Ngah Jabor

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Jump to navigation Jump to search

Ngah Jabor atau nama sebenar beliau Mohammad Jabar bin Bardot (juga dikenali dengan gelaran Imam Prang Jabor)(1858-1921) merupakan salah seorang tokoh penting dalam peristiwa penjajahan British di Perak, khususnya dalam garis waktu penentangan kepada Residen British di Perak pertama iaitu J.W.W. Birch. Beliau juga merupakan orang kanan kepada pahlawan Perak termasyhur iaitu Dato Maharaja Lela atau Pandak Lam (c.1822 - 1877).[1][2] Ngah Jabor juga merupakan pengasas kepada daerah Kampar, negeri Perak Darul Ridzuan. Beliau juga merupakan saudara sesusu atau adik beradik sesusu dengan Sultan Perak ke-28 iaitu Sultan Idris Murshidul Aadzam Shah ibni al-Marhum Raja Bendahara Alang Iskandar.

Biografi[sunting | sunting sumber]

Hubungan dengan Sultan Perak[sunting | sunting sumber]

Raja Idris dan Ngah Jabor mempunyai hubungan kekeluargaan sebagai saudara sesusu kerana semasa kecil Raja Idris disusui oleh ibu Ngah Jabor iaitu Uda Punta, dan menjadi amalan biasa bagi keluarga DiRaja menyusukan anaknya kepada orang lain terutama dari golongan orang-orang kenamaan.[3]

Hubungan dengan Dato Maharaja Lela[sunting | sunting sumber]

Dalam buku Orang Biasa Diraja, Hayat dan Zaman Imam Perang Jabor (1858-1921) – tulisan Hashim Sam yang diterbitkan oleh Persatuan Sejarah Malaysia dan diterjemah ke dalam bahasa Inggeris oleh Perpustakaan Negara Malaysia, iaitu The Royal Commener; The Life and Times of Imam Perang Jabor, (1858-1921) ada dimuatkan salasilah yang menunjukkan hubungan antara Pandak Lam (Dato Maharaja Lela) dengan Ngah Jabor. Mengikut catatan sejarawan Prof C.N Parkinson, Ngah Jabor adalah adik kepada Pandak Lam manakala sejarawan Buyong Adil menyebut bahawa Ngah Jabor bersaudara dengan Pandak Lam. Kedua-dua nama itu berhubung dengan satu lagi nama iaitu Zainal Abidin yang ditunjukkan dalam carta salasilah sebagai ayahanda kepada Pandak Lam dan Ngah Jabor.[4]

Dalam satu salasilah lain, hubungan antara Pandak Lam dan Jabor ditunjukkan dengan tidak menghubungkan keduanya kepada satu nama yang sama (maksudnya ayah yang sama). Pandak Lam tidak ditunjukkan hubungan keatas (tidak diketahui ayahnya) manakala Jabor ditunjukkan hubungan ke atas iaitu ayahandanya bernama Bardot. Tetapi kedua-dua nama itu berasal dari akar yang sama iaitu bertemu di moyang mereka yakni Daeng Selili yang menunjukkan hubungan mereka dalam satu keluarga Bugis yang besar. Salasilah yang dinyatakan oleh Parkinson dan Buyong Adil nampaknya bercanggah dengan salasilah yang direkod oleh sejarawan Fawzi Basri dalam karyanya yang bertajuk Cempaka Sari. Dalam buku itu disebut bahawa ayahanda Pandak Lam bernama Maulud / Tok Maulud / Anjang Osman (c.1805 - d.).[5] Manakala yang bernama Zainal itu ialah ayahanda kepada Maulud.[perlu rujukan] Dalam sumber yang lain, ayah Tok Maulud ialah Alang Rastam (c.1790 - d.).[6]

Selain itu, bekas Ketua Polis Negara Malaysia iaitu Tun Haniff Omar juga merupakan cucu kepada Ngah Jabor.[7][8]

Usia muda dan pembunuhan Birch[sunting | sunting sumber]

