Konsert Alam Muzik M. Nasir

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Konsert Alam Muzik M. Nasir
Konsert oleh M. Nasir
M. Nasir mengadakan persembahan pada malam konsert.
LokasiKuala Lumpur, Malaysia
TempatIstana Budaya
Album berkaitan
Tarikh mula27 Februari 2009
Tarikh tamat1 Mac 2009
Jumlah persembahan3
Kronologi konsert M. Nasir

Konsert Alam Muzik M. Nasir ialah konsert solo oleh penyanyi-penulis lagu Singapura-Malaysia, M. Nasir. Ia diadakan selama tiga malam berturut-turut pada 27 Februari hingga 1 Mac 2009 di Istana Budaya bertepatan dengan ulang tahun ke-30 kerjaya muzik beliau.[1][2] Antara senarai lagu yang dipersembahkan ialah lagu-lagu popularnya yang dimuatkan dalam album-albumnya serta lagu-lagunya bersama kumpulan Kembara. Ini merupakan konsert solo pertamanya tanpa iringan orkestra dan yang pertama dalam tempoh 9 tahun sejak Konsert Andalusia.[3][4] Ia juga menandakan pertama kali M. Nasir beraksi di Istana Budaya.[5][6][7]

Konsert[sunting | sunting sumber]

Idea untuk konsert ini mula tercetus pada 2007.[1] Ia diumumkan oleh pengerusi Boxoffice Malaysia merangkap pengarah dan penerbit konsert, Ali Bakar dalam satu sidang media yang diadakan pada 15 Januari 2009. Dalam sidang media itu, memorandum persefahaman (MoU) antara New Straits Times Press (NSTP) dan Boxoffice Malaysia telah dimeterai.[8]

Turut hadir ialah ketua pegawai eksekutif NSTP, Anthony Firdaus Bujang; ketua pengarang kumpulan, Hishamuddin Aun; pengerusi AirAsia, Aziz Bakar dan M. Nasir sendiri.[9] Nasir dipetik oleh New Straits Times sebagai berkata "konsert ini ialah refleksi muzik saya selama bertahun-tahun" sambil menambah ia terbuka kepada permintaan.[8]

Konsert Alam Muzik pada mulanya dijadualkan akan berlangsung pada Oktober 2008, namun ditunda atas pelbagai faktor termasuk masalah penajaan dan kekurangan dana. Untuk konsert ini, M. Nasir memilih untuk menonjolkan diri sendiri dalam persembahan tanpa membabitkan penyanyi undangan lain, selain tidak mahu terlalu memikirkan soal penaja dalam membantu jualan tiket konsertnya.[10] Persembahan ini diuar-uarkan sebagai konsert mega M. Nasir sejak konsert Andalusia yang berlangsung pada 2000 di Stadium Negara.[11] Ini juga menandakan kali pertama beliau membuat persembahan di Istana Budaya.[1]

M. Nasir berkata mengenai konsert ini: “Konsert ini bakal mengungkap perjalanan muzik saya dari dulu hingga kini. Sejak mula membabitkan diri dalam bidang seni, saya melalui pelbagai frasa dalam penciptaan lagu. Pelbagai genre lagu sudah saya cipta dan selami kerana saya memang gemar menyuntik elemen baru dalam setiap karya saya,". Konsert Alam Muzik menandakan kerjasama kelima M. Nasir bersama Boxoffice Malaysia.[12]

Untuk mempersiapkan diri menjelang malam konsert, M. Nasir mengadakan sesi latihan persembahan di ibu pejabat Luncai Emas sebagai persediaan awal, beliau bersama 14 pemuzik lain mula menyesuaikan diri dalam keadaan di Istana Budaya. Konsert Alam Muzik berlangsung pada 27 Februari hingga 1 Mac 2009 selama tiga malam berturut-turut dengan Ali Bakar menggalas peranan sebagai pengarah dan penerbit bersama Aznan Alias selaku pengarah muzik.[13] M. Nasir mempersembahkan sebanyak 30 lagu daripada 1,500 koleksi lagu ciptaan dalam simpanannya dengan iringan daripada 10 pemuzik profesional di bawah bimbingan Aznan.[14]

Persembahan komersial[sunting | sunting sumber]

