Sepuluh ribu tahun

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari
Sepuluh ribu tahun
Nama Cina
Cina Tradisional: 萬歲
Cina Ringkas: 万岁
Nama Jepun
Hiragana: ばんざい
Kyūjitai: 萬歳
Shinjitai: 万歳
Nama Korea
Hangul: 만세
Hanja: 萬歲
Nama Vietnam
Quốc ngữ: vạn tuế (Cina-Viet.)
muôn năm(jati)
Chữ nôm: Muon Nam (Chu Nom).svg (jati)
Hán tự: 萬歲 (Cina-Viet.)

Dalam bahasa-bahasa Asia Timur, penggunaan ungkapan "sepuluh ribu tahun" berasal dari China purba sebagai ungkapan yang diucapkan demi kepanjangan umur Maharaja, maka ia selalu diterjemahkan sebagai "daulat" dalam bahasa Melayu. Disebabkan pengaruh besar negara China dan bahasa Cina dari segi siasah dan kebudayaan di rantau tersebut, wujudnya kata-kata seasal yang membawa maksud ini dalam kebanyakan bahasa Asia Timur.

China[sunting | sunting sumber]

Ungkapan "sepuluh ribu tahun" (萬歲, wàn suì) mula-mula digunakan secara bersahaja, tetapi ketika Dinasti Tang, penggunaannya mulai dihadkan untuk diucapkan kepada maharaja sebagai doa demi kepanjangan usia dan zaman pemerintahan baginda. Kemudian, pada zaman Lima Dinasti dan Sepuluh Kerajaan, penggunaannya diluaskan untuk mengucapi pegawai-pegawai istana berpangka tinggi yang tertentu,[1] tetapi amalan ini tidak kekal lama. Pada zaman-zaman maharaja yang selanjutnya, penggunaan "sepuluh ribu tahun" untuk menyapa sesiapa selain maharaja merupakan kesalahan hasutan yang mendatangkan hukuman berat. Sewaktu pemerintahan maharaja yang lemah, pegawai sida-sida yang berpengaruh seperti Liu Jin dan Wei Zhongxian memintasi larangan ini dengan menerima gelaran "sembilan ribu tahun" (九千歲, jiǔ qiān suì) untuk melambangkan jawatan tinggi mereka yang dekat ataupun mengatasi maharaja biarpun gelarannya masih membawahi gelaran maharaja.

Menurut tradisi, maharani (isteri maharaja) dan maharani balu menerima ucapan "seribu tahun" (千歲), bukan "sepuluh ribu tahun" yang ditujukan kepada maharaja sahaja. Bagaimanapun, Maharani Balu Cixi, selaku pemerintah agung China yang de facto pada tahun 1861 hingga 1908, menerima ucapan "sepuluh ribu tahun". Sesetengah gambar foto baginda[2] menunjukkan sepanduk pada tandu baginda yang bertulis "Bonda Suci yang Bertakhta, Maharani Balu Mahanegara Qing, [akan hidup dan memerintah selama] sepuluh ribu tahun, sepuluh ribu tahun, sepuluh ribu kali sepuluh ribu tahun" (大清國當今聖母皇太后萬歲萬歲萬萬歲). Maharaja ketika itu pula disapa dengan gelaran Wan Sui Ye iaitu "Tuan Besar Sepuluh Ribu Tahun".[3][4]

Penggunaan[sunting | sunting sumber]

Jambatan yang dibina pada akhir 1960-an di Shennongjia, dengan teraan "伟大的领袖毛主席万岁" (Daulat Pengerusi Mao sang pemimpin mulia!)

Mengikut adat-istiadat, ungkapan wansui diulang berkali-kali selepas nama atau gelaran orang. Misalnya, di negara China purba, Maharaja diucapi dengan "Wú huáng wànsuì, wànsuì, wànwànsuì" (吾皇萬歲,萬歲,萬萬歲; yang bermaksud "[Semoga] Maharaja patik [hidup dan memerintah selama] sepuluh ribu tahun, sepuluh ribu tahun, sepuluh ribu kali sepuluh ribu tahun "). Dalam bahasa Cina terdapat dua aksara yang sering digunakan untuk memaksudkan tahun, iaitu suì (歲) yang bermaksud "bilangan tahun dalam hidup", iaitu umur; dan nián (年) yang digunakan dalam konteks bilangan jangka masa dan tahun takwim. Maka, maksud asal ungkapan "sepuluh ribu tahun" memaksudkan "kehidupan selama 10,000 tahun".

Kegunaan masa kini[sunting | sunting sumber]

Dua rangkap slogan yang mengandungi istilah "wànsuì" ("Hidup Republik Rakyat China!", dan "Hidup perpaduan warga sedunia!") di bangunan utama Tiananmen di Beijing, China.