Ngah Jabor pada usianya yang muda iaitu lebih kurang 17 tahun ditangkap oleh pihak British kerana disyaki terlibat dengan peristiwa pembunuhan J.W.W. Birch. Malah mengikut rekod rasmi British, jelas menunjukkan Ngah Jabor dan rakan-rakannya yang lain seperti ketuanya Dato Maharaja Lela, Pandak Indut, Panjang Bur, Kulup Ali, Dato Sagor dan Si Tuah dituduh bersekongkol dan bersubahat dalam pembunuhan Residen British di Perak iaitu J.W.W. Birch. Perbicaraan Mahkamah British Perak telah dilaksanakan di Matang, Larut pada 14 Disember 1876 hingga 22 Disember 1876.[9][10] Dijelaskan juga bahawa, Kulup Ali, Ngah Jabor, Pandak Indut dan Si Tuah telah merejam lembing ke tempat mandi J.W.W Birch. Ngah Jabor juga mengakui membunuh J.W.W Birch apabila ditanya sendiri oleh Dato Maharaja Lela.[11][12]

Terlepas hukuman[sunting | sunting sumber]

Difahamkan bahawa Ngah Jabor, Kulup Ali, Si Tuah dan Panjang Bur yang mengaku terlibat dalam konspirasi pembunuhan J.W.W Birch telah dihukum penjara seumur hidup oleh Mahkamah British di Perak atas tuduhan bersubahat dalam pembunuhan J.W.W Birch. Manakala Pandak Indut didapati bersalah dan dihukum gantung sampai mati pada 20 Mei 1876. Pada 20 Januari 1877, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor dan Pandak Indut pula dihukum gantung sampai mati.[13]

Namun, buku Orang Biasa Diraja, Hayat dan Zaman Imam Perang Jabor (1858-1921) diceritakan bahawa sesetengah orang berpendapat Ngah Jabor telah dibebaskan dari penjara secara senyap-senyap oleh Raja Idris apabila baginda menjadi Sultan pada tahun 1887.[14]. Dakwaan ini diperkuatkan lagi dengan maklumat yang dikeluarkan oleh Majlis Daerah Kampar iaitu menyebut "Berdasarkan artikel Datuk Hashim bin Sam Abdul Latiff, penempatan awal Kampar mempunyai kaitan dengan peristiwa pembunuhan J.W.W Birch sebagai Residen British di Perak kerana Ngah Jabor sebagai peneroka awal Kampar adalah seorang yang terlibat dalam pembunuhan tersebut, yang lain-lainnya termasuklah Maharaja Lela, Datuk Sagor, Si Putum dan sebagainya. Bagaimanapun Ngah Jabor terlepas dari sebarang hukuman apabila Raja Idris (Dris) yang kemudiannya menjadi Sultan Perak pada tahun 1887 menjadi Hakim mengadili orang-orang yang terlibat dalam pembunuhan Birch pada tahun 1876".[15]

Menghilangkan diri[sunting | sunting sumber]

Antara tahun 1876 sehingga 1886 Ngah Jabor telah menghilangkan diri, didakwa untuk bertapa dan menuntut ilmu.[16] Kehilangan Ngah Jabor ini dikaitkan dengan pembukaan Kampung Jabor yang terletak di Kemaman, Terengganu. Dipercayai tempat dimana Ngah Jabor mengasingkan diri dari diketahui oleh pihak British.

Kembali ke Perak dan membuka Kampar[sunting | sunting sumber]

Ngah Jabor dikatakan muncul semula di Perak pada tahun 1894 tetapi dengan nama yang sedikit berbeza iaitu Mohamed Jabar. Nama ini muncul ketika Kampar mula diteroka untuk dijadikan kawasan perlombongan bijih timah. Mohamed Jabar merupakan tokoh utama yang telah membuka bandar tersebut. Beliau dikatakan telah menjadi seorang kaya yang terkenal di Lembah Kampar.[17] Beliau juga dikatakan pernah membuat tuntutan atas gelaran Dato Maharaja Lela, gelaran yang sebelum itu disandang oleh Pandak Lam. Selepas Pandak Lam menjalani hukuman mati, gelaran tersebut tidak digunakan oleh sesiapa. Tuntutan itu bagaimanapun ditolak oleh Sultan Idris yang mempunyai pertalian saudara sesusu dengannya kerana beralasan bahawa gelaran tersebut tidak akan dihidupkan semula. Sultan Idris menawarkan jawatan lain iaitu gelaran Dato Panglima Kampar tetapi ditolak dengan penuh hemah oleh Mohamed Jabar. Tuntutan itu dibuat oleh Mohamed Jabar memandangkan beliau adalah satu-satunya tokoh yang tinggal setelah dua lagi tokoh yang berasal dari Pasir Salak/Kampung Gajah dijatuhi hukuman bunuh iaitu Pandak Lam dan Ngah Kamdin (Dato Sagor).[18] Mohamed Jabar dikatakan sangat suka mendekati golongan Ulama. Dikatakan tiap-tiap tahun pada bulan Ramadan, pemimpin agama dan alim-ulama dari seluruh Nusantara akan berkunjung ke rumahnya untuk berbuka puasa dan bersolat tarawih bersama-sama.[19] Mohamed Jabar meninggal dunia pada tahun 1921 dalam usia 63 tahun.

Walaupun tinggal di Kampar, beliau dikebumikan di Kampung Gajah, Perak, tempat dimana beliau dibesarkan. Beliau mempunyai beratus-ratus ekar tanah di beberapa tempat dalam negeri Perak tetapi banyak tanahnya telah diambil kembali oleh pihak berkuasa negeri.[20]

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ http://ikantongkol09-buku.blogspot.com/2009/09/orang-biasa-diraja-hayat-dan-zaman-imam.html
  2. ^ http://www.geni.com/people/Pandak-Lam-Dato-Maharaja-Lela/6000000000553495334
  3. ^ http://www.mdkampar.gov.my/latarbelakang
  4. ^ Halaman 59, Orang Biasa Diraja, Hayat dan Zaman Imam Perang Jabor (1858-1921), Hashim Sam, PNM
  5. ^ http://www.geni.com/people/Pandak-Lam-Dato-Maharaja-Lela/6000000000553495334
  6. ^ http://www.geni.com/people/Alang-Rastam/6000000006944341278
  7. ^ http://www.oocities.org/southbeach/cove/7633/news0005.htm
  8. ^ Kampar diisytihar daerah ke-10 Perak oleh DYMM Sultan Azlan Shah 23/5/2009, Utusan Malaysia Online
  9. ^ C.O. 273/90, Gabenor Negeri-Negeri Selat kepada Pejabat Kolonial, 11 Januari 1877, terlampir enclosure 2, “Trial of Maharajah (Maharaja) Lela and others for murder of Mr. Birch”, (seterusnya diringkaskan menjadi C.O. 273/90, “TMMB”).
  10. ^ Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pembunuhan J.W.W Birch;Satu Kajian Tentang Pembunuhnya
  11. ^ C.O. 273/90, “TMMB”, kenyataan Raja Dein Meruwa, 16 Disember 1876.
  12. ^ Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Pembunuhan J.W.W Birch;Satu Kajian Tentang Pembunuhnya
  13. ^ http://aziziabdullah.blogspot.com/2008_01_01_archive.html
  14. ^ Halaman 84, Orang Biasa Diraja, Hayat dan Zaman Imam Perang Jabor (1858-1921), Hashim Sam, PNM
  15. ^ http://www.mdkampar.gov.my/latarbelakang
  16. ^ http://www.mdkampar.gov.my/latarbelakang
  17. ^ Halaman 85, Orang Biasa Diraja, Hayat dan Zaman Imam Perang Jabor (1858-1921), Hashim Sam, PNM
  18. ^ Halaman 86, Orang Biasa Diraja, Hayat dan Zaman Imam Perang Jabor (1858-1921), Hashim Sam, PNM
  19. ^ Halaman 94, Orang Biasa Diraja, Hayat dan Zaman Imam Perang Jabor (1858-1921), Hashim Sam, PNM
  20. ^ Halaman 94, Orang Biasa Diraja, Hayat dan Zaman Imam Perang Jabor (1858-1921), Hashim Sam, PNM
  • Cerita Raja Melayu Negeri Perak serta Keturunan segala Syed-Syed daripada Zainal Abidin dibawahnya salasilah Temenggong Perak.
  • Salasilah Orang Kaya Temenggong Perak 1944.
  • Arkib Negara Malaysia.

Lihat juga[sunting | sunting sumber]