Rahim Jantan

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Rahim Jantan
Nama lahirMohd Noh bin Jantan
Kelahiran(1947-12-15)15 Disember 1947
Batu Tiga, Melaka, Tanah Melayu (kini Malaysia)
Meninggal dunia31 Mei 2010(2010-05-31) (umur 62)
Ampang, Selangor, Malaysia
Genre
Pekerjaan
  • Penyanyi
  • pemuzik
Instrumen
  • Vokal
  • biola
Tahun aktif1968–2010
Pengkarya berkait

Rahim Jantan (lahir Mohd Noh Jantan;[1] 15 Disember 1947 – 31 Mei 2010)[2] merupakan seorang penyanyi dan pemuzik Malaysia, yang dikenali sebagai pelopor muzik tradisional Melayu pada era 1960-an.[3][4][5]

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Rahim dilahirkan pada 15 Disember 1947 di Balai Panjang, Batu Tiga, Melaka. Beliau mendapat pendidikan awalnya di Sekolah Umum Bachang, Melaka.[1]

Kerjaya muzik[sunting | sunting sumber]

Semasa belajar di Sekolah Umum Bachang, bakatnya dalam bidang muzik bermula apabila beliau diberi tugasan oleh gurunya untuk mengetuai nyanyian lagu kebangsaan, "Negaraku".[1][3][4]

Pada tahun 1969 di usia 22 tahun, Rahim dinobatkan sebagai Johan Bintang Lagu Melayu Asli Kebangsaan kawasan selatan. Album pertama beliau ialah hasil paduan suara bersama S. Roha dan diterbitkan pada tahun yang sama. Antara lagu popular dari album itu ialah "Kasih Berpadu" dan "Jangan Lupakan Daku". Rahim juga pernah berduet dengan Rosiah Chik, Rafeah Buang, Kamariah Noor dan Yusni Hamid.[1][4]

Pada tahun 1980, beliau dinobatkan sebagai Juara Kebangsaan Dendang Rakyat. Beliau pernah bertugas dengan Jabatan Kebudayaan Negeri Melaka, Kompleks Budaya Negara, Jabatan Seni Persembahan (Tradisional) Petronas dan Majlis Perbandaran Subang Jaya (MBSA). Beliau telah berjaya membawa irama lagu asli ini hingga ke peringkat antarabangsa, ini terbukti apabila Rahim telah membuat persembahan di beberapa negara Eropah, Australia, Fiji dan Jepun sekitar 1990.[1]

Pada tahun 1996, beliau bertugas sebagai tenaga pengajar bagi Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) serta sebagai perunding muzik tradisional. Sepanjang berkhidmat di ASWARA, beliau telah banyak melakukan pemuliharaan terhadap irama lagu Melayu Asli. Rahim turut terlibat dengan beberapa bengkel yang berkaitan dengan seni lagu Melayu yang diadakan di seluruh negara selain dilantik menjadi juri bagi Pertandingan Lagu Melayu Asli di peringkat negeri mahupun kebangsaan.[1]

Di awal penglibatannya dalam bidang muzik, beliau telah menubuhkan beberapa kumpulan muzik Melayu Asli termasuk Rahim Jantan dan Rakan-rakan dan Kumpulan Senandung Melayu. Rahim juga telah menubuhkan kumpulan Rahim dan Anak-anak yang turut dianggotai oleh beberapa rakan seperjuangan.[1]

Penghargaan[sunting | sunting sumber]

Atas sumbangan beliau kepada industri muzik Melayu tradisional, Rahim telah menerima beberapa penghargaan seperti Anugerah Seni Negara (Pemuzik) 2006,[4] Anugerah Penggerak Budaya Melaka, Anugerah Penggiat Seni Negeri Melaka, Pingat Bakti Masyarakat (PBM), Anugerah Bintang Kehormat Terpuji (BKT), Bintang Cemerlang Melaka (BCM) dan Bintang Kebesaran Negeri Melaka yang dianugerahkan oleh Tuan Yang Terutama Negeri Melaka.[1]

Kematian[sunting | sunting sumber]

Rahim meninggal dunia pada jam 11:30 malam, 31 Mei 2010 di usia 62 tahun di kediamannya di Taman Rasmi Jaya, Ampang, Selangor akibat serangan jantung selepas terjaga dari tidur akibat sakit dada.[6][7][8] Jenazah beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Cheng, Melaka sebelum solat Zohor pada hari yang sama.[3][4][9] Beliau meninggalkan seorang balu dan 5 anak.[4]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ a b c d e f g h "Biografi Rahim Jantan". Waris Klasik. 28 September 2008. Dicapai pada 18 Julai 2020.
  2. ^ "Penyanyi, pemuzik tradisional Rahim Jantan meninggal dunia". BERNAMA. 1 Jun 2010. Dicapai pada 18 Julai 2020 – melalui Dialog Rakyat.
  3. ^ a b c "Rahim Jantan tokoh lagu tradisional". Berita Minggu. 16 Disember 2012. Dicapai pada 18 Julai 2020.
  4. ^ a b c d e f "Penggiat muzik tradisional Melayu, Rahim Jantan meninggal dunia". mStar Online. 1 Jun 2010. Dicapai pada 18 Julai 2020.
  5. ^ Khadijah Ibrahim (27 Jun 2007). "Rahim Jantan pakar muzik tradisional". Utusan Malaysia. Dicapai pada 18 Julai 2020.
  6. ^ "Penyanyi Rahim Jantan meninggal dunia". Berita Harian. 1 Jun 2010. Dicapai pada 18 Julai 2020.
  7. ^ "Rahim Jantan meninggal dunia". Harian Metro. 1 Jun 2010. Dicapai pada 18 Julai 2020.
  8. ^ "Penggiat muzik tradisional Melayu, Rahim Jantan meninggal dunia". Utusan Malaysia. 1 Jun 2010. Diarkibkan daripada yang asal pada 2010-06-03. Dicapai pada 18 Julai 2020.
  9. ^ "Pemergian Allahyarham Rahim Jantan". ASWARA. 1 Jun 2010. Dicapai pada 18 Julai 2020.

Pautan luar[sunting | sunting sumber]