Sains politik

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Sains politik ialah sains sosial yang membincangkan teori dan amalan politik serta penghuraian dan pengupasan sistem dan kelakuan politik. Ahli sains politik "menganggap diri sebagai terlibat dalam pendedahan hubungan yang tersirat di sebalik peristiwa dan keadaan politik, dan berdasarkan pendedahan inilah mereka cuba membina prinsip-prinsip am mengenai cara penjalanan dunia politik."[1] Sains politik terdiri daripada beberapa subbidang, seperti: teori politik, dasar awam, politik negara, hubungan antarabangsa, dan politik perbandingan.

Sains politik banyak perkaedahannya, antara disiplin-disiplinnya termasuk teori pilihan rasional, falsafah politik klasik, positivisme, interpretivisme, strukturalisme, pasca-strukturalisme, behaviouralisme, realisme, pluralisme, dan institutionalisme. Sains politik sebagai salah satu cabang sains sosial, menggunakan kaedah dan teknik yang berkenaan dengan jenis-jenis hasil penyelidikan yang dicari: bai sumber primer seperti dokumen bersejarah dan catatan rasmi, mahupun sumber sekunder seperti rencana jurnal ilmiah, penyelidikan tinjauan, analisa statistik, kajian kes dan pembinaan model.

Am[sunting | sunting sumber]

Ahli sains politik mengkaji hal-hal berkenaan peruntukan dan peralihan kuasa dalam pembuatan keputusan, peranan dan sistem tadbir urus termasuk kerajaan dan pertubuhan antarabangsa, kelakuan politik dan dasar awam. Mereka mengukur kejayaan tadbir urus dan dasar-dasar tertentu dengan mengkaji pelbagai faktor, termasuk kestabilan, keadilan, kekayaan, dan keamanan. Ada ahli sains politik yang hendak memajukan tesis-tesis positif (cubaan menghuraikan keadaan sedia ada daripada yang sepatutnya) dengan menganalisa politik, manakala yang lain memajukan tesis-tesis normatif dengan membuat cadangan dasar tertentu.

Ahli-ahli sains politik menyediakan kerangka untuk para wartawan, kumpulan minat khusus, ahli politik, dan para pengundi mengupas isu. Menurut Chaturvedy, "...Ahli sains politik boleh berfungsi sebagai penasihat kepada ahli politik tertentu, ataupun bertanding untuk merebut jawatan sebagai ahli politik. Ahli sains politik boleh ditemui bertugas dalam kerajaan, parti politik atau sebagai kakitangan awam. Mereka boleh terlibat dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau pergerakan politik. Ketika memikul pelbagai tugas, sesiapa yang terdidik dan terlatih dalam sains politik boleh menambah nilai dan kepakaran kepada perbadanan.[2] Perusahaan swasta seperti kumpulan pemikir, institut penyelidikan, firma tinjauan dan perhubungan awam juga sering menggaji ahli sains politik."[3]

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Niccolò Machiavelli, seorang ahli teori politik berpengaruh.

Sejarah awal[sunting | sunting sumber]

Sains politik merupakan cabang sains sosial yang banyak dipengaruhi oleh bidang-bidang lain seperti falsafah moral, falsafah politik, ekonomi politik, teologi politik, sejarah, dan bidang-bidang lain yang berkaitan dengan penentuan keadaan yang sepatutnya secara normatif serta kesimpulan ciri-ciri dan fungsi-fungsi negara yang diidamkan. Tak kira bila dan di mana jua, kita boleh mendapati wujudnya seseorang yang mengkaji politik sambil meningkatkan kefahaman politik.

Politik Barat berakar umbi dari hasil kajian Plato (427–347 SM) dan Aristotle (384–322 SM), khususnya dalam hasil kerja Homer, Hesiod, Thucydides, Xenophon, dan Euripides. Kemudian, Plato mengupas sistem-sistem politik, mengabstrakkan kupasannya dari kajian yang lebih berorientasikan sastera dan sejarah, lalu menggunakan pendekatan yang boleh kita hampir samakan dengan falsafah. Begitu juga, Aristotle memajukan kupasan Plato untuk menyertakan bukti empirik sejarah dalam kupasannya. Plato mengarang Republik manakala Aristotle menulis Politik.

Kebangkitan dan kejatuhan Empayar Rom[sunting | sunting sumber]

Pada zaman kemuncak Empayar Rom, para sejarawan terkenal seperti Polybius, Livy dan Plutarch mencatatkan kebangkitan Republik Rom, serta organisasi dan sejarah negara, sementara para bangsawan seperti Julius Caesar, Cicero dan lain-lain menyediakan contoh-contoh politik republik, empayar dan perang-perang Rom. Kajian politik pada zaman ini bertengahkan pemahaman sejarah, pemahaman cara-cara pentadbiran, serta penghuraian pengendalian kerajaan. Hampir seribu tahun berlalu, dari pengasasan kota Rom pada 753 SM hingga kejatuhan Empayar Rom atau bermulanya Zaman Pertengahan. Di tengah-tengah zaman itu, jelas wujudnya realisasi kebudayaan Hellenik dalam lingkungan Rom. Dewa-dewi Yunani menjadi dewa-dewi Rom, dan falsafah Yunani biar bagaimana pun bertukar menjadi undang-undang Rom, misalnya Stoicisme.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. http://www.unc.edu/depts/wcweb/handouts/polisci.html
  2. Chaturvedy, J. C. (2005). Political Governance. Gyan Publishing House. p. 4. ISBN 8182053175 Check |isbn= value (bantuan). 
  3. Chaturvedy, J. C. (2005). Political Governance. Gyan Publishing House. p. 4. ISBN 8182053175 Check |isbn= value (bantuan). 

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Wikibuku
Wikibuku mempunyai satu buku topik mengenai
Subbidang am sains sosial
Antropologi | Geografi manusia | Ekonomi | | Linguistik | Pendidikan | Pengurusan | Psikologi | Sains politik | Sejarah | Sosiologi