Bruce Lee

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Bruce Lee
Bruce Lee sekitar tahun 1971
Kelahiran
Lee Jun-fan

27 November 1940
Meninggal dunia20 Julai 1973 (Umur 33 tahun)
Pusat pendidikanUniversity of Washington
Pekerjaan
  • Pelakon
  • Pengamal seni bela diri
  • Pengarah filem
  • Penulis skrip
  • Penerbit filem
Tahun aktif1950-1973
PasanganLinda Emery (kahwin 1964)
Anak-anakBrandon Lee (lahir 1965)
Shannon Lee (lahir 1969)
Ibu bapaLee Hoi-chuen (Ayah)
Grace Ho (Ibu)
Laman web rasmiwww.bruceleefoundation.com
Bruce Lee
Cina Tradisional:
Cina Ringkas:
Lee Jun-fan
Bahasa Cina:

Bruce Lee (nama lahir: Lee Jun-fan, Bahasa Cina: 李振藩; pinyin: Lǐ Zhènfán; (27 November 1940 - 20 Julai 1973) merupakan seorang warga Hong Kong dan artis seni mempertahankan diri Hong Kong-Amerika, pelakon filem aksi, pengarah filem, penerbit filem, penulis lakon layar, ahli falsafah, pengajar seni mempertahankan diri dan pengasas konsep Jeet Kune Do. Lee merupakan anak lelaki kepada bintang Opera Kantonis, Lee Hoi-chuen. Beliau telah dianggap sebagai salah satu artis-artis seni mempertahankan diri dan ikon budaya pop yang paling terpengaruh pada abad ke-20 dalam kalangan pengulas, pengkritik, pihak media dan artis seni pertahanan diri yang lain.

Lee dilahirkan di Chinatown, San Francisco, California kepada ibu bapa berketurunan cina Hong Kong pada 27 November 1947. Beliau dibesarkan di Kowloon, Hong Kong sehingga usia lewat remaja. Beliau pada mulanya terlibat di dalam bidang lakonan atas dorongan bapanya dan membuat penampilan di dalam beberapa filem sebagai pelakon kanak-kanak. Semasa beliau mencecah umur 18, dia berhijrah ke Amerika Syarikat untuk meneruskan pengajian tinggi di Universiti Washington, daerah Seattle. Pada masa ini dia mula mengajar seni mempertahankan diri. Hasil produksi filem-filem Hong Kong-Hollywood beliau berjaya mengangkat martabat dan populariti filem-filem seni mempertahankan diri tradisional Hong Kong ke satu tahap yang baru. Justeru itu membawa kepada pembangkitan minat terhadap seni pertahananan diri Cina dalam kalangan masyarakat Barat pada tahun 1970-an. Cara arahan dan nada filem beliau telah mengubah dan mempengaruhi seni bela diri dan filem mempertahankan diri di Amerika Syarikat, Hong Kong dan seluruh dunia yang lain.

Beliau terkenal dengan peranannya di dalam 5 buah filem: "The Big Boss" (1971, arahan Lo Wei), "Fist of Fury" (1972), "The Way of the Dragon" (1972, diarah dan ditulis oleh Bruce Lee sendiri); "Enter the Dragon" (1973, Warner Brothers) dan "The Game of Death" (1978) - kedua-duanya arahan Robert Clouse.

Lee menjadi satu ikon yang terkenal di serata dunia dan khususnya dalam kalangan masyarakat Cina, kerana dia menggambarkan nationalisme bangsa Cina di dalam filem-filemnya. Lee pada mulanya berlatih di dalam seni pertahanan diri Wing Chun, dan kemudiannya menggabungkan seni tersebut dengan pengaruh-pengaruh pelbagai sumber dan falsafah pertahanan diri peribadinya. Beliau akhirnya menggelar seni tersebut sebagai "Jeet Kune Do" (Cara Pintasan Penumbuk). Lee memegang dua taraf kewarganegaraan iaitu sebagai warga Hong Kong dan Amerika. Beliau meninggal dunia di Kowloon Tong pada 20 Julai 1973, ketika usia hampir 33 tahun.

Kehidupan awal[sunting | sunting sumber]

Bruce Lee dilahirkan pada 27 November 1940 di Hospital Cina, Chinatown San Francisco. Menurut zodiak cina, Lee dilahirkan pada waktu dan tahun Naga, yang mana adalah dianggap petanda kuat dan bertuah secara tradisionalnya.

Ayah Bruce, Lee Hoi-chuen (李海泉) merupakan keturunan Han Cina dan ibunya, Grace Ho (何愛瑜) merupakan keturunan separa cina dan orang putih. Grace Ho (dilaporkan berketurunan Jerman-Katolik) merupakan anak angkat kepada Ho Kom-Tong (何甘棠) dan anak saudara kepada Sir Robert Ho-Tung, di mana kedua-duanya merupakan ahli bisnes dan dermawan yang terkenal di Hong Kong. Bruce merupakan anak ke-4 daripada 5 anak-anak: Phoebe Lee(李秋源), Agnes Lee(李秋鳳), Peter Lee(李忠琛) dan Robert Lee(李振輝). Lee dan ibu bapanya kembali ke Hong Kong semasa dia berusia 3 bulan.

Nama[sunting | sunting sumber]

Nama kantonis Lee ialah Lee Jun-Fan (李振藩), pada sebutannya bermaksud "kembali lagi" dan nama ini diberi oleh ibunya yang merasakan Lee akan kembali ke Amerika Syarikat sebaik sahaja dia mencapai peringkat cukup umur. Disebabkan kepercayaan tahayul ibunya, Lee pada asalnya diberi nama feminin Sai-Fon (細鳳) yang bermaksud "small phoenix". Nama Inggeris, Bruce, merupakan nama yang diberi oleh doktor bertugas, Dr. Mary Glover.

Lee mempunyai 3 nama cina yang lain: Li Yuanxin (李源鑫) - nama keluarga/klan; Li Yuanjian (李元鑒) - nama pelajar semasa beliau belajar di Kolej La Salle dan Li Xiaolong (李小龍, bermaksud si naga kecil) - nama skrin cina. Nama asal Lee, Jun-Fan yang ditulis dalam karakter cina 震藩, walau bagaimanapun, mempunyai persamaan dengan nama datuknya Lee Jun-Biu (李震彪). Oleh itu, karakter nama beliau Jun(震) ditukar kepada "振" untuk mengelakkan pantang nama di dalam tradisi cina.

Keluarga[sunting | sunting sumber]

Bruce Lee, semasa beliau masih merupakan seorang bayi, dengan ibu bapanya pada tahun 1940-an

Ayah Lee, Lee Hoi-chuen merupakan salah satu bintang Opera Kantonis dan pelakon filem pada masa itu dan sedang terlibat di dalam penjelajahan opera selama 1 tahun dengan keluarganya pada malam pencerobohan tentera Jepun ke atas Hong Kong. Lee Hoi-chuen telah terlibat di dalam pengembaraan serata Amerika Syarikat untuk banyak tahun dan mengadakan persembahan untuk pelbagai komuniti masyarakat Cina di sana.

