Pergi ke kandungan

F3H Demon

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
F3H Demon
F3H-2 Demon
Peranan Pesawat pejuang
Pengeluar McDonnell Aircraft Corporation
Penerbangan sulung 07 Ogos 1951
Diperkenalkan 07 Mac 1956
Dihentikan 1964
Pengguna utama Tentera Laut Amerika Syarikat

McDonnell F3H Demon ialah pesawat pejuang berasaskan kapal pengangkut pesawat Tentera Laut Amerika Syarikat yang merupakan pengganti kepada F2H Banshee. Selepas menghadapi sesetengah masalah pada peringkat awal, pesawat itu kemudian digunakan dari tahun 1956 hingga tahun 1964.[1]

Pembangunan

[sunting | sunting sumber]

Kerja pembangunan pesawat F3H Demon bermula pada tahun 1949. Reka bentuk pesawat itu berdasarkan satu enjin Westinghouse J40 yang tunggal, dengan tujahan melebihi 11,000 lbf (49 kN), iaitu tiga kali lebih kuat daripada enjin-enjin yang digunakan untuk pesawat Banshee. Ia merupakan reka bentuk McDonnell yang pertama untuk memiliki sayap yang terentang ke belakang serta juga antara pesawat Amerika Syarikat yang pertama memiliki senjata peluru berpandu.

Prototaip F3H Demon diterbangkan buat pertama kali pada 7 Ogos 1951 oleh juruterbang ujian, Robert Edholm,[1] dengan penerbangan-penerbangan ujian untuk reka bentuk pengendalian diadakan pada bulan Januari 1953. Bagaimanapun, enjinnya sangat mengecewakan kerana hanya menjanakan separuh daripada kuasa yang dijangka. Lebih teruk lagi, ia kadang-kadang meragam dan tidak boleh diharap. Antara 35 buah pesawat F3H-1N yang dipasang dengan enjin J40, lapan daripadanya terlibat dalam nahas yang teruk. Pesawat yang dipasang dengan enjin J40 kemudian tidak dibenarkan membuat penerbangan, dengan enjin baru dicari-carikan. Versi pengintipan F3H-1P yang dicadangkan tidak pernah dibina.

Pilihan yang terbaik ialah enjin Allison J71 yang juga digunakan untuk pesawat udara pembinasa. Pesawat-pesawat yang kemudian yang dipasang dengan enjin itu digelar pesawat F3H-2N. Penggunaan enjin itu memerlukan sayap yang lebih besar serta fiuslaj yang direka bentuk semula. Dalam penggunaannya, enjin J71 terbukti menimbulkan masalah dan tidak dapat menjanakan kuasa yang diperlukan oleh sebuah pesawat yang sebesar saiz Demon. Enjin itu juga kerap kali mengalami henti nyala dan kekakuan pemampat. Pesawat Demon pertama yang dipasang dengan J71 terbang pada bulan Oktober 1954. Lagi satu masalah yang utama ialah ketuntasan kerusi lentingnya. Versi-versi yang asal didapati tidak tuntas dan akhirnya digantikan dengan kerusi Martin-Baker yang semakin menjadi pilihan piawai Tentera Laut kerana prestasinya yang tinggi pada ketinggian yang rendah serta ketuntasan yang lebih baik.

Sungguhpun masalah-masalah tersebut, Tentera Laut Amerika Syarikat memesan 239 buah pesawat F3H-2, dengan pesawat yang pertama digunakan pada bulan Mac 1956. Sehingga akhir tempoh pengeluaran pada bulan November 1959, sebanyak 519 buah pesawat Demon dibina. Pesawat tersebut bukannya pesawat pemintas semua cuaca yang pertama yang dipasang dengan radar (set pemintasan udara AN/APG-51 digunakan buat pertama kali untuk pesawat F2H-4 Banshee). Pesawat F3H-2 Demon dipasang dengan set AN/APG-51A yang kemudian dipertingkat kepada versi 51-B, dengan magnetron boleh tala. Versi 51-C kemudian digunakan, dengan rawatan penerima yang lebih baik.

Persenjataan piawai untuk pesawat F3H-2N ialah empat laras meriam Colt Mk 12 berkaliber 20 mm. Pada tahun-tahun kemudian, dua laras meriam yang teratas biasanya tidak dipasang supaya dapat meringankan pesawat. Model-model kemudian yang dikenali sebagai pesawat F3H-2M dilengkapi dengan peluru berpandu udara ke udara Raytheon AAM-N-2 Sparrow dan kemudian Sidewinder. Pesawat yang diterbangkan membawa kedua-dua jenis peluru berpandu, dengan Sparrow dipasang pada rel-rel dalam dan Sidewinder dipasang pada luar pesawat. Meriam tidak digunakan dalam pertahanan-pertahanan udara kapal pengangkut pesawat, tetapi hanya dipasang apabila keadaan seperti Krisis Peluru Berpandu Cuba memerlukannya serta apabila pesawat itu digunakan terhadap sasaran-sasaran permukaan.

Pesawat F3H-2P, versi pesawat pengintip, dicadangkan tetapi tidak pernah dibina. F3H Demon merupakan pesawat pejuang barisan depan Tentera Laut Amerika Syarikat sehingga tahun 1962 apabila ia digantikan dengan pesawat F-4 Phantom II (yang merupakan pembangunan "Super Demon" cadangan, versi pesawat F3H yang lebih besar dan lebih berat). Walaupun dibangunkan semasa Perang Korea, pesawat itu tidak pernah beraksi dan hanya terbang merentasi Lubnan dan Quemoy pada tahun 1958. Konsep F-4 Phantom II dihidupkan semula pada abad ke-21 dalam bentuk pesawat F/A-18E/F Super Hornet, versi F/A-18 Hornet yang jauh lebih besar dan lebih berupaya.

Pada tahun 1962, pesawat F3H dinamai semula sebagai pesawat F-3. Pesawat F3H-2N menjadi pesawat F-3C, manakala pesawat F3H-2M menjadi MF-3B dan pesawat F3H-2 digelar dengan mudah sebagai F-3B. VF-161 'Chargers', skuadron terakhir yang dilengkapi dengan pesawat Demon, menukarkan pesawat F-3nya kepada pesawat F-4 Phantom pada bulan September 1964.

Disebabkan jarak penglihatannya yang unggul dari kokpit, pesawat Demon telah memperoleh nama samaran "The Chair" (Kerusi Itu). Juruterbangnya dikenali dalam percakapan sebagai Demon Drivers (Pemandu Demon), manakala mereka yang bertugas di dalam pesawat tersebut dikenali sebagai Demon Doctors (Doktor Demon).

Spesifikasi (F3H-2)

[sunting | sunting sumber]
3-side view of an F3H-2M.

Ciri umum

  • Anak kapal: 1
  • Panjang: 59 kaki 0 in (17.98 m)
  • Rentang sayap: 35 kaki 4 in (10.77 m)
  • Tinggi: 14 kaki 7 in (4.45 m)
  • Sayap luas: 442 kaki² (41.1 m²)
  • Berat kosong: 21,287 lb (9,656 kg)
  • Berat berisi: 31,145 lb (14,127 kg)
  • Berat berlepas maksimum: 39,000 lb (17,700 kg)
  • Loji kuasa:Westinghouse J40-WE-22 turbojet, 14,400 lbf (64 kN)

Prestasi

Persenjataan

Avionik

  • Radar AN/APG-51A, B, dan C

Lihat juga

[sunting | sunting sumber]

Pembangunan berkaitan

Pesawat setanding

Senarai berkaitan

  1. ^ a b Angelucci, 1987. m.s. 147.