Tiket konsert berharga antara RM45 dan RM85 telah habis dijual hanya selepas beberapa hari jualan tiket dibuka, manakala tiket bernilai RM150, RM200 dan RM250 pula laris dijual.[15] Daripada 3,000 tiket yang disediakan untuk tiga malam persembahan itu, sebahagian besarnya telah habis dijual dan baki 700 keping tiket juga telah habis terjual.[16][17] Untuk mempromosikan konsert ini, NSTP mengeluarkan cenderamata istimewa, iaitu kole dan alas tetikus yang dijual antara RM10 dan RM20.[18][19][20]

Ulasan kritis[sunting | sunting sumber]

Konsert Alam Muzik M. Nasir menerima ulasan positif daripada pengkritik muzik. Dalam ulasan retrospektif untuk gua.com.my mengenai konsert ini, Li Ee Kee berkata Konsert Alam Muzik ialah "satu persembahan mantap dan ikhlas dan rata-ratanya diterima baik peminat".[21] Tengku Suzana Raja Hamat dari Kosmo! memuji persembahan M. Nasir dalam konsert ini secara keseluruhan, sambil berkata: "Biarpun latihan penuh tidak kurang hebatnya sama seperti malam konsert, namun emosi dan ulasan bersandarkan malam latihan semestinya tidak sama dengan emosi yang terkesan ketika menilai malam konsert. Mungkin pihak penganjur tidak perlukan sebuah ulasan yang tepat memandangkan nama M. Nasir sendiri sudah cukup sempurna untuk dibayangkan seorang penghibur yang sempurna".[22] Menulis untuk Berita Harian, Zainuri Misfar berpendapat bahawa beraksi dalam konsert selama tiga jam membuktikan bahawa tenaga M. Nasir tidak pernah berkurangan. Beliau berkata: "Dalam usia 52 tahun, menyanyikan 30 lagu dalam masa tiga jam untuk tiga malam berturut-turut tetapi aksi dan tenaga yang dipaparkan M Nasir bagaikan anak muda berusia 25 tahun. Tiada tanda kepenatan biarpun peluh sudah membasahi bajunya [...] Pentas Panggung Sari di Istana Budaya memang cukup luas dan jelas sekali Nasir tidak menggunakan sepenuhnya ruang yang ada tetapi itu bukanlah satu kekurangan pada dirinya".[23] Shazryn Mohd Faizal dari Utusan Malaysia pula berkata: "Siapa tahu, peluang akan dibuka selepas ini untuk mengadakan persembahan di tempat yang lebih besar untuk peminat dan pemuja karya M. Nasir untuk menikmati alunan muziknya yang akan sentiasa bugar dan diminati selamanya".[24]

Senarai lagu[sunting | sunting sumber]

Susunan lagu
  1. "Di Balik Cermin Mimpi"
  2. "Raikan Cinta"
  3. "Mentera Semerah Padi"
  4. "Suatu Masa"
  5. "Ada"
  6. "Falsafah Cinta"
  7. "Phoenix Bangkit Dari Abu"
  8. "Keroncong Untuk Ana"
  9. "Gong Impian"
  10. "Ekspres Rakyat"/"Hati Emas" (medley)
  11. "Rajawali Terbang Tinggi"
  12. "Dah Lagu Tu"
  13. "Bukalah Hatimu"
  14. "Balada Seorang Teman
  15. "Langgam Pak Dogo"
  16. "Keroncong Nostradamus"
  17. "Sahabat Gua"
  18. "Hijab Kekasih"
  19. "Kias Fansuri"
  20. "Masirah"
  21. "Demi Masa"
  22. "Tanya Sama Itu Hud Hud"
  23. "Mustika"
  24. "Biarkan Luncai Terjun"
  25. "Bonda"
  26. "Andalusia"
  27. "Sentuhan Listrikmu"
  28. "Getaran Jiwa" (nyanyian asal P. Ramlee)
  29. "Apokalips"
  30. "Juwita... (Citra Terindah)"


Tarikh konsert[sunting | sunting sumber]

Tarikh Negara Bandar Lokasi Masa Jualan tiket
27 Februari – 1 Mac 2009 Malaysia Kuala Lumpur 8:30 malam (WPM) Istana Budaya Habis dijual

Tenaga kerja[sunting | sunting sumber]

Diperoleh daripada sidang media konsert.[25]