Walaupun kebanyakan rakan sebaya beliau mengambil keputusan untuk tinggal di Amerika Syarikat, Lee Hoi-chuen tetap kembali ke Hong Kong selepas kelahiran Bruce. Dalam masa beberapa bulan, Hong Kong diserang Jepun dan keluarga Lee berada di bawah pendudukan Jepun untuk tempoh masa 3 tahun 8 bulan. Selepas peperangan berakhir, Lee Hoi-chuen bergiat kembali di dalam karier lakonan dan menjadi pelakon yang lagi popular semasa zaman pembinaan semula Hong Kong.

Ibu Lee, Grace Ho berasal dari salah satu klan yang paling berkuasa dan terkaya di Hong Kong iaitu Klan Ho-Tung. Beliau merupakan anak saudara kepada Sir Robert Ho-Tung, ketua Eurasian (Serani) klan tersebut. Disebabkan ini, Bruce Lee membesar di dalam keadaan yang mewah dan istimewa. Walaupun kelebihan status keluarga Lee, kawasan kejiranan di mana Lee membesar, menjadi sesak, bahaya dan penuh dengan pergaduhan geng disebabkan penghijrahan pelarian dari Komunis China ke Hong Kong yang pada masa itu merupakan tanah penjajahan mahkota British.

Selepas penglibatan Lee di dalam pergaduhan jalanan, ibu bapa Lee berpendapat bahawa beliau perlu dilatih di dalam seni mempertahankan diri. Beliau diperkenalkan seni pertahanan diri melalui bapanya, di mana beliau mempelajari asas Tai Chi (gaya Wu).

Wing Chun[sunting | sunting sumber]

Tok guru Bruce Lee, Yip Man

Sumber pengaruh terbesar Lee di dalam seni mempertahankan diri adalah seni pertahanan diri Wing Chun. Lee memulakan latihannya di dalam seni Wing Chun apabila beliau berumur 16 tahun, di bawah ajaran Yip Man pada tahun 1957 selepas kalah di dalam beberapa pergaduhan dengan ahli-ahli geng pihak musuh. Kelas Lee kebiasaannya terdiri daripada bentuk praktis, gerudi chi sao ("sticking hands"), teknik-teknik patung kayu dan teknik gaya bebas. Yip telah cuba untuk menggalakkan anak-anak muridnya untuk melibatkan diri di dalam pertandingan pertarungan daripada melibatkan diri di dalam pergaduhan geng jalanan Hong Kong.

Selepas 1 tahun latihannya di dalam Wing Chun, kebanyakan anak murid Yip Man yang lain enggan berlatih bersama Lee, selepas mereka mengetahui Lee berasal dari keturunan kaum campuran. Hal ini disebabkan pada umumnya, masyarakat Cina tidak menyetujui ajaran seni pertahanan diri kepada orang yang bukan berasal dari Asia. Rakan teknik gaya bebas beliau, Hawkins Cheung menyatakan, "Barangkali kurang daripada 6 orang yang telah diajar penuh atau separa secara peribadi oleh Yip Man". Walau bagaimanapun, Bruce Lee menunjukkan minat yang mendalam terhadap Wing Chun dan terus berlatih secara peribadi dengan Yip Man dan Wong Shun-leung pada tahun 1955. Wan Kam-leung, seorang anak murid kepada Wong, telah menyaksikan satu pertarungan antara Wong dan Lee dan memerhati kepantasan dan ketepatan sepakan Lee. Lee terus berlatih dengan Wong selepas beliau pulang ke Hong Kong dari Amerika.

Meninggalkan Hong Kong[sunting | sunting sumber]

Selepas menamatkan pengajian di Sekolah Tak Sun (beberapa blok daripada rumahnya di 218 Jalan Nathan, Kowloon), Lee meneruskan pembelajaran di bahagian sekolah rendah Kolej La Salle pada umur 12 tahun. Pada tahun 1956, beliau dipindahkan ke Kolej St. Francis Xavier (sekolah menengah) atas sebab prestasi akademik atau kelakuan yang tidak baik. Di sana, Brother Edward, seorang guru dan jurulatih pasukan tinju sekolah menjadi mentor kepada beliau.

Pada musim bunga 1959, Lee terlibat di dalam satu lagi pergaduhan jalanan dan pihak polis telah dipanggil. Sehingga umur akhir remaja, penglibatan Lee dalam pergaduhan jalanan menjadi semakin kerap dan ini termasuklah pergaduhan dengan anak lelaki kumpulan kongsi gelap. Akhirnya, ayah Lee membuat keputusan untuk menghantar Lee ke Amerika Syarikat untuk suatu kehidupan yang lagi selamat dan sihat. Ibu bapa Lee mengesahkan kerisauan polis, di mana kumpulan kongsi gelap tersebut mempunyai penglibatan di dalam sindiket jenayah dan satu kontrak telah dikeluarkan untuk membunuh Lee.

Pada April 1959, beliau dihantar ke Amerika Syarikat oleh kedua-dua ibu bapanya untuk tinggal bersama kakaknya, Agnes Lee yang pada masa itu tinggal bersama keluarga rakan mereka di San Francisco.

Kehidupan baru di Amerika Syarikat[sunting | sunting sumber]

Bruce Lee dan anak lelakinya (1966)

Pada umur 18 tahun, Lee kembali ke Amerika Syarikat dengan 100 USD di dalam poketnya. Selepas beberapa bulan tinggal di San Francisco, beliau berpindah ke Seattle pada tahun 1959 untuk meneruskan pengajian sekolah menengah dan berkerja sebagai pelayan untuk Ruby Chow di restorannya.

Suami Chow merupakan rakan sekerja dan kawan ayah Lee. Abang Lee, Peter Lee, juga tinggal bersama beliau di Seattle sebelum berpindah ke Minnesota untuk pendidikan kolej. Pada Disember 1960, Lee menamatkan pengajian sekolah menengah dan menerima sijil diploma dari Sekolah Teknikal Edison (sekarang: Kolej Komuniti Seattle, yang terletak di Capitol Hill, Seattle).

Pada Mac 1961, Lee mendaftarkan dirinya di Universiti Washington, dengan jurusan major bidang drama menurut majalah alumni universiti dan bukannya dalam falsafah seperti yang diperkatakan oleh Lee sendiri dan orang lain. Lee juga mengambil subjek falsafah, psikologi dan pelbagai subjek yang lain. Di universiti inilah, dia bertemu dengan bakal isterinya, Linda Emery (sekarang; Linda Cadwell), seorang rakan universiti dan pelajar jurusan penguruan. Mereka berkahwin pada Ogos 1964.

