Pergi ke kandungan

Arkeologi

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Tinggalan 2,000-tahun Rom Purba di Itali sedang digali dan dipeta oleh ahli arkeologi

Arkeologi (dari Yunani: αρχαιολογία - archaiologia, dari αρχαίος - archaios, "asal, purba, tua" dan λόγος - logos, "kajian" maka 'temu bual tentang benda purba atau silam'; bahasa Inggeris: archaeology) atau kaji purba merupakan satu bidang sains yang melakukan kajian mengenai kebudayaan prasejarah mahupun sejarah sesuatu ketamadunan dengan cara penggalian dan penghuraian kesan-kesan tinggalan baik dari segi barangan mahupun seni bina. ia boleh dianggap satu jurusan sains sosial ataupun suatu bidang kemanusiaan.[1][2]

Pentakrifan

[sunting | sunting sumber]

Setiap pakar dalam bidang ini memberikan penjelasan yang memahamkan mengenai bidang ini secara tersendiri.

  • Paul Bahn : Arkeologi ialah satu kajian sistematik tentang masa lampau yang berasaskan budaya kebendaan dengan bermatlamat untuk membongkar, menerangkan dan mengklasifikasikan tinggalan-tinggalan budaya, menghuraikan bentuk dan perilaku masyarakat masa silam serta memahami sejarah manusia.[3]
  • Grahame Clark: Arkeologi sebagai satu bentuk kajian yang sistematik ke atas bahan-bahan purba bagi membentuk semula sejarah[4]. Ia juga mencari bagaimana kita boleh menjadi manusia yang berjiwa dan mempunyai minda sebelum sistem tulisan wujud.[5]
  • Brian Fagan: Arkeologi adalah kajian saintifik tentang masa silam mengenai tingkahlaku manusia purba dari masa silam hingga kini[6]. Ia juga meletakkan semua manusia dalam permulaan yang sama.[7]
  • Cotrell Leonard: Arkeologi sebagai satu cerita mengenai manusia dengan merujuk kepada tinggalan seperti peralatan yang digunakan, monumen, rangka manusia dan segala yang terhasil dari inovasi yang diciptanya.[8]
  • Sigfried J. de Leat: Arkeologi sebagai satu disiplin sains dan cabang kepada bidang sejarah[9]
  • Nik Hassan Shuhaimi Nik Abd. Rahman: Pada mulanya ialah satu bentuk kajian ke atas bahan purba melalui kaedah deskriptif yang sistematik pada sekitar abad ke-19 dan kini sebagai satu disiplin yang bertujuan untuk membentuk semula sejarah kebudayaan, sejarah cara hidup dan proses kebudayaan masyarakat pra sejarah, proto sejarah dan sejarah dengan mengkaji artifak dan non artifak serta melihatnya dalam konteks alam sekitar.[10]
  • Walter Taylor: Arkeologi bukanlah sejarah atau antropologi. Berdiri sebagai disiplin yang tersendiri dengan satu kaedah dan kumpulan teknik yang khusus untuk mengumpulkan atau mendapatkan maklumat mengenai kebudayaan.[11]

Sejarah Perkembangan

[sunting | sunting sumber]

Zaman Purbawanisme (Pra sejarah - 1820)

[sunting | sunting sumber]

Purbawanisme merupakan kombinasi perkataan 'purbawan' dan imbuhan daripada bahasa Inggeris '-isme'. Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka, purbawan memberi maksud orang yang mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang antik[12] manakala '-isme' bermaksud sifat dan kelakuan[13]. Diringkaskan bahawa 'purbawanisme' mengertikan sikap dan perlakuan orang yang mengkaji, mengumpul dan menjual barang-barang antik. Istilah yang lebih popular digunakan dalam bahasa Inggeris ialah antiquity ataupun antiquarianism .Pertama kali istilah itu muncul adalah pada abad ke-15 sebagai salah satu cabang sejarah Renaissance Humanism.[14]

Kegiatan purbawanisme yang pertama telah dijalankan oleh Nabonidus (555-538 SM), raja terakhir Babylon sebelum ditakluki oleh Cyrus Agung. Beliau sangat meminati sejarah tamadun Babylon dan telah menemukan kuil Naram-Sin hingga ke lantai asas yang telah dibina 2200 tahun sebelum pemerintahannya.

Pada zaman pemerintahan Julius Caesar pula, barangan artifak seperti tempayan, senjata purba dan gangsa merupakan beberapa hasil penemuan askar Rom semasa mengeledah kubur-kubur purba di tanah-tanah jajahan mereka seperti di Greece dan Itali. Suetonis mencatatkan sedikit sebanyak tentang kegiatan pengumpulan barangan purba oleh Maharaja Augustus Caesar manakala Strabo mengatakan bahawa Julius Caesar telah mendirikan daerah jajahan Rom untuk askar-askarnya di Corinth lalu kekayaan yang terdapat di dalam perkuburan lama telah dijual kepada pengumpul-pengumpul Rom yang menghargai barangan Greek.[15]

Pada abad ke 14 hingga 17 Masihi, 'Cabinets of Curiosity' menjadi bukti kemuncak minat masyarakat terutamanya raja-raja monarki seperti Rudolf II, maharaja Roman (memerintah dari 1576-1612) , Ferdinand II, Archduke of Austria manakala dua koleksi barangan yang terkenal ialah milik Ole Worm (1588-1654) dan Athanasius Kircher (1602-1680). [16] Semasa abad ke-15, berlaku perkembangan minat untuk mengumpul harta benda secara besar-besaran bermula dari Itali dan subur berkembang di bawah pemerintahan paderi-paderi seperti Sixtus IV (1471-1484). Alexander VI pula telah memulakan usaha carigali untuk menambahkan bilangan koleksi pengumpulannya. Ia telah menjadikan aktiviti tersebut sebagai satu budaya dalam kalangan orang berada, menteri dan orang-orang gereja dan ini menandakan Zaman Pembaharuan atau 'Dilettanti' (kegembiraan dalam bahasa Itali).

Zaman Arkeologi Prasejarah (1820 hingga 1920)

[sunting | sunting sumber]

Arkeologi prasejarah berkembang dengan pesat di Eropah dan Amerika Syarikat. Pada ketika ini, bidang arkeologi lebih tertumpu kepada gambaran dan rekonstruksi kehidupan masa lampau dan memandang budaya secara normatif. Ia juga diperkukuhkan dengan wujudnya banyak teori yang dapat digunakan dalam bidang tersebut. Ringkasnya, sejarah perkembangan arkeologi pada masa ini lebih kepada pembinaan dan pengukuhan metodologi kajian hasil daripada teori yang dikutip dari berlainan cabang. Hal ini menunjukkan arkeologi merupakan sebuah bidang yang multi-displin.

Dari displin geologi, idea lapisan tanah dipelopori oleh James Hutton[17] manakala Teori Uniformiti[18] oleh Charles Lyell digunakan untuk mengkaji perkembangan kepurbakalaan manusia. Ini juga membuktikan pendapat golongan Injil pada masa itu tidak tepat kerana bagi mereka, kewujudan manusia ialah 4002 Sebelum Masihi namun mengikut kajian geologi, usia bumi jauh lebih tua daripada waktu yang dikemukakan oleh golongan Injil. Sistem Tiga Zaman yang diperkenalkan oleh Christian Jurgensen Thompsen telah memudahkan pembahagian zaman berdasarkan artifak iaitu Zaman Batu, Zaman Gangsa dan Zaman Besi.

Namun begitu, Jacques Boucher de Perthes pada tahun 1841 lebih awal menganjurkan idea bahawa kepurbakalaan manusia jauh lebih awal dari 6004 tahun. Beliau juga salah seorang tokoh yang berpendapat bahawa arkeologi sejarah boleh dicartakan mengikut tempoh geologikal. Hasilnya, kajian stratigrafi yang dikembangkan lagi oleh William Smith di Kents Cavern, England.

Teori Evolusi Charles Darwin dicetuskan awalnya dari matlamat ingin mengkaji kepurbakalaan manusia. Teori beliau asasnya mengenai proses evolusi manusia daripada spesis primat primitf kepada manusia moden dan dibukukan pada tahun 1871 di bawah tajuk The Descent of Man yang sehingga kini terkesan dalam kajian asal-usul manusia. Idea beliau juga menyebabkan kajian terhadap kepurbakalaan manusia dilakukan berdasarkan tinggalan kebudayaan.

Dalam waktu ini juga, arkeologi lama banyak menyumbang terhadap pembangunan bidang tersebut. Antaranya ialah teknik pemahaman tulisan hieroglif daripada kajian terhadap Batu Rosetta oleh Jean-Francois Champollion, penemuan ukiran-ukiran besar Assyrian dan perpustakaan kepingan bertulisan paku di Kuyunjik oleh Paul Emile Botta, Austen Henry Layard dan Henry Rawlinson, penemuan dan kajian terhadap tinggalan kebudayaan Maya di Yucatan, Mexico oleh John Lloyd Stephen, ekskavasi tapak Awamoa di New Zealand oleh Walter Mantell pada 1852 dan paling besar, teknik ekskavasi sistematik oleh General Agustus Lane-Fox Pitt-Rivers di Wor Barrow, Cranborne Chase di selatan England.

Perkembangan di masa ini juga memperlihatkan munculnya banyak muzium dan perkumpulan penyelidikan arkeologi, seperti British Archaeological Association (1844), Romisch-Germanisches Zentralmuseum (1852), Institusi Smithson Washington D.C (1855), Muzium Peabody Harvard (1866), Egypt Exploration Society (1882), Naturhistorisches Museum, Vienna (1882) dan Museum fur Volkerkunde, Berlin (1886).

Zaman Arkeologi Lama (1920-1960)

[sunting | sunting sumber]

Arkeologi lama atau dikenali sebagai arkeologi tradisional merupakan satu zaman di mana lebih banyak penambahbaikan dari sudut teoritikal dan metodologi. Ekskavasi juga giat dijalankan dan penemuan-penemuan penting juga berjaya dijumpa dan direkodkan pengkajiannya, misalnya penemuan makam Tutankhamun, perkuburan Ur di Chalees dan gua prasejarah Lascaux.

Teknik tinjauan seperti aplikasi fotoudara diperluaskan penggunaannya oleh O. G. S Crawford manakala dari segi teknik ekskavasi, ia lebih teliti dan lebih baik dari sebelumnya dalam aspek pengalian, perekodan, ilustrasi dan interpretasi yang dipopularkan oleh Mortimer Wheeler dalam usaha ekskavasi tapak-tapak di selatan England dan utara Perancis antara tahun 1934 hingga 1937.

Penyelidikan yang lebih saintifik mula mengambil tempat dalam metodologi penyelidikan khususnya dalam projek ekskavasi di Britain dan Perancis. Lennart Von Post telah membangunkan teknik rekonstruksi tumbuh-tumbuhan purba berdasarkan kajian debunga pada tahun 1930-an. Teknik ini diperkenalkan lagi oleh Grahame Clark di Britain, termasuk pendekatan aspek ekonomi digunakan dalam usaha pemahaman komuniti masyarakat prasejarah dalam tahun 1949 hingga 1951 di tapak Star Carr, Yorkshire, utara England.

Selepas Perang Dunia kedua, kaedah pentarikhan radiokarbon mula diperkenalkan oleh Willard Libby. Pentarikhan menggunakan karbon-14 ini banyak mengubah maklumat tentang masa lampau dan ini boleh dilihat dalam tapak zaman Gangsa Aegaen di Vinca, Belgrade yang sebelum ini dianggap sebagai tapak zaman Neolitik Akhir pada tahun 1908 hingga 1912. Kaedah ini diperakui dan diterima kesahihannya menjelang tahun 1970.

Zaman Arkeologi Baru (1960-2000)

[sunting | sunting sumber]

Arkeologi baru ini telah diperkenalkan oleh Lewis Binford, seorang arkeologis Amerika Syarikat dan David Clarke dari Britain pada pertengahan tahun 1960-an.

Senarai kawasan arkeologi

[sunting | sunting sumber]
  1. ^ Renfrew and Bahn (2004 [1991]:13)
  2. ^ Sinclair A (2016), "The Intellectual Base of Archaeological Research 2004–2013: a visualisation and analysis of its disciplinary links, networks of authors and conceptual language", Internet Archaeology (42), doi:10.11141/ia.42.8
  3. ^ Baszley Bee. AJ10403 Pengantar Arkeologi: Pengertian Arkeologi.
  4. ^ ibid. hlm 1
  5. ^ http://archaeology.about.com/od/archaeology101/a/archaeologyis.htm
  6. ^ ibid. hlm. 2
  7. ^ http://archaeology.about.com/od/archaeology101/a/archaeologyis.htm
  8. ^ ibid.
  9. ^ ibid.
  10. ^ ibid.
  11. ^ ibid.
  12. ^ Nama, Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat. Dewan Bahasa dan Pustaka. Kuala Lumpur. 2007. hlm. 1253
  13. ^ ibid. hlm. 590
  14. ^ Shaw, Ian. Jameson, Robert. A Dictionary of Archaelogy. Blackwell Publisher Ltd. USA. 1999. hlm. 65
  15. ^ Hole, Frank. Heizer, Robert F. Arkeologi Prasejarah: Satu Pengenalan Ringkas. 1990. Selangor: Dewan Bahasa dan Pustaka. hlm. 33
  16. ^ https://en.wikipedia.org/wiki/Cabinet_of_curiosities
  17. ^ Hutton, James. 1785. Theory of the Earth
  18. ^ Lyell, Charles. 1833. Principles of Geology.
Sumber utama
  • Colin Renfrew & Paul Bahn – Archaeology: theories, methods and practice, edisi ke-2 (1996)