Salah satu penggunaan ungkapan wansui yang paling ketara pada masa kini adalah di gerbang Tiananmen di Beijing, di mana sepasang pelekat besar dipaku pada dinding luar bangunan hadapan, iaitu "Zhōnghuá Rénmín Gònghéguó wànsuì" (中华人民共和国万岁; secara harfiahnya "[Semoga] Republik Rakyat China [berkekalan selama] sepuluh ribu tahun") and "Shìjiè rénmín dàtuánjié wànsuì" (世界人民大团结万岁; secara harfiahnya "[Semoga] Perpaduan Rakyat warga sedunia [berkekalan selama] sepuluh ribu tahun").

Sewaktu Revolusi Kebudayaan, cogan kata "Máo Zhǔxí Wànsuì" (毛主席万岁; secara harfiahnya "[Semoga] Pengerusi Mao [hidup selama] sepuluh ribu tahun!") sering dilaungkan. Selepas kematian Mao, ungkapan wansui tidak lagi ditujukan khas kepada sebarang individu. Selain ini, ungkapan tersebut jarang sekali digunakan dalam slogan-slogan politik masa pada kini. Bagaimanapun, dalam perbualan seharian, ungkapan ini sekadar berguna sebagai teriakan kegembiraan.

Jepun[sunting | sunting sumber]

Ungkapan Cina ini diperkenalkan kepada Jepun dengan disebut banzei (Kana: ばんぜい) pada abad ke-8, dan digunakan sebagai tanda hormat kepada maharaja seperti di China.

Lambat-laun, ungkapan banzei dihidupkan semula sebagai banzai seleas Pemulihan Meiji. Banzai sebagai upacara amal rasmi termaktub dalam Perlembagaan Meiji pada tahun 1889, yang mana para mahasiswa universiti melaungkan banzai di hadapan pedati maharaja.

Pada masa yang sama, banzai juga digunakan dalam konteks-konteks yang tiada kena-mengena dengan maharaja. Misalnya, para penyokong Gerakan Kebebasan dan Hak Rakyat mulai melaungkan "Jiyū banzai" (Kanji: 自由万歳; Kana: じゆうばんざい, "Hidup Kebebasan!") pada tahun 1883.

Sewaktu Perang Dunia II, banzai dijadikan tempik perang askar Jepun.[5] Adalah dipercayai bahawa pejuang kamikaze seharusnya melaungkan "Banzai!" sambil merempuhkan pesawat mereka ke dalam kapal musuh.

Penggunaan masa kini[sunting | sunting sumber]

Mengikut tradisi, teriakan banzai (sama dengan teriakan "hore" dalam bahasa Melayu) merupakan ungkapan keghairahan yang dilaungkan tiga kali oleh orang ramai sambil menjangkaukan lengan ke udara, dan boleh dianggap sebagai bentuk pujian tradisional Jepun.[6]

Korea[sunting | sunting sumber]

Ungkapan "sepuluh ribu tahu" dalam bahasa Korea ialah manse (만세). Di Silla pada zaman Tiga Kerajaan Korea, ia digunakan sebagai teriakan yang bersahaja. Ia juga dijadikan sebahagian nama zaman Taebong, iaitu salah satu daripada Tiga Kerajaan Akhir yang diisytiharkan oleh Gung Ye pada tahun 911. Sewaktu dinasti Joseon, Korea menggunakan cheonse(Hanja: 千歲; Hangul: 천세, "seribu tahun") demi menghormati maharaja China.

Pada abad ke-20, istilah manse digunakan dalam nama gerakan-gerakan yang menentang penjajahan Jepun, termasuk sebuah akhbar pro-kemerdekaan yang ditubuhkan pada tahun 1906, Gerakan 1 Mac 1919, dan Gerakan 10 Jun 1926. Pada masa kini, manse dijadikan laungan bersahaja oleh rakyat jelata bagi meraikan kejayaan.

Di Korea Utara, manse diucapkan untuk mendoakan kepanjangan umur Kim Jong-il dan rukun-rukun siasah yang didirikan oleh bapanya, Kim Il-sung, iaitu Juche.

Catatan[sunting | sunting sumber]

  1. Ouyang, Xiu. Davies, Richard L. [2004] (2004). Historical Records of the Five Dynasties. Columbia university press. ISBN 0231128266
  2. 瑞丽女性网-生活-揭密慈禧太后奢侈生活
  3. Current literature, Volume 51. Current Literature Pub. Co.. 1911. m/s. 624. http://books.google.com/books?id=cJLPAAAAMAAJ&q=lord+of+ten+thousand+years#v=snippet&q=lord%20ten%20thousand%20years%20wan%20sui%20yeh&f=false. Capaian 2011-07-06. 
  4. Edward Jewitt Wheeler, Frank Crane (1911). Current opinion, Volume 51. The Current Literature Publishing Co.. m/s. 624. http://books.google.com/books?id=wzYiAQAAIAAJ&pg=PA624#v=onepage&q=lord%20ten%20thousand%20years%20wan%20sui%20yeh&f=false. Capaian 2011-07-06. 
  5. The Cambridge history of Japan, by John Whitney Hall, 1988 Cambridge University Press, ISBN 0521223520
  6. [1] What does Banzai mean?