Lee mempunyai 2 orang anak dengan Emery, Brandon Lee (1965-1993) dan Shannon Lee (lahir 1969).

Karier seni mempertahankan diri[sunting | sunting sumber]

Kung Fu Jun Fan[sunting | sunting sumber]

Lee mula mengajar seni pertahanan diri di Amerika Syarikat pada tahun 1959. Dia menggelar ajarannya Kung Fu Jun Fan (Kung Fu Bruce Lee). Secara asasnya, ia merupakan pendekatan Bruce terhadap seni Wing Chun. Lee mengajar rakan-rakan yang dikenal di Seattle, bermula dengan pengamal seni Judo, Jesse Glover yang masih mengajar sesetengah teknik awal Lee. Taky Kimura menjadi penolong tenaga pengajar Lee yang pertama dan terus mengajar seni dan falsafah Lee selepas Lee meninggal dunia. Lee menubuhkan sekolah pertahanan diri pertamanya di Seattle dan ia dinamakan Institut Kung Fu Lee Jun Fan.

Lee berhenti dari kolej pada musim bunga 1964 dan berpindah ke Oakland untuk tinggal bersama James Yimm Lee. James Lee merupakan senior kepada Lee dan seorang artis seni pertahanan diri yang terkenal di kawasan tersebut. Mereka kemudiannya, berkerjasama untuk menubuhkan studio pertahanan diri Jun Fan di Oakland. James Lee juga memperkenalkan Bruce Lee kepada Ed Parker, artis pertahanan diri Amerika dan pengajur bagi Kejohanan Antarabangsa Karate Long Beach, di mana beliau diperkenalkan ke alam Hollywood.

Kejohanan Antarabangsa Karate Long Beach[sunting | sunting sumber]

Atas jemputan Ed Parker, Lee membuat penampilan di Kejohanan Antarabangsa Karate Long Beach pada tahun 1964 dan menunjukkan kemahiran beliau untuk melakukan tekan tubi secara berturut-turut menggunakan dua jari (iaitu jari besar dan jari telunjuknya) dan kakinya di dalam jarak satu bahu. Di dalam pertandingan tersebut, beliau juga mempersembahkan "One Inch Punch"/"tumbukan satu inci". Lee berdiri secara tegak, dengan kaki kanannya maju ke hadapan dan lutut yang membengkok sedikit, di hadapan seorang pasangan yang tidak bergerak dan berdiri. Tangan kanan Lee dilanjutkan secara separa dan penumbuk kanannya berada lebih kurang dalam jarak 1 inci (2.5 cm) dari dada pasangan tersebut.Tanpa menarik balik tangan kanannya, dia menumbuk pasangannya dengan kuat sambil mengekalkan posisi tubuhnya dan ini menghantar pasangannya jatuh ke belakang dan jatuh ke atas sebuah kerusi yang diletakkan di belakang pasangan itu untuk mengelak kecederaan. Namun begitu, dia tetap jatuh ke atas lantai. Sukarelawan beliau ialah Bob Baker dari Stockton, California. Baker berkata: "Saya telah memberitahu Bruce jangan melakukan demonstrasi seperti ini lagi. Apabila dia menumbuk saya pada kali itu, saya terpaksa meninggalkan kerja dan sebaliknya tinggal di rumah kerana sakit dada yang keterlaluan".

Ia adalah kejuaraan pada tahun 1964 yang menemukan Lee dengan tok guru Taekwondo, Jhoon Goo Rhee pada pertama kalinya. Mereka menjadi sahabat, di mana kedua-duanya saling memberi manfaat dalam seni pertahanan diri. Rhee mengajar Lee "side kick" manakala Lee mengajar Rhee tumbukan "non-telegraphic".

Lee membuat kemunculan di Kejohanan Antarabangsa Karate Long Beach dan melakukan pelbagai demonstrasi termasuklah "penumbuk yang tidak dapat dihentikan" terhadap juara karate dunia USKA Vic Moore. Lee didakwa memberitahu Moore, yang dia akan menumbuk ke arah muka dan apa yang perlu dilakukan oleh dia hanyalah menghalang tumbukan tersebut. Lee melangkah ke belakang dan bertanya sama ada Moor telah bersedia. Apabila Moore mengangguk tanda bersedia, Lee meluncur ke arahnya sehinggalah beliau berada di dalam jarak untuk menumbuk. Beliau kemudiannya menumbuk muka Moore, namun berhenti sebelum impak tumbukan tersebut. Pada cubaan ke-8, Moore gagal menghalang sebarang tumbukan. Walau bagaimanapun, Moore dan tok guru Steve Mohammed mendakwa yang Lee telah memberitahu Moore yang dia akan menumbuk secara terus ke arah badannya di mana Moore telah menghalang tumbukan tersebut. Lee cuba membuat satu lagi tumbukan dan Moore turut menghalang tumbukan tersebut. Tumbukan ketiga Lee ke arah muka Moore pula tidak berada di dalam jarak serangan. Moore dan ramai lagi yang berada di dalam bilik pada masa itu menyatakan Lee tidak pernah berjaya menyerang Moore sebaliknya Moore pula yang menyerang Lee setelah dia mencuba. Moore mendakwa Lee menyatakan dia merupakan warga Amerika terpantas yang pernah dilihatnya. Krew media Lee memainkan siaran ulangan secara berturut-turut di mana tumbukan Lee tidak berada di dalam jarak serangan dengan tujuan melindungi imej bintang beliau.

Pertarungan dengan Wong Jack-man[sunting | sunting sumber]

Di Oakland, California pada tahun 1964 di Chinatown, Lee mempunyai satu pertarungan persendirian dengan Wong Jack-man, iaitu pelajar kepada Ma Kin Fung yang terkenal dengan Xingyiquan, Shaolin Utara dan Tai Chi Quan. Menurut Lee, komuniti cina di sana telah mengeluarkan satu pernyataan untuk menghalang dia daripada mengajar kung fu kepada masyarakat bukan cina. Apabila beliau menolak untuk mematuhi pernyataan tersebut, mereka mencabar beliau untuk mengadakan satu pertarungan dengan Wong. Syaratnya adalah sekiranya Lee kalah, beliau hendaklah menutup pusat latihannya manakala sekiranya Lee menang, beliau dibenarkan untuk terus mengajar masyarakat orang putih dan orang lain. wong menafikan kejadian ini, menyatakan bahawa dia yang mahu mencabar Lee selepas terdengar Lee bercakap besar semasa sesi demonstrasinya di sebuah teater Chinatown yang beliau dapat mengalahkan sesiapa sahaja di San Francisco dan Wong sendiri tidak mempunyai diskriminasi terhadap orang putih dan orang bukan cina. Lee mengemukakan komennya, "Kertas itu mengandungi semua nama sifu dari Chinatown. Akan tetapi, mereka tidak menakutkan saya".

