Pergi ke kandungan

Dato Maharaja Lela

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.

Dato' Maharaja Lela atau nama sebenar beliau Pandak Lam (meninggal dunia 20 Januari 1877) merupakan seorang pembesar lapan Perak yang merupakan pejuang bangsa Melayu dalam menentang penjajahan British di Perak. Beliau merupakan penghulu di Pasir Salak dan bertanggungjawab mengetuai gerakan penentangan yang membawa kepada pembunuhan Residen British pertama di Perak, James Wheeler Woodford Birch (J.W.W. Birch) pada tahun 1875.[1]

Pandak Lam merupakan keturunan Daeng Salili, anak Raja Bugis yang berasal dari Luwuk, Sulawesi. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III, beliau datang ke Perak dan dilantik sebagai mufti serta dianugerahkan gelaran "Dato' Maharaja Lela Tan Lela", dengan kuasa memenggal kepala tanpa bertanya. Beliau merupakan salah seorang daripada Orang Besar Berlapan di bawah pemerintahan Sultan Abdullah Muhammad Shah II. Sebagai pembesar yang berkuasa di kawasan Pasir Salak, beliau mempunyai pengaruh besar dalam kalangan penduduk tempatan dan bertanggungjawab menjaga kedaulatan adat serta wilayahnya.[1]

Penentangan Terhadap British

[sunting | sunting sumber]

Penentangan beliau bermula ekoran campur tangan British dalam urusan pentadbiran negeri Perak melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 20 Januari 1874.[1]

Faktor Penentangan

[sunting | sunting sumber]

Terdapat beberapa faktor utama yang mencetuskan kemarahan Dato' Maharaja Lela dan pembesar Perak terhadap J.W.W. Birch:[2]

  1. Pengambilalihan Kuasa Cukai: Birch mengambil alih hak memungut cukai daripada pembesar tempatan, yang menjejaskan sumber pendapatan dan kedudukan ekonomi mereka.[2]
  2. Mencabar Kedaulatan Sultan: Birch memaksa Sultan Abdullah menandatangani surat penyerahan kuasa pentadbiran kepada British.[2]
  3. Keangkuhan Budaya: Birch tidak memahami bahasa Melayu dan sering melanggar adat resam tempatan, termasuk isu pembebasan hamba yang dilakukan tanpa pampasan kepada pemilik.[2]

Pembunuhan J.W.W. Birch

[sunting | sunting sumber]

Pada 21 Julai 1875, satu mesyuarat sulit diadakan di Durian Sebatang yang dihadiri oleh Sultan Abdullah dan pembesar-pembesar Melayu. Dato' Maharaja Lela bersumpah akan membunuh Birch bagi mempertahankan maruah bangsa. Pada 2 November 1875, semasa Birch berada di Pasir Salak untuk menampal perisytiharan cukai British melalui wakilnya Mat Arshad, dimana wakilnya dan beliau telah diserang semasa sedang mandi di atas rakit. Dato' Maharaja Lela mengarahkan pengikutnya, Siputum, untuk merejam Birch dengan lembing sehingga mati.[1][3]

Perang Perak dan Kejatuhan

[sunting | sunting sumber]

Pembunuhan Birch mencetuskan Perang Perak. Pihak British menghantar tentera yang besar dari India dan Hong Kong untuk menyerang Pasir Salak. Dato' Maharaja Lela dan pengikutnya terpaksa berundur ke Blanja dan kemudian ke kawasan hutan di Hulu Perak untuk melancarkan perang gerila. Setelah beberapa bulan bertahan, Dato' Maharaja Lela akhirnya menyerah diri kepada pihak British pada pertengahan tahun 1876 demi mengelakkan lebih banyak pertumpahan darah rakyat jelata.[1][4]

Perbicaraan dan Kematian

[sunting | sunting sumber]

Atas kesepakatan Dato Maharaja Lela dan pegikutnya, Birch telah dibunuh dengan kerjasama rakan-rakannya iaitu Dato' Sagor, Siputum, Pandak Indut, Laksamana Mohamad Amin, Ngah Ibrahim, Panglima Kinta Ngah Jabor dan lain-lain. Dato' Maharaja Lela bersama beberapa orang pengikutnya telah dibicarakan di Matang, Perak. Perbicaraan tersebut diadili oleh Raja Idris (kemudian dikenali sebagai Sultan Idris) dan Penasihat Undang-undang British. Dato Maharaja Lela didapati bersalah terhadap pembunuhan J.W.W. Birch pada 2 November 1875 di Pasir Salak oleh mahkamah yang bersidang dari 14 Disember hingga 22 Disember 1876 di Matang, Perak. Pada 20 Januari 1877, Dato' Maharaja Lela, Dato' Sagor, dan Seputum telah dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Matang, Perak. Jenazah beliau disemadikan berhampiran tempat hukuman tersebut dijalankan.[1][3]

Dato' Maharaja Lela dianggap sebagai wira negara dalam sejarah Malaysia moden. Keberanian beliau menentang kuasa besar demi kedaulatan tanah air diabadikan di Kompleks Sejarah Pasir Salak. Nama beliau turut digunakan pada stesen monorel di Kuala Lumpur (Stesen Monorel Maharajalela) dan beberapa buah jalan serta sekolah di seluruh Malaysia.

  1. 1 2 3 4 5 6 "Dato Maharaja Lela Dalam Sejarah Perak" (dalam bahasa Inggeris). 2019-07-03. Dicapai pada 2026-04-07.
  2. 1 2 3 4 "KAJIAN KES SEJARAH (PAHLAWAN KEBANGGAANKU) - Membalik Buku Halaman 1-16 | AnyFlip". anyflip.com. Dicapai pada 2026-04-07.
  3. 1 2 "Death on the Perak River". www.sabrizain.org. Dicapai pada 2026-04-07.
  4. Che Dahalan, Dr. Shakila. "DATO' MAHARAJA LELA : TRAGEDI DI PASIR SALAK". OPAC PNM. Dicapai pada 7 April 2026.