  • M. Nasir - penyanyi
  • Ali Bakar - pengarah dan penerbit konsert
  • Aznan Alias - pengarah muzik, gitar utama
  • Hanafi Spider - gitar kedua
  • Zulkifli Mahat - piano
  • Firdaus Mahmud - keyboard
  • Eddie Slam - keyboard
  • Jay Jay - bes
  • Ujang Exists - dram
  • Pa’ang - perkusi
  • Hamzah Hashim - perkusi
  • Mohardiman - seruling
  • Eja @ Tijah Muhamad Noor - penyanyi latar
  • Yuaz Bahtiar Kassim - penyanyi latar
  • Juwanita Ismail - penyanyi latar
  • Wan Mohd Azran Wan Hamzah - penyanyi latar
  • Boxoffice Malaysia - penganjur
  • New Straits Times Press - media rasmi

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c Siti Azira Abdul Aziz (23 Januari 2009). "M. Nasir 'pinggir' artis lain untuk Konsert Alam Muzik". mStar Online. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  2. ^ Elrafaei Sapi (24 Januari 2009). "M. Nasir janji kejutan". Harian Metro. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  3. ^ Elrafaei Sapi (21 Februari 2009). "Janji konsert terbaik". Harian Metro. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  4. ^ Wanda Idris (22 Februari 2009). "Suatu perjalanan M. Nasir". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Februari 2009. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  5. ^ Wan Sabariah Shikh Ali (8 Mac 2009). "Menyelami rentak alam, jiwa M. Nasir". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 8 Mac 2009. Dicapai pada 13 Februari 2010.
  6. ^ Suzan Ahmad (15 Februari 2009). "Selami konsert Alam Muzik M. Nasir". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 26 Jun 2009. Dicapai pada 13 Februari 2010.
  7. ^ Suzan Ahmad (1 Februari 2009). "Konsert solo tanpa orkestra". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 27 April 2009. Dicapai pada 13 Februari 2010.
  8. ^ a b "On with M. Nasir's show at Istana Budaya" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. 15 Januari 2009. Dicapai pada 22 Mei 2018.
  9. ^ "Akhbar rasmi konsert M. Nasir". Berita Harian. 15 Januari 2009. Dicapai pada 22 Mei 2018.
  10. ^ Elrafaei Sapi (19 Januari 2009). "18 penaja tak layan". Harian Metro. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  11. ^ Hafidah Samat (21 Januari 2009). "Word Has It: Will Nasir have his show?" (dalam bahasa Inggeris). New Straits Times. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  12. ^ Firdaus Sahat (25 Januari 2009). "Perjalanan M. Nasir". Harian Metro. Dicapai pada 22 Mei 2018.
  13. ^ "Sifu, pembawa momen dan memori". Kosmo!. 22 Februari 2009. Diarkibkan daripada yang asal pada 25 Februari 2009. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  14. ^ Elrafaei Sapi (28 Januari 2009). "'Terima kasih Ali Bakar'". Harian Metro. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  15. ^ Siti Azira Abd. Aziz (28 Februari 2009). "Kehangatan 'Konsert Alam Muzik M. Nasir' yang syahdu dan sentimental". mStar Online. Diarkibkan daripada yang asal pada 2009-02-28. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  16. ^ Farihad Shalla Mahmud (24 Februari 2009). "70 pertus tiket sudah habis dijual". Berita Harian. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  17. ^ Farihad Shalla Mahmud (27 Februari 2009). "Tiket konsert M. Nasir habis". Berita Harian. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  18. ^ Nurulhisham Abdul Latiff (9 Februari 2009). "Jualan tiket M. Nasir laris". Berita Harian. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  19. ^ Zul Husni Abdul Hamid (18 Februari 2009). "Bersedia dengan kejutan". Berita Harian. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  20. ^ Rozdan Mazalan (23 Februari 2009). "Cenderamata khas sempena konsert M. Nasir". Berita Harian. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  21. ^ Li Ee Kee (27 Februari 2009). "Konsert Alam Muzik ubati rindu peminat". gua.com.my. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  22. ^ Tengku Suzana Raja Hamat (2 Mac 2009). "Hanyut dibuai M. Nasir". Kosmo!. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Mac 2009. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  23. ^ Zainuri Misfar (3 Mac 2009). "Luasnya alam muzik M. Nasir". Berita Harian. Diarkibkan daripada yang asal pada 6 Mac 2009. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  24. ^ Shazryn Mohd Faizal (4 Mac 2009). "Kegemilangan seorang sifu". Utusan Malaysia. Diarkibkan daripada yang asal pada 3 Mei 2009. Dicapai pada 23 Mei 2018.
  25. ^ Boxoffice Malaysia (2009). Konsert Alam Muzik M. Nasir. (Sidang media). Boxoffice Malaysia.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]