Individu-individu yang diketahui, yang telah menyaksikan pertarungan tersebut termasuklah Cadwell, James Lee (rakan sekutu beliau, tiada sebarang hubungan persaudaraan) dan William Chen, seorang guru di dalam Tai Chi Quan. Wong dan William Chen menyatakan bahawa pertarungan tersebut berlangsung selama 20-25 minit. Wong mendakwa pada asalnya dia menjangka satu pertarungan yang serius tetapi sopan. Walau bagaimanapun, Lee telah menyerang dia secara agresif dengan motif untuk membunuh, bermula daripada berjabat tangan pada permulaan pertarungan, di mana beliau berpura-pura membalas balik tawaran jabat tangan tradisional Wong dengan menerimanya dan sebaliknya menukar tangannya kepada senjata lembing yang membidik mata Wong. Dipakasa untuk melindungi nyawanya, Wong tidak menyerang Lee dengan daya yang boleh membawa maut apabila mempunyai peluang untuk melakukannya kerana tindakan sedemikian boleh membawa hukuman penjara. Pertarungan tersebut ditamatkan dengan Lee yang kehabisan tenaga dan bukannya tumbukan pemenang oleh mana-mana pelawan. Bagaimanapun, menurut Bruce Lee, Linda Lee Cadwell dan James Lee, pertarungan tersebut hanya berlangsung selama 3 minit dengan keputusan menang menyebelahi Lee. Linda menyatakan bahawa "pertarungan diteruskan tanpa mengehadkan jenis rangkulan atau teknik kung fu yang digunakan. Ia mengambil masa selama 3 minit. Bruce menghimpit lelaki itu ke atas tanah dan bertanya sama ada dia sudah berputus asa dan lelaki tersebut mengatakan yang dia sudah".

Selepas beberapa minggu pertarungan tersebut, Lee memberi satu temu ramah yang dia telah mengalahkan seorang lelaki yang tidak bernama dan Wong mengatakan bahawa lelaki itu dengan jelasnya merujuk kepada dia. Sebagai respon Wong, dia mengeluarkan pernyataannya mengenai pertarungan itu di dalam Chinese Pacific Weekly, sebuah surat khabar cina di San Francisco dan mengeluarkan satu jemputan untuk perlawanan awam sekiranya beliau tidak berpuas hati dengan pernyataannya itu. Lee tidak membalas jemputan tersebut walaupun beliau mempunyai reputasi untuk membalas provokasi yang dikenakan ke atasnya dengan ganas. Selain itu, tiada pengumuman awam dibuat tentang perlawanan itu meskipun Lee terus mengajar orang putih.

Jeet Kune Do[sunting | sunting sumber]

Jeet Kune Do berasal dari tahun 1967. Selepas penggambaran musim pertama "The Green Hornet", Lee mendapati dirinya menganggur, lalu membuka Institut Kung Fu Jun Fan. Pertarungan kontroversi antara beliau dengan Wong Jack-man mempengaruhi falsafahnya di dalam seni mempertahankan diri. Lee membuat kesimpulan bahawa pertarungan tersebut mengambil masa yang terlalu lama dan dia gagal untuk mencapai potensi diri menggunakan teknik Wing Chun sendiri. Beliau berpendapat seni pertahanan diri tradisional adalah terlalu tegar dan formalistik untuk digunakan secara praktikal dalam pertarungan jalanan yang huru-hara. Lee mengambil keputusan untuk membangunkan satu sistem dengan penekanan dari segi "praktikaliti, fleksibiliti, kepantasan dan efisien". Beliau mula menggunakan teknik latihan yang berlainan seperti latihan angkat berat unutk kekuatan, latihan larian untuk ketahanan, regangan badan untuk fleksibiliti dan lain-lain yang sering diadaptasi, termasuklah lawan pedang dan teknik asas tinju.

Lee menekankan apa yang beliau panggil sebagai "gaya yang tiada gaya". Ini terdiri daripada penghapusan pendekatan formal di mana Lee menganggap yang ia merupakan gaya tradisional. Lee merasakan sistem yang kini dipanggil Kung Fu Jun Fan lagi tegar dan kemudiannya mengembangkan ia kepada suatu falsafah dan seni pertahanan diri yang digelar Jeet Kune Do atau Cara Pintasan Penumbuk. Ia merupakan satu istilah yang disesal oleh beliau, kerana Jeet Kune Do menekankan parameter spesifik yang dilambangkan oleh gaya, di mana idea seni pertahanan diri miliknya sepatutnya wujud di luar parameter dan tanpa sebarang batasan.

Kecergasan dan nutrisi[sunting | sunting sumber]

Pada ketinggian 173 cm dan 64 kg, Lee dikenali dengan kecergasan fizikal dan semangatnya, yang dicapai melalui dedikasi regimen senaman untuk menjadi sekuat yang boleh. Selepas pertarungannya dengan Wong Jack-man pada tahun 1965, Lee mengubah pendekatannya terhadap latihan seni pertahanan diri. Lee merasakan ramai artis seni pertahanan diri pada zamannya tidak menghabiskan masa yang cukup untuk mengekalkan tahap fizikal. Lee memasukkan elemen kecergasan secara menyeluruh - kekuatan otot, ketahanan otot, ketahanan kardiovaskular dan fleksibiliti. Beliau menggunakan teknik bina badan tradisional untuk membina ketumpatan dan berat otot, namun tidak dilakukan keterlaluan kerana ini akan mengurangkan kepantasan atau fleksibiliti. Pada masa yang sama, dari segi keseimbangan, Lee menasihatkan bahawa persediaan mental dan rohani adalah amat penting untuk kejayaan latihan fizikal di dalam seni pertahanan diri. Di dalam "Tao of Jeet Kune Do", beliau menulis:

Latihan merupakan salah satu fasa yang paling diabaikan oleh para olahragawan. Terlalu banyak masa digunakan untuk melatih kemahiran dan terlalu sikit masa digunakan untuk melatih seseorang untuk penyertaan. ... JKD, pada akhirnya bukanlah teknik remeh-temeh, tetapi pembangunan rohani dan fizikal yang tinggi.

Menurut Linda Lee Cadwell, selepas Lee berhijrah ke Amerika Syarikat, beliau mula mengambil perhatian serius terhadap nutrisi dan mempunyai minat dalam makanan kesihatan, minuman tinggi protein, makanan tambahan vitamin dan mineral. Beliau kemudiannya membuat kesimpulan yang mana untuk badan mencapai prestasi tinggi, seseorang itu tidak boleh menjanakannya dengan diet makanan ringan, dan dengan makanan tenaga yang salah, badan seseorang itu akan mempunyai prestasi lembap atau selekeh. Lee juga mengelak makanan yang dibakar dan tepung yang ditapis, dengan menyatakan bahawa makanan-makanan tersebut hanya menambah kalori yang tidak berguna kepada badannya.

