Kami diraja

Daripada Wikipedia, ensiklopedia bebas.
Dokumen 1750 yang ditandatangani oleh Raja Great Britain, George II, menggunakan kami diraja dalam bahasa Jerman: Gegeben auf Unserm Palais zu St. James den 3/14ten April des 1750ten Jahres Unsers Reiches im Dreÿ und Zwantzigstem. George R ("Dikeluarkan di Istana Kami St. James, pada 3/14 April pada tahun ke-1750 dalam ketiga likur Pemerintahan Kami. George R")
Dokumen Latin 1249–50 yang dikeluarkan oleh Henry III dari England; baginda menggunakan frasa Mandamus vobis ("Kami memerintahkan kamu").

Kami diraja, jamak agung (pluralis majestatis), atau jamak diraja ialah kata ganti nama jamak (atau bentuk kata kerja berimbuhan jamak yang sepadan) yang digunakan oleh seorang raja atau pemegang jawatan tinggi untuk merujuk kepada diri sendiri secara tunggal. Istilah yang lebih umum bagi kami atau kita yang digunakan untuk merujuk kepada diri sendiri ialah nosisme.

Contoh[sunting | sunting sumber]

Selepas United Kingdom diminta untuk menimbang tara dalam pertikaian sempadan antara Argentina dan Chile, Raja Edward VII mengeluarkan keputusan kes tersebut, yang dikenali sebagai Cordillera Kes Sempadan Andes. Ayat yang menyusuli pendahuluan teks anugerah itu berbunyi seperti berikut:[1]

Sekarang, Kami, Edward, dengan rahmat Tuhan, Raja United Kingdom Great Britain dan Ireland dan Dominion British di seberang Laut Raja, Pembela Iman, Maharaja India, dsb., dsb., telah mencapai keputusan berikut atas persoalan yang dipertikaikan, yang telah dirujuk untuk penimbangtaraan Kami, ...

Dalam petikan ini, garisan bawah telah ditambahkan pada perkataan-perkataan yang menggunakan jamak agung.

Penggunaan Barat[sunting | sunting sumber]

Kami diraja biasanya digunakan oleh orang yang mempunyai jawatan tinggi, seperti raja atau pemerintah berdaulat jenis lain. Ia juga digunakan dalam konteks formal tertentu oleh uskup dan rektor universiti. William Longchamp dinisbahkan telah memperkenalkannya ke England pada akhir abad ke-12, mengikut amalan Canseri Ringkasan Kepausan.[2]

Dalam situasi awam, apabila raja atau orang penting lain bercakap, mereka bukan sahaja mewakili diri mereka tetapi juga negara atau institusi mereka. Dalam sesetengah bahasa, menggunakan bentuk jamak dilihat sebagai lebih hormat dan sopan daripada menggunakan bentuk tunggal.[perlu rujukan]

Dalam surat diplomatik, seperti surat watikah, lazimnya raja-raja menggunakan kata ganti nama diri pertama tunggal (saya, beta, dsb.) apabila menulis kepada raja-raja lain, manakala jamak agung digunakan dalam warkah-warkah diraja kepada presiden sesebuah republik.[3]

Di alam Komanwel, raja memberikan perintah kepada pegawai tentera dengan menggunakan kami. Banyak dokumen rasmi yang dikeluarkan atas nama raja juga dipersembahkan bersama kami diraja, seperti surat paten, pengisytiharan, dll.

Pada zaman dahulu, paus juga menggunakan kami dalam ucapan rasmi, contohnya seperti dalam Notre charge apostolique, Mit brennender Sorge, dan Non abbiamo bisogno. Namun sejak Paus Ioannes Paulus I, paus telah berhenti menggunakan bahasa formal ini dalam ucapan awam, tetapi dokumen rasmi mungkin mengekalkannya. Dokumen-dokumen penting paus kebelakangan ini masih menggunakan jamak agung dalam bahasa asal Latinnya tetapi diterjemahkan kepada kata ganti nama diri pertama tunggal I dalam terjemahan bahasa Inggeris rasmi.[4][petikan penuh diperlukan]

Pada tahun 1989, Margaret Thatcher, Perdana Menteri United Kingdom ketika itu, menerima kritikan dalam akhbar kerana menggunakan kami diraja apabila beliau mengumumkan kepada wartawan bahawa beliau telah mendapat cucu dan berkata, "Kami telah menjadi nenek".[5]

Penggunaan bukan Barat[sunting | sunting sumber]

Beberapa gelaran Tuhan dalam Alkitab tulis dalam bentuk jamak: Elohim, Adonai dan El Shaddai. Ramai sarjana Kristian, termasuk pemimpin-pemimpin pascahawari dan Agustinus dari Hippo, percaya ini menyokong doktrin Tritunggal.[6] Cara menulis tentang Tuhan ini telah wujud sejak abad ke-4 Masihi di empayar Byzantium; namun begitu sarjana seperti Mircea Eliade,[7] Wilhelm Gesenius,[8] dan Aaron Ember[9] berkata Elohim ialah kata nama jamak agung dalam Taurat untuk menunjukkan betapa berkuasa Tuhan, bukannya bermaksud terdapat lebih daripada satu Tuhan.

Di China kuno dan setiap monarki dalam hegemoni budayanya (termasuk Jepun, Korea dan Vietnam), kata ganti nama maharaja ditulis dengan aksara zhèn () (Cina Kuno: *lrəmʔ). Ini sebenarnya bekas kata ganti nama pertama tunggal Cina ('saya'). Akan tetapi berikutan penyatuan China, maharaja Shi Huangdi mengeksklusifkannya untuk diri baginda sahaja. Sebelum itu, dalam sfera budaya Cina, penggunaan kata ganti nama diri pertama dalam bahasa istana formal sudah pun tidak lazim, dan orang bangsawan menggunakan kata ganti nama diri rendahan guǎrén 寡人 ('orang kesepian') untuk diri sendiri, manakala rakyat membahasakan diri sebagai chén 臣 ('rakyat', maksud asal adalah 'hamba' atau 'abdi'), serta merujuk diri secara tidak langsung dengan zúxià 足下 ('di bawah kaki [tuanku]), atau dengan menggunakan gelaran hina untuk menghormati pendengar (seperti kata sifat (), 'bodoh'). Walaupun amalan ini tidak mempengaruhi negara-negara bukan China kerana varian zhèn () mereka dan istilah-istilah lain biasanya adalah kata pinjaman, amalan mengelak menggunakan kata ganti nama secara langsung dan menggunakan cara yang sopan untuk merujuk kepada diri mereka sendiri meleluasa ke seluruh Asia Timur. Adat ini masih berterusan di kebanyakan negara Asia Timur kecuali di China yang mana kata ganti nama diri pertama 我 lazimnya digunakan untuk 'saya', selepas Gerakan Empat Hari Bulan Mei dan kemenangan Parti Komunis dalam Perang Saudara China.[perlu rujukan]

Dalam bahasa Hindustan dan bahasa Indo-Arya yang lain, penutur yang lebih tua biasa menggunakan jamak agung untuk membahasakan diri sendiri, serta oleh orang yang lebih tinggi martabatnya. Dalam masyarakat tertentu, kata ganti nama diri pertama tunggal (Hindi: मैं, rumi: main, lit.'saya') langsung tidak digunakan dan semua penutur menggunakan kata ganti nama diri jamak.

Dalam Islam, beberapa bentuk kata jamak digunakan untuk merujuk kepada Allah.[10] Al-Quran banyak menggunakannya untuk membesarkan dan memuliakan Allah[11] seperti dalam ayat "Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-Quran, dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya."[al-Quran 15:9 (Terjemahan oleh Abdullah Muhammad Basmeih)]

Di Malaysia, sebelum Yang di-Pertuan Agong masuk jawatan, baginda akan mengangkat sumpah terlebih dahulu, yang mana 'kami' akan menjadi kata ganti nama yang digunakan. Ini kerana baginda mewakili Raja-raja Melayu Malaysia yang lain semasa pemerintahan baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong.

... maka dengan lafaz ini berikrarlah Kami dengan sesungguhnya dan dengan sebenarnya mengaku akan taat setia pada menjalankan dengan adilnya pemerintahan ...

Rujukan[sunting | sunting sumber]

  1. ^ "The Cordillera of the Andes Boundary Case" (PDF). Reports of International Arbitral Awards. Office of Legal Affairs, United Nations.
  2. ^ Templat:Cite ODNB
  3. ^ Satow, Ernest Mason (1932). A Guide to Diplomatic Practice. London: Longmans. m/s. 37. In these letters the plural "We" and "Our" are employed instead of "I" and "My," and the letters terminate thus: "Your Good Friend." This form is used mainly for Royal letters to Presidents of Republics.
  4. ^ "Ioannes Paulus PP. II: Karol Wojtyla: 16.X.1978 - 2.IV.2005". The Vatican. Diarkibkan daripada yang asal pada 30 April 2011. Dicapai pada 28 April 2011.
  5. ^ The Phrase Finder. "We are a grandmother".
  6. ^ "On the Trinity". New Advent. Dicapai pada 7 Februari 2014.
  7. ^ Eliade, Mircea (2007). Espín, Orlando O.; Nickoloff, James B. (penyunting). An Introductory Dictionary of Theology and Religious Studies. Liturgical Press. m/s. 396. ISBN 9780814658567.
  8. ^ Gesenius, Hebrew Grammar: 124g, without article 125f, with article 126e, with the singular 145h, with plural 132h, 145i
  9. ^ Ember, Aaron (1905). The Pluralis Intensivus in Hebrew (Tesis). Johns Hopkins University.
  10. ^ "Surah Al-Hijr [15:9]". Surah Al-Hijr [15:9] (dalam bahasa Inggeris). Dicapai pada 2020-06-01.
  11. ^ Muhammad Fahmi Rusli. (2019, August 26). Al Kafi #1352. Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan.