Sejarah Baitulmuqaddis

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Sejarah Baitulmuqaddis boleh dikategorikan kepada lima tahap; Zaman Kuno, Zaman Empayar Rom, Zaman Islam, Zaman Mandat British, dan Zaman Pendudukan Israel.

Zaman Silam[sunting | sunting sumber]

Kedudukan Baitulmuqaddis di Timur Tengah pada zaman silam

Menurut orientalis Barat, Baitulmuqaddis mula menjadi tumpuan selepas Nabi Daud a.s. menakluk Baitulmuqaddis daripada masyarakat yang bernama Jebusite. Nabi Daud a.s. kemudiannya dikatakan mula mengembangkan kota ini dan menjadikannya ibu kota kerajaannya. Baitulmuqaddis kemudian dikatakan diperintah oleh Nabi Sulaiman a.s.. Mengikut ahli sejarah Yahudi, Nabi Sulaiman a.s. telah membina sebuah kuil yang diberi nama Solomon's Temple (Kuil Sulaiman).

Tidak lama kemudian tentera Babylon mula menguasai Baitulmuqaddis daripada orang Yahudi. Nebuchadnezzar, raja Babylon kemudiannya menakluk Baitulmuqaddis dan memusnahkan Kuil Sulaiman. Dia kemudiannya menghalau orang Yahudi daripada Baitulmuqaddis. Selepas beberapa dekad, tentera Parsi menakluk Babylon. Cyrus II, raja Parsi membenarkan orang Yahudi kembali ke Baitulmuqaddis dan membina semula kuil mereka. Kuil Kedua kemudiannya dibina oleh Herod Agung tetapi selepas kematiannya, kota ini jatuh ke tangan Rom.

Pemerintahan Rom[sunting | sunting sumber]

Semasa pemerintahan Rom, masyarakat Yahudi di Baitulmuqaddis memberontak. Akibatnya tentera Rom mematahkan pemberontakan tersebut dan memusnahkan Kuil Kedua orang Yahudi. Yang tinggal hanyalah sebahagian daripada kuil itu yang dikenali sebagai Tembok Barat.

Seni bina Rom di Baitulmuqaddis

Selepas pemberontakan tersebut, orang Yahudi dibenarkan tinggal di situ tetapi dalam jumlah yang kecil. Pada kurun kedua, Maharaja Rom memerintahkan supaya Baitulmuqaddis dibina semula dan membina sebuah kuil orang Rom di situ sambil menghalang kegiatan keagamaan orang Yahudi. Orang Yahudi kembali memberontak tetapi berjaya dipatahkan tentera Rom. Baitulmuqaddis dinamakan semula menjadi Aelia Capitolina.

Orang Yahudi dilarang memasuki Baitulmuqaddis. Selama 150 tahun selepas itu, kota ini menjadi tidak penting bagi kerajaan Rom. Namun demikian, Maharaja Byzantine iaitu Constantine membina Baitulmuqaddis sebagai pusat keagamaan Kristian dengan membina Church of the Holy Sepulchre pada tahun 335 masihi. Orang Yahudi tetap tidak dibenarkan memasuki Baitulmuqaddis kecuali semasa pemerintahan singkat Empayar Parsi pada tahun 614 hingga tahun 629.

Zaman pemerintahan Islam[sunting | sunting sumber]

Peta Baitulmuqaddis pada tahun 958-1052 menurut seorang ahli geografi Arab, al-Muqaddasi.

Walaupun Al Quran tidak menyebut mengenai nama "Baitulmuqaddis" tetapi hadith ada menyebut mengenainya. Menurut hadith sahih, adalah di Baitulmuqaddis Nabi Muhammad s.a.w. naik ke syurga semasa peristiwa Israk Mikraj. Kota itu kemudiannya ditawan oleh angkatan tentera Islam pada tahun 638 Masihi. Saidina Umar Al-Khatab secara peribadi pergi ke Baitulmuqaddis untuk menerima penyerahan Baitulmuqaddis kepada kerajaan Islam. Beliau seterusnya ditawarkan bersembahyang di dalam Church of the Holy Sepulchre tetapi menolaknya dan sebaliknya meminta supaya dibawa ke Masjidil Aqsa Al Haram Al Sharif. Beliau mendapati tempat itu terlalu kotor dan mengarahkan supaya pembersihan dijalankan. Beliau kemudiannya membina sebuah masjid kayu di tempat yang sekarang merupakan kompleks bangunan Masjid Al Aqsa.

Pemandangan udara Al-Haram Al-Sharif, dengan Qubbat As-Sakhrah di tengah, Tembok Barat dan Masjid Al-Aqsa di bawah.

Enam tahun kemudian, Qubbat As-Sakhrah dibina. Struktur ini terdiri daripada sebuah batu yang dikatakan tempat Nabi Muhammad s.a.w. berdiri sebelum naik ke syurga semasa peristiwa Israk Mikraj. Perlu diingatkan bahawa kubah yang bersalut emas dan berbentuk oktagon ini tidak sama seperti Masjid Al Aqsa di sebelahnya yang dibina tidak lama kemudian. Semasa pemerintahan awal Islam, terutamanya semasa pemerintahan kerajaan Ummaiyyah (650-750) dan kerajaan Abbasiyyah (750-969), kota Baitulmuqaddis berkembang. Ramai orang berpendapat Baitulmuqaddis pada ketika itu merupakan tanah yang paling subur di Palestin.

Pemandangan kaum wanita Muslim di Al Haram Al Sharif berlatar belakangkan Qubbat As-Sakhrah

Pemerintahan awal Islam juga mewujudkan sebuah tolenrasi di antara kaum. Namun semasa pemerintahan Al-Hakim Amr Allah, seorang khalifah kerajaan Fatimiyyah, beliau mengarahkan supaya semua gereja dan rumah ibadat bukan Islam dimusnahkan. Hal ini menyebabkan berlakunya Perang Salib. Pada tahun 1099, tentera Kristian Eropah menakluk Baitulmuqaddis. Mereka kemudiannya membunuh kesemua penduduk bukan Kristian yakni Muslim dan Yahudi.

Gambaran pelukis mengenai Salahuddin Al-Ayubbi pejuang umat Islam yang membebaskan Baitulmuqaddis daripada tentera Salib.

Baitulmuqaddis kemudian dijadikan ibu kota Kerajaan Kristian Baitulmuqaddis (Kingdom of Jerusalem). Kerajaan ini kekal sehingga tahun 1291; Baitulmuqaddis sendiri ditawan oleh Salahuddin Al Ayubi pada tahun 1187. Salahuddin juga membenarkan semua orang beribadat di Baitulmuqaddis tidak kira sama ada Kristian, Muslim atau Yahudi. Pada tahun 1243, Baitulmuqaddis jatuh kembali ke tangan orang Kristian sebelum jatuh kembali ke tangan orang Islam pada tahun berikutnya.

Pada tahun 1517, Baitulmuqaddis ditawan oleh Empayar Turki Uthmaniyyah. Sulaiman al-Qanuni membina semula tembok Baitulmuqaddis yang dapat kita lihat sehingga ke hari ini.

Mandat British atas Palestin[sunting | sunting sumber]

Peta Baitulmuqaddis pada tahun 1947 semasa Pentadbiran Mandat British.

British berjaya menewaskan Empayar Turki Uthmaniyyah semasa Perang Dunia I. Dengan kemenangan mereka itu, tentera British di Mesir memasuki Baitulmuqaddis pada 11 Disember 1917. Pihak British kemudiannya membina rumah-rumah baru di sini dan menyebabkan Baitulmuqaddis berkembang sehingga luar daripada temboknya. Pemerintahan British menandakan bermulanya suasana kelam kabut di sini. Pendatang-pendatang Yahudi yang mendapat perhatian daripada kerajaan British menyebabkan orang Islam amnya dan orang Arab khususnya mendapat layanan yang tidak adil. Keganasan ini terus meningkat sepanjang tahun 1930-an dan 1940-an.

Pada 29 November 1947, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) meluluskan satu pelan untuk memisahkan Pentadbiran Mandat British di Palestin kepada dua buah negeri: satu untuk orang Yahudi, satu untuk orang Arab. Hal ini mengakibatkan berlaku pemberontakan di Baitulmuqaddis yang kemudiannya menyebabkan Perang Arab-Israel 1948 berlaku selepas pemerintahan Mandat British berakhir.

Baitulmuqaddis dan konflik Arab-Israel[sunting | sunting sumber]

Semasa Perang Arab-Israel 1948, Baitulmuqaddis terbahagi kepada dua. Bahagian baratnya yang meliputi bandar baru menjadi sebahagian daripada Israel manakala Bahagian timurnya termasuklah kota lama Baitulmuqaddis menjadi milik Jordan.

PBB mencadangkan supaya Baitulmuqaddis berada di bawah pentadbiran antarabangsa. Walau bagaimanapun, pada 23 Januari 1950, Parlimen Israel meluluskan satu resolusi untuk menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel. Baitulmuqaddis Timur kemudiannya ditawan oleh tentera Israel dalam Perang Enam Hari pada tahun 1967.

Walaupun Israel membenarkan penganut agama di Baitulmuqaddis akses ke tempat suci mereka, terdapat banyak kerisauan mengenai beberapa serangan ke atas Masjid Al-Aqsa seperti kebakaran pada tahun 1969 yang disebabkan oleh seorang pelancong Australia yang gila. Status Baitulmuqaddis Timur tetap menjadi satu isu yang kontroversi.

Status semasa[sunting | sunting sumber]

Menurut satu pelan PBB, Baitulmuqaddis sepatutnya menjadi sebuah bandaraya antarabangsa dan bukan sebahagian daripada negeri orang Arab ataupun negeri orang Yahudi. Sempena Perang Arab-Israel 1948, Baitulmuqaddis Barat diduduki oleh Israel manakala Baitulmuqaddis Timur menjadi milik Jordan.

Peta Baitulmuqaddis sekarang dan yang terkini

Pada tahun 1967, semasa Perang Enam Hari, Israel menawan Baitulmuqaddis Timur dan mula mengambil langkah untuk menyatukan Baitulmuqaddis di bawah penguasaan Israel. Pada tahun 1988 Jordan menarik balik semua tuntutannya ke atas Tebing Barat (termasuklah Baitulmuqaddis) bagi menyokong Pertubuhan Pembebasan Palestin (PLO).

Kedudukan Baitulmuqaddis masih lagi tidak terjawab.