Karier filem[sunting | sunting sumber]

Watak pertama Lee dalam bidang lakonan adalah sebagai seorang bayi yang dibawa ke atas pentas di dalam filem Golden Gate Girl. Semasa beliau mencapai umur 18 tahun, beliau telah membuat kemunculan di dalam 20 buah filem.

Semasa Lee berada di Amerika Syarikat pada tahun 1959 hingga tahun 1964, beliau meninggalkan pemikiran di dalam bidang karier lakonan untuk mengejar bidang seni pertahanan diri. Walau bagaimanapun, satu pameran seni pertahanan diri di Long Beach pada tahun 1964 membawa kepada jemputan uji bakat oleh William Dozier untuk satu watak dalam episod cubaan "Number One Son". Drama tersebut tidak pernah ditayangkan, tetapi Lee diundang untuk memainkan watak Kato bersama Van Williams di dalam siri TV The Green Hornet. Siri tersebut hanya bertahan selama satu musim, dari tahun 1966 hingga tahun 1967. Lee juga membawa watak Kato di dalam 3 episod Batman. Ini kemudiannya diikuti dengan bintang undangan di dalam tiga siri televisyen yang lain: Ironside (1967), Here Comes the Brides (1969) dan Blondie (1969).

Pada masa itu, dua orang anak murid Bruce Lee merupakan penulis skrip Hollywood Stirling Siliphant dan pelakon James Coburn. Pada tahun 1969, mereka dan Lee telah menulis satu skrip untuk sebuah filem yang bertajuk "The Silent Flute" dan mula mencari lokasi penggambaran di India. Projek tersebut tidak direalisasikan pada masa itu, tetapi filem tahun 1978 bertajuk "Circle of Iron" yang dibintangi oleh David Carradine adalah berdasarkan plot yang sama. Pada tahun 2010, penerbit Paul Maslansky telah dilaporkan untuk merancang dan menerima pembiayaan untuk sebuah filem berdasarkan skrip asal The Silent Flute. Pada tahun 1969, Lee membuat penampilan sementara di dalam filem "Marlowe" yang ditulis oleh Siliphant di mana beliau memainkan watak penyokong politik yang diupah untuk menggertak detektif persendirian Philip Marlowe (watak dibawa oleh James Garner) dengan menghancurkan pejabatnya melalui tendangan melompat dan tumbukan. Namun, pada kemudiannya, dia terjatuh dari bangunan tinggi dalam cubaan memukul Marlowe. Pada tahun yang sama, beliau juga mencipta koreografi untuk adegan pergaduhan filem "The Wrecking Crew" yang dibintangi oleh Dean Martin, Sharon Tate dan Chuck Norris (penampilan pertama dalam filem). Pada tahun 1970, beliau terlibat dalam koreografi adegan pergaduhan untuk filem "A Walk in the Spring Rain" yang dibintangi oleh Ingrid Bergman dan Anthony Quinn, sekali lagi ditulis oleh Siliphant. Pada tahun 1971, Lee berlakon dalam empat episod siri televisyen "Longstreet" yang ditulis oleh Siliphant. Lee membawa watak sebagai seorang pengajar kepada watak utama siri Mike Longstreet (yang dimainkan oleh James Franciscus) dan aspek-aspek penting falsafah seni pertahanan diri beliau telah ditulis dalam skrip.

Gambar publisiti Williams dan Lee untuk "The Green Hornet"

Menurut pernyataan yang dibuat oleh Lee dan Linda Cadwell selepas kematian beliau, pada tahun 1971, Lee telah mencadangkan siri televisyennya yang sendiri yang berjudul "The Warrior" dan perbincangan tersebut telah disahkan oleh Warner Bros. Pada 9 Disember 1971, Lee menyatakan di dalam sebuah temu ramah rancangan televisyen "The Pierre Berton Show" bahawa kedua-dua syarikat Paramount dan Warner Bros mahu "dia terlibat secara moden dan mereka menganggap idea barat telah luput, yang mana dia pula ingin terlibat di dalam idea barat". Menurut Cadwell, konsep Lee diubah semula dan dinamakan sebagai Kung Fu. Akan tetapi, Warner Bros tidak pernah memberi kredit kepada Lee. Warner Brothers menyatakan bahawa mereka telah pun membuat satu konsep yang sama untuk suatu tempoh, yang dicipta oleh dua orang penulis dan penerbit, Ed Spielman and Howard Friedlander. Menurut sumber-sumber tersebut, Lee tidak diterima sebagai pelakon siri kerana sebab separanya, etnik dan longhat beliau. Watak sami Shaolin dalam "Wild West" akhirnya diberi kepada David Carradine (seorang artis tanpa ilmu seni pertahanan diri). Di dalam temu ramah "The Pierre Berton Show", beliau mengatakan bahawa dia faham akan tindakan Warner Brothers dalam pencarian watak siri: "Mereka fikir dari segi bisnes, ia adalah satu risiko. Saya tidak menyalahkan mereka. Jika situasi yang sebaliknya berlaku dan seorang pelakon Amerika datang ke Hong Kong, dan saya merupakan penaja yang berduit, saya juga akan bimbang sama ada mereka akan terima dia sebagai pelakon".

Penerbit Fred Weintraub telah menasihatkan Lee untuk pulang ke Hong Kong dan membuat satu filem yang dia dapat gunakan untuk tunjuk kepada para eksekutif di Hollywood. Beliau berasa tidak gembira akan watak-watak sampingan yang diberi kepadanya di Amerika Syarikat dan kemudiannya pulang ke Hong Kong. Beliau juga tidak tahu yang sirinya, "The Geen Hornet" mendapat sambutan yang amat baik di Hong Kong dan dikenali sebagai "The Kato Show" secara tidak rasmi. Ini menyebabkan beliau terkejut kerana dia dikenali di jalanan atas peranan watak dalam siri tersebut. Selepas perbincangan dengan Studio Shaw Brothers dan Golden Harvest, Lee menandatangani satu kontrak untuk membintangi dua buah filem yang diterbitkan oleh Golden Harvest. Lee memainkan watak utama dalam filem "The Big Boss" (1971) yang memecah rekod panggung wayang di seluruh Asia dan melonjakkan statusnya kepada bintang filem yang masyhur. Ini kemudiannya diikuti dengan filem "Fist of Fury" (1972), yang mempunyai rekod pawagam yang lebih hebat dari filem "The Big Boss". Selepas kontrak dua tahun beliau itu tamat, dia membuat satu perjanjian baru dengan Golden Harvest. Lee kemudiannya menubuhkan syarikat sendiri, Concord Production Inc. (協和電影公司), dengan Raymond Chow. Untuk filem ketiganya, "Way of the Dragon" (1972) beliau diberi kuasa penuh dalam terbitan filem sebagai penulis skrip, pengarah, bintang filem dan ahli koreografi adegan pergaduhan.

