dipergunakan secara tidak rasmi untuk merujuk kepada tempat duduk pemandu kereta, khususnya kereta yang berprestasi tinggi. Inilah istilah rasmi yang digunakan dalam perlumbaan Formula Satu.

Kokpit pesawat[sunting | sunting sumber]

Kokpit pesawat mengandungi peralatan yang biasanya terdiri daripada apa yang dipanggil "papan pemuka", serta alat-alat kawalan yang membolehkan juruterbang menerbangkan pesawat. Di dalam kebanyakan pesawat komersil, sebuah pintu mengasingkan kokpit daripada petak-petak penumpang. Selepas serangan-serangan penganas 11 September 2001, semua sistem penerbangan utama telah mengambil langkah-langkah untuk mengukuhkan kokpit supaya perampas-perampas pesawat tidak dapat masuk.

Di dalam sebuah pesawat, kokpit seringnya dirujuk dalam bahasa Inggeris sebagai "flight deck" atau "geladak penerbangan". Istilah ini berasal daripada Tentera Udara Diraja British yang mempunyai pelantar atas yang berasingan di dalam pesawat-pesawat laut mereka yang besar untuk para juruterbang dan juruterbang bersama.

Pesawat pertama yang mempunyai ruang pemandu yang tertutup muncul seawal tahun 1913 lagi di dalam pesawat Igor Sikorsky, The Grand. Bagaimanapun, pada sepanjang dekad 1920-an, banyak pesawat penumpang tidak mempunyai sebarang ruang tertutup untuk anak-anak kapalnya, walaupun penumpang-penumpang duduk di dalam ruang tertutup. Kapal terbang bersayap kembar tentera serta kedua-dua pesawat pejuang dan pesawat serang darat enjin tunggal yang pertama mempunyai ruang pemandu yang terbuka sehingga dan termasuk tempoh Perang Dunia II. Pesawat-pesawat awal yang mempunyai ruang pemandu tertutup termasuk Fokker Tri-motor 1924, Ford Tri-Motor 1926, Lockheed Vega 1927, Semangat St. Louis, Taylor Cub 1931, Junkers Jerman (yang digunakan sebagai kenderaan tentera), dan pesawat-pesawat penumpang yang dikilangkan oleh Syarikat Pesawat Douglas dan Syarikat Boeing semasa pertengahan dekad 1930-an. Pesawat-pesawat yang mempunyai ruang pemandu terbuka hampir pupus menjelang pertengahan dekad 1950-an, kecuali untuk pesawat latihan dan pendebu tanaman.

Kebanyakan kokpit mempunyai satu atau lebih tingkap yang boleh dibuka ketika pesawat berada di atas tanah. Hampir semua tingkapnya mempunyai salutan pencegah pantulan untuk bertindak sebagai pelindung cahaya matahari.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]