Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Lompat ke: pandu arah, cari

Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor, (Tulisan Jawi: اوندڠ٢ توبوه كراجأن جوهر) merupakan satu set undang-undang di negeri Johor, Malaysia yang menjadi perlembagaan asas bagi negeri tersebut. Dimasyhurkan pada 14 April 1895 oleh Sultan Abu Bakar, perlembagaan tersebut menjadikan Johor sebagai negeri Melayu pertama yang mengamalkan sistem raja berperlembagaan.

Sejarah[sunting | sunting sumber]

Undang-Undang Tubuh Kerajaan Johor telah dibuat pada 14 April 1895 yang bersamaan 8 Syawal tahun 1312H. Tahun tersebut merupakan tahun ketiga puluh empat Sultan Abu Bakar memerintah di atas takhta Kerajaan Negeri Johor. Digelar "Undang-undang Tubuh Kerajaan" bukanlah kerana baginda ingin menubuh atau mengasas sebuah kerajaan yang baharu tetapi tentang mengurus tadbir kerajaan negeri ibarat sebuah tubuh atau jasad yang lengkap bagi setiap bahagiannya. Hal ini juga menunjukkan baginda Sultan yang punya kedaulatan ke atas negeri telah memperturunkan kuasanya sebagai pemimpin dalam bentuk panduan bertulis sebagai satu anugerah kepada Jemaah Menteri atau Majlis Mesyuarat Negeri yuang hadir dari kalangan rakyat jelata agar dapat terlibat sama membantu Sultan dalam urusan pentadbiran negeri.

Undang-undang ini telah digubal oleh Sultan Abu Bakar bersama pembesar negeri di Istana Besar Johor dan dikarang dalam tulisan Jawi oleh firma guaman yang bernama Messrs Rodyk and Davidson di Singapura. Johor merupakan negeri pertama di Tanah Melayu ini yang memperkenalkan sistem pemerintahan Raja Berpelembagaan melalui Undang-Undang Tubuh tersebut. Ketetapan Undang-Undang Tubuh Kerajaan ini serta Persekutuan Mesyuarat Kerajaan dan aturan taat, teguh, bersetia, dan benar.

Undang-undang ini telah ditandatangani serta disaksikan oleh yang berikut:

  • Tunku Ibrahim (Tunku Mahkota Johor)
  • Dato’ Ungku Mohamed Khalid bin Dato' Temenggong Sri Maharaja Daeng Ibrahim
  • Dato’ Ungku Suleiman
  • Dato’ Jaafar Bin Haji Mohamed ( Menteri Johor)
  • Dato’ Syed Salim bin Ahmad Al-Attas (Mufti)
  • Dato’ Haji Mohamed Salleh (Hakim)
  • Dato’ Abdul Rahman bin Andak (Dato’ Sri Amar Diraja)
  • Dato’ Mohamed Ibrahim Bin Abdullah Munshi (Dato’ Bentara Dalam)
  • Dato’ Mohamed Salleh bin Perang (Dato’ Bentara Luar)
  • Dato’ Jaafar bin Nong Yahya (Dato’ Penggawa Timur)
  • Dato’ Abdul Samad bin Ibrahim (Dato’ Penggawa Barat)
  • Dato’ Abdullah bin Tahir (Dato’ Sri Setia Raja)
  • Dato’ Haji Abdul Rahman (Kadi)
  • Dato’ Yahya bin Shaaban
  • Dato’ Andak
  • Dato’ Mohamed bin Mahbob
  • Dato’ Mohamed Yahya bin Awal-Ed-Deen

Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor telah diisytiharkan pada 14 September 1895 yang bersamaan 24 Rabiul Awal 1313 Hijrah, lima bulan selepas penggubalan.

Pindaan[sunting | sunting sumber]

Sejak 1895, Undang-undang Tubuh Negeri Johor telah dipinda sebanyak empat kali:-

  • Pindaan Pertama (1 April 1908)
  • Pindaan Kedua (17 September 1912)
  • Pindaan Ketiga (12 Mei 1914)
  • Pindaan Keempat (17 Julai 1918)

Kandungan[sunting | sunting sumber]

Di antara kandungan Undang-undang Tubuh Kerajaan itu ialah:

  1. Syarat-syarat bagi melantik atau menabalkan Sultan serta menetapkan wang-wang perbelanjaan dan aturan-aturan bagi menggantikan Sultan Johor itu hingga berketurunan;
  2. Peraturan-peraturan dan kewajipan-kewajipan Majlis Mesyuarat Menteri-menteri dan Majlis Mesyuarat Negeri;
  3. Aturan-aturan berkenaan dengan agama Islam dalam negeri Johor;
  4. Menetapkan asas hukuman-hukuman undang-undang yang akan dijalankan di dalam mahkamah-mahkamah keadilan; dan
  5. Mengenai perjanjian dengan negara-negara asing.

Kesinambungan Perlembagaan Malaysia[sunting | sunting sumber]

Undang-undang Tubuh Kerajaan Johor telah memainkan peranan penting di kalangan masyarakat Melayu semasa menentang penubuhan Malayan Union. Faktor utama penentangan adalah kerana kesemua Sultan di Negeri-negeri Melayu akan hilang kuasa dan kedaulatan mereka terhadap negeri masing-masing, serta disebabkan cara Sir Harold MacMichael mengugut untuk mendapatkan tandatangan para Sultan.

Sultan Ibrahim dari Johor sendiri telah dipaksa oleh MacMichael untuk menandatangani perjanjian tersebut, membangkitkan kemarahan di kalangan masyarakat Melayu, sambil mendakwa bahawa menandatangani perjanjian tersebut adalah menyalahi Undang-undang Tubuh Negeri Johor yang tidak membenarkan Sultan Johor daripada melakukan apa-apa tindakan yang boleh menggugat kedaulatan negeri Johor. Sebagai maklum balas terhadap penentangan tersebut, baginda menganjurkan perhimpunan agung pertama UMNO di istana baginda di Johor Bahru pada Mei 1946. Beliau turut sama memboikot perlantikan gabenor pertama Malayan Union.

Hasil daripada kejayaan orang-orang Melayu menentang penubuhan Malayan Union, para pemimpin negeri-negeri Melayu yang lain turut menggunakan Undang-undang Tubuh Negeri Johor sebagai model bagi perlembagaan masing-masing bagi melindungi kedaulatan negeri-negeri Melayu dan kemudiannya digunapakai sebagai panduan dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu.

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. Haji Buyung Adil, "Sejarah Johor", Kuala Lumpur, DBP, 1971 p. 261.
  2. Fauzi Basri and Hasrom Haron. "Sejarah Johor- Moden 1855-1940: Satu Perbincangan dari Pelbagai Aspek", Kuala Lumpur. Jabatan Muzium Semenanjung Malaysia, 1978, p. 229.
  3. Ibid, p. 251
  4. Ibid, p. 254

Pautan luar[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]