Pada tahun 1964, di sebuah sesi demonstrasi di Long Beach, California, Lee bertembung dengan juara Karate, Chuck Norris. Di dalam filem "Way of the Dragon" Lee memperkenalkan Norris kepada penonton filem sebagai pelawan beliau di koloseum di Rom, di mana ia merupakan salah satu lagenda-lagenda babak pergaduhan Lee. Ia juga merupakan babak pergaduhan yang paling diingati dalah sejarah filem seni pertahanan diri. Watak Chuck Norris pada asalnya ditawarkan kepada juara karate Amerika, Joe Lewis.

Pada lewat tahun 1972, Lee mula mengerjakan filem keempat Golden Harvest, "Game of Death". Beliau mula merakamkan sesetengah adegan pergaduhan, termasuklah adegan turutan dengan bintang sukan bola keranjang dan bekas pelajar, Kareem Abdul-Jabbar (ketinggian: 218 cm). Produksi filem itu terhenti apabila Warner Brothers menawarkan peluang kepada beliau untuk berlakon dalam filem "Enter the Dragon", filem yang pertama diterbitkan secara kerjasama antara Golden Harvest dan Warner Bros. Penggambaran bermula di Hong Kong pada Februari 1973. Sebulan selepas penggambaran, sebuah syarikat penggambaran lagi, Starseas Motion Pictures menaikkan Lee ke watak utama di dalam "Fist of Unicorn", walaupun beliau hanya bersetuju untuk bertindak sebagai ahli koreografi adegan lawan turutan dalam filem tersebut sebagai pertolongan untuk kawan lamanya, Unicorn Chan. Beliau mengambil keputusan untuk mendakwa syarikat produksi itu tetapi mengekalkan persahabatan dengan Chan. Walau bagaimanapun, selepas beberapa bulan penggambaran filem "Enter the Dragon" tamat dan enam hari sebelum tayangannya pada 26 Julai 1973, Lee meninggal dunia. "Enter the Dragon" bakal menjadi salah satu filem yang paling menguntungkan pada tahun itu dan sekaligus, memelihara Lee sebagai lagenda seni mempertahankan diri. Perbelanjaan filem itu menelan bajet sebanyak 850 ribu USD (bersamaan dengan empat juta USD diselaraskan pada kadar inflasi tahun 2007). Sehingga hari ini, filem itu telah mendapat pulangan sebanyak 200 juta USD seluruh dunia. Filem tersebut juga mencetuskan trend singkat dalam seni pertahanan diri, seperti yang dinyanyikan dalam lagu "Kung Fu Fighting" dan rancangan televisyen "Kung Fu". Robert Clouse, pengarah filem "Enter the Dragon" dan Golden Harvest menghidupkan kembali filem Lee yang tidak disempurnakan, filem "Game of Death". Lee telah merakam lebih 100 minit babak, termasuklah babak yang disunting keluar (tidak menepati) untuk filem tersebut sebelum ia dihentikan untuk membolehkan Lee berlakon dalam filem "Enter the Dragon". Selain Abdul-Jabbar, penampilan-penampilan oleh George Lazenby, guru Hapkido Ji-Han Jae, pelajar Lee, Dan Inosanto bertindak sebagai pusat klimaks dalam karakter Lee, Hai Tien (yang berpakaian dalam sut sukan kuning yang terkenal) yang berdepan dengan pencabar-pencabar yang berlainan di setiap lantai, di mana masing-masing melalui sebuah pagoda yang mempunyai lima tingkat. Di dalam satu gerakan kontroversi, Robert Clouse menamatkan filem tersebut dengan orang yang kelihatan sama dan rakaman arkib Lee daripada filem-filemnya yang lain dengan jalan cerita dan barisan pelakon yang baru, di mana ia akhirnya ditayangkan pada tahun 1978. Walau bagaimanapun, filem tersebut hanya mengandungi 15 minit rakaman asli Lee (beliau menghasilkan banyak babak suntingan), manakala rakaman yang selainnya terdiri daripada orang kelihatan sama Kim Tai Chung dan Yuen Biao sebagai pelakon aksi gantian. Suntingan rakaman Lee yang tidak digunakan telah ditemui 22 tahun kemudiannya dan dimasuki dalam dokumentari "Bruce Lee: A Warrior's Journey".

Bintang Lee di Laluan Kemasyhuran Hollywood

Selain "Game of Death", terdapat projek filem lain yang menampilkan Lee pada masa itu. Pada tahun 1972, selepas kejayaan "The Big Boss" dan "Fist of Fury", sebuah filem yang ketiga sedang dirancang oleh Raymond Chow di Golden Harvest yang bakal diarah oleh Lo Wei, yang bertajuk "Yellow Faced Tiger". Namun, Lee pada masa itu mengambil keputusan untuk mengarah dan menerbitkan skripnya sendiri untuk "Way of Dragon". Walaupun Lee telah membentuk syarikat bersama Raymond Chow, sebuah filem sejarah telah dirancang dari September hingga November 1973 dengan syarikat pesaing, Studio Shaw Brothers yang bakal diarah oleh Chor Yuen atau Cheng Kang, dan ditulis oleh Yi Kang dan Chang Cheh yang bertajuk "The Seven Sons of the Jade Dragon". Lee juga sedang mengusahakan beberapa skripnya sendiri. Sebuah pita yang mengandungi rakaman Lee mengolah asas perjalanan cerita secara tentatif untuk sebuah filem yang bertajuk "Southern Fist/Northern Leg" wujud dan mempunyai persamaan dengan skrip "The Silent Flute" ("Circle of Iron"). Sebuah lagi skrip yang bertajuk "Green Bamboo Warrior" berlatarkan San Francisco, dicadangkan pelakon Bolo Yeung dan bakal diterbitkan oleh Andrew Vajna (yang seterusnya menerbitkan "First Blood"). Penggambaran kostum juga telah diorganisasikan untuk sesetengah projek filem tersebut.

Filemografi[sunting | sunting sumber]

Kesenian[sunting | sunting sumber]

Falsafah[sunting | sunting sumber]

Lee paling terkenal sebagai seorang artis seni pertahanan diri. Akan tetapi, beliau juga mengambil jurusan drama dan falsafah semasa dia masih merupakan seorang pelajar di Universiti Washington. Beliau celik ilmu dan mempunyai sumber perpustakaan yang luas. Buku-buku pertahanan diri dan falsafah perlawanan beliau adalah terkenal dengan penekanan falsafah, tidak kira dalam atau luar jaringan seni pertahanan diri. Kepelbagaian falsafah beliau sering mencerminkan kepercayaan perlawanannya dan beliau mendakwa seni pertahanan dirinya adalah metafora untuk ajaran sedemikian. Beliau percaya yang setiap pengetahuan akan membawa kepada pengetahuan diri dan menyatakan bahawa dia memilih seni pertahanan diri sebagai ekspresi diri. Pengaruh Lee termasuklah Taoisme, Jiddu Krishnamurti dan Buddhisme. Falsafah Lee bertentangan dengan pandangan dunia konservatif yang dinasihatkan oleh Konfusianisme. John Little menyatakan bahawa Lee merupakan seorang ateis. Apabila ditanya mengenai penglibatan agama, dia membalas, "langsung tiada apa-apa". Pada tahun 1972, beliau ditanya sama ada beliau percaya kepada Tuhan, dan dia membalas, "Secara jujurnya, saya benar-benar tidak percaya".

Puisi[sunting | sunting sumber]

Selain dari seni pertahanan diri dan falsafah yang menumpu kepada aspek fizikal dan kesedaran diri untuk kebenaran dan prinsip, Lee juga menulis puisi-puisi yang mencerminkan emosi dan peringkat hidupnya secara kolektif. Ekspresi diri dari prinsipnya juga diterapkan dalam puisi-puisinya. Anak perempuan beliau, Shannon Lee mengatakan bahawa "Dia sememangnya ada menulis puisi, dia merupakan seorang artis yang berkemahiran tinggi". Hasil kerja puisi-puisi beiiau pada awalnya ditulis dalam kertas, di mana ianya disunting dan diterbitkan. John Little merupakan editor utama bagi kerja-kerja Lee. Linda Cadwell Lee, mengongsikan nota-nota, puisi-puisi dan pengalaman dengan pengikut suaminya. Dia menyatakan "Puisi-puisi Lee, mengikut piawaian Amerika adalah lebih bersifat kelam, mencerminkan sudut-sudut jiwa manusia yang kurang didedahkan". Kebanyakan puisi Lee dikategorikan sebagai anti-puisi atau paradoks. Suasana puisi-puisi beliau boleh disamakan dengan salah seorang penyair terkenal, Robert Frost yang sering mendedahkan aspek diri dengan hasil kerja puisi kelam. Unsur paradoks yang diambil dari simbol Yin dan Yang di dalam seni pertahanan diri juga disepadukan dalam puisi-puisi Lee. Falsafah dan seni pertahanan diri beliau memainkan peranan yang amat besar dalam puisi-puisinya. Gaya bait puisi bebas Lee mencerminkan ayat petikannya yang terkenal "Jadilah tanpa sebarang bentuk...seperti air".

Kematian[sunting | sunting sumber]

Pada 10 May 1973, Lee pengsan semasa sesi rakaman pengalihan suara untuk "Enter the Dragon" di Golden Harvest di Hong Kong. Selepas menderita penyakit sawan dan sakit kepala, beliau telah dimasukkan ke Hospital Hong Kong Baptis di mana para doktor mendiagnosis keadaanya sebagai bengkak otak. Mereka mampu mengurangkan pembengkakan dengan memberi beliau ubat mannitol. Gejala sakit kepala dan bengkak otak pada kali pertama beliau pengsan telah berulang pada hari kematiannya.

Pada 20 Julai 1973, Lee berada di Hong Kong untuk makan malam bersama bintang filem James Bond, George Lazenby di mana beliau bertujuan untuk berkerjasama dalam sebuah filem. Menurut isterinya, Lee telah bertemu dengan penerbit Raymond Chow pada pukul dua petang di rumahnya untuk perbincangan pembikinan filem "Game of Death". Mereka berkerja sehingga pukul empat petang dan kemudiannya memandu ke rumah rakan sekerja Lee, Betty Ting Pei, seorang pelakon Taiwan. Mereka bertiga telah membincangkan skrip tersebut di rumah Ting dan Chow kemudiannya meninggalkan rumah itu untuk menghadiri satu temu janji makan malam.

Lee kemudiannya mengadu sakit kepala dan Ting memberinya ubat penahan sakit dan pil aspirin di mana kedua-duanya mengandungi bahan kimia penenang, meprobamate. Sekitar pukul 7.30 malam, Lee membaringkan dirinya untuk tidur sebentar. Apabila Lee gagal muncul untuk waktu makan malam, Raymond Chow pergi ke flat tersebut, namun tidak berjaya membangunkan Lee dari tidurnya. Seorang doktor telah dipanggi ke tempat kejadian dan dia menghabiskan masa selama 10 minit untuk cubaan menghidupkan Lee sebelum Lee dihantar ke Hospital Queen Elizabeth. Semasa ketibaan ambulans di hospital, Lee telah di istihar meninggal dunia dalam hampir berusia 33 tahun.

Menurut laporan autopsi, beliau tidak mempunyai apa-apa kecederaaan luar. Akan tetapi, otak Lee telah membengkak sebanyak 13 peratus, dari 1400 gram hinggalah 1575 gram. Laporan tersebut turut mengesan kehadiran aspirin dalam tubuh badannya. Pada 15 Oktober 2005, di dalam satu sesi temu ramah, Chow menyatakan bahawa Lee meninggal dunia dari alahan bahan kimia meprobamate, di mana Chow juga menyatakan ia adalah bahan biasa yang digunakan dalam ubat penahan sakit. Apabila doktor mengumumkan kematiannya, ia adalah disebabkan "kematian yang malang".

Isteri beliau pulang semula ke Seattle dan telah mengebumi beliau di lot 276, Lakeview Cemetery. Pengiring keranda di majlis pengebumiannya pada 31 Julai 1973 termasuk Taky kimura, Steve McQueen, James Coburn, Chuck Norris, George Lazenby, Dan Inosanto, Peter Chin dan abangnya, Robert.

Kontroversi Menyelubungi Kematian Lee[sunting | sunting sumber]

Semasa peristiwa kematian Lee, pelbagai khabar angin telah muncul di media. Status Lee sebagai seorang ikon dan kematiannya sebelum waktu ajal telah membawa kepada pelbagai khabar angin liar dan teori. Ini termasuklah pembunuhan oleh ahli kongsi gelap dan anggapan sumpahan terhadap beliau dan keluarganya.

Donald Teare, seorang ahli saintis forensik yang dicadangkan oleh Scotland Yard dan mempunyai pengalaman lebih 1000 kes autopsi telah ditugaskan untuk mengendalli kes Lee. Kesimpulan dia mengenai kematian sebelum ajal beliau adalah disebabkan serangan akut pembengkakan otak yang terjadi akibat tindak balas antara bahan-bahan kimia dalam aspirin.

Walaupun terdapat andaian awal yang menyatakan kandungan ganja dalam perut Lee menyumbang kepada kematiannya, Teare menafikannya dan menyatakan bahawa "ia adalah tidak bertanggungjawab dan rasional untuk mengatakan bahawa ganja mungkin mencetuskan Lee untuk pengsan pada 10 Mei atau kematiannya pada 20 Julai". Dr R.R. Lycette, seorang ahli patologi klinikal di Hospital Queen Elizabeth melaporkan bahawa kematiannya tidak mungkin disebabkan oleh ganja.

Pada Konvensyen Comic-con San Diego 1975, rakan Lee, Chuck Norris menyatakan kematiannya adalah disebabkan reaksi antara ubat regangan otot yang telah diambil oleh beliau dari tahun 1968 untuk cakera tulang yang pecah serta ubat antibiotik yang diambil untuk sakit kepala pada malam kematiannya.

Di dalam buku, "The Death of Bruce Lee: A Clinical Investigation" membentang satu kepercayaan Lee yang dia telah lali terhadap penggunaan ubat aspirin pada masa kali pertama "reaksi akut hipersensitif" pada 10 May 1973. Lee mengelakkan penggunaan ubat tersebut sehinggalah kematiannya pada malam 20 Julai 1973 disebabkan pembengkakan otak.

Legasi[sunting | sunting sumber]

Tenaga-tenaga pengajar yang diiktiraf[sunting | sunting sumber]

Lee hanya mengiktiraf tiga tenaga pengajar secara peribadi: Taky Kimura, James Yimm Lee dan Dan Inosanto. Inosanto mempunyai kedudukan ketiga dalam tenaga pengajar yang diiktiraf secara langsung oleh Bruce Lee dalam Jeet Kune Do, Kung Fu Jun Fan dan Tao Kung Fu Cina Bruce Lee. Taky Kimura pula mempunyai kedudukan kelima dalam Kung Fu Jun Fan. Ted Wong mempunyai kedudukan kedua dalam Jeet Kune Do yang menerima pengiktirafan secara langsung dari Lee, dan kemudiannya dinaikkan pangkat kepada pengajar di bawah naungan Inosanto, yang merasakan Lee tentunya juga ingin berbuat demikian. Sejak kematian Lee, pengajar-pengajar Jeet kune Do yang lain telah diiktiraf secara langsung oleh Dan Inosanto, sesetengahnya dengan sijil-sijil selebihnya yang ditandatangani oleh Lee.

James Yimm Lee, kawan karib beliau mengiktiraf beberapa pelajar termasuklah Gary Dill yang juga menrima sepucuk surat peribadi yang membenarkan dia untuk mengajar Kung Fu Jun Fang kepada orang lain. Taky Kimura, sehingga hari ini hanya mengiktiraf seorang pelajar saja dalam Kung Fu Jun Fan: anaknya Andy Kimura. Dan Inosanto menruskan pengajaran dan mengiktiraf pelajar terpilih di dalam Jeet Kune Do dalam tempoh 30 tahun yang setrusnya, menyebabkan ribuan pengamal seni pertahanan diri untuk menjejaki keturunan latihan pertahanan diri mereka kepada Bruce Lee. Sebelum kematian beliau, dia memberitahu dua orang pengajar yang masih hidup iaitu Inosanto dan Kimura (James Yimm Lee meninggal dunia pada tahun 1972) untuk menghapuskan sekolah-sekolahnya.

Kedua-dua Inosanto dan Kimura dibenarkan mengajar bilangan kelas yang kecil di bawah garis panduan "mengekalkan bilangan pelajar sedikit, tetapi kualiti yang tinggi". Bruce juga pernah mengajar beberapa juara Karate Dunia termasuklah Chuck Norris, Joe Lewis dan Mike Stone. Antara mereka bertiga, semasa sesi latihan bersama Bruce, mereka telah memenangi setiap kejuaraaan karate di Amerika Syarikat.

Di Jepun, Junichi Okada merupakan pengajar yang diiktiraf di dalam Jeet Kune Do.

Legasi Hong Kong[sunting | sunting sumber]

Terdapat sejumlah cerita yang menyelubungi Lee yang masih diulangi di budaya Hong Kong. Salah satu temu ramah Lee yang terawal pada tahun 1970-an di rancangan televisyen, "Enjoy Yourself Tonight" mengelakkan kesesakan jalan-jalan di Hong Kong sementara orang ramai menontonnya di rumah.

Pada 6 Januari 2009, ia diumumkan bahawa rumah Bruce Lee di Kowloon, Hong Kong akan dipelihara dan dijadikan tapak pelancongan oleh dermawan Yu-Pang Lin.

Anugerah dan Pengiktirafan[sunting | sunting sumber]

  • Dinamakan oleh Time Magazine sebagai salah satu 100 orang yang paling terpengaruh pada abad ke-20.
  • Pada April 2013, beliau dianugerahkan Founders Award di The Asian Awards.
  • Sebuah arca beliau yang berukuran 210 sm yang dibuat di Guangzhou, China telah didirikan di Chinatown pada 15 Jun 2013.
  • Pada April 2014, ia diumumkan bahawa beliau akan dipaparkan sebagai salah satu karakter di permainan video EA Sports UFC dan akan dapat dimainkan dalam pelbagai kategori berat
  • Beliau diundi sebagai pelawan filem yang paling hebat pada tahun 2014 oleh Dewan Kemasyhuran Tinju Houston. Dewan tersebut merupakan perbadanan sukan kombat yang terdiri dari artis dan ahli pertahanan diri terdahulu dan kini.

Keturunan seni mempertahankan diri[sunting | sunting sumber]

Keturunan dalam Wing Chun
Ng Mui
Yim Wing Chun
Leung Bok-chau
Leung Lan-kwai
Wong Wah-bo
Leung Yee-tai
Leung Jan
Chan Wah-shun
Yip Man (葉問)
Bruce Lee
 Bruce Lee (李小龍)

Pengasas Jeet Kune Do  

Diiktiraf oleh Bruce Lee

sebagai pengajar Jeet Kune Do

Taky Kimura, James Yimm Lee, Dan Inosanto
Pelajar yang ketara dalam

Jun Fan/Gung Fu/Jeet Kune Do

Brandon Lee, Jesse Glover, Dan Inosanto, Yorinaga Nakamura, Taky Kimura, Richard Bustillo, Jerry Poteet, Ted Wong, James Yimm Lee, Rusty Stevens, Chuck Norris, Kareem Abdul-Jabbar, James Coburn, Joe Lewis, Roman Polanski, Lee Marvin, Stirling Silliphant, Mike Stone

Pengiklanan[sunting | sunting sumber]

Walaupun Lee tidak muncul dalam iklan-iklan semasa jangka hayatnya, Nokia melancarkan satu kempen atas talian pada tahun 2008 dengan rakaman dokumentari (yang telah dipentaskan) Bruce Lee bermain ping pong dengan kayu nunchakunya dan juga menyalakan mancis seperti ianya dibuang ke arahnya. Video-video tersebut menjadi viral di YouTube dan menyebabkan kekeliruan di mana sesetengah orang mempercayai bahawa ianya adalah rakaman sebenar.

Bibliografi[sunting | sunting sumber]

Lihat juga[sunting | sunting sumber]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

Pautan luar[sunting | sunting sumber]