Raja Melewar

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Potret Raja Melewar mengikut imaginasi pelukis

Raja Melewar adalah anak raja Minangkabau dari Pagar Ruyung. Nama asalnya ialah Raja Mahmud putera kepada Sultan Abdul Jalil Pagar Ruyung.[1] Raja Melewar telah dititahkan oleh ayahandanya untuk pergi ke Negeri Sembilan untuk menjadi Yang DiPertuan Besar yang pertama.

Sebelum Raja Melewar bertolak ke Negeri Sembilan, Yang DiPertuan Pagar Ruyung telah merintahkan seorang kerabat diraja bernama Raja Khatib untuk pergi lebih awal membuat persiapan menyambut Raja Melewar di Negeri Sembilan. Bagaimanapun sesampainya Raja Khatib di Seri Menanti, dia telah mengaku sebagai anak raja yang dihantar dari Pagar Ruyung. Penghulu Seri Menanti bernama Penghulu Naam telah mengahwinkan anak perempuannya dengan Raja Khatib.

Sementara itu di Pagar Ruyung angkatan Raja Melewar mula belayar menuju Tanah Melayu. Bagaimanapun sebelum ke Negeri Sembilan, Raja Melewar terlebih dahulu mengadap Sultan Johor yang kemudiannya menganugerahkan cap mohor dan diberikan kuasa untuk memerintah semua tanah jajahan di Negeri Sembilan.

Selepas perlantikan itu Raja Melewar dan angkatannya berangkat menuju ke Negeri Sembilan melalui Naning. Sampai sahaja di Naning, angkatan Raja Melewar telah bertembung dengan angkatan perang Bugis pimpinan Daeng Kemboja. Pertempuran berlaku dan akhirnya angkatan Bugis berjaya dikalahkan dan Daeng Kemboja terpaksa melarikan diri.

Raja Melewar kemudiannya meneruskan perjalanan sehingga sampai di Rembau dan ditabalkan menjadi Yang DiPertuan Besar Negeri Sembilan di Kampung Penajis. Tempat bersemayam Raja Melewar ini sampai sekarang diberi nama Kampung Astana Raja.

Selepas pertabalan itu Raja Melewar memimpin satu angkatan perang untuk menyerang Raja Khatib di Seri Menanti. Namun Raja Khatib telah lebih awal melarikan diri. Penghulu Naam lalu bertindak menderhaka dan bangun memberontak menentang Yang DiPertuan Besar Raja Melewar. Dalam peperangan itu, Penghulu Naam berjaya dikalahkan sendiri oleh Raja Melewar dan angkatan senjatanya, dan Penghulu Naam telah dibunuh sendiri oleh Raja Melewar. Namun ada berpendapat Penghulu Naam dihukum pancung. Dengan itu selesaikan ketegangan dalam pemerintahan Negeri Sembilan ketika itu.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. History behind Negri's unique selection of ruler, The New Straits Times, 29 Disember 2008.
  • Maklumat dari Warisan Diraja Negri Sembilan Darul Khusus
Didahului oleh
Pengasas
Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan
1773-1795
Diikuti oleh:
